HIDUP YANG MENDAPAT BERKAT DAN RAHMAT.
Dari Ibnu Mas’ud r.a bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w, :”Manakah amal yang lebih utama?” Beliau menjawab,:”Sembahyang dalam waktunya, berbakti kepada ibu bapa dan berjuang di jalan Allah.” (Riwayat Bukhari).
Maksudnya:
Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.
(Al Anbiyaa,21:107).
Keberkatan dalam hidup kita sangat ada hubungkait dengan hadis diatas. Rasulullah sebut Sembahyang atau solat kerana ia adalah perkara utama hubungan manusia dengan Tuhan. (حبل من الله). Keberkatan hidup juga ada kaitan dengan Rasulullah. Iaitu sesiapa yang berpandukan Quran dan Sunah dia tidak akan sesat dalam kehidupannya.
"Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya, iaitu Kitab Allah (al-Quran) dan Sunnah Rasulullah SAW." (Hadith riwayat Malik).
Seterusnya hadis diatas sekali menyebut tentang berbakti kepada ibu bapa. Ia juga ada kaitan dengan kehidupan yang berkat. Berbakti kepada ibu bapa adalah perkara utama hubungan manusia sesama manusia. (حبل من الناس). Seterusnya perkara-perkara lain yang mana bila dilakukan atas dasar untuk mendaulatkan hukum hakam Allah. Maka dia dikatakan jihad atau berjuang di jalan Allah.
Kita juga membuat janji dan ikrar bahawa semua solat, ibadah, hidup dan mati kita hanya untuk Tuhan. Solat dan ibadah dipisahkan walhal solat pun ibadah juga. Itulah tandanya solat itu ibadah yang penting, utama dan pertama dari ibadah-ibadah yang lain sama ada yang wajib atau yang sunat. Kita bertungkus-lumus membuat semua ibadah. Hidup dan mati itu pula merangkumi aktiviti yang tidak ditentukan. Boleh jadi ianya perkara ibadah, boleh jadi tidak. Makan, rehat dan tidur boleh dijadikan ibadah ataupun tidak. Kita berikrar, perbuatan yang harus pun hendak kita jadikan ibadah. Jadi mana boleh rehat-rehat. Kita berusaha hendak tegakkan semua kehendak Tuhan atau untuk mendaulatkan hukum hakam Allah adalah satu jihad.
Semua perkara yang hendak kita lakukan kena merujuk bagaimana Rasulullah berbuat. Apa sahaja yang berlaku sama ada baik atau buruk adalah melalui Rasulullah. Bila rahmat ini dialirkan kepada hamba-hamba Allah yang lain, maka dia akan jadi diantara dua perkara iaitu sama ada ianya berkat atau istidraj.
Berkat ertinya bertambah. Berkat datang atau berasal dari rahmat. Berkat adalah untuk orang-orang yang bertaqwa. Ia diberi dari redha dan kasih sayang Tuhan.
Istidraj adalah untuk orang-orang yang derhaka kepada Tuhan sama ada orang kafir mahupun orang Islam. Ia diberi oleh Tuhan dengan marah dan murka.
Tuhan tidak mengamalkan diskriminasi dalam memberikan rahmat kepada hamba-hambanya. Tuhan bagi pada semua orang. Namun kepada orang-orang yang bertaqwa, apa sahaja yang Tuhan bagi menjadi berkat. Kepada orang-orang yang derhaka pula, apa sahaja yang Tuhan bagi menjadi istidraj. Kalau dilihat pada lahirnya, berkat dan istidraj sama sahaja. Sama sahaja bendanya. Tapi kesan dan side-effectnya berbeza.
Allah berfirman maksudnya:
" Wahai orang-orang yang beriman, sabarlah kamu (dalam menegakkan agama Allah) dan sabarlah kamu dalam perjuangan menghadapi musuh (hawa nafsu) dan tetap teguhlah kamu (dalam barisan perjuangan) dan bertaqwalah kamu kepada Allah moga-moga kamu mendapat kemenangan."
(Ali Imran,3:200).
Musuh batin yang ada didalam diri tidak akan membenarkan kita melaksanakan tiga perkara yang telah di sebutkan oleh Nabi SAW di atas. Musuh yang ada didalam diri kita ialah nafsu yang jahat.(Nafsu Ammarah). Nafsu yang mesti diperangi di antaranya adalah sifat mementingkan diri sendiri, tamak, gila dunia, kedudukan dan kehormatan diri. Itu semua adalah penghalang yang cukup kuat untuk kita mendapatkan hakikat (amalan batin), juga sebagai hijab yang menghalang kita untuk mendapat sifat kerohanian sebab kita merasakan diri sebagai tuan. Ertinya menghalang kita untuk mendapatkan kehidupan yang berkat.
"Kesilapanmu yang paling besar adalah sibuk mencari kesilapan orang lain."(Saidina Ali bin Abi Talib). Apa yang disebutkan oleh Saidina Ali adalah contoh mazmumah.
“Ego” – ibu segala mazmumah jadi ia membuatkan seseorang paling tidak tenang. Orang yang memiliki sifat ini pantang tercabar dari sudut zahir mahupun batin. Kesenangan dan kemewahan selalunya membawa kepada kesombongan dan kelalaian. Kesusahan dan penderitaan itu selalunya membawa kepada kekecewaan dan putus asa, kecuali orang yang beriman. Di antara tanda-tanda orang yang sombong itu cepat melahirkan sifat marah-lemah mujahadah. Orang yang sifat marah tapi dapat sembunyikan kecuali di tempat-tempat yang munasabah inilah manusia normal.
Bilamana biarkan diri bergelumang dengan mazmumah ertinya kita telah menghilangkan berkat dalam kehidupan. Bila keberkatan hilang manusia hidup dalam suasana tegang. Manusia akan hilang ketenangan. Sekalipun hidup dalam kelompok masyarakat paling kecil iaitu jemaah bani susah untuk diselaraskan dan disatukan. Betapalah sebuah jemaah toifah, daulah dan seterusnya sebuah empayar lebih-lebih lagi sulit untuk di satukan.
Selepas Subuh, 5 February 2016
Ulasan
Catat Ulasan