Langkau ke kandungan utama

PEMBAHAGIAN MANUSIA DI AKHIRAT.

PEMBAHAGIAN MANUSIA DI AKHIRAT.


Di dalam Al Quran Allah SWT telah berfirman:
كُلُّ مَنْ عَلَيْهَا فَانٍ.وَيَبْقَى وَجْهُ رَبِّكَ ذُو الْجَلالِ وَالإكْرَامِ
“Setiap yang ada di atas muka bumi ini akan binasa dan yang kekal hanyalah zat Tuhan yang Maha Mulia dan Maha Besar.”
Ar Rahman: 26-27

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ
“Setiap yang bernyawa akan menemui kematian.”
Al Anbiya: 35

قُلْ إِنَّ الْمَوْتَ الَّذِي تَفِرُّونَ مِنْهُ فَإِنَّهُ مُلاقِيكُمْ…
“Sesungguhnya mati yang kamu ingin lari daripadanya itu ia akan menemui kamu.”
Al Jumu’ah: 8


Demikianlah ketiga-tiga ayat di atas yang memberi pengertian kepada kita bahawa dunia ini dan juga kita akan mengalami kiamat. Sebelum dunia ini mengalami “kiamat kubra” (kiamat besar) maka secara beransur-ansur dunia ini dikiamatkan secara kecil-kecilan, umpamanya pohon yang tumbang kerana badai, bangunan yang runtuh kerana gempa bumi atau makhluk-makhluk Allah SWT yang binasa dan musnah kerana bencana alam. Begitu juga manusia setiap hari ada yang menemui kematiannya. Adakalanya kematiannya disebabkan oleh sakit, dilanggar kereta, bunuh diri, mati disebabkan oleh peperangan dan berbagai lagi bentuk atau cara manusia menemui kematiannya. Sudah menjadi “sunatullah” bahwa Allah SWT hendak menjadikan sesuatu itu dengan sebab-sebab yang tertentu. Dan matinya manusia dengan berbagai-bagai cara itu diibaratkan sebagai kiamat secara kecil-kecilan sementara menunggu kiamat besar.


Allah SWT telah mentakdirkan bahawa dunia ini adalah negara sementara waktu yang tidak kekal bagi manusia. Manusia yang dilantik oleh Allah SWT di dunia ini adalah sebagai khalifah atau duta-Nya di dunia yang sementara waktu. Sementara itu kehidupan manusia di dunia adalah sesuai dengan batas waktu yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Begitu juga Allah SWT telah menetapkan bahawa di samping dunia yang hanya untuk sementara waktu, ada akhirat sebagai tempat yang kekal abadi. Manusia bukan menjadi warganegara dunia yang tetap, melainkan sebagai duta Allah SWT sebelum mengalami kehidupan akhirat yang kekal abadi atau lebih tepat lagi bahawa manusia ini adalah warganegara akhirat, sebab manusia akhirnnya akan menuju juga ke akhirat. Siapapun juga orangnya, ia pasti akan menuju ke akhirat. Yang suka akan sampai ke akhirat, yang tidak suka pun pasti sampai juga ke akhirat. Orang yang ingat kepada akhirat akan pergi ke akhirat, orang yang tidak ingat pun pasti akan pergi juga ke akhirat. 


Semua manusia akan menghadapi kehidupan di akhirat, mahu tidak mahu. Oleh kerana itu sewaktu kita diamanahkan sebagai duta atau wakil Allah SWT di atas muka bumi ini hendaklah kita mengatur diri kita, rumahtangga kita, ekonomi, pendidikan, politik, negara dan seterusnya alam sejagat, hingga selaras dengan peraturan yang datang dari Allah SWT. Atau lebih tepat lagi hendaklah semua aspek berdasarkan kepada Al Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Hal yang fardhu atau sunat hendaklah sungguh-sungguh ditegakkan. Begitu juga dengan hal yang haram dan makruh hendaklah kita jauhi sungguh-sungguh. Dan dari hal yang mubah hendaklah dijadikan sebagai amal bakti (ibadah) kita kepada Allah SWT.


