ISLAM AGAMA YANG TERBAIK UNTUK MANUSIA.
Satu-satunya agama yang Allah akui kebenarannya, kesempurnaannya dan terbaik untuk manusia adalah Islam. Sebab Islam itu ialah agama yang datang dari Allah, sedangkan agama-agama lain adalah bikinan manusia semata-mata. Adakah sama sesuatu yang datang dari Allah dengan sesuatu yang direka oleh manusia? Jauh, jauh sekali bezanya. Allah adalah pencipta manusia, kerana itulah Allah lah yang paling tahu tentang manusia. Oleh kerananya aturan/agama Allah itulah yang paling lengkap dan paling sesuai dengan kejadian semula jadi (fitrah manusia).
Indahnya Islam itu adalah sebenarnya sangat sesuai dengan fitrah manusia, dengan kata lain sesuai dengan perasaan manusia.
Indahnya Islam kerana bersesuain dengan fitrah manusia. Tuhan ciptakan manusia memiliki tiga unsur, jasad, akal dan roh atau jiwa.
Contoh jasad manusia perlu makan minum dan sebagainya. Akal perlukan ilmu dan sebagainya. Roh atau jasad perlukan rasa bertuhan, zikir dan menikmati keindahan ciptaan Tuhan.
Apa yang hati manusia setuju, itulah yang Allah suruh. Apa yang hati tidak setuju, itulah yang Allah larang. Kemudian oleh Allah, Rasul diutus untuk membawa perintah untuk membenarkan apa yang ada dalam fitrah manusia, menyuburkan apa yang telah ada. Kerana itulah Islam itu indah sebab memberi makanan pada roh. Apa yang roh kehendaki, itu yang dihidangkan oleh Islam. Seperti makanan untuk fizikal manusia, kita suka daging, tiba-tiba terhidang daging, betapa indahnya. Kita suka ikan, dihidangkan ikan, betapa indahnya. Tapi ketika kita ingin daging dihidangkan lauk yang kita tidak suka, tidak indah.
Mari kita sebut contoh-contohnya.
1. Yang berhubungan dengan Akidah.
Manusia sifatnya suka menghambakan diri kepada tuannya yang menolong, melindungi dan yang memperhatikan dirinya. Atau dengan kata lain manusia rela mengabdikan diri kepada siapa yang dicintainya. Kalau kecintaannya itu perempuan maka ia akan menjadi hamba pada perempuan itu. Kalau kecintaannya pada kereta mewah, maka menghambalah ia pada kereta mewah. Kalau cintanya atau pautannya pada nafsu yakni menurut kata nafsu, jadilah ia seorang hamba nafsu.
Tapi aneh, manusia sangat marah kalau digelar hamba wanita, hamba kereta atau hamba nafsu. Fitrah menolak sekalipun sikapnya memang betul begitu. Mengapa? Sebab fitrah manusia ingin menjadi hamba Allah. Dan keinginan menjadi hamba selain Allah itu bukan fitrah. Katakanlah kepada siapa saja tanpa memandang orang kafir atau Islam, “Kamu ini hamba Allah”, nescaya dia mengiyakan dan rasa senang dengan kata-kata itu baik di mulut atau di hati. Hal ini adalah kerana fitrah manusia telah Allah ciptakan untuk menyembah-Nya dan untuk menghambakan diri kepada-Nya.
Allah mahu manusia menyembah-Nya dan tidak pada yang lain. Maka dijadikan fitrah manusia itu mempunyai rasa bertuhan dan menghamba diri pada-Nya. Tanyakanlah pada orang-orang yang menyembah Allah atau tidak menyembah Allah, adakah dia ingin menyembah Allah dan suka pada orang-orang yang menyembah Allah. Nescaya mereka menjawab memang suka. Suka pada pekerjaan menyembah Allah dan suka pada orang yang melakukannya. Cuma kalau mereka tidak melakukannya, itu bukan kerana benci, atau hati tidak mengakui, tetapi kerana nafsu dan syaitan menghalang dan melalaikan mereka.
