Kami mengunjungi seorang peladang muslim yang berjaya. Iaitu Zulkifli bin haji Ahmad beliau menerima anugerah peladang jaya 2015 untuk daerah Hulu Selangor.
"Berfikirlah, berkemajuanlah dan membangunlah sejauhmana termungkin asalkan ditunjangi oleh iman ia tidak akan sesat." AFT.
Setiap hati manusia ingin mendapat kejayaan tidak kira apa bangsa sekalipun, samada orang Islam atau bukan orang Islam. Orang yang tua atau orang yang muda, lelaki atau perempuan. Bagi orang-orang yang bukan Islam untuk mendapat kejayaan tentulah berbeza dari orang-orang Islam.
Tidak salah untuk kita memiliki kekayaan, kelulusan dan kedudukan asalkan ianya bertunjangkan kepada iman dan taqwa. Segala apa yang kita usahakan dan kita miliki didunia ini, kiranya dapat membawa kepada iman dan taqwa kita akan mendapat keselamatan didunia ini, lebih-lebih lagi mendapat keselamatan diakhirat. Inilah kejayaan sebenar.
Taqwa itu adalah modal untuk kita mendapat kejayaan. Untuk ia memberi manfaat dan kebaikan, benih taqwa itu mesti ditanam hingga ia tumbuh menjadi pokok yang ada batangnya, dahan, ranting, daun, bunga dan akhir sekali buahnya. Buah taqwa itulah hasil yang boleh dinikmati di dunia dan di Akhirat.
Begitulah juga jika kita inginkan kejayaan dibidang pertanian, kita perlukan ilmu dan taqwa untuk mencapai kejayaan didunia dan diakhirat. Tawakkal itu adalah kelakuan hati yang tidak bertentangan dengan gerakan anggota badan. Seandainya dikatakan, bahwa semua orang yang bekerja atau berusaha itu tidak bertawakkal, niscaya boleh dikatakan, bahwa para Nabi juga tidak bertawakkal. Kita dapati Nabi Adam a.s. bekerja sebagai pembajak. Nabi Nuh dan Nabi Zakaria pula bekerja sebagai tukang kayu. Nabi Idris sebagai tukang jahit. Nabi Ibrahim dan Nabi Luth sebagai petani. Nabi Saleh pula sebagai peniaga. Nabi Sulaiman mencipta sesuatu dari dedaun kurma, manakala Nabi Daud membuat perisai. Dan Nabi Musa, Nabi Syu’aib dan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai penggembala, moga-moga Allah merahmati mereka sekalian.
Dari Abu Hurairah r.a. berkata bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : Allah telah berfirman, “telah berfirman Allah kepada malaikat pembahagi (pengedar) rezeki kepada bani Adam: mana satu hamba-Ku yang kamu temui menujukan harapannya kepada Aku semata, maka jaminkanlah rezekinya langit dan bumi. Dan mana satu hamba-Ku yang kamu temui sedang mencari rezekinya, sesungguhnya dia sedang menuntut keadilan, maka lorongkanlah jalan-jalannya tetapi jika dia menuntut selain dari itu, maka biarkanlah antara mereka dengan apa yang mereka tuntut itu, kelak mereka tidak akan memperolehi lebih daripada apa yang telah Aku tentukan untuk mereka itu.” (Hadis riwayat Abu Naim)
Ulama berselisih pendapat mengenai usaha yang paling baik, adalah usaha daripada perniagaan, pertukangan ataupun pertanian. Menurut Imam An-Nawawi dalam Shahihnya, pekerjaan yang baik dan afdhal ialah pertanian. Inilah pendapat yang sahih kerana ia merupakan hasil tangannya sendiri dan ia juga memberi manfaat kepada diri sendiri, umat Islam dan kepada binatang. Di samping itu bidang pertanian juga membawa para petani kepada sifat tawakkal. (Al-Majmuk: 9/54 & Shahih Muslim Syarh Imam An-Nawawi).
Kepentingan bidang pertanian pada pandangan Islam dapat dilihat daripada banyaknya ayat al-Quran yang menyebutkan mengenai hasil tanaman dan buah- buahan yang pelbagai. Kegiatan pertanian dari aspek akidah dapat mendekatkan diri seseorang kepada Allah. Hal ini kerana tanda kebesaran Allah dapat dilihat dengan jelas dalam proses kejadian tumbuh-tumbuhan atau tanaman. Melakukan usaha pertanian lebih membuatkan seseorang itu memahami hakikat sebenar tawakal kepada Allah dan beriman kepada kekuasaan-Nya.
Oleh itu, sentiasalah bersangka baik pada Allah dalam apa jua keadaanpun, kerana kasih sayang Allah itu mendahului Kemurkaan-Nya. Dan pastikan sumber rezeki yang kita perolehi dari sumber yang halal dan tidak meninggalkan suruhan Allah s.w.t semasa mencari rezeki, rezeki yang diperolehi akan diberkati dan hidup kita akan sentiasa mendapat rahmat Allah s.w.t.
Ulasan
Catat Ulasan