Bila tengok orang kaya dengan kehidupan mewah dan selesa, setiap orang pasti akan terdetik rasa ingin jadi begitu. Kalau rasa itu didorong nafsu, timbullah iri hati, hasad dengki. Kalau didorong roh yang baik, timbullah rasa gembira tengok orang lain selesa, lebih-lebih lagi kalau orang itu ada kaitan keluarga atau sebangsa, seagama, senegara dengan kita. Paling sering terjadi mungkin kita akan rasa termotivasi untuk menjadi seperti dia. Atau ada yang terfikir untuk menumpang kekayaan orang itu. Yang jahat fikir secara jahat, misalnya dengan menipu atau merompak. Yang baik mungkin terfikir bagaimana nak minta sumbangan atau bekerja atau buat kerjasama dengan orang itu. Tak adakah cara lain yang halal dan bermaruah? Sebenarnya ada!
Ada cara menjadi kaya dengan menumpang secara halal dan bermaruah. Mengapa dikatakan halal? Kerana ia memang sah dalam syariat, termasuk dalam hukum halal. Tiada unsur hutang, riba, tipu, curi, rompak dll. Adakalanya yang ditumpangi itu pun tak tahu, tapi kalau tahu pun dia redha bahkan suka ditumpangi dengan cara itu. Mengapa pula dikatakan bermaruah? Sebab kita sahaja yang tahu bahawa kita menumpang, orang lain tak tahu. Sebab itulah tiada siapa yang akan menghina atau mengungkit.
Saya nak cerita konsep atau formula menumpang kekayaan ini dalam satu kisah hidup realiti. Mudah-mudahan para pembaca semua dapat memahaminya. Masa kecil dulu, Abuya sering bawa saya xpdc ke Kelang. Xpdc yang dimaksudkan ialah naik kenderaan sambil kuliah dalam perjalanan, singgah makan dan menziarahi seseorang atau suatu tempat. Antara tempat yang diziarahi ialah istana Sultan Selangor. Walaupun sekadar berlegar-legar di sekitar istana itu, tapi saya macam dibawa ziarah ke istana pula, sebab dalam kuliahnya Abuya bercerita tentang orang penting dalam istana itu.
Beliau ialah Syeikh Mahmud Bukhari. Beliau bukan raja, bukan anak raja atau kerabat diraja, tapi beliaulah yang mendidik raja dan kerabat diraja Selangor suatu ketika dahulu. Beliau seorang tokoh agama yang terkenal khususnya di Selangor. Syeikh Mahmud Ariff Bukhari berasal dari Makkah dan berbangsa Uzbek. Nama penuhnya ialah Mahmud Ariff Abdullah Turah Khan Tashkandi. Beliau dilahirkan di Jiad, Makkah pada 12 September 1897. Tokoh ini datang ke Semenanjung Tanah Melayu setelah menerima jemputan Tengku Alam Shah yang kemudiannya ditabal menjadi Sultan Selangor yang keenam pada tahun 1938 dengan gelaran Sultan Hishamuddin Alam Shah.
Beliau mendidik anak-anak Sultan termasuk Allahyarhamah Tengku Ampuan Bariah, Bonda yang mendidik Sultan Mizan Zainal Abidin, Sultan Terengganu Darul Iman.
Beliau juga ditugaskan untuk menubuhkan Maahad Hishamudin dan menjadi guru utama. Sebab itu ramai juga muridnya di kalangan rakyat jelata. Di sekolah itulah Abuya berguru dengan beliau. Antara murid-murid beliau yang terkenal di negara ini ialah Allahyarham Dato Hasan Azahari dan Dato Ismail Kamus.
Didikan beliau sangat berkesan, kerana beliau bukan sahaja memberi ilmu tetapi juga menunjukkan contoh tauladan yang baik. Misalnya dalam hal sifat pemurah. Pernah suatu hari Abuya memberi hadiah wang RM5 dalam envelop kepada gurunya itu. Abuya mengumpul wang itu sedikit demi sedikit semata-mata untuk diberikan sebagai adab dan tanda terima kasih kepada gurunya. Bagi Abuya yang waktu itu masih muda dan suka hidup berdikari, wang sejumlah itu dikira banyak. Ketika Abuya hendak pulang, Syeikh Mahmud menghulurkan hadiah berupa envelop juga. Ketika dibuka, alangkah terkejutnya Abuya kerana dalam envelop itu terdapat RM10. Rupanya pemberian Abuya telah dibalas sekali ganda oleh gurunya. Semakin hormat dan kagumlah Abuya terhadap gurunya itu. Dalam kejadian itu terdapat didikan praktikal dari gurunya; jika kamu berkorban kerana Allah, sebagai adab dan hormat kepada guru, maka Allah akan lipatgandakan rezekimu.
Abuya selalu mengingatkan bahawa menghormati, memuliakan, membesarkan, lebih-lebih lagi mengamalkan ilmu dari orang-orang soleh itu banyak manfaatnya. Bahkan menyebut namanya sahaja sudah memberi faedah pada kita.
" ذكر الصالحين تنزل الحم"
"Menyebut nama-nama orang soleh itu menurunkan rahmat Allah"
Orang soleh ini kalau kita duduk dengan dia sahaja walaupun kita tidak mendengar majlis ilmunya tapi hanya melihat wajahnya pun akan mendapat manfaat. Belum lagi kita mendengar kata-katanya. Apabila kita mendengar percakapannya akan memberi manfaat pada hati kita. Bahkan dengan hanya mendengar kisah kehidupan orang-orang yang soleh itu pun akan mendatangkan manfaat, misalnya kita dapat mengambil contoh tauladan dari kisah itu.
