ISLAM ITU INDAH.
Kebangkitan Islam Bersama Cinta dan Akhlak. Asas kekuatan seseorang berbuat bila ada cinta dan cita-cita. Rasa menyingkap tentang rahsia cita-cita dan cinta. Kemuncak yang paling hebat adalah meletakkan cita-cita untuk membesarkan Allah dan menegakkan syiar agama Allah. Rahsia kejayaan Rasulullah SAW dan Salafussoleh mengislamkan dunia adalah kerana mereka cintakan Allah lebih daripada cintakan dunia.
Manusia ingin menambah ilmu. Ingin mencari pengalaman dan ingin pandai, dan tidak menggantungkan hidupnya pada orang lain. Manusia tidak mahu hidup beku, jahil dan miskin papa. Itu adalah fitrah. Semua orang memilikinya walau apa pun juga bangsa dan agamanya. Memang Allah jadikan jiwa manusia begitu kemahuannya. Oleh kerana itu Allah datangkan agama Islam yang mengajar supaya manusia mengisi tuntutan fitrah itu.
Firman Allah:
Katakanlah: “Berjalanlah kamu di muka bumi, kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang yang mendustakan itu.”
[Al An’am: 11]
Ertinya kita disuruh mengembara untuk mencari pengalaman. Rasulullah SAW bersabda:
“Menuntut ilmu wajib bagi lelaki dan wanita” (Riwayat Ibnu Abdi Al Barri)
Sabdanya lagi:
“Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad”
Begitulah yang dikatakan Islam agama fitrah. Yakni apabila sesuatu itu disukai oleh fitrah maka Islam mendorong atau membenarkannya. Disebabkan Allah yang menjadikan fitrah manusia itu demikian maka Allah pun datangkan cara bagaimana keinginan fitrah itu disalurkan. Tanpa petunjuk dari Allah, nafsulah yang akan memimpin manusia untuk melaksanakan kehendak fitrah itu secara membabi buta. Hasilnya akan buruk sekali. Misalnya apabila ilmu yang dituntut itu ilmu yang haram (ilmu sihir atau ilmu yang tidak dikaitkan dengan tauhid dan jiwa sufi) maka ia akan membawa akibat buruk. Walaupun adakalanya ilmu itu bersumber dari Islam, tetapi tanpa dikaitkan dengan Tauhid dan Akhlak, ia akan menyebabkan manusia sombong, dengki, bakhil, pemarah, rasuah, dan lain-lain.
Demikian juga halnya kalau mengembara yang tidak dikendalikan oleh syariat atau tidak diniatkan kerana Allah atau untuk kebaikan ia akan membawa hasil yang buruk. Sebab itu Islam menurunkan panduan-panduan yang rapi dalam melaksanakan tuntutan fitrah itu.Masyarakat salafussoleh berjaya kerana mereka memberi tumpuan yang serius kepada Akhirat dengan membersihkan hati mereka. Mereka mampu menundukkan nafsu, lalu dunia jatuh terjelapak ke tangan mereka. Mereka serius membersihkan hati mereka melalui mujahadatunnafsi, riadatunnafsi, dengan disiplin serta barakah pimpinan Rasulullah SAW, maka mereka diberi Allah sifat-sifat hati yang bersih. Hati yang bersih mampu melahirkan akhlak mulia.
Rasullulah SAW pernah bersabda kalau hati ini baik maka baiklah dirinya. Abuya juga pernah berkuliah sembahyang dua rakaat yang khusyuk lebih hebat daripada ribuan rakaat yang tidak khusyuk. Untuk menjadi orang bertaqwa pun, lintasan hati ini amat perlu dijaga. Allah SWT menjanjikan bantuan dan kemenangan kepada orang-orang mukmin bertaqwa bukannya muslim. Majoriti umat Islam akhir zaman ini terlalu ramai yang muslim, sedikit mukmin.
Mukmin adalah muslim yang menjaga kedua-kedua syariat tersebut hati dan lahir daripada itulah taraf mukmin ditingkatkan lagi manakala taraf nafsu selamat dinaikkan ketahap yang lebih selamat sehingga gangguan dan bisikan syaitan sudah tidak mampu memujuk nafsu lagi. Orang yang mukmin sudah tentu muslim, tetapi yang muslim belum tentu mukmin. Jadi barulah akal ini faham kenapa, umat Islam begitu tertindas sekali walau dinegara sendiri.
Bantuan Allah SWT tidak sampai rupa-rupanya kepada umat Rasullulah SAW. Sebabnya banyak, antaranya umat Rasullulah SAW di akhir zaman ini sudah terkena penyakit al-wahan iaitu cinta dunia dan takut mati (takut berjihad). Bilangan umat Islam ramai tetapi lemah bagaikan buih-buih atas lautan, tiupan angin yang sepoi sudah mampu melenyapkannya. Kelemahan itu diambil kesempatan oleh Yahudi dan Nasrani untuk menghancurkan kekuatan umat Islam.
Dimasukkan pendidikan sekular yang diwarisi daripada pihak penjajah, diberi hiburan yang melalaikan dan melemahkan roh Islam, menjadikan wang sebagai ukuran kehidupan. Hasilnya kacau bilau Melayu di Malaysia. Sudahlah ia satu bangsa yang lemah, dilemahkan lagi. Pada masa yang sama, Yahudi serta angkatannya bertungkus-lumus melumpuhkan satu-persatu kekuatan umat Islam. Kalau berjuang ikut Jalan Allah tidak ada hasad dengki, tidak ada sombong, tidak ada tamak dan lain-lain yang memecah belahkan manusia. Rasa takut dan cinta pada Tuhan adalah milik bersama.
Maka Tuhan menjadi pengikat antara semua kaum dan bangsa. Walaupun manusia itu mungkin berlainan agama dan kepercayaan, rasa bertuhan dan rasa mempunyai Tuhan itu adalah fitrah semula jadi. Rasa cinta dan takut Tuhan juga fitrah. Kalau bagi orang Islam, tauhid itu perlu dibina, bagi orang bukan Islam pula, fitrah bertuhan ini perlu disuburkan dan disegarkan. Fitrah perlu di hidupkan agar manusia kembali memiliki hati yang bersih.
Doa adalah senjata orang mukmin. Sembahyang yang khusyuk, mengamalkan sunnah Rasullulah SAW (harus difahami sunnah Rasullulah SAW bukan sahaja merangkumi sembahyang tetapi juga dalam hal bersosial, berpendidikan, berumah tangga, berbudaya, berperang, berniaga, dan beribu macam lagi). Amalan yang ada roh memberi kekuatan kepada umat Islam. Hasil teknologi inilah yang Yahudi sangat takutkan kerana sihir mereka tidak mampu menandingi kekuatan rohani ini.
Ulasan
Catat Ulasan