Siti Hajar model srikandi sejati.
Berjaya membawa anak mengenal Tuhan. Ibarat permata bernilai, muslimah sejati digambarkan sebagai seorang wanita Islam yang mempunyai akhlak yang mulia, sopan tutur bicaranya, terjaga maruah dan kehormatannya serta yang paling utama iman sentiasa dipelihara agar terus subur dan mekar di dalam jiwa.
Ringkasnya, kalimah keramat
ini mempunyai pelbagai pentafsiran dan pengertian yang mendalam malah tidak termampu diterjemahkan
dengan kata-kata. Sebagaimana sabda Nabi junjungan S.A.W yang bermaksud : “Dunia itu adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.”
Betapa besarnya kedudukan muslimah yang solehah ini melebihi dari segala perhiasan di dunia dan seluruh isinya.
Menyoroti sejarah kegemilangan Islam, lahirnya ramai tokoh-tokoh pejuang muslimah yang berjiwa besar, mempunyai keimanan yang teguh lagi utuh, semangat jihad yang tinggi hingga sanggup mengorbankan apa sahaja demi membuktikan kecintaan terhadap Allah dan RasulNya.
Hasil kejayaan penanaman iman, Baginda S.A.W terbukti dengan lahirnya barisan muslimah yang menabur jasa yang bukan sedikit pada dunia Islam antaranya Saidatina Khadijah, merupakan isteri juga pendorong utama dakwah Rasulullah S.A.W, Saidatina
‘Aisyah, ketokohannya yang tersohor di kalangan para sahabat dalam bidang Hadith dan Fiqh, Fatimah al-Zahra’
permata yang meneruskan perjuangan ayahandanya,
Khaulah al-Azwar srikandi di medan perang,Asma’, pemilik dua tali pinggang dan Zinnirah, merupakan seorang hamba yang tabah dan cekal dengan nikmat iman yang subur dalam dirinya.
Zainab binti Jahsy adalah satu-satunya wanita yang dinikahkan oleh Allah S.W.T dari atas langit ketujuh, manakala malaikat Jibril menjadi dutanya. Beliau dikenali sebagai wanita yang diberkati kerana lebih dahulu masuk Islam, ikut berhijrah dan berjihad, selain terkenal atas kesabaran dan kezuhudannya.
Zaman demi zaman membawa kepada pertambahan bilangan pejuang-pejuang Islam seiring perkembangan Islam ke serata alam. Sarjana Barat melihat bahawa zaman Rasulullah S.A.W sebagai zaman yang menakjubkan kerana Baginda telah berjaya menghasilkan satu kelompok manusia yang bukan sahaja berkuantiti malah berkualiti dalam pelbagai aspek dan bidang hanya dalam tempoh yang singkat.
Nusaibah binti Ka`ab atau lebih dikenali sebagai Ummu Umarah merupakan seorang srikandi yang teguh berdiri tatkala ramai yang berundur, beliau juga merupakan seorang ibu yang mengarahkan anaknya dikala cedera parah agar kembali menyertai saf peperangan Uhud tatkala sedang sengit, malah bersedia menggadaikan nyawanya demi menyelamatkan Rasulullah S.A.W. Sebagai balasan beliau dijanjikan oleh Rasulullah S.A.W menjadi teman baginda ketika disyurga kelak.
Di dalam Perang Badar, “Ibu Para Pahlawan” Kabsyah binti Rafi` telah meniupkan semangat kepada kedua anak beliau, Saad bin Muadz dan Amru bin Muadz , agar berangkat dan berjihad kerana Allah dengan sebenar-benar jihad, sehinggalah kedua-duanya mendapat cubaan yang berakhir dengan khabar kemenangan.
Sumayyah adalah wanita pertama yang menampakkan keIslamannya, di samping menjadi wanita syahid pertama yang mengorbankan dirinya di jalan Allah. Dalam peristiwa kesyahidannya itu, terkandung pelajaran-pelajaran berharga bagi sesiapa yang memiliki hati atau mempunyai pendengaran. Beliau menjadi sosok syahid yang sebenarnya dan mempamerkan hakikat sabar kepada para generasi seterusnya.
Apabila ditelusuri jasa dan pengorbanan yang ditunjukkan oleh srikandi penegak panji Islam, tidak tergambar keperitan dan kesengsaraan yang terpaksa dilalui oleh mereka demi menyelamatkan iman dan Islam tercinta. Segala cabaran dan rintangan yang ditempuhi tidak sedikitpun melemahkan semangat dan mengurangkan keyakinan mereka terhadap risalah yang dibawa oleh kekasih Allah, apa yang diharapkan hanyalah keredhaan Allah semata-mata dan mati syahid menjadi cita-cita utama.
Sebagaimana penyiksaan yang diterima oleh Zainab al-Ghazali, dipenjara dan disiksa dalam pelbagai bentuk penyiksaan yang memeritkan. Ini sedikitpun tidak menggentarkan beliau, malah kesan kebenaran yang dibawa, beliau berjaya mengislamkan seorang lelaki yang ditugaskan untuk menyiksanya di penjara!
