GURU ABUYA SYEIKH MAHMUD BUKHARI AL HAFIZ
Salah seorang guru abuya ialah Syekh Bukhari yang berasal dari Bukhara Khurasan. Sekarang lebih dikenali dengan negara Uzbekistan. Negara yang ramai melahirkan tokoh tokoh Islam diantaranya yang dikenali oleh umat Islam seluruh dunia iaitu ulama Hadis Imam Bukhari. Abuya sangat menghorti Syeikh Mahmud Bukhari sebagai gurunya. Guru tersebut berasal dari Bukhara. Bandar Bukhara ialah ibu negeri Wilayah Buxoro dan bandar kelima terbesar di Uzbekistan. Penduduknya berjumlah 247,000 orang mengikut anggaran tahun 2005. Pusat bandar ini, yang memiliki berbagai masjid dan madrasah, telah disenarai sebagai salah satu Tapak Warisan Duniaoleh UNESCO.
Islam mengajarkan agar guru itu dihormati sekalipun berlainan agama dan bangsa. Berlainan fahaman dan pegangan bukan alasan untuk tidak menghormati satu sama lain. Apatah lagi mengenang jasa guru bertaraf mursyid, guru yang menyedarkan kita betapa pentingnya keselamatan Iman berbanding hanya selamat fizikal sahaja. Guru Mursyid ialah guru pendidik, atau erti kata yang lain pemimpin yang memimpin ke jalan yang selamat, jalan menuju Akhirat yang kekal abadi. Allah telah rezekikan kepada kita seorang manusia luar biasa yang menjadi guru, mursyid, dan pemimpin kita. Dialah Abuya yang dirindui lagi dikasihi.
Syeikh Mahmud Bukhari dikatakan sangat alim dan bidang al-Quran bahkan ia juga seorang hafiz. Beliau sering menjadi imam di Masjid Jamek Kuala Lumpur. Ketika bulan Ramadhan, beliau akan mengkhatamkan al-Quran apabila mengimamkan solat tarawih. Perkara ini berlanjutan sepanjang ia berada di Malaysia. Di kalangan komuniti India Muslim di sekitar Kuala Lumpur, Syeikh Mahmud Bukhari dikenali sebagai Imam Bukhari. Beliau mudah mesra dengan komuniti India Muslim kerana beliau pandai berbahasa Urdu dan Punjabi. Diriwayatkan beliau turut fasih berbahasa Turki dan Pushtu selain dari bahasa Arab dan Uzbek. Apabila Masjid India siap dibina, beliau dijemput untuk menjadi imam. Adakalanya beliau naik ke atas mimbar membaca khutbah dalam bahasa Urdu dan Punjabi. Tokoh usahawan India Muslim yang banyak membantu ketika Syeikh berada di sekitar Kuala Lumpur ialah Mohamed Yusoff (mempunyai syarikat bernama Mohamed Yusoff and Sons) dan Naina Mohamed (mempunyai syarikat bernama Naina Mohamed and Sons).
Masjid Jamek Kuala Lumpur menjadi mercu sejarah pembukaan Kuala Lumpur. Kuala Sungai Gombak dan Sungai Klang yang pada awalnya hanya digunakan untuk pertanian sara diri dan laluan pengangkutan, akhirnya berubah wajah apabila aktiviti perlombongan bijih timah mula dijalankan sekitar tahun 1850-an. Abuya mengikut jejak langkah gurunya sebagai tokoh pendidik dan pendakwah. Setiap hujung minggu Abuya Ashaari Attamimi, mengadakan program tazkirah di Masjid Jamek tersebut.
Masjid Jamek Kuala Lumpur menjadi tumpuan pelancung-pelancung dalam dan luar negara. Pengunjung-pengunjung yang datang kesitu ditaklimatkan tentang sejarah masjid tersebut. Dan secara tidak langsung ramai yang berkongsi maklumat tentang kaitannya dengan sejarah bandar Kuala Lumpur. Pada zaman penjajahan British, Kuala Lumpur menjadi ibu negeri Selangor.