Mereka tidak berkuasa melawan nafsu (yang sifatnya ego), lalu menurutinya. Kalaulah bukan kerana nafsu dan syaitan, nescaya manusia ini akan sentiasa merindukan dan membesarkan Tuhannya dan sangat taat pada-Nya. Fitrah roh sudah kenal Allah dan mengaku untuk menyembah-Nya. Di dalam Al-Quran ada menceritakan hakikat ini: “Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap roh mereka (seraya berfirman): “Bukankah Aku Tuhanmu?” Mereka menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), bahkan kami bersaksi” [Al A’raf: 172]
2. Yang berhubungan dengan Syariat.
2.1. Manusia ingin menambah ilmu. Ingin mencari pengalaman dan ingin pandai, dan tidak menggantungkan hidupnya pada orang lain. Manusia tidak mahu hidup beku, jahil dan miskin papa. Itu adalah fitrah. Semua orang memilikinya walau apa pun juga bangsa dan agamanya. Memang Allah jadikan jiwa manusia begitu kemahuannya. Oleh kerana itu Allah datangkan agama Islam yang mengajar supaya manusia mengisi tuntutan fitrah itu. Ertinya kita disuruh mengembara untuk mencari pengalaman.
Firman Allah:
Katakanlah: “Berjalanlah kamu di muka bumi, kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang yang mendustakan itu.”
[Al An’am: 11]
Rasulullah SAW bersabda:
“Menuntut ilmu wajib bagi lelaki dan wanita” (Riwayat Ibnu Abdi Al Barri)
Sabdanya lagi:
“Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad”
Begitulah yang dikatakan Islam agama fitrah. Yakni apabila sesuatu itu disukai oleh fitrah maka Islam mendorong atau membenarkannya. Disebabkan Allah yang menjadikan fitrah manusia itu demikian maka Allah pun datangkan cara bagaimana keinginan fitrah itu disalurkan. Tanpa petunjuk dari Allah, nafsulah yang akan memimpin manusia untuk melaksanakan kehendak fitrah itu secara membabi buta. Hasilnya akan buruk sekali. Misalnya apabila ilmu yang dituntut itu ilmu yang haram (ilmu sihir atau ilmu yang tidak dikaitkan dengan tauhid dan jiwa sufi) maka ia akan membawa akibat buruk. Walaupun adakalanya ilmu itu bersumber dari Islam, tetapi tanpa dikaitkan dengan Tauhid dan Akhlak, ia akan menyebabkan manusia sombong, dengki, bakhil, pemarah, rasuah, dan lain-lain.
Demikian juga halnya kalau mengembara yang tidak dikendalikan oleh syariat atau tidak diniatkan kerana Allah atau untuk kebaikan ia akan membawa hasil yang buruk. Sebab itu Islam menurunkan panduan-panduan yang rapi dalam melaksanakan tuntutan fitrah itu. Islam membenar bahkan menggalakkan pelancongan berpandukan garis-garis panduan tertentu. Begitu juga dari sudut pemahaman masyarakat yang menunjukkan kepentingan aspek ini seperti kata pepatah `jauh perjalanan luas pengalaman.' Dalam tradisi Islam, pelancongan dikenali sebagai rehlah (pengembaraan). Kegiatan ini bermula sekian lama terutamanya dalam konteks pengembaraan menuntut ilmu, urusan perniagaan, hubungan silaturahim, perhubungan diplomatik dan sebagainya.
Rasulullah s.a.w sendiri terkenal sebagai seorang yang banyak mengembara bermula dari zaman awal kanak-kanaknya lagi terutamanya yang melibatkan urusan perekonomian dan perdagangan. Dalam konteks Islam, pelancongan dan pengembaraan ini bukanlah semata-mata untuk mendapat ganjaran atau faedah yang berupa material sahaja, bahkan yang lebih utama adalah untuk menyelidiki, memahami dan mengakui kebesaran dan penciptaan Allah seterusnya mencari keredhaan-Nya.
Cara untuk mencapai objektif tersebut ialah melalui pemerhatian kepada tinggalan-tinggalan sejarah, kisah-kisah umat terdahulu, bentuk-bentuk kejadian alam dan sebagainya sepanjang tempoh masa dan tempat pengembaraan tersebut. Bagaimana hendak berlakunya kewujudan hubungan itu sekiranya individu atau masyarakat tersebut bersikap seperti `katak di bawah tempurung' yang hanya hidup di sekitar kelompok masing-masing sahaja tanpa mengambil tahu kejadian atau bentuk kehidupan orang lain. Untuk itu, mereka perlu berjalan dan mengembara untuk sampai kepada masyarakat lain.
