AKIBAT MENGABAIKAN HATI
Abuya Imam Ashaari At Tamimi menegaskan bahawa, peranan hati atau roh amat penting sekali. Ia penentu hidup mati manusia. Ia penentu kepada kebaikan atau penentu kepada kejahatan setiap individu. Kemudian bertolak dari individu yang baik atau jahat inilah menggambarkan kehidupan seluruhnya sama ada di sudut ekonomi, pendidikan, perubatan, perhubungan, pentadbiran, politik, sosial dan sebagainya.
Jadi semuanya berpunca dari hati. Hati ini merupakan satu makhluk yang sangat tersembunyi, rahsia dan sulit untuk mengesannya. Tambah pula ia dibentengi oleh kubu-kubu kebal jasad manusia itu sendiri. Ia jadi raja dalam diri. Duduknya di atas singgahsana hati daging. Istananya diri manusia itu sendiri.
Jarang manusia pedulikan raja dirinya. Sedangkan raja (hati) inilah yang menguasai manusia itu. Yang mengarahkan anggota lahir (tentera-tenteranya) supaya buat kebaikan atau kejahatan, yang jadi penentu selamat di dunia dan penentu selamat di Akhirat.
Inilah menjadi rahsia hidup manusia. Bagaimana corak hidup seseorang begitulah corak hatinya. Hati yang menentukan manusia. Segala bentuk perjalanan hidup yang ada di dunia, hati yang mencoraknya. Hal-hal yang dapat kita saksikan dengan mata kepala, sama ada yang menyenangkan kita atau menyusahkan adalah merupakan buah-buah yang wujud berpunca daripada sebatang pokok yang tidak dapat dilihat oleh mata kepala iaitu hati atau roh.
Kedamaian dan keharmonian hati-hati manusia itu sendiri. Jadi kalau berlaku sebaliknya yakni huru hara, haru biru, hiruk pikuk, berlakunya pergaduhan, perselisihan, pertarungan antara manusia dengan manusia, krisis yang tidak habis-habis, perbalahan dimana-mana, tekanan, penindasan, penzaliman yang wujud di muka bumi ini, peperangan yang memusnahkan kehidupan manusia serta menghancurkan tamadun mereka, semuanya adalah berpunca daripada hati atau roh.
Hati yang jadi penentu kepada kebaikan dan kejahatan itu sudah tidak dipedulikan oleh manusia, sudah tidak diambil pusing lagi oleh pemimpin-pemimpin manusia, sudah tidak dihiraukan lagi oleh ulama-ulama. Cuma yang terfikir oleh mereka ialah bila hendak baiki keadaan atau suasana, mereka buatlah akta. Akta yang dijangka boleh membendung sedangkan yang buat akta itu sendiri pun tidak mahu ikut peraturan tersebut. Dia mahu akta orang lain saja. Kalau sudah semuanya jahat, siapa lagi yang mahu ikut akta itu?
Dia tidak benarkan atau aktakan jangan mencuri. Tapi dia sendiri merompak. Dia katakan orang lain jangan rasuah tapi dia sendiri pecah amanah. Dia aktakan orang lain jangan bergaduh, tapi dia sendiri cetuskan pergaduhan. Dia aktakan orang jangan main pedang, tapi dia sendiri jadi pembunuh. Jadi sampai bila pun dunia tidak akan aman. Sebab yang hendak dikatakan ialah orang lain, sedangkan untuk diri sendiri terlepas.
Oleh kerana tidak mahu kembali memikirkan membaiki hati masing-masing, maka manusia di dunia hari ini sudah tidak boleh dipimpin lagi. Kejahatan-kejahatan yang dibuat oleh manusia akhirnya menyusahkan mereka sendiri. Para-para pemimpin, ulama-ulama, para pemikir masyarakat terus bingung dan langsung tidak tahu apa yang hendak dilakukan. Mereka tahu penyakit tetapi tidak tahu bagaimana mengubatnya. Mereka rasa mereka pakar-pakar masyarakat tapi makin diubat, makin bertambah kronik sakitnya. Makin parah. Hingga doktor pun turut sama sakit. Pening dan bingung.
Payahnya kerana mereka hendak membaikki kejahatan manusia yang sudah mejoritinya jahat. Cuma kejahatan-kejahatan itu bentuknya tidak sama. Ibarat doktor pakar lemah jantung tapi dia sendiri kencing manis yang serius. Dia ubat orang tapi dia juga sakit. Paling tidak mereka hanya mampu melihat penyakit-penyakit dengan mata lahir tapi tidak dapat melihat dengan mata batin.
Apa yang termampu mereka lakukan untuk mengatasi masalah penyakit masyarakat yang sudah serius sampai boleh memusnahkan manusia, misalnya Aids, mereka kempen gunakan kondom sebanyak-banyaknya. Kalau timbul perbalahan, pergeseran atau peperangan, mereka buatlah akta-akta dan undang-undang untuk membendungnya. Walhal dalam masa yang sama mereka juga buat peluru dan senjata-senjata perang sebanyak-banyaknya. Mereka laga-lagakan satu sama lain supaya timbul peperangan. Bila perang berlaku, senjata mereka akan jadi satu income negara. Itulah kerja pakar-pakar international yang dikagumi oleh dunia. Padahal mereka itu bagaikan orang yang sesat di padang pasir di siang hari.
Kalau berlaku pergeseran di antara buruh dan majikan, kadang-kadang buat demonstrasi untuk melahirkan rasa tidak puas hati. Lalu dibuat akta atau peraturan supaya krisis tidak berlanjutan. Diharapkan dengan itu dapat membendung ekonomi negara jangan sampai musnah. Krisis tetap juga berlaku. Ekonomi tetap juga merosot. Bahkan bermacam-macam akta, seribu satu macam enakmen dibuat tetapi masalah masyarakat tetap tidak juga selesai.
Di setengah-setengah negara yang mata hatinya sudah tertutup dan buta, yang selalu gunakan fikiran yang dikatakan genius, pakar-pakar pemikir dunia, mereka jammed terus tidak dapat berfikir lagi. Sudah tidak tahu bagaimana lagi hendak selesaikan masalah dunia hari ini. Masalah perbalahan suami isteri saja sudah bingung untuk diselesaikan kerana tidak pernah habis-habis. Lumrah berlaku di mana-mana saja. Sudah tidak ada kedamaian rumahtangga. Hidup nafsi-nafsi walaupun satu rumah. Akhirnya buat akta yang membolehkan manusia kahwin dengan binatang, kahwin dengan anjing atau babi.
Begitulah manusia sekarang ini setelah hatinya buta, otaknya yang pandai melangit tidak boleh memimpin manusia lagi. Hati kalau sudah rosak, rosaklah tindakannya. Binasalah masyarakat
Otak yang bergeliga itu sudah tidak berfungsi dan berguna lagi. Tindakannya merosakkan lagi suasana yang sudah rosak itu. Manusia sudah tidak berjiwa manusia lagi. Sebaliknya sudah berjiwa binatang atau syaitan. Akhirnya lahirlah masyarakat haiwan dan syaitan yang dilahirkan oleh manusia-manusia tadi.
Firman Allah:
Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. (Al-A'raaf 7: 179).
Ulasan
Catat Ulasan