Langkau ke kandungan utama

SILATURRAHIM SATU JIHAD.




Roh jihad melahirkan natijah-natijah yang positif dan baik. Antaranya ialah melahirkan masyarakat yang bersilaturahim atau yang bersatu padu. Jihad yang ada roh menghasilkan masyarakat yang bersilatur rahim. Masyarakat yang berkasih sayang.

Bagi mencetuskan silaturrahim perlukan mujahadah terhadap nafsu. Lebih-lebih lagi kita yang pernah salah faham antara satu sama lain. “Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silatur rahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.”
 (Surah an-Nisaa’, 4: 1).

Allah menggandingkan di antara saranan supaya bertaqwa kepada-Nya dengan perintah untuk berbuat kebaikan kepada kaum keluarga dan melarang dari memutuskan hubungan silatur rahim yang mana dengannya dapat menegaskan akan maksud tersebut, yang bahawa betapa wajibnya menunaikan hak-hak Allah, maka adalah juga wajib untuk menegakkan hak-hak makhluk, khususnya adalah yang termasuk persoalan hubungan kekeluargaan di antara mereka, bahkan menunaikan hak-hak mereka adalah di antara hak-hak Allah yang telah diperintahkan oleh-Nya.
”(Tafsir as-Sa’di, 2/11)

Dari itu, perlu difahami terlebih dahulu bahawa hubungan silatur rahim adalah suatu bentuk jalinan atau ikatan perhubungan yang dibina secara bersama di antara sesama ahli keluarga dan kaum kerabat yang terdekat. Perkara ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh al-Imam Ibnu Manzhur rahimahullah,

“al-Imam Ibnul Atsir rahimahullah berkata, “Silatur rahim adalah suatu ungkapan yang berkaitan dengan menjalinkan perbuatan baik terhadap kaum kerabat yang memiliki hubungan senasab atau perkahwinan, berlemah lembut kepada mereka, menyayangi mereka, memperhatikan keadaan mereka, walaupun mereka jauh dan berbuat jahat. Manakala memutuskan silatur rahim adalah suatu perbuatan yang berlawanan dengannya.”
 (Lisaanul ‘Arab, 14/318)

Kaum kerabat yang dimaksudkan dalam persoalan ini adalah seperti kedua ibu dan bapa, adik beradik, pak cik, mak cik, sepupu, nenek, datuk, anak-anak, dan selainnya yang memiliki hubungan kekeluargaan yang dekat.Adapun 
hubungan yang dinisbahkan kepada selain ahli keluarga, maka ia disebut sebagai ukhuwah Islamiyah
 (persaudaraan sesama Islam).
“... dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (di masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara.”
 (Surah Ali Imran, 3: 103)

Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara…” (Surah al-Hujuraat, 49: 10)

Dalam perkara menjalinkan silatur rahim ini, suatu yang perlu ditekankan dan lebih diutamakan adalah dalam persoalan menyambungkan hubungan dua pihak yang telah terputus atau mengalami masalah (krisis). Ini adalah sebagaimana hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dari ‘Abdullah bin ‘Amr radhiyallahu ‘anhu,
“Orang yang menjalinkan hubungan kekeluargaan bukanlah mereka yang membalas sesuatu kebaikan, tetapi adalah mereka yang menyambungkan (menjalinkan semula) suatu perhubungan yang telah terputus.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

Jalinan silatur rahim yang paling utama dan dituntut adalah menjalinkan hubungan yang baik dengan kedua ibu dan bapa. Malah, ia adalah merupakan suatu yang wajib berdasarkan dalil-dalil yang jelas, yang antaranya,
“Dan tidak ada yang disesatkan oleh Allah kecuali orang-orang yang fasiq, (iaitu) orang-orang yang melanggar perjanjian Allah sesudah perjanjian itu teguh, dan memutuskan apa yang diperintahkan Allah (kepada mereka) untuk menghubungkannya dan membuat kerosakan di muka bumi. Mereka itulah orang-orang yang rugi.” (Surah al-Baqarah, 2: 27)
Al-Imam ath-Thabari menyatakan berkaitan ayat tersebut sebagaimana berikut,

“Pada ayat ini, Allah menganjurkan hamba-Nya agar menjalinkan hubungan kekeluargaan dan dengan orang yang memiliki hubungan rahim, serta tidak memutuskannya.” (Tafsir ath-Thabari, 1/221)
“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa-mu dengan sebaik-baiknya.” (Surah al-Isra’, 17: 23)