Apabila kita telah berjaya mengatur diri kita, rumahtangga kita, masyarakat kita dan seterusnya persoalan alam sejagat dengan segala peraturan yang datang dari Allah SWT, maka itulah yang dikatakan sebagai amal bakti atau amal soleh. Hal inilah yang hendak kita bawa dan persembahkan di hadapan Allah SWT di akhirat nanti. Inilah yang dikatakan pengabdian diri kepada Allah SWT. Sebuah konsep ibadah di dalam ajaran Islam adalah luas. Dan hendaklah kita ingat bahwa persoalan rukun iman yang lima itu adalah merupakan ibadah yang asas dan yang menjadi tapak dalam ajaran Islam.
Apabila setiap amal bakti kita, usaha dan ikhtiar kita baik kecil atau besar dan juga setiap perjuangan dan jihad kita selaras dengan Al Quran dan sunnah, maka itulah yang dikatakan sebagai amal taqwa. 


Amalah taqwa itulah yang merupakan bekal kita yang paling baik lagi teguh untuk menjalani kehidupan di akhirat nanti., Ini bertepatan sekali dengan firman Allah SWT:

                                وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى
“Berbekallah, sebaik-baik bekal (untuk dibawa ke akhirat ialah taqwa.”
(Al Baqarah 2:197).

Amal taqwalah yang bakal menyelamatkan kita dari neraka dan sebab untuk kita masuk ke dalam syurga Allah SWT. Sebab itu hendaklah kita sentiasa berbekal sewaktu kita menjadi duta dan wakil Allah SWT sewaktu berada di dunia ini. Apa saja pekerjaan dan perbuatan kita hendaklah dijadikan sebagai ibadah yang merupakan amalan taqwa.
Apabila dunia hendak dikiamatkan oleh Allah SWT, maka di kala itu tidak terdapat seorang pun orang Mukmin, bahkan tidak ada seorang pun yang menyebut perkataan ALLAH. Mereka inilah yang akan dikiamatkan kubra oleh Allah SWT nanti. Mereka nantinya akan terkejut menghadapi persoalan kiamat yang begitu hebat sekali. Itulah yang dikatakan sebagai “sangkakala” yang pertama. Maka di kala itu musnah, punah, dan huru-haralah bumi dan seluruh alam sejagat.


Ditiupnya sangkakala yang kedua menghidupkan seluruh makhluk yang bangkit dari kubur dalam keadaan tanpa berpakaian. Di samping itu manusia juga dihidupkan sesuai dengan tabiat atau perilaku mereka masing-masing sewaktu di dunia. Ertinya bentuk dan rupa mereka mengikuti seperti apa bentuk kehidupan yang mereka jalani sewaktu di dunia ini. Seandainya sewaktu hidupnya di dunia suka menipu, berdusta, pembelit seperti ular, maka ia akan dirupakan Allah SWT seperti ular. Jika tabiatnya sewaktu hidup seperti serigala, maka ia akan dibangkitkan seperti serigala. Jika hidupnya sewaktu di dunia seperti babi, maka ia akan dirupakan seperti babi juga. Begitu juga sekiranya hidup di dunia berperangai seperti anjing, maka ia akan dirupakan seperti anjing.


Setelah itu seluruh makhluk akan dihalau ke suatu padang yang dinamakan “Padang Mahsyar”. Iaitu suatu padang tempat berhimpunnya seluruh makhluk Allah SWT terutamanya manusia, yang dimulai dari Nabi Adam a.s hingga akhir manusia yang belum kita ketahui siapa adanya. Di Padang Mahsyar inilah berkumpulnya seluruh makhluk dan ini merupakan suatu perhimpunan raksasa yang belum pernah wujud sebelumnya. Terlalu banyaknya makhluk yang berkumpul, menyebabkan keadaan saat itu terlalu bersesakan bahkan untuk duduk pun tidak boleh. Umpama susunan rokok yang berada di dalam kotak rokok. Ini disebabkan oleh kerana terlalu ketat dan padatnya manusia saat itu. Sementara matahari berada hanya sejengkal di atas kepala manusia. Maka sudah tentu suasana ini menimbulkan kesusahan dan kesengsaraan kepada manusia dan seluruh makhluk Allah SWT.


