INSTITUSI KELUARGA.
Akidah merupakan tunjang utama ajaran Islam. Ia sangat penting kepada setiap muslim kerana peranan dan pengaruh nya dapat menjadikan seseorang itu memiliki jiwa yang bersih dan rohani yang kuat. Kita tidak menafikan bahawa ilmu, kemajuan, pembangunan dan tamadun material dan fizikal itu boleh memberi kehidupan dan kemudahan hidup kepada manusia. Ia boleh memenuhi tuntutan dan keperluan hidup manusia. Tetapi itu bukan segala-galanya.
Dalam konteks pembinaan sebuah keluarga bahagia, akidah yang mantap menjadi asas kepada keutuhan institusi keluarga. Setiap ahli keluarga yang mempunyai keimanan yang teguh dan merasa takut dan cinta kepada Allah SWT. Mereka akan sentiasa melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
Matlamat utama ajaran Islam ialah melahirkan insan yang berakhlak mulia. Hal ini dapat dilihat begitu jelas daripada salah satu tujuan diutuskan Nabi Muhammad SAW seperti yang ditegaskan melaui sabda baginda:
إنما بعثت لأتمم مكارم الاخلاق
Maksudnya:
"Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia."(HR Al Baihaqi).
Akhlak adalah salah satu unsur penting dalam kehidupan manusia kerana ia mempunyai pengaruh yang kuat dalam pembinaan peradaban Islam. Ajaran Islam memberikan penekanan terhadap aspek akhlak kerana kekuatan manusia bergantung pada keluhuran akhlaknya.
Akhlak merupakan satu gambaran terhadap perilaku seseorang manusia. Ia mempengaruhi dalam membangunkan hubungan sesama manusia dan juga hubungan dengan Allah SWT. Lantaran itu, Islam memberi penekanan dalam pembinaan akhlak yang mulia. Menurut perspektif Islam, penghayatan akhlak hendaklah berlaku secara bersepadu iaitu seiring dengan aqidah dan syariah.
Gabungan tiga aspek utama ini, memperlihatkan keindahan ajaran Islam yang dapat membentuk kehidupan manusia dan alam sejagat yang harmoni.
Akhlak mulia adalah natijah daripada pegangan aqidah yang benar dan amalan syariat yang tepat.
Ulasan
Catat Ulasan