Menurut al-‘Allamah ar-Raghib al-Asfahani rahimahullah bahawa, “Kata rahim berasal dari kata rahmah yang membawa erti lembut, yang memberi petunjuk (gambaran/indikasi) supaya berbuat baik kepada orang yang disayangi.” (Mufraadaat al-Fazhil Qur’an, m/s. 347)

Kedua ibu bapa adalah ahli keluarga yang mempunyai ikatan nasab (keluarga/darah) yang paling dekat, malah memiliki jasa yang sangat besar, yang mana mereka telah memberikan kasih dan sayangnya sepanjang hidup mereka. Malah mereka memiliki hak yang paling utama di dalam tingkatannya dan terletak setelah perbuatan mentauhidkan Allah.
Contoh berbuat baik kepada kedua ibu bapa adalah dengan mengasihi mereka, memberi bantuan yang diperlukan, menyayangi mereka, memberi perhatian kepada mereka, menjaga nama baik mereka, dan juga termasuklah menghiburkan hati mereka. Ia bukan sahaja berlangsung setakat di masa hayat mereka, tetapi juga setelah mereka meninggal dunia iaitu dengan mendoakan kebaikan buat mereka.
Diriwayatkan dari ‘Abdullah bin Mas’oud radhiyallahu ‘anhu,
“Aku bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Amal apakah yang paling utama?” beliau menjawab, “Solat ketika tiba waktunya”. Aku bertanya lagi, “Kemudian apa?” beliau menjawab, “Berbaktilah kepada kedua orang tua.” Aku bertanya, “Kemudian apa?” beliau menjawab, “Jihad di jalan Allah”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Muslim, an-Nasa’i, at-Tirmidzi, dan Ahmad)

Allah Subhanahu wa Ta’ala juga melarang kita dari perbuatan derhaka kepada kedua ibu dan bapa.
Di dalam hadis yang lain, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menyatakan bahawa menjalinkan hubungan silatur rahim memiliki hubung kait dengan keimanan terhadap Allah dan hari kemudian.
Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda “Baragsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaklah dia menjalinkan silatur rahim.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Malah, dengan menjalinkan hubungan silatur rahim, Allah akan melapangkan rezeki dan memanjangkan umur kita. Manakala sebaliknya, orang yang memutuskan silatur rahim, Allah akan mempersukarkan rezekinya atau tidak memberikan keberkahan kepada harta yang dimiliki.
“Barangsiapa yang suka agar diperluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia menjalinkan hubungan tali silatur rahim.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari)
Malah di sana terdapat pula hadis yang berbentuk ancaman kepada mereka yang memutuskan silatur rahim sebagaimana berikut,
“Tidak masuk Syurga mereka yang memutuskan silatur rahim.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Menjalinkan hubungan silatur rahim terhadap ahli keluarga yang lain dapat dilaksanakan dengan pelbagai cara yang antaranya dengan mengunjungi ahli keluarga yang dimaksudkan, tidak lupa bertanyakan khabar, sentiasa berhubungan dengan mereka sama ada dengan menziarahi mereka atau dengan memanfaatkan peranan alat bantu teknologi masa kini (seperti internet, e-mail, sms, atau telefon), memberikan hadiah, sentiasa hormat-menghormati terutamanya kepada mereka yang lebih tua, segera membantu mereka yang memerlukan dan yang berada dalam kesusahan, menghulurkan sedekah kepada yang tidak mampu, saling sayang menyayangi, ingat mengingatkan, memuliakan mereka, mendampingi mereka jika mereka menghadapi kesedihan, meraikan kegembiraan mereka, sentiasa memenuhi undangan dari mereka, mendoakan kebaikan buat mereka, mendamaikan yang berselisih, dan juga mengajak mereka kepada jalan kebaikan yang diredhai iaitu kepada hidayah dan rahmat Allah Subahanahu wa Ta’ala.
Perhubungan yang baik terhadap ahli keluarga ini perlulah sentiasa dilakukan bertepatan dengan petunjuk Allah dan sunnah Rasul-Nya. Kepada mereka yang memiliki ahli keluarga yang kafir, fasiq, atau seumpamanya, maka jalinan kekeluargaan bersama dengan mereka dapat juga dilakukan dengan melalui nasihat-nasihat tertentu yang baik-baik, memberi tunjuk ajar, peringatan, membantu mereka dalam kesusahan, menghiburkan mereka dengan memberi hadiah (dalam usaha melembutkan/melunakkan hati mereka), serta berusaha mengajak mereka ke jalan yang benar dengan hikmah.
Menjalinkan silatur rahim memiliki begitu banyak manfaat yang di antaranya adalah sebagai suatu usaha (tanggungjawab) melaksanakan perintah Allah dan Rasul-Nya, membina suasana kasih sayang yang harmoni dan saling bantu membantu, diberi (mendapat) keluasan rezeki oleh Allah, merapatkan hubungan yang dengannya mampu memberi peluang dakwah yang lebih baik dan berkongsi ilmu serta kebaikan, meraih kekuatan dengan kesatuan kekeluargaan yang terbina, menjauhi keburukan seperti fitnah dan buruk sangka, dan yang akhirnya diberi jaminan Syurga (dijauhkan dari Neraka) oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MENGENAL ABUYA.