Walaupun manusia seluruhnya di waktu itu dalam keadaan tanpa berpakaian, namun masing-masing tidak mempedulikan diri orang lain. Ini disebabkan oleh huru-hara dan kesulitan yang menimpa manusia. Manusia di kala itu hanya memikirkan diri mereka masing-masing kerana terlalu bimbang dan takut menghadapi hari akhirat.
Kemudian manusia yang begitu bannyak itu dibariskan oleh Allah SWT sebanyak 120 barisan. Mungkin timbul di dalam fikiran kita, di antara 120 barisan itu berapa banyaklah yang matinya membawa iman? Sebab di dalam Al Quran Allah SWT menjelaskan:

وَقَلِيلٌ مِّنْ عِبَادِيَ الشَّكُورُ
“Dan sedikit sekali di kalangan hamba-hambaKu yang bersyukur”.
Saba’: 13

Sebenarnya, hanya tiga barisan saja di antara sekian banyaknya manusia yang matinya membawa iman. Inilah diantara mereka yang dianggap sebagai orang yang beriman. Sementara 117 barisan yang lain itu adalah terdiri dari orang-orang kafir dan mereka kekal di dalam neraka. Jelaslah bahawa hanya tiga barisan saja yang membawa iman, sementara yang lainnya itu matinya dalam keadaan kafir dan menyekutukan Allah SWT. Oleh kerana iman manusia di antara satu sama lain tidak sama, maka Allah SWT membahagikan tiga barisan ini kepada empat barisan pula atau kita katakan bahawa mereka yang 
mati membawa iman itu terbahagi kepada empat golongan:

1) Golongan Bi-ghairi Hisab (golongan yang tidak dikenakan hisab)
2) Golongan Ashabul Yamin (golongan yang menerima suratan di tangan kanan)
3) Golongan Ashabus Syimal (golongan yang menerima suratan di tangan kiri)
4) Golongan Ashabul A’raf (golongan yang berada di antara syurga dan neraka)

• Adapun golongan Bi ghairi hisab adalah terdiri dari para nabi dan rasul dan pada aulia Allah (kekasih Allah). Para aulia Allah adalah mereka yang memang bersungguh-sungguh menjaga setiap perintah dan larangan dari Allah. Mereka begitu menjaga hal yang wajib dan sunat dan sungguh meninggalkan hal yang haram bahkan hal yang makruh pun mereka tinggalkan. Para aulia Allah adalah mereka yang paling sabar dan sentiasa redha terhadap apa saja yang menimpa mereka. Hati mereka sentiasa baik sangka kepada Allah atas apa saja musibah yang menimpa mereka.

Selain dari itu, mereka yang termasuk dalam golongan Bi ghairi hisab ini adalah para syuhada (orang yang mati syahid). Mereka adalah golongan orang Muqarrabin yang ertinya orang yang terlalu dekat dengan Allah SWT disebabkan pengorbanan mereka dalam menegakkan agama Allah SWT. Bahkan nyawa pun sanggup mereka korbankan semata-mata untuk mempertahankan agama Allah SWT. Sebab itu tidak hairan mengapa mereka mendapat kedudukan yang begitu tinggi di sisi Allah SWT.

Orang yang terlalu sabar juga termasuk dalam golongan Bi ghairi hisab. Sabar itu terbahagi kepada tiga bahagian:
1. Sabar melaksanakan perintah dari Allah SWT
2. Sabar menjauhi larangan dari Allah SWT
3. Sabar menghadapi segala ujian dari Allah SWT

Sabar melaksanakan perintah Allah SWT bukanlah suatu perkara yang mudah untuk dilaksanakan. Termasuk sabar melaksanakan perintah Allah SWT ialah seperti sabar mengerjakan solat, berpuasa, berjuang, dan sebagainya. Semuanya itu bukan hal yang mudah untuk dilaksanakan. Sekiranya kita berhasil sabar melaksanakan perintah dari Allah SWT, maka lebih sukar lagi bagi kita untuk sabar menjauhi larangan dari Allah SWT. Terutama untuk boleh sabar menjauhi larangan Allah SWT pada maksiat pandangan mata.

Setelah kita bersabar terhadap segala larangan Allah SWT, maka lebih sukar lagi bagi kita untuk sabar menerima ujian dari Allah SWT. Kita dituntut untuk sabar terhadap ujian-ujian dari Allah SWT kepada manusia seperti sakit, miskin, difitnah, kematian isteri, kematian ibu ayah dan sebagainya. Itu semuanya adalah ujian yang Allah SWT datangkan kepada manusia untuk menguji manusia, siapa di antara mereka yang paling baik amalannya di sisi Allah. Manusia hendaknya bersabar dan redha terhadap ujian-ujian tersebut. Kerana ujian yang Allah SWT datangkan kepada manusia itu hakikatnya adalah didikan secara langsung dari Allah SWT kepada hamba-Nya. Kebanyakan manusia dididik melalui manusia yang lain melalui zahirnya. Tetapi pada hakikatnya yang mendidik manusia adalah Allah SWT sendiri. Dan ujian-ujian yang menimpa manusia sebenarnya adalah didikan secara langsung dari Allah SWT.


