ISLAMKAN DUNIA.
Dunia ini Allah cipta dan diserahkan kepada kita manusia sebagai khalifah-Nya untuk ditadbirkan. Kita pula dituntut supaya mentadbir dunia ini mengikut hukum hakam dan syariat Tuhan. Bila ini dapat kita lakukan maka barulah seluruh isi dunia ini dapat memberi manfaat kepada kita.
Barulah segala isi dunia ini ada nilai Akhiratnya. Allah akan memberi ganjaran atas segala usaha-usaha kita. Dan disebabkan kita menggunakan hukum hakam Tuhan, maka semuanya akan selamat dan menyelamatkan. Akan tercipta syurga di dunia ini sebelum syurga di Akhirat.
Hadith ada mengatakan bahawa dunia ini ibarat ladang. Di sinilah tempat kita bercucuk tanam. Hasilnya akan kita tuai di Akhirat. Akan tetapi manusia tidak puas hati setakat menjadi khalifah Allah di muka bumi ini. Manusia hendak jadi tuan bumi ini. Manusia tidak mahu ikut sistem dan perundangan Tuhan yang memiliki bumi ini.
Manusia hendak guna pakai sistem ciptaan manusia walaupun mereka hanya menumpang di bumi ini. Oleh itu Allah berlepas diri. Tidak ada ganjaran dan pahala dari Tuhan. Tidak ada rahmat dan kasih sayang dari Tuhan. Tidak ada apa-apa nilai di Akhirat. Maka hiduplah manusia dengan sekularismenya di muka bumi. Dunia untuk dunia. Dunia habis di dunia. Di Akhirat manusia jadi muflis dan bankrap.
Disebabkan sistem ciptaan manusia hanya berbentuk sekularisme dan duniawi semata-mata yang mementingkan keperluan lahir dan jasad tanpa menghiraukan dan mengambil kira tuntutan-tuntutan hati dan rohani manusia, maka tidak wujud kasih sayang, tidak ada belas ihsan dan tidak ada tolong menolong dan bela membela. Ia penuh dengan sikap nafsi-nafsi dan tidak ada pimpinan, rahmat dan kasih sayang dari Tuhan. Hasilnya, dunia jadi haru-biru, huru-hara, kucar-kacir dan kacau-bilau.
Dengan sekularisme, manusia mencipta neraka di dunia sebelum neraka yang sebenar di Akhirat. Di sini jugalah letaknya titik pemisah di antara apa yang dikatakan orang dunia dan orang Akhirat. Walaupun semua manusia itu berada dan hidup di dunia, tetapi sesetengah dari mereka menjadikan dunia ini sebagai matlamat. Mereka mengejar, memburu dan mengumpul dunia. Mereka ini dikatakan orang dunia.
Bagi orang Akhirat, dunia ini hanyalah alat atau modal untuk mencapai sesuatu yang lebih murni, lebih mulia dan lebih tinggi iaitu keredhaan, keampunan, rahmat dan kasih sayang Tuhan. Mereka menggunakan dunia untuk Akhirat. Mereka mengakhiratkan dunia. Dunia ini ladang bagi mereka. Di sinilah tempat mereka berusaha dan bercucuk tanam sebanyak-banyaknya. Hasilnya nanti dikutip di Akhirat di sisi Allah Azza wa Jalla.
Ulasan
Catat Ulasan