SULTAN BENTENG AGAMA
Sultan Alauddin Sulaiman Shah ada menulis sekurang-kurangnya tiga buah kitab agama tulisan jawi berkenaan akidah tauhid, dakwah dan akhlak. Kitab-kitab tersebut ialah “Kitab Pohon Ugama Bahagian Rukun Iman,” “Nasehat (Pemilihan Guru) Melatih Kelakuan Perjalanan Adab Kanak-Kanak Pelajaran di Dalam Sekolah Melayu – Agama – Negeri Selangor Darul Ehsan” dan “Kitab Tauhid, Kitab Melatih Kanak-Kanak Laki-Laki dan Perempuan.”
“Kitab Pohon Ugama Bahagian Rukun Iman” disempurnakan penulisannya pada tahun 1337 Hijrah bersamaan tahun 1919 Masihi. Kitab tersebut membahaskan mengenai akidah Ahlus Sunnah wal Jama’ah. Kitab tersebut telah diulang cetak dan diterbitkan sekurang-kurangnya sebanyak tiga kali. Cetakan ketiga oleh Mathba’ah New Klang Press, Klang pada 15 Jamadilakhir 1349 Hijrah bersamaan tahun 1930 Masihi.
“Kitab Tauhid, Kitab Melatih Kanak-Kanak Laki-Laki dan Perempuan” yang disempurnakan penulisannya oleh baginda Sultan Alauddin Sulaiman Shah pada tahun 1930 di Istana Mahkota Puri pula ialah sebuah kitab yang membahaskan tentang akidah dan sirah Rasulullah SAW. Kitab tersebut pernah diterbitkan semula oleh Syarikat Khazanah al-Fathaniyah di Kuala Lumpur pada tahun 2005 berdasarkan kitab yang dicetak oleh The Boon Hua Press di Klang pada tahun 1930M.
Kitab tersebut dibahagikan kepada 18 bahagian perbahasan. Antara cara penulisan dan penyampaian kitab tersebut adalah dalam bentul soal jawab dan nasihat dalam bentuk 22 rangkap puisi, sesuai dengan peringkat bacaan dan pemahaman orang awam. Kedua-dua buah kitab tersebut disemak, disahkan dan dipuji oleh Shaykh Tengku Mahmud Zuhdi sendiri. Sebagaimana nama kitab tersebut: “Kitab Melatih Kanak-Kanak Laki-Laki dan Perempuan,” kitab tersebut pernah dijadikan buku teks bagi sekolah-sekolah agama di negeri Selangor.
Perkara tersebut membuktikan bahawa baginda Sultan Alauddin Sulaiman Shah bukan sahaja seorang yang mementingkan pendidikan agama dalam kalangan rakyat jelatanya, bahkan baginda turut berperanan menguatkan pegangan akidah Ahlus Sunnah wal Jama’ah di negeri Selangor selain menyebarluaskan dakwah.
Penulisan kitab-kitab tersebut juga membuktikan bahawa baginda seorang yang alim dalam bidang agama dan diiktiraf oleh ulama sendiri.
Semasa pemerintahan Sultan Alauddin Sulaiman Shah, baginda telah mengarahkan pembinaan dua buah masjid jami’ iaitu Masjid Sultan Alaeddin di Jugra dan Masjid Sultan Sulaiman di Klang. Bukan itu sahaja, baginda juga sering menyampaikan khutbah solat Jumaat, Aidilfitri dan Aidiladha di masjid-masjid sekitar negeri Selangor. Ini membuktikan kredibiliti baginda yang bukan sahaja sebagai seorang pemerintah yang berdaulat, bahkan juga sebagai ketua agama Islam negeri yang sangat berwibawa. Baginda mangkat di Istana Mahkota, Klang dalam usia 72 tahun, dimakamkan di Klang dan diberi gelaran Marhum ‘Atiqullah.
Ulasan
Catat Ulasan