XPDC KE TAIF KAMPUNG IBU SUSU NABI SAW.
Sejarah adalah guru yang terbaik untuk membimbing kita. Allah taala memuliakan para Rasul, Para Nabi dan kekasih-kekasihNya dikalangan Para wali dimana kehidupan mereka penuh dengan ujian. Contoh hikmah daripada Allah taala memuliakan Nabi Ibrahim dan keluarganya hinggakan amalan-amalan atau rukun dalam haji dan umrah itu dilakukan bagi mengenang kehidupan Baginda dan keluarganya. Intipatinya ialah Allah taala menginginkan dan mengajarkan kepada kita bahawa yang ingin dibawa daripada haji itu ialah isinya, perasaannya, kefahamannya, jiwa tauhid yang lahir dan subur dari ibadah yang dilakukan dalam rukun atau sunat haji dan umrah tadi. Begitulah Allah taala memuliakan kekasih-Nya itu.
Kisah Nabi Ibrahim bersama dengan anak dan isterinya Siti Hajar, hikmahnya telah kita kongsikan di atas dan artikal-artikal sebelum ini. Sekarang mari sama-sama berkongsi dan kita menjejak kampung halaman ibu susu Nabi Muhammad SAW iaitu Halimatussaadiah. Ketika kami di Haramain mendapat seorang kawan iaitu Dr. Saad berasal dari Taif, Arab Saudi. Menurut tradisi keluarga atasan Mekah, baginda telah dipelihara oleh seorang ibu angkat(ibu susu:-wanita yang menyusukan baginda) yang bernama Halimahtus Sa'adiah حلمة السعديه di kampung halamannya di pergunungan selama beberapa tahun.
Taif (Bahasa Arab: الطائف, aṭ-Ṭā’if) terletak di wilayah Makkah, pergunungan Al-Sarawat Arab Saudi, bekas wilayah Hijaz, Arab Saudi. Memandu dari Jeddah mengambil masa 2 jam, dari Makkah 60km jaraknya. Oleh kerana terletak ketinggian 1,879 m (6,160 kaki), kawasan ini selalu dituruni hujan, bandar ini mempunyai iklim yang dingin sepanjang tahun dengan musim panas yang ringan (80-90F darjah) dan musim sejuk yang sejuk (40F, pakaian hangat diperlukan).
Halimahtus Sa'adiah (Bahasa Arab: حليمة السعدية) atau nama sebenarnya Halimah binti Abi Dhuayb Abdullah ibn Al-Harith ibn Shagna ialah ibu susu yang juga merangkap ibu angkat bagi Nabi Muhammad s.a.w. Halimah dan juga suaminya Al-Harith bin Andul Uzza berasal daripada kabilah atau puak Arab Sa'd bin Bakr, yang merupakan sub-bahagian dari Hawazin (kabilah atau puak terbesar yang menguasai wilayah Arab utara pada ketika itu).[1]
Tradisi Arab ketika zaman itu ialah menghantar bayi yang baru lahir untuk disusukan di persekitaran padang pasir yang lebih sihat berbanding di kota Makkah. Para ibu susu Badwi tersebut bagaimanapun lebih gemarkan bayi yang bapanya masih hidup. Begitu juga Halimah, namun disebabkan gagal mendapat bayi lain, beliau mengambil juga Muhammad SAW, lapan hari selepas baginda diputerakan. Beliau menyusukan baginda sehingga cerai susu sekitar umur dua tahun sebelum dipulangkan kepada ibunya Aminah binti Wahab. Bagaimanapun beliau meminta dan dibenarkan untuk terus memelihara baginda sehinggalah berumur empat atau lima tahun, iaitu sehingga peristiwa hati baginda dicuci Malaikat Jibril.[2]
Melalui peristiwa hati Nabi Muhammad SAW dicuci sendiri oleh Malaikat Jibril, menunjukkan bahawa orang pilihan Tuhan yang akan diberi peranan besar di akhir zaman bagaimana Tuhan persiapkan hatinya. Sebagai penutup sekalian nabi dan rasul. (خاتم الانبياء والرسل). Allah swt yang telah mencetak pribadi agung Rasulullah SAW! seperti yang baginda sabdakan:
أَدَّبَنِى رَبِّى فَأَحْسَنَ تَأْدِيْبِى
“Tuhanku telah mendidikku dengan pendidikan yang sangat sempurna”
Padahal masyarakat tempat Nabi Muhammad SAW dibangkitkan adalah masyarakat jahiliyyah yang tidak mengenal nilai maknawi dan nilai insani sama sekali. Dari masyarakat seperti itu, Rasulullah SAW bangkit dan dalam tempoh yang singkat mencetak manusia-manusia pilihan yang mendapat gelaran umat terbaik. Salah satu sarana yang dimiliki oleh Nabi Muhammad SAW dalam menjalankan tugas Tuhannya ini adalah akhlaq baginda yang sangat luhur dan baginda memiliki peribadi yang agung, sehingga Allah swt menyebutnya dengan :
وإنك لعلى خلق عظيم
“Sungguh engkau memiliki akhlaq yang sangat tinggi”
Inilah yang perlu dilakukan kepada diri kita, keluarga kita, dan kelompok kita. Mencontohi sikap Nabi Ibrahim, sikap keluarganya, hingga Allah abadikan amalan ini dalam haji dan umrah. Perlu kita lihat apa kaitannya dengan pembangunan institusi kekeluargaan (jemaah bani), apatah lagi jika dikaitkan dengan badan-badan atau kelompok jemaah yang perjuangkan Islam. Sebagai seorang ayah atau pemimpin, mestilah mempunyai rancangan untuk keluarganya atau jemaahnya atau kelompoknya. Namun akan menjadi penghalang malah boleh menjadi penentang jika anak atau isteri serta pengikutnya tidak taat, tidak faham atau tidak mahu faham, malah bersaing pula satu sama lain. Kita boleh kaitkan dengan keluarga kita, tidak perlu jauh-jauh. Apabila anak-anak sudah boleh mengikut rentak ketua keluarganya, maka Allah akan permudahkan dan bukakan jalan untuk mereka. Jika masih ragu-ragu atau tidak yakin atau memandang rendah pada orang lain, akan menemui jalan buntu.
Selain itu perkara yang penting ialah kepercayaan dan keyakinan adalah menjadi pengikat satu sama dalam mendokong cita-cita perjuangan Islam. Kehidupan suami isteri, kasih sayang anak-anak kepada ibu bapa mereka apabila di ikat dengan satu keyakinan dan cita-cita yang sama adalah ikatan yang sangat mantap. Lebih daripada sekadar ikatan fitrah.
Ada khabar gembira dari lidah Nabi SAW bahawa sebelum itu dunia sempat dimeriahkan oleh orang-orang yang benar-benar mengagungkan Tuhan. Walaupun seketika, suasana keamanan dan ketenangan dapat dirasakan, berkat orang-orang yang sangat cinta dan taat kepada Tuhan. Mereka begitu mengambil berat tentang setiap kehendak Tuhan dan menjauhi sertiap larangan-Nya.
Ulasan
Catat Ulasan