Setiap orang bertanggungjawab untuk kebangkitan Islam kali kedua.
Kita mesti kena faham segenap aspek dan perkara yang berkaitan dengan masalah lahir dan batin. Ini termasuklah tentang keadaan dan permasaalahan masyarakat. Tentang persoalan jati diri, penyakit jiwa dan tentang gejala, asas-asas dan puncanya. Juga tentang perkara hati, jiwa dan roh dan kaedah untuk membina semula kekuatan jiwa dan menyembuhkan, maka penyakit masyarakat mudah diselesaikan.
Kita mesti cari jalan bagaimanakah melahirkan masyarakat yang jiwanya tidak kosong, tidak gelisah, tidak dilanda risau dan runsing dan mempunyai fikiran yang stabil. Apabila jati diri dapat dibina dan penyakit jiwa dapat disembuhkan maka masalah lain mudah diselesaikan. Masalah gejala sosial yang tidak sihat bukan berpunca dari masalah lahir. Masalah masyarakat ia berpunca dari masalah batin.
Iman dan ilmu mesti ditanam dihati masyarakat melalui tarbiah dan pendidikan. Hanya melalui pendidikan sahaja baru datang penghayatan dan penjiwaan. Kalau iman dan ilmu disampaikan hanya melalui taalim atau pengajian sahaja, iaitu belajar, masuk periksa, lulus dan dapat sijil, ia akan hanya menjadi satu kemegahan dan kebanggaan. Ia tidak menjadi satu amalan, jauh sekali satu penghayatan atau penjiwaan.
Dari penghayatan dan penjiwaan iman dan ilmu, baru akan timbul rasa cinta dan takut kepada Tuhan. Dari rasa takut kepada Tuhan, maka akan wujud ketaatan. Hukum hakam dan syariat Tuhan akan dilaksanakan. Perintah suruh akan dibuat. Perintah larangan akan ditinggalkan. Bila syariat Islam dipatuhi dan syariat Islam itu menjadi sistem dan cara hidup, maka akan lahirlah taqwa. Taqwa itu membuat apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang.
Apabila sesuatu kelompok itu sudah sampai ke tahap taqwa, maka akan datang bantuan dan pembelaan dari Tuhan. Tuhan itu pembela bagi orang-orang yang bertaqwa. Persiapan yang paling penting bagi pihak yang terlibat menyelesaikan masalah masyarakat ialah ilmu tentang roh, hati dan jiwa. Iman dan ilmu mesti ditanam dihati masyarakat melalui tarbiah dan pendidikan.
Ulasan
Catat Ulasan