Siapakah Abuya? Mengapa kita perlu kenal dia? Kita perlu mengenalinya dengan tepat supaya kita faham dia, faham pemikiran, perasaan, perbuatan dan perjuangannya. Tak kenal maka tak cinta. Jika tak cinta maka tak bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan Islam yang Abuya perjuangkan. Kenapa banyak orang yang mengaku cinta Abuya, tapi bila berlaku ujian jadi keliru lalu meninggalkan perjuangan Abuya, bahkan ada yang membenci dan memusuhi Abuya?  Sebenarnya mungkin pengenalan mereka tentang Abuya tak tepat, tak jitu. Mungkin kenal pada sudut-sudut tertentu sahaja.  Maklumlah minat setiap orang tak sama. Ada yang minat perniagaan, maka dia sangat terinspirasi dengan sistem ekonomi yang Abuya lagangkan. Ada yang minat pendidikan, maka dia sangat respek Abuya dari sudut pendidikan. Ada yang minat poligami, maka dia sangat nak belajar pada Abuya bagaimana nak buat poligami yang harmoni. Ada yang minat cara susun kasut ala Abuya, maka dia pun ikut disiplin susun kasut itu. Ada yang mina

NEGARA SYAM.

NEGARA SYAM (JORDAN, PALESTIN,HEBRON, SYRIA) Negara Jordan menjadi tempat transit bagi Abuya sebelum meneruskan perjalanan ke negara negara lain. Jordan juga dikenali dengan bumi Anbiya. Jordan juga banyak meninggalkan kesan  peninggalan purba yang berusia  ribuan tahun. Ia banyak di Jordan atau dulu dikenali dengan negeri Syam. Wilayah Syam zaman kebangkitan pertama mengandungi Jordan, Palestin, Lubnan dan Syria. Di era kebangkitan kali kedua Syam telah terpecah kepada empat negara. Ia dilakukan oleh penjajah. Kini terdapat negara Jordan, Palestin, Lubnan dan Syria secara berasingan satu sama lain. Jordan era terkini dikenali dengan Kerajaan Hasyimiyah Jordan, (Hashemite Kingdom of Jordan) atau lebih dikenali dengan nama Jordan sahaja  merupakan sebuah negara Arab yang terletak di Asia Barat (dulu dianggap Timur Tengah) bersempadan dengan negara-negara Arab yang lain. Ia terletak pada koordinat 34-29 Utara 35-39 Timur iaitu di sebelah Barat La

KEBANGKITAN ISLAM AKHIR ZAMAN.

KEBANGKITAN ISLAM AKHIR ZAMAN. Allah telah mengkhabarkan kepada kita melalui lidah Rasul-Nya bahawa Allah telah ‘set’kan satu Jadual Allah SWT untuk umat yang datang sesudah wafatnya Nabi akhir zaman. Itulah kasih sayang Allah dan Rasul-Nya kepada umat Islam, yang untuk mereka tidak ada lagi nabi dan rasul.Maka diceritakan lah perkara-perkara yang bakal terjadi sama ada yang positif atau negatif. Dengan mengetahui dan memahami jadual itu, umat Islam terpandu atau terpimpin untuk menghadapi dan menerima takdir yang bakal berlaku. Antara jadual yang dimaksudkan itu ialah, Rasulullah SAW bersabda: Yang artinya : "Telah berlaku Zaman Kenabian ke atas kamu, maka berlakulah zaman kenabian sebagaima­na yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkat zaman itu. Kemudian berlakulah Zaman Kekhalifahan (Khulafaur Rasyidin) yang berjalan seperti zaman kenabian. Maka berlakulah zaman itu sebagaimana yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkat nya. Lalu berlakulah zaman