Dalam konteks tuntutan syariat, Islam menggalakkan pengembaraan untuk melihat kesan-kesan sejarah yang disebut secara langsung dan berulang dalam al-Quran seperti bekas peninggalan Firaun dan sebagainya. Tujuan pengembaraan dalam bentuk ini adalah untuk membentuk keyakinan diri terhadap kekuasaan dan kebesaran Allah s.w.t serta menginsafi akan kesan yang bakal diterima oleh setiap makhluk yang cuba mencabar kekuasaan Allah.
2.2. Dalam mencari kekayaan yang diinginkan oleh fitrah murni manusia misalnya, Islam tidak melarangnya. Tapi mencari harta tidaklah boleh dibuat secara sewenang-wenang. Islam mengatur cara-cara yang bersih dari riba, penipuan dan tindas-menindas, kerana hal-hal yang buruk itu bertentangan dengan fitrah. Hasilnya tidak untuk berfoya-foya, berjudi atau membekukannya dalam bank, tapi untuk kebaikan seperti membantu fakir miskin, membangun projek yang memenuhi keperluan masyarakat atau membantu usaha jihad fisabilillah. Hal ini diatur begitu rupa kerana ia sesuai dengan fitrah. Sebaliknya apa yang Islam halang adalah bertentangan dengan fitrah.
Malah Allah mendorong dengan firman-Nya: “Apabila telah ditunaikan solat hendaklah kamu bertebaran di muka bumi dan hendaklah kamu cari kurniaan Allah, dan ingatlah Allah banyak-banyak moga-moga kamu mendapat kemenangan”
[Al Jumuah: 10]
Nabi SAW bersabda yang ertinya:
“Berniagalah kerana sembilan puluh peratus dari rezeki itu ada dalam perniagaan”
2.3. Siapa saja, tanpa melihat apakah orang itu Islam atau yang bukan Islam suka kepada makanan sedap; lelaki suka pada perempuan, perempuan suka pada lelaki; ingin mempunyai badan yang sihat dan fikiran yang waras. Begitulah fitrah manusia. Kalau keinginan fitrah ini tidak tercapai, manusia akan rasa susah dukacita dan gelisah. Allah yang menciptakan manusia sedemikian rupa, tahu cara yang sebaik-baiknya untuk manusia mencapai keinginan-keinginan itu, dan tahu juga cara-cara yang dapat merosakkan manusia dalam usaha mereka mencapai keinginan-keinginan itu.
Oleh sebab itu Allah telah menurunkan petunjuk bagaimana keinginan itu boleh dipenuhi dengan sebaik-baiknya. Islam tidak menghalang keinginan fitrah tetapi tidak juga terlalu membiarkan keinginan itu dipenuhi secara membabi buta. Makan sedap, misalnya, dibolehkan dengan syarat, jangan makan makanan yang haram atau berlebihan. Malah, mengikuti sunnah Rasulullah SAW, sunat hukumnya makan daging seminggu sekali.
Demikian juga Islam menunaikan keinginan fitrah manusia untuk menikah. Ia memang dianjurkan oleh Rasulullah SAW:
“Menikah itu adalah Sunnahku, siapa yang benci pada Sunnahku ini bukanlah ia dari umatku” Hadis lain berbunyi : “Dua rakaat solat orang yang menikah lebih baik dari 70 rakaat shalat orang bujang”
Demikianlah indahnya Islam. Dalam usaha mengelakkan masalah dalam perkahwinan, maka ditentukan syarat rukunnya yang wajib dipenuhi. Tanpa memenuhi syarat, rumah tangga akan goyang dan tumbang. Islam membenarkan menikah dan mengharamkan zina.
Sebab zina akan menzalimi dan menganiaya kaum wanita. Anak hasil perzinaan yang tidak tentu bapaknya ini akan terkontang-kanting hidupnya. Ke mana anak itu akan membawa diri? Hal ini tidak ada siapapun yang suka. Fitrah menolak. Sebab itulah Allah mengharamkannya kerana ia bertentangan dengan fitrah. Bagaimana tidak, seseorang yang berzina itu akan melibatkan baik itu ibu orang atau isteri orang atau anak perempuan orang. Siapa pun akan marah kalau keluarganya yang terlibat. Kalau begitu sanggupkah kita berzina sedangkan kita sendiri tidak suka perkara itu terjadi dalam keluarga kita? Dalam Islam ada kaedah: Tidak mudharat dan tidak memberi mudharat.
