TIGA ASAS UTAMA DI DALAM ISLAM.
Dalam sejarah Islam, para pejuang pada kebangkitan Islam pertama sentiasa mengintai-intai apakah perkara yang dapat menyuburkan rasa cinta dan takutkan Tuhan. Hampir seluruh pejuang Islam pada ketika itu pernah mendaulatkan Islam di kota Madinah ke kota-kota lain untuk mengagungkan Tuhan dan syiar Islam berdaulat di mana-mana.
Dari tiga asas utama ajaran Islam di zaman Rasulullah SAW iaitu Iman, Islam dan Ihsan atau istilah barunya akidah, syariat dan tasauf. Ilmu Islam telah berkembang dengan begitu luas sekali. Memang begitulah sifat ilmu. Segala sifat-sifat Allah itu sangat-sangat di hayati oleh para sahabat hingga mereka menjadi cukup kenal dengan Tuhan.
Bukan setakat tahu, tetapi cukup kenal. Mereka menjadi orang-orang yang ARIFBILLAH. Hati-hati mereka cukup hampir dengan Tuhan. Hati-hati mereka sangat sensitif dan peka dengan Tuhan. Mereka sangat terangsang dengan kebesaran dan keagungan Tuhan.
Dalam era kebangkitan Islam yang ke dua di akhir zaman ini, kita wajib meniru apa yang Rasulullah SAW lakukan hingga baginda berjaya dalam kebangkitan Islam kali pertama. Hal yang Rasulullah SAW perjuangkan pertama-tama adalah persoalan tauhid, yaitu memperkenalkan Allah SWT sebagai satu-satunya Tuhan yang layak disembah. Kerana di situlah permulaan dan titik tolak agama. Tanpa Tuhan, ajaran Islam akan hanya menjadi satu ajaran ideologi. Yang membezakan antara agama dan ideologi ialah Tuhan. Dalam ajaran ideologi, Tuhan tidak ada.
Tiga asas utama ajaran Islam itulah yang di perjuangkan oleh para sahabat bersama Rasulullah SAW. Dalam agama perkara terpokok adalah Tuhan. Awal-Awal Agama Mengenal Allah. Tidak ada Tuhan tidak ada agama. Rasulullah SAW berjuang selama tiga belas tahun di Makkah. Itulah masa Rasulullah berdakwah dan mengumpul pengikut-pengikutnya. Mula-mula secara sembunyi-sembunyi dan kemudian secara terang-terangan. Dalam masa tiga belas tahun itu, Rasulullah hanya `membawa Tuhan` kepada para Sahabat dan memperkenalkan para Sahabat kepada Tuhan.
Dalam majlis yang resmi atau tidak resmi, dalam majlis keramaian, apabila berjalan-jalan dengan para Sahabat, bahkan pada setiap waktu Rasulullah menceritakan tentang Allah dan hari Akhirat. Tentang kebesaran, kesucian dan kekuasaan-Nya. Tentang kasih sayang, keampunan dan belas ihsan-Nya. Tentang kuasa dan iradah-Nya dan tentang segala sifat yang ada pada Tuhan. Tuhan adalah yang maha benar.
Akhirnya jadilah para Sahabat, orang-orang yang sangat cinta dan takut kepada Tuhan. Dalam hidup mereka, Allahlah yang menjadi perkara utama. Allahlah yang bertakhta di hati-hati mereka. Ramai di kalangan Sahabat yang menjadi mabuk dengan Tuhan kerana terlalu sangat takut dan rindunya. Perasaan mabuk, takut dan cinta ini sangat kuat dan mendalam hingga adakalanya hati-hati para Sahabat tidak dapat menanggung bebannya. Ada Sahabat yang terus mati kerana mengingatkan kebesaran Allah. Ada yang mati apabila ada orang menyebut nama Allah. Manakala yang jatuh pengsan dan tidak sedarkan diri lebih ramai lagi.