Oleh kerana itu kita sebagai hamba-Nya hendaklah bersabar dan redha. Sebab sebagaimana yang kita tahu ujian-ujian yang datang dari Allah SWT sekiranya kita bersabar, sebenarnya ini merupakan kasih sayang dari Allah SWT kepada hamba-Nya. Hal itu juga merupakan penghapusan dosa dari Allah SWT sekiranya kita bersabar. Demikian juga ia merupakan darjat dan pangkat yang akan Allah SWT kurniakan bagi manusia yang mahu menerima didikan secara langsung dari Allah SWT seperti ini.


Seringkali, apa yang manusia mahu ialah didikan melalui manusia yang lain seperti dari para tuan guru, ustaz, alim ulama dan sebagainya. Kebanyakan manusia memang tidak menginginkan sama sekali untuk mendapatkan didikan langsung dari Allah SWT seperti ini kerana tidak dapat bersabar dan redha menghadapinya.
Ingatlah, seandainya manusia tidak berhasil dididik secara langsung dari Allah SWT, maka janganlah diharapkan ia berjaya untuk menerima didikan dari manusia yang lain. Sebab itu kita melihat betapa kuatnya ujian yang menimpa para nabi dan rasul, kerana sebenarnya itulah didikan secara langsung dari Allah SWT kepada mereka.


Oleh kerana itulah tidak hairan bagaimana kuatnya iman para nabi dan rasul semuanya. Sebab mereka menerima didikan atau pimpinan secara langsung dari Allah SWT. Jauh berbeza dengan keadaan kita yang tidak senang apabila menerima ujian dari Allah SWT sedangkan itu merupakan didikan secara langsung dari Allah SWT. Sedangkan seandainya kita berhasil menghadapi itu semua, maka kita akan termasuk dalam golongan Bi ghairi hisab di akhirat kelak.Dan termasuk juga dalam golongan ini di akhirat kelak ialah orang fakir yang mana dia bersabar dengan kefakirannya. Mereka ialah orang yang tidak mempunyai apa-apa pun harta benda di dunia. Apa yang ada pada mereka hanyalah pakaian yang sehelai sepinggang. Sebab itu mereka tidak dihisab di akhirat kelak. Bagaimana mungkin mereka akan dihisab sementara apa yang ada pada diri mereka hanyalah pakaian yang melekat di badan.


Disamping itu, termasuk dalam golongan Bi ghairi hisab ini ialah orang ahli makrifat. Yaitu orang yang begitu kenal dengan Allah SWT. Oleh kerana mereka terdiri dari orang yang kenal akan Allah, maka hati mereka setiap masa sentiasa ingat akan Allah SWT. Hatinya juga setiap masa terasa hebat tentang kebesaran dan keagungan Allah SWT. Begitu juga hatinya itu setiap masa sentiasa terasa rindu kepada Allah SWT. Apabila kita ukur diri kita dengan mereka, terasa sekali jauh perbezaannya. Mereka adalah orang yang sentiasa mengingati Allah SWT, sedangkan kita sentiasa lalai dan derhaka kepada Allah SWT. Bukan suatu hal yang mudah untuk sentiasa ingatkan Allah SWT. Sedangkan solat yang disebutkan oleh Allah SWT sebagai mengingati-Nya pun tidak dapat kita mengingat Allah SWT, lagilah di luar solat kita akan semakin tidak dapat mengingati Allah SWT.
Jelaslah bahawa untuk menjadi ahli makrifat yaitu orang yang benar-benar kenal Allah SWT bukanlah suatu hal yang mudah. Ianya merupakan suatu hal yang amat susah untuk dicapai oleh kita yang memang sentiasa lalai terhadap Allah SWT. Itulah di antara orang-orang yang termasuk di dalam golongan Bi ghairi hisab di akhirat kelak. Cubalah ukur diri kita, apakah kita termasuk dalam golongan ini?