Contohnya: Kahwin boleh, tapi jangan dengan isteri orang.
Kaya boleh, tapi jangan cara mencuri atau menipu wang rakyat.
Tidak ada orang, baik itu Islam atau bukan Islam, yang menganggap zina itu baik. Kalau terjadi juga, itu kerana manusia sudah jadi syaitan dan nafsunya sudah jahat sekali. Namun hati kecilnya tetap menolak; ertinya dia sentiasa dalam keadaan melawan hati kecilnya. Orang ini tidak tenang hidupnya. Dia diburu rasa bersalah dan berdosa sepanjang masa.
2.4. Akhlak yang baik, budi pekerti yang mulia yakni berbuat kebaikan sesama manusia sehingga dapat menghibur hati manusa, semua orang suka. Bagi orang yang suka menyakiti hati orang lain sebetulnya dia pun tidak mahu orang lain menyakiti hatinya dan suka kalau ia dihiburkan. Begitulah fitrah. Maka Islam agama fitrah ini datang memerintahkan agar manusia berakhlak baik sesama manusia. Sabda Rasulullah SAW, Sebaik-baik manusia ialah manusia yang paling banyak membuat kebaikan untuk manusia lain. Dengan itu, siapa saja yang berakhlak buruk dengan sesama manusia, seperti sombong, bakhil, hasad dan lain-lain, bererti dia menentang Allah dan juga menentang fitrahnya. Orang begini bukan saja dimurkai Allah tapi dia membenci dirinya sendiri. Hidupnya tidak akan tenang dunia akhirat.
Kalau manusia saling mengisi fitrah, aman damailah masyarakat. Tapi apa yang terjadi sekarang kita susahkan orang tapi minta orang jangan susahkan kita. Al hasil sengketa semakin merata.
Begitulah huraian tentang indahnya Islam yang sesuai dengan fitrah manusia. Dan siapa yang tidak ikut Islam ertinya menentang fitrahnya. Walaupun mereka kaya-raya, mempunyai jabatan tinggi dan banyak ilmu, tidak akan tenang hidup mereka di dunia apatah lagi di akhirat. Kerana bukan saja dia bermusuhan dengan Allah tapi juga bermusuhan dengan dirinya sendiri.
Pada lahirnya manusia nampak dia senang-lenang tapi hatinya hanya Allah saja yang tahu; kosong, gelisah, terseksa, serba salah dan mudah marah. Di Barat hari ini, orang yang kelihatan bijak pandai dan hidup senang dilaporkan banyak yang terkena sakit jiwa. Sehingga jumlah orang yang masuk rumah sakit jiwa melebihi jumlah orang yang masuk ke universiti dan kolej. Di Timur, umat Islam yang sudah rosak imannya kerana terlalu menuruti nafsunya sedang menghadapi hal yang sama. Cara hidup yang mereka pilih telah menghantarkan mereka ke lembah masalah dan kesusahan.
Hanya Islam satu-satunya agama yang sistem hidupnya benar dan terbaik untuk diikuti. Yakni kehidupan Sunnah yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah dan Khulafaur Rasyidin serta semua salafussoleh. Dengan mencontohi mereka, nescaya manusia akan kembali kepada fitrah murninya dan akan bahagia di dunia dan akhirat. Antara ciri-ciri hidup mereka adalah:
• Beriman dan bertaqwa
• Beribadah dan berzikir.
• Berakhlak mulia dengan Allah dan sesama manusia.
• Berjuang dan berjihad dengan Allah dan sesama manusia.
• Berkorban pada jalan Allah.
• Menuntut ilmu dunia dan akhirat untuk melaksanakannya.
• Bekerja mencari rezeki yang halal, di samping membangunkan tamadun ummah.
• Taat dan patuh pada Allah, pada Rasul dan pada pemimpin yang taat kepada Allah.
• Berkasih sayang.
• Saling membantu dalam kebaikan dan menolak kejahatan.
• Bermaaf-maafan.
• Bertimbang rasa di dalam masalah atau di sudut-sudut yang dibolehkan.
Ulasan
Catat Ulasan