Bila disebut nama Allah, gementar hati-hati mereka. Namun dengan hati yang begitu mabuk dan rindu pada Tuhan, mereka tidak mempunyai jalan atau cara untuk melepaskan perasaan mereka. Mereka tidak ada cara untuk berhubung atau berinteraksi dengan Tuhan. Maka terpaksalah mereka menanggung dan memendam rasa mabuk dan rindu itu. Mereka seolah-olah orang yang begitu dahaga tetapi tidak mendapat air untuk diminum. Mereka seperti orang yang tersangat lapar tetapi tidak ada apa untuk dimakan. Mereka seperti orang yang sangat rindukan Kekasih Agungnya tetapi tidak dapat bersua dan bertemu untuk memuji-muji dan meluahkan segala perasaan yang terpendam dan terbuku di hati. Allah biarkan sahaja mereka jadi begitu.
Hanya pada tahun yang kesebelas, baru berlaku peristiwa Israk Mikraj. Jadi, hanya pada tahun kesebelas baru datang perintah solat. Itulah satu hadiah yang tersangat besar yang Allah kurniakan kepada para Sahabat supaya mereka dapat berinteraksi dan berhubung dengan-Nya. Supaya mereka dapat melepaskan segala perasaan rindu dan dendam yang selama ini mereka tanggung. Supaya mereka dapat mengadu, berbicara, berbisik-bisik dan meminta-minta kepada Tuhan. Supaya mereka dapat meluahkan segala isi hati mereka dan bermanja-manja dengan Tuhan.
Sungguh solat itu satu kurniaan yang amat besar bagi para Sahabat. Ia ibarat air di kala dahaga. Ia ibarat makanan di kala lapar. Ia ibarat pertemuan dengan kekasih yang sangat dirindukan. Solat menjadi buah hati Rasulullah dan para Sahabat. Solat adalah kerehatan mereka. Rasulullah SAW pernah bersabda: "Sembahyang adalah penyejuk mataku." Baginda juga pernah menyuruh Sayidina Bilal r.a. untuk azan dengan berkata: "Wahai Bilal, berilah kerehatan kepada kita semua!"
Demikianlah kedudukan solat di hati Rasul dan para Sahabat. Tidak hairanlah mereka tenggelam di dalam solat. Mereka `mikraj` di dalam solat. Tidak hairan juga, ketika solat, mereka lupa tentang dunia ini dan segala isinya sama ada yang berupa nikmat mahupun kesusahan dunia. Mereka asyik dan masyuk dengan Tuhan dalam solat.
Sayidina Ali k.w. lantaran khusyuknya di dalam solat, tidak terasa apa-apa ketika dicabut anak panah dari betisnya. Solat mereka yang sebeginilah yang telah menjadikan mereka peribadi-peribadi agung. Agung keimanan mereka. Agung keyakinan mereka dan agung akhlak mereka. Mereka bertebaran keseluruh pelusuk dunia. Allah kurniakan kepada mereka 3/4 dunia dan semua bangsa bernaung di bawah kekuasaan mereka.
Mereka membawa kedamaian dan keselamatan. Mereka penuhi dunia ini dengan keadilan dan kebahagiaan. Di sini kita sungguh-sungguh dapat melihat pendidikan Rasulullah, awaludin makrifatullah. Awal-awal agama mengenal Allah. Para Sahabat dikenalkan kepada Allah hingga mereka menjadi orang-orang yang arifbillah, iaitu orang-orang yang sangat takut, cinta dan rindu kepada Allah dan orang-orang yang mabuk dengan Allah. Dalam keadaan begitulah baru mereka diperintah bersolat dan menegakkan syariat Allah yang mana keseluruhan perintah syariat itu diturunkan di Madinah itu hanya memakan masa 10 tahun, berbanding memperkenalkan Tuhan selama 13 tahun di Mekah.
Ulasan
Catat Ulasan