• Adapun golongan Ashabul Yamin atau golongan orang yang menerima kitab dari tangan kanan ialah golongan orang-orang soleh, abrar ataupun golongan muflihun. Adapun golongan Ashabul Yamin Iaitu orang-orang yang memiliki sekurang-kurangnya Iman Ayyan dan mereka juga adalah orang yang amal kebajikannya melebihi kejahatannya. Sungguh pun golongan ini terlepas dari azab neraka, namun mereka tidak terlepas menerima hisab dari Allah SWT. Mereka agak lambat untuk menempuh Siratul Mustaqim disebabkan oleh pemeriksaan terhadap mereka. Diterangkan bahawa di atas titian Siratul Mustaqim terdapat lima tempat pemeriksaan. Dan lima tempat pemeriksaan itu dijaga oleh para malaikat yang tugasnya memeriksa setiap hamba Allah. Bayangkanlah bagaimana sekiranya kita terhenti di kelima-lima tempat pemeriksaan itu? 


Sedangkan sehari di akhirat dinisbahkan dengan hari dunia adalah selama seribu tahun. Sebab itu tidak hairan mengapa orang-orang Muqarrabin itu tidak mahu menjadi orang soleh. Sebab orang soleh, walaupun masuk ke syurga, terpaksa dihisab terlebih dahulu. Ini sudah tentu menyusahkan mereka. Sebab itu mereka lebih suka untuk mati syahid dalam mempertahankan agama Allah SWT. Sebab orang yang mati syahid, langsung dimasukkan oleh Allah SWT ke dalam syurga.Terpaksa terhenti untuk dihisab di Siratul Mustaqim adalah merupakan penderitaan dan azab bagi golongan Muqarrabin. Sebab itu di dalam kitab terutama kitab-kitab Tasawuf ada diterangkan bahawa kebaikan yang dibuat oleh orang abrar/orang soleh adalah merupakan ‘kejahatan’ bagi golongan Muqarrabin. Bagi golongan Muqarrabin, sesuatu hal yang dianggap halal tetapi menyebabkan akan dihisab, itu adalah suatu kejahatan. Untuk mengukur mudah atau tidaknya menjadi orang yang soleh, marilah kita lihat kenyataan Al Imam Ghazali. Al Imam Ghazali mengatakan bahawa orang yang hendak menjadi orang yang soleh itu mestilah 24 jam yang Allah SWT untukkan kepadanya, mestilah 18 jam diisi dengan amalan  baik. Cuma 6 jam saja masanya itu digunakan untuk melakukan hal yang mubah.


• Adapun golongan yang ketiga yaitu Ashabul Syimal yaitu golongan yang akan menerima kitab dari tangan kiri. Mereka ini ialah orang Mukmin yang ‘Asi atau Mukmin yang derhaka. Kejahatan mereka lebih berat dari kebaikan yang mereka lakukan. Mereka ini akan dimasukkan ke dalam neraka dahulu, sebelum dimasukkan ke dalam syurga. Mereka dimasukkan ke dalam neraka sebagai berdasarkan kepada dosa dan maksiat yang mereka lakukan. Setelah tamat seksaan mereka di neraka, barulah mereka akan dimasukkan ke dalam syurga.


• Adapun golongan yang akhir ialah golongan Ashabul A’raf aitu golongan yang amal kebaikan dan kejahatannya itu sama banyak. Golongan ini walaupun mereka terselamat dari masuk ke neraka, tetapi mereka lebih lambat masuk ke syurga daripada golongan Ashabul Yamin yang setelah menempuh Siratul Mustaqim, tidak ada halangan lagi untuk masuk ke syurga. Tetapi bagi golongan Ashabul A’raf, setelah mereka menempuh Siratul Mustaqim mereka masih lagi dihalang untuk ke syurga. Mereka akan didera oleh Allah SWT di hujung Siratul Mustaqim. Bagaimana deraan Allah SWT terhadap mereka ? Deraan yang dikenakan Allah SWT kepada golongan Ashabul A’raf ialah diperintah supaya mereka meminta satu amal kebajikan kepada penghuni syurga. Sesiapa dari golongan mereka yang diberi oleh penghuni syurga satu amal kebajikan, maka dia diperbolehkan untuk masuk ke syurga. Maka mundar-mandirlah mereka untuk meminta belas kasihan penghuni-penghuni syurga. Setelah sekian lama, maka barulah Allah SWT masukkan ke dalam hati penghuni syurga untuk memberikan kepada mereka satu amalan kebajikan.