Abuya menyuburkan jiwa kami dengan kisah-kisah gurunya di dalam kelas. Ada masa Abuya membawa kami berkunjung ke rumah keluarga guru-gurunya, sekalipun gurunya itu telah meninggal dunia. Kalau tak dapat cari keluarganya, ziarah kampung guru pun jadilah. Yang penting ingatan dan rasa terima kasih kepada guru itu dapat disalurkan dan dikongsikan. Begitu sekali dapat disaksikan bagaimana Abuya memuliakan guru-gurunya.
Apabila negara Uzbekistan merdeka dari Soviet Union, Abuya terus berkunjung kesana. Hubungan diplomatik Uzbekistan dengan Malaysia bermula pada 1992, setahun selepas republik itu mengisytiharkan kemerdekaannya dari Rusia. Pada waktu itulah Abuya mengajak saya dan rombongan xpdc ke sana. Abuya bukan sahaja menjejaki negara asal gurunya, tapi juga menziarahi negara asal Imam Al Bukhari, perawi hadis yang masyhur itu. Imam Bukhari atau nama lengkapnya Abu Abdullah Muhammad bin Al-Bukhari, adalah perawi hadis yang dikumpulkan dalam Sahih Bukhari. Bagi umat Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah kitab ini adalah kumpulan hadis sahih daripada Nabi Muhammad SAW.
Terasa sekali apa yang Abuya katakan bahawa memuliakan orang soleh itu besar manfaatnya. Kita bukan saja dapat menumpang ilmu dan didikan, tapi juga rezeki dan kekayaan. Nak pergi ke Bukhara bukanlah sedikit perbelanjaannya, tapi Allah mudahkan dengan berkat guru, berkat berjemaah, berkat memuliakan guru secara berjemaah. Keberkatan yang Abuya dapat dari gurunya itu tak dibolot seorang, malah Abuya kongsikan kepada anak-anak dan ahli jemaahnya. Rombongan demi rombongan Abuya hantar ke Uzbekistan. Bahkan Abuya sempat mengirim ramai pelajar menuntut ilmu di sana, khasnya bahasa Uzbek. Abuya juga menghantar seorang pensyarah untuk berkhidmat kepada salah satu university di sana untuk membuka kursus bahasa Malaysia. Diawali dengan penguasaan bahasa oleh kedua-dua negara itu, Abuya ingin sangat hubungan antara Malaysia dan Uzbekistan makin rapat di masa akan datang. Begitu juga negara-negara Islam bekas jajahan Rusia sekitarnya seperti Tajikistan, Kazaktan, Azerbaijan, dll. Kerana sewaktu zaman kegemilangan Islam dulu, negara-negara itu asalnya satu sahaja. Penjajahlah yang telah memecahbelahkannya.
Kawasan ini adalah kawasan yang kaya dengan hasil bumi, seperti emas dan minyak. Lebih bertuah lagi kerana dari sini telah lahir ramai orang-orang soleh. Moga-moga dengan bekerjasama dengan tanah kelahiran orang-orang soleh itu, negara Malaysia akan mendapat berkatnya juga. Nampaknya harapan Abuya itu telah berlaku sekarang. Banyak syarikat Malaysia melabur dan para pakar dari Malaysia bekerja di sana. Kekayaan bumi itu dapat dikongsi juga dengan Malaysia.
Begitulah kisah menumpang kaya secara halal, iaitu menumpang keberkatan orang-orang soleh. Allah melalui lidah rasul-Nya telah menjanjikan:
وبهم ينصرون وبهم يرزقون (الطبراني)
Maksudnya: "Dan dengan sebab mereka (orang-orang soleh) Tuhan bantu dan disebabkan mereka diberi rezeki.
(Riwayat Tabrani).
Siang malam kita berdoa minta rezeki yang halal, baik dan banyak. Minta Allah beri dengan redha bukan dengan kemurkaan. Tapi dengan hijab dosa-dosa yang banyak pada diri, agak-agak Allah makbulkan kah doa kita itu?
Dengan kasih sayang Allah, diberi-Nya kita jalan selamat iaitu menumpang kaya kepada orang-orang soleh. Mengamalkan ilmu yang diajarkan orang soleh, meniru kehidupan orang soleh, menghormati, memuliakan bahkan menyebut nama-nama orang soleh pun Allah akan beri kita rahmat. Dengan bersandar kepada orang soleh, maka Allah kabulkan doa kita.
Menjadi kaya kerana berkat orang soleh adalah halal dan bermaruah. Hakikatnya kita menumpang berkat taqwa orang soleh itu. Dengan sebab ketaqwaan orang soleh itulah kita dibantu dan diberi rezeki oleh Allah. Formula ini sebenarnya ditiru oleh manusia. Dalam kehidupan harian, dinamakan rekomen. Bila seseorang hendak mohon bantuan kepada kerajaan, maka ada syarat-syarat tertentu termasuk surat-surat rekomen yang perlu disertakan, barulah permohonan itu diterima. Ertinya kita menumpang berkat orang atau pihak yang memberi rekomen itu. Tentu sahaja orang itu bukan calang-calang hingga diiktiraf kerajaan untuk memberi rekomen. Begitulah orang soleh, mereka diiktiraf oleh Alllah hingga kerana merekalah Allah turunkan bantuan dan rezeki.
Ulasan
Catat Ulasan