Ibadah puasa melatih diri kita peka dan sinsitif. Apabila kita menjalani puasa ertinya kita melatih diri kita peka terhadap orang yang memerlukan. Kita terasa lapar setahun hanya pada bulan Ramadhan sahaja. Sedangkan ada orang yang susah bukan saja pada bulan Ramadhan saja berlapar tetapi bulan-bulan biasa pun lapar tidak ada apa yang hendak dimakan. Bulan Ramadhan memberi peluang kepada kita menyuburkan unsur malaikat yang ada dalam diri. Dalam masa yang sama Ramadhan menyempitkan laluan syaitan. Dengan Ramadhan memberi peluang kemanusian dihidupkan kembali dan mengawal kehaiwanan yang ada pada diri. Peluang Rahmat Allah terlalu luas di bulan rahmat ini.
Ibadah puasa di bulan Ramadhan juga bertujuan untuk mengembalikan fitrah manusia kepada kejadian asal semula jadinya. Maksudnya, selama sebelas bulan dalam setahun, roh manusia digoda oleh dunia, nafsu dan syaitan. Roh atau fitrah manusia yang asalnya baik, kenal Tuhan, cinta Tuhan dan takut dengan Tuhan tetapi bila digoda oleh nafsu, syaitan dan dunia, maka timbullah hasad dengki, sombong, berdendam, dan sebagainya di hati manusia. Akhirnya manusia hilang bahagia, manusia mudah bergaduh, berkelahi dan berperang.
Supaya manusia tidak terus berada di dalam kegelisahan, Allah hadiahkan puasa di bulan Ramadhan sebagai ubat untuk memulihkan jiwa yang jahat dan tenat. Mazmumah dipulihkan kepada mahmudah. Gelisah dipulihkan kepada ketenangan. Apabila kita menyambut Aidilfitri, kita sebenarnya menyambut hari pulihnya jiwa kita dari sakit.'Aid itu ertinya 'mengulangi ' atau 'mengembalikan'. Fitri itu ialah fitrah semula jadi. Ertinya selepas berpuasa selama satu bulan di bulan Ramadhan, kita dikembalikan semula kepada fitrah asal semula jadi kita yang tenang.
"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.(Al Baqarah 2:185).
Kalau semua ahli masyarakat dapat berpuasa seperti ini, maka masyarakat itu akan menjadi satu masyarakat yang pulih jiwanya dan kembali semula kepada fitrah asal semula jadi suci. Kalau semua bangsa dapat berpuasa seperti ini, maka bangsa itu akan menjadi satu bangsa yang mulia. Semua bangsa lain akan suka bernaung di bawah bangsa yang mulia ini. Begitulah kedudukan ibadah di dalam Islam. Melalui ibadah, Allah mahu mendidik kita dan membersihkan hati-hati kita supaya kita menjadi mulia dan tinggi derjat kita didunia dan lebih-lebih lagi di Akhirat.
Melalui ibadah juga, Allah mahu mengurniakan kita kebahagian di dunia sebelum kebahagian yang hakiki di Akhirat . Puasa Ramadhan adalah perintah Tuhan. Sikap mendahulu dan membesarkan Tuhan mesti ada. Suka berbakti dan berkhidmat dengan Tuhan itu mesti ada. Sikap tidak berkira dengan Tuhan mesti ada. Ini adalah bukti hati kita telah dibersih dan dikembalikan semula kepada fitrahnya. Hati telah membuktikan kehambaannya kepada Tuhan. Mengamalkan puasa adalah perintah Tuhan. Tanda khidmatnya seorang hamba kepada Tuhannya. Kebahagian seorang hamba itu berkait langsung dengan ibadah yang menjadi hubungannya dengan Tuhan.
Ya Allah dengan berkat bulan Ramadhan Mu pimpinlah kami benar-benar terhubung dengan Mu Tuhan. Kami tidak lagi rasa keseorangan dalam hidup, kerana sudah mempunyai Tuhan. Kami tidak takutkan lagi masa depan kerana di sana ada Tuhan tempat mengharap dan bergantung. Penderitaan apa pun yang menimpa bukan lagi masalah kerana merasakan itulah kebijaksanaan dan keadilan Tuhan. Tuhan begitu berperanan rasanya dalam hidup, bahkan Engkau tempat berbual setiap detik, teman hidup yang sangat bermakna.
Engkau Tuhan sudah menjadi tujuan, matlamat dan keutamaan dalam hidup, seperti yang telah di ajarkan oleh Nabi yang telah Engkau utuskan kepada kami umatnya. "Bahawa hidup mati adalah semata-mata untuk Tuhan yang memerintah seluruh alam." Supaya manusia tidak terus berada di dalam kegelisahan, Allah hadiahkan puasa di bulan Ramadhan sebagai ubat untuk memulihkan jiwa yang jahat dan tenat. Mazmumah dipulihkan kepada mahmudah. Gelisah dipulihkan kepada ketenangan. Apabila kita menyambut Aidilfitri, kita sebenarnya menyambut hari pulihnya jiwa kita dari sakit. 'Aid itu ertinya 'mengulangi' atau mengembalikan'.
Fitri itu ialah fitrah semula jadi. Ertinya selepas berpuasa selama sebulan di bulan Ramadhan, kita dikembalikan semula kepada fitrah asal semula kepada fitrah asal semula jadi kita yang tenang. Apabila puasa kita dapat kembalikan fitrah ertinya kita kembali semula kepada asal kejadian manusia yang baik hubungan dengan Allah. Ertinya kita memiliki Islam yang sesuai dengan fitrah manusia. Kalau kita gagal berpuasa sebenar yang dapat kembalikan fitrah murni. Dan siapa yang tidak ikut Islam ertinya menentang fitrahnya. Walaupun mereka kaya-raya, mempunyai jawatan tinggi dan banyak ilmu, tidak akan tenang hidup mereka di dunia apatah lagi di akhirat.
Kerana bukan saja dia bermusuhan dengan Allah tapi juga bermusuhan dengan dirinya sendiri. Pada lahirnya manusia nampak dia senang-lenang tapi hatinya hanya Allah saja yang tahu; kosong, resah, gelisah, terseksa, serba salah, serba serbi tak kena dan mudah marah. Semoga Ramadhan yang sedang kita lalui benar-benar dapat memproses diri kita menjadi orang baru. Iaitu insaniah atau kemanusian kita subur kembali. Orang yang mempunyai cita-cita untuk membela Islam. Ramadhan yang telah pergi benar benar dapat memproses jiwa, roh, akal dan fizikal. Menjadikan seolah-olah manusia yang baru dilahirkan. Iaitu memiliki fitrah yang subur. Fitrah yang hidup subur bagaikan kain putih yang bersih.
Ulasan
Catat Ulasan