Lantaran itu kebangkitan muslimat hari ini perlu disemarakkan bagi mengulangi sejarah kegemilangan yang pernah menjadi sinar-sinar dalam kebangkitan Islam suatu ketika dahulu. Minda muslimat pejuang sama sekali tidak boleh memisahkan dirinya daripada dunia dakwah.
Cabaran masa kini sudah tidak dapat menerima sebarang alasan untuk membiarkan sahaja golongan muslimat berkawan dengan periuk dan kuali sahaja di saat anak-anak gadis remaja kian menjadi taruhan kepada ideologi barat sehingga menggadaikan maruah serta memaksa mereka memberontak untuk melawan nalurinya, lantas melangkah keluar dari batasan syari’at.
Hasilnya golongan wanita menjadi mangsa penganiayaan, wanita diperalatkan untuk mencari nafkah, wanita dieksploitasi demi mencapai keseronokan yang haram atau mendapat pendapatan yang haram. Kita tidak inginkan minda muslimat zaman kini hanya memandang medan perjuangan hanya berlegar di dalam keluarga, sehingga mengenepikan persoalan ummah yang kian meruncing.
Muslimah era globalisasi kini terdedah kepada pelbagai ujian dan cabaran yang semakin rencam dan kompleks. Persediaan yang lebih rapi dan bekalan yang mencukupi adalah amat diperlukan bagi mengharungi segala tribulasi yang mendatang seperti mana yang telah dilalui oleh pejuang srikandi suatu ketika dahulu.
Melihat kepada skop selaku mahasiswi Islam, penguasaan ilmu sangatlah penting bukan sahaja di dalam bidang yang diceburi, tetapi juga dalam bidang lain seperti perkomputeran, pengurusan, pentadbiran dan bidang-bidang yang melatih kepakaran mereka. Dengan penguasaan dan kemahiran dalam ilmu-ilmu asas dan ilmu-ilmu bantu ini, maka, dunia Islam mampu melahirkan intelektual Fiqh yang menguasai bidang pengurusan, pegawai agama yang mahir dalam bidang IT dan multimedia juga pendakwah yang mampu berbicara mengenai bidang kepemimpinan dengan baik.
Mahasiswi Islam juga perlu menyedari bahawa tanggungjawab yang terpikul di pundak mereka bukanlah sekadar sebagai seorang penuntut ilmu semata-mata, hidup di alam kampus bukanlah hanya bermain dan berlegar di bilik-bilik kuliah dan perpustakaan sahaja, tetapi lebih mencapah dan meluas dari itu.
Penafian untuk melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti sosial dan persatuan, akan merencatkan perkembangan kemahiran dan menipiskan ruang pengalaman dan pertambahan ilmu luaran yang tidak mungkin diperoleh di dalam kuliah mahupun tutorial. Oleh itu, mahasiswi Islam ataupun muslimah harapan ummah ini hendaklah bergerak jauh ke hadapan dan bersikap lebih optimis terhadap segala tindak-tanduk dalam menghadapi arus maha hebat ini.
Muslimah yang ideal merupakan seorang muslimah yang berperanan besar dalam masyarakat. Ia bertindak sebagai seorang pelajar di medan keilmuannya, seorang anak yang berbakti kepada kedua ibu bapanya, seorang isteri yang taat kepada suaminya, seorang ibu yang gigih mendidik dan sabar dalam menghadapi kerenah anak-anaknya, seorang hamba yang patuh kepada perintahNya dan juga seorang pendorong dan pendokong dalam memperjuangkan agama Allah.
Peranan-peranan ini merupakan suatu amanah yang cukup besar, memerlukan keteguhan dan kekentalan jiwa, serta kekuatan iman dalam menghadapi segala ujian dan semangat pengorbanan yang tinggi dan tidak berbelah bagi.Muslimah sebagai tangan dalam perjuangan, perlu seiring dalam membawa wadah Islam dan bersama-sama dalam meneruskan agenda dakwah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.Peranan muslimah sebagai sayap kiri dalam membawa syari’at Islam perlu dimainkan dengan sebaiknya. Kejayaan dalam menyebarkan risalah kebenaran ini bukan dipertanggungjawabkan ke atas kaum Adam sahaja, tetapi kaum Hawa juga punyai peranan dan tanggungjawab yang tidak boleh diperkecilkan.
Maka dengan ini, barisan muslimah harapan ummah perlu bangkit dan bersaing dalam menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini.
Muslimah solehah, inspirasi ummah, hadirnya mampu membawa sinar di dalam sesebuah masyarakat. Segala kesenangan merupakan ujian, dalam mengharungi kehidupan, menuju kebahagiaan yang lebih hakiki dan abadi.
Muslimah sejati menyedari diri sebagai fitnah dunia, sedaya upaya menjauhi dan menghindari agar maruah agama terpelihara dan kehormatan diri terjaga dari nafsu yang menggoda. Sabda Baginda s.a.w yang bermaksud : “Tidak aku tinggalkan kepada ummatku selepasku fitnah yang lebih besar ke atas lelaki melainkan wanita”. Cukuplah sabda Baginda s.a.w menterjemahkan segala-galanya. Muslimah harapan ummah, di bahumu terpikul amanah……!
Ulasan
Catat Ulasan