Syeikh Mahmud Ariff Bukhari berasal dari Makkah dan berbangsa Uzbek. Nama penuhnya ialah Mahmud Ariff Abdullah Turah Khan Tashkandi. Beliau dilahirkan di Jiad, Makkah pada 12 September 1897. Tokoh ini datang ke Semenanjung Tanah Melayu setelah menerima jemputan Tengku Alam Shah yang kemudiannya ditabal menjadi Sultan Selangor yang keenam pada tahun 1938 dengan gelaran Sultan Hishamuddin Alam Shah. Sultan Hishamuddin mengikuti jejak langkah ayahandanya, Sultan Alauddin Sulaiman Shah yang sangat gemar berdamping dengan alim-ulama. Ayahandanya, Sultan Alauddin Sulaiman Shah adalah merupakan salah seorang pemerintah yang pernah menulis kitab agama. Antara judul tulisannya yang terkenal ialah Pohon Agama. Pada hari Jumaat, baginda akan naik ke atas mimbar untuk membaca khutbah.
Sultan Hishamuddin menjemput Syeikh datang ke Malaysia dengan tujuan untuk menggubal kurikulum pendidikan sekaligus menubuhkan institusi pendidikan agama di negeri Selangor. Institusi tersebut diharapkan dapat menjadi platform kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah khususnya ke universiti terkenal seperti al-Azhar di Mesir. Sultan Hishamuddin telah meminta Syeikh al-Islam Selangor pada waktu itu, Syeikh Tengku Mahmud Zuhdi al-Fatani meyakinkan Syeikh Mahmud tentang cadangan penubuhan institusi pendidikan agama di Selangor dan seterusnya membantu Syeikh Mahmud merealisasikan penubuhan insitusi pendidikan tersebut. Melihat akan kesungguhan pemerintah sendiri yang inginkan kemajuan pendidikan agama berkembang di negerinya, Sykeih Mahmud kemudiannya menerima jemputan tersebut lalu datang ke Tanah Melayu pada tahun 1938.
Menjadi pendidik
Sebaik sampai ke Tanah Melayu, Sultan telah mengenalpasti premis yang hendak dijadikan bangunan sekolah. Ianya adalah bangunan kayu dua tingkat yang terletak di Kampung Kuantan, Kelang. Syeikh kemudiannya dilantik menjadi pengetua merangkap guru utama. Syeikh bukan sahaja merangka kurikulum pendidikan untuk sekolah agama tetapi turut terlibat dengan perancangan penubuhan kolej dan universiti. Diriwayatkan bahawa idea penubuhan Kolej Islam Malaya dan asas penubuhan Universiti Islam Antarabangsa terjelma hasil dari penubuhan sekolah Arab yang diasaskan Syeikh. Apapun, Syeikh lebih banyak menumpu usaha penubuhan Sekolah Arab. Natijahnya ialah Sekolah Menengah Sultan Hishamuddin dan Kolej Islam Kelang yang masih gah berdiri hingga kini. Manakala usaha penubuhan Kolej Islam Malaya dan Universiti Islam Antarabangsa diteruskan oleh Prof Dr Mohamed Abdul Raouf yang berasal dari Mesir dan Prof Dr Abdul Jalil Hassan.
Populariti Syeikh cepat tersebar. Sekolahnya menjadi tumpuan. Syeikh bukan sahaja mengajar ilmu agama tetapi juga ilmu alat yang lain antaranya seperti matematik. Matematik baginya sangat penting khususnya bagi mengukuhkan penaakulan. Beliau turut memperkenalkan kaedah tersendiri menghafal istilah-istilah Arab bagi memudahkan pelajar mengingatinya. Kaedah tersebut telah menjadikan sekolahnya terkenal sebagai intitusi yang berjaya mencetak pelajar yang boleh berbahasa Arab dengan standard kualiti yang tinggi.
Ulasan
Catat Ulasan