Tetapi anehnya, orang yang mempunyai banyak amal kebajikannya tidak mahu langsung memberikan satu amalan kebajikannya kepada golongan ini. Sebaliknya mereka yang memberikan amal kebajikannya ialah orang yang mempunyai lebih satu saja amalan kebajikannya.
Maka Allah SWT pun berfirman kepada golongan ini yang antara lain,
“Sekiranya kamu hamba-hamba-Ku yang mempunyai lebih satu amalan kebajikan, begitu pemurah kepada hamba-hamba-Ku dan terus ke syurga, maka sesungguhnya Aku lebih pemurah dari itu.”
Maka dengan ini hamba Allah yang pemurah itu pun dinaikkan darjatnya oleh Allah SWT di syurga. Inilah kelebihan yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada mereka di akhirat.Dari huraian-huraian yang dijelaskan di atas marilah kita membuat ukuran di golongan manakah kita berada? Apakah kita berada di dalam golongan Bi ghairi hisab? Ashabul Yamin? Ashabus syimal? atau Ashabul A’raf?
Siri Kuliah Kesedaran Islam oleh Abuya Ashaari Muhammad

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MENGENAL ABUYA.

Siapakah Abuya? Mengapa kita perlu kenal dia? Kita perlu mengenalinya dengan tepat supaya kita faham dia, faham pemikiran, perasaan, perbuatan dan perjuangannya. Tak kenal maka tak cinta. Jika tak cinta maka tak bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan Islam yang Abuya perjuangkan. Kenapa banyak orang yang mengaku cinta Abuya, tapi bila berlaku ujian jadi keliru lalu meninggalkan perjuangan Abuya, bahkan ada yang membenci dan memusuhi Abuya?  Sebenarnya mungkin pengenalan mereka tentang Abuya tak tepat, tak jitu. Mungkin kenal pada sudut-sudut tertentu sahaja.  Maklumlah minat setiap orang tak sama. Ada yang minat perniagaan, maka dia sangat terinspirasi dengan sistem ekonomi yang Abuya lagangkan. Ada yang minat pendidikan, maka dia sangat respek Abuya dari sudut pendidikan. Ada yang minat poligami, maka dia sangat nak belajar pada Abuya bagaimana nak buat poligami yang harmoni. Ada yang minat cara susun kasut ala Abuya, maka dia pun ikut disiplin susun kasut itu. Ada yang mina

NEGARA SYAM.

NEGARA SYAM (JORDAN, PALESTIN,HEBRON, SYRIA) Negara Jordan menjadi tempat transit bagi Abuya sebelum meneruskan perjalanan ke negara negara lain. Jordan juga dikenali dengan bumi Anbiya. Jordan juga banyak meninggalkan kesan  peninggalan purba yang berusia  ribuan tahun. Ia banyak di Jordan atau dulu dikenali dengan negeri Syam. Wilayah Syam zaman kebangkitan pertama mengandungi Jordan, Palestin, Lubnan dan Syria. Di era kebangkitan kali kedua Syam telah terpecah kepada empat negara. Ia dilakukan oleh penjajah. Kini terdapat negara Jordan, Palestin, Lubnan dan Syria secara berasingan satu sama lain. Jordan era terkini dikenali dengan Kerajaan Hasyimiyah Jordan, (Hashemite Kingdom of Jordan) atau lebih dikenali dengan nama Jordan sahaja  merupakan sebuah negara Arab yang terletak di Asia Barat (dulu dianggap Timur Tengah) bersempadan dengan negara-negara Arab yang lain. Ia terletak pada koordinat 34-29 Utara 35-39 Timur iaitu di sebelah Barat La

KEBANGKITAN ISLAM AKHIR ZAMAN.

KEBANGKITAN ISLAM AKHIR ZAMAN. Allah telah mengkhabarkan kepada kita melalui lidah Rasul-Nya bahawa Allah telah ‘set’kan satu Jadual Allah SWT untuk umat yang datang sesudah wafatnya Nabi akhir zaman. Itulah kasih sayang Allah dan Rasul-Nya kepada umat Islam, yang untuk mereka tidak ada lagi nabi dan rasul.Maka diceritakan lah perkara-perkara yang bakal terjadi sama ada yang positif atau negatif. Dengan mengetahui dan memahami jadual itu, umat Islam terpandu atau terpimpin untuk menghadapi dan menerima takdir yang bakal berlaku. Antara jadual yang dimaksudkan itu ialah, Rasulullah SAW bersabda: Yang artinya : "Telah berlaku Zaman Kenabian ke atas kamu, maka berlakulah zaman kenabian sebagaima­na yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkat zaman itu. Kemudian berlakulah Zaman Kekhalifahan (Khulafaur Rasyidin) yang berjalan seperti zaman kenabian. Maka berlakulah zaman itu sebagaimana yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkat nya. Lalu berlakulah zaman