DUNIA BARU ISLAM YANG INDAH.
Dalam dunia kehidupan yang kian mencabar. Abuya Asaari Muhammad At Tamimi komited mengajak kita berjuang dengan kasih sayang. Salah satunya adalah menggunakan teknologi terkini. Dan misi perjuangan perangilah kejahilan dan kedegilan dengan kasih sayang. Salah satu tanda dihati ada kasih sayang ialah perjuangan yang lemah lembut. Jangan kita menyangka perjuangan yang keras dan lantang dan kesat bersuara itu menakutkan, apalagi mengingatkan. Allah berfirman: "Maka disebabkan rahmat daripada Allahlah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri daripadamu."
(Ali-Imran,3:159).
Kita sedang berada di era kebangkitan Islam kali kedua. Tuhan izinkan kita sedang menyaksikannya. Di mana kebangkitan kedua mengulangi kebangkitan pertama. Allah menjadikan Islam sedang berkembang untuk kembali gemilang di akhir zaman ini sesuai dengan janji Allah melalui lidah RasulNya. Berduyun-duyun manusia dijemput dan dipilih Allah untuk kembali kepada hukum Allah. Padahal sebelumnya kita sama-sama berada di tepi jurang neraka. Tidakkah tergerak di hati kemahuan untuk menyertainya dan rasa takut kalau-kalau ketinggalan dalam peluang keemasan ini.
Di kurun ini semua masalah sudah wujud. Sistem pemerintahan sudah rosak, masyarakat rosak, rakyat rosak, ibadah rosak, aqidah rosak, akhlak rosak, tauhid rosak, ekonomi rosak, politik rosak dan macam-macam lagi yang sudah rosak. Sebab itu kedatangan mujaddid di kurun ini tentulah keadaannya lebih sulit lagi. Apabila hendak membetulkan semua perkara tadi, ertinya semua golongan yang terlibat dalam kerosakkan itu menjadi penentang kepada kedatangan mujaddid ini.
Kurun ini kerana terlalu besarnya kerosakkan yang terjadi di era globalisasi, sains dan teknologi yang canggih ini, maka Allah utus 2 mujaddid untuk baiki, membetulkan dan menyempurnakan kebangkitan itu. Dua mujaddid itu adalah Imam Mahdi dan Putera Bani Tamim yang bekerja secara rapat. Bila semua sudah rosak, ertinya semua golongan yang terlibat akan merasa terancam dengan kedatangan mujaddid kurun ini. Tetapi dengan ilmu ilham yang diberikan oleh Allah dan ketaqwaan yang dimiliki oleh mujaddid tersebut, Insya Allah ia akan sanggup membaiki kerosakan yang ada.
Dunia baru Islam di perjuangkan dengan menggabungkan kebenaran dan keindahan agar dapat difahami, diingati dan diamalkan. Percayalah, pendekatan perjuangan yang menggabungkan kebenaran dan keindahan akan membuahkan model perjuangan Islam yang selamat dan menyelamatkan. Pendekatan perjuangan yang lemah lembut lebih nyaring untuk mengingatkan. Dan lebih berkesan untuk menakutkan. Senjata itulah yang selalu diperingatkan Allah kepada pesuruh-Nya dalam kalangan para rasul ketika berdepan dengan musuh-musuh Allah yang terkenal ganas, degil, zalim, kaya, perkasa dan berkuasa.
Keindahan sebenar Islam hanya dapat dilihat oleh orang yang mempunyai akal yang tajam serta jiwa yang bersih. Keindahan Islam yang begitu menyerlah, tidak akan dapat dilihat dirasai oleh mereka yang menganutnya tanpa ilmu dan hanya jadi pak turut. Peribahasa Arab ada menyebut,"seseorang memusuhi apa yang tidak diketahui. Golongan yang jahil membuat andaian dan tanggapan berdasarkan pemerhatian yang sempit dan singkat tentang Islam. Mereka bersandarkan emosi bukan bertitik tolak kepada hujah, fakta dan ilmu. Mereka hanya melihat Islam disatu sudut dengan meminggirkan sudut-sudut yang lain.
Ulasan
Catat Ulasan