Suatu hari, sewaktu saya kecil dahulu, Abuya bawa saya pergi makan di sebuah kedai makan di halaman masjid Pakistan, Kuala Lumpur. Abuya tunjuk satu frame ayat Al Quran yang digantung di dinding kedai itu. Abuya kata, kamu nak tahu tak, dengan ayat ini tauke kedai ni jadi kaya. Saya menjawab dengan semangat, nak ..nak ..nak!! Maka Abuya pun kongsikan ilmu berikut ini kepada saya.
Siapa tak nak kaya? Semua nak kaya; kaya iman, kaya ilmu, kaya harta, kaya jiwa dan lain-lain. Tapi malangnya orang lebih fokus hendak mendapatkan kaya harta, kurang mengambil berat tentang kaya iman dan kaya ilmu, terutama ilmu agama.
Ramai manusia menyempitkan skop kaya itu pada wang ringgit, harta benda atau popularnya disebut Rezeki. Maka dari itu orang belajar agama pun untuk dapatkan rezeki. Dan ayat-ayat Al-Quran tentang rezeki sangat popular, salah satunya adalah ayat yang Abuya tunjukkan pada saya di dinding kedai makan Pakistan itu.
وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجْعَل لَّهُۥ مَخْرَجًا.
وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُۥٓ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَٰلِغُ أَمْرِهِۦ ۚ قَدْ جَعَلَ ٱللَّهُ لِكُلِّ شَىْءٍ قَدْرًا.
"Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya (tidak diduga). Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
(At-Talaq, 65:3).
Ayat ini begitu popular sebagai ayat rezeki, ada yang menyebutnya Ayat Seribu Dinar. Umat Islam ramai yang membuat frame ayat ini dan menggantungnya di dinding rumah atau kedai, misalnya di kedai makan mamak. Tujuan asalnya ialah supaya senang dilihat, dibaca dan diingat. Yang lebih penting lagi supaya ditubi atau diresapkan dalam hati maksud ayat itu hingga menjadi keyakinan yang kental bahawa Allah Maha Memberi Rezeki. Rasa tawakkal yang mantap itulah yang hendak didapatkan. Kerana, rasa tawakkal itu adalah salah satu dari sifat taqwa.
Walaupun seseorang itu belum bertaqwa sepenuhnya, baru mengusahakan satu sifat taqwa, tapi sudah dapat habuannya. Sebab itu, tidak hairanlah orang-orang yang mendapat faedah dari ayat ini sekalipun dalam perkara-perkara lain masih derhaka. Ada orang yang solat pun belum istiqomah, masih mujahadah, tapi berkat satu sifat taqwanya iaitu tawakkal, yakin sangat bahawa Allah Maha Memberi Rezeki seperti yang dijanjikan Allah dalam ayat ini, maka Allah beri rezeki yang dia minta.
MasyaAllah, itulah kasih sayang Allah. Baru sahaja seseorang itu mengusahakan satu sifat taqwa yakni tawakkal, Allah dah jadikan dia kaya. Sediakan salurannya seperti berniaga, bertani, mengambil upah dan lain-lain usaha lahir, kemudian tanam betul-betul rasa tawakkal, maka Allah salurkan kekayaan yang diminta. Tapi kekayaan seperti itu tidak menjamin seseorang itu selamat. Di dunia lagi macam-macam anacaman dan masalah menimpa orang kaya. Di Akhirat pula entah apa nasib orang kaya, belum tahu lagi.
Namun sekurang-kurangnya dia sedang mengusahakan satu sifat taqwa yakni tawakkal dan mendapat habuan kekayaan harta di dunia. Bayangkanlah kalau makin banyak sifat taqwa yang diusahakan, tentu makin banyaklah habuan yang Allah akan beri. Mengusahakan sifat taqwa SABAR misalnya, maka Allah beri ketenangan, Allah beri ramai kawan, Allah beri wajah yang ceria, dan lain-lain lagi. Kiaskanlah kepada sifat-sifat taqwa yang lain.
Taman Rehat Anggun, 11 Disember 2015
Ulasan
Catat Ulasan