BILA HATI LEMAH KITA MENJADI LALAI DAN MALAS.
Pengalaman Abuya berdakwah ke seluruh pelusuk ceruk pendalaman, kampung, bandar di Malaysia. Bertemu dengan bermacam-macam watak dan ragam manusia. Pergi berdakwah menggunakan kenderaan jalan darat, menggunakan bot untuk menyeberangi Sungai dan menggunakan kapal untuk menyeberangi laut.
Mengimbau kembali Abuya Ashaari At Tamimi berdakwah di kawasan felda Pahang yang baru di buka dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda. Ada kalanya menggunakan bot untuk menyeberangi Sungai Tembeling, berdakwah di Ulu Tembeling Jerantut Pahang. Begitu juga Abuya berdakwah di Kedai Buluh Kelantan. Suasana persekitaran nyaman perkampungan, bot-bot nelayan tempatan yang sentiasa menyusuri sungai untuk keluar ke laut melalui Kuala Besar dan pemandangan matahari terbenam dan terasa keindahan ciptaan Tuhan berupaya mewujudkan tarikan tersendiri yang jarang terdapat di lain-lain tempat.
Firman Allah:
Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - dengan melihat kesan-kesan yang tersebut - mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.(Al-Hajj,22:46).
Islam ada zahir dan ada batin. Kalau kita gagal mengenal batin diri kita, kita akan gagal membaiki diri. Lebih-lebih lagilah kita akan gagal mendidik manusia lain. Bahkan kesannya kerosakan yang akan berlaku. Jadi mengenal diri bukanlah mengenal rupa lahir, tapi yang lebih penting adalah mengenal watak batin manusia, iaitu jiwa, fikiran, kepakaran, kecenderungan, watak, nafsu dan kekuatan yang ada pada diri kita.
Jasad batin atau roh yang selalu kita ertikan sebagai hati. Kalau mata kita buta, tidak dapat melihat, tidak dapat mengenal bahkan tidak dapat berjalan lagi. Begitulah kalau hati kita buta, kita tidak dapat mengenal Allah dan tidak dapat menempuh jalan syariat lagi. Kita tidak takut, tidak redha, tidak tawakal, tidak yakin, tidak berharap kepada Allah, tidak cinta, tidak yakin dengan janji-Nya iaitu Syurga, Neraka, Hari Hisab, siksa kubur, dan lain-lain lagi.
Mengetahui sifat-sifat yang ada pada diri kita, kita nanti dapat melatih diri kita dan meletakkan diri sesuai pada tempatnya. Jika tidak, maka akan terjadi kerosakkan di muka bumi kerana kita telah melakukan sesuatu yang tidak sesuai dengan jiwa kita. Terjadilah kejahatan, krisis jiwa dan ketegangan fikiran hingga hilanglah kebahagian.
Maksud firman Tuhan:
Dalam hati mereka ada penyakit lalu ditambah Allah penyakitnya dan bagi mereka seksa yang pedih disebabkan mereka berdusta. (Al Baqarah, 2:10).
Mereka akan terseksa di dunia dan terseksa di Akhirat. Di dunia mereka akan merasa kecewa, putus asa, berkeluh kesah, dan tidak tenang, di Akhirat tentulah lebih terseksa lagi. Apakah menyebabkan Allah timpakan di dunia hati menjadi terhijab? Di antaranya memakan makanan haram dan makanan syubhat, baik sedar atau tidak.
Firman Allah:
Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertaqwalah kepada Allah yang kepadaNya sahaja kamu beriman.
(Al Maidah, 5:88).
Perintah memakan makanan yang halal adalah wajib. Kalau kita makan makanan yang haram dalam keadaan sedar bahawa benda yang kita makan itu haram maka kita berdosa dan hati kita akan gelap.
Hati yang terang benderang akan mempunyai pandangan batin yang tajam (basirah-بصيرة) dapat menembus alam ghaib dan alam kerohanian. Bila alam yang ghaib yang hebat itu boleh terlihat oleh kita maka alam yang lahir itu sudah tidak ada nilai apa-apa.
Maksud Firman Allah:
Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.
(At-Taubah 9:111).
Bila hati lemah maka manusia menjadi lalai dan malas. Malas beribadah dan mudah terjebak dalam maksiat. Atas dasar itulah para salafussoleh mengurangi kandungan makan mereka. Begitulah cara hidup Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul, orang-orang muqarrabin dan orang-orang soleh. Mereka berjuang melawan nafsu untuk membersihkan hati supaya merasa diri sebagai hamba Allah yang lemah dan hina dina.
Cara hidup mereka itulah yang wajib kita contoh. Kita mesti sentiasa berperang dengan nafsu yang selalu mengajak kita lalai dari Allah.
Ulasan
Catat Ulasan