Maksud Firman Allah:
"Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal."
(Al A'laa 87:17).
Allah SWT telah mentakdirkan bahawa dunia ini adalah negara sementara waktu yang tidak kekal bagi manusia. Manusia yang dilantik oleh Allah SWT di dunia ini adalah sebagai khalifah atau duta-Nya di dunia yang sementara waktu. Sementara itu kehidupan manusia di dunia adalah sesuai dengan batas waktu yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Begitu juga Allah SWT telah menetapkan bahawa di samping dunia yang hanya untuk sementara waktu, ada akhirat sebagai tempat yang kekal abadi. Manusia bukan menjadi warganegara dunia yang tetap, melainkan sebagai duta Allah SWT sebelum mengalami kehidupan akhirat yang kekal abadi atau lebih tepat lagi bahawa manusia ini adalah warganegara akhirat, sebab manusia akhirnnya akan menuju juga ke akhirat.
Sebelum dunia ini mengalami “kiamat kubra” (kiamat besar) maka secara beransur-ansur dunia ini dikiamatkan secara kecil-kecilan, umpamanya pohon yang tumbang kerana badai, bangunan yang runtuh kerana gempa bumi atau makhluk-makhluk Allah SWT yang binasa dan musnah kerana bencana alam. Begitu juga manusia setiap hari ada yang menemui kematiannya. Adakalanya kematiannya disebabkan oleh sakit, dilanggar kereta, bunuh diri, mati disebabkan oleh peperangan dan berbagai lagi bentuk atau cara manusia menemui kematiannya. Sudah menjadi “sunatullah” bahwa Allah SWT hendak menjadikan sesuatu itu dengan sebab-sebab yang tertentu. Dan matinya manusia dengan berbagai-bagai cara itu diibaratkan sebagai kiamat secara kecil-kecilan sementara menunggu kiamat besar.
Manusia yang serius terhadap sesuatu perkara dia membuat persiapan. Cara manusia membuat persiapan mengikut keperluan perkara tersebut. Bagi pelajar yang sentiasa ada serius dengan pelajarannya ada buat jadual sekolah. Bagi orang yang serius dengan kerjanya juga ada jadual kerja. Begitu juga orang yang serius dengan Tuhan juga ada jadual iaitu waktu solat. Cara kita buat persiapan bangun tidur dengan membuat signal bunyi pada jam kita untuk mengejutkan dari tidur. Begitu jugalah orang yang serius bertemu Tuhan juga buat persiapan. Cara membantu manusia buat persiapan dengan mengingat kematian. "MANUSIA PALING CERDIK YANG BANYAK INGAT MATI."
Apakah yang paling dekat dengan manusia?
Menurut Imam Ghazali: jawapan yang paling benar itu ialah kematian.Kerana yang paling dekat dengan kita ialah MATI. Sebab itu janji Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati
Maksud firman Tuhan:
"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.
(Ali-Imran,3:185).
Maksud firman Tuhan:
Katakanlah (wahai Muhammad): "Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)".
(Al-Jumuah,62:8).
Persiapan orang yang beriman sebagai warga Akhirat, mereka serius membawa bekal untuk pulang ke Akhirat. Sesudah beriman, dan mengerjakan sembahyang, orang yang bertaqwa itu membelanjakan rezeki yang ALLAH kurniakan kepada mereka di jalan yang ALLAH perintahkan. Ertinya, orang yang bersembahyang dan yang beriman itu orang yang pemurah, yang lebih suka memberi daripada menerima. Kerana cinta kepada ALLAH, membesarkan Akhirat dan saling berkasih sayang antara sesama manusa, mereka tidak menyimpan harta tapi membelanjakannya kerana ALLAH, untuk simpanan Akhirat. Demikianlah para sahabat (salafussoleh). Kerana dorongan iman yang kuat, mereka menjadi orang yang suka memberi.
Mereka sanggup susah kerana orang lain dan menjaga kepentingan masyarakat dan agama lebih daripada kepentingan sendiri. Pada waktu-waktu ujian kelaparan melanda mereka, semua mau menjadi orang yang mula-mula kelaparan, kerana menjaga kepentingan saudara yang lain. Manakala bila rezeki datang pada mereka, mereka semua rela menjadi orang yang terakhir merasa kenyang, juga kerana memikirkan keselamatan saudara yang lain. Bila dikatakan orang kaya memberi, tidak bermakna orang miskinnya gelojoh pula menerima dan meminta-minta. Kerana iman juga, orang miskin pada zaman para sahabat (salafussoleh) bersikap redha, sabar dan tenang dalam kemiskinan.
Kerana iman, sebagai warga Akhirat mereka yakin dan berharap untuk kaya di Akhirat. Sebab itu sebagian mereka sengaja menempah miskin sekalipun peluang untuk kaya itu terbuka. Dengan manusia-manusia yang berhati begitu, kerajaan para sahabat (salafussoleh) tidak menghadapi kesulitan untuk mentadbir negara dan masyarakat mereka. Malah keutuhan ekonomi mereka memaksa orang kafir di zamannya menyandar nasib kepada orang Islam. Para sahabat (salafussoleh) menjadi tuan kepada manusia-manusia lain di seluruh dunia waktu itu. Dan martabat setinggi itu datang daripada kekuatan yang bersumberkan iman dan ibadah yang sungguh-sungguh kepada Allah Ta’ala.
Hakikatnya perasaan kita akur apabila dia diingatkan bahawa manusia adalah hamba Allah. Bahawa manusia adalah warga Akhirat. Buktinya
bagaimana perasaan kita, bagaimana rasa hati kita kalau orang panggil kita hamba Allah. Akal mahu menerima, hati kecil juga turut setuju, walaupun pada pelaksanaannya kita tidak pernah menyembah Allah. Walaupun kita tidak pernah membesarkan Allah, tak pernah patuh, tapi hati kita terhibur dengan sebutan hamba Allah.Mengapa akal setuju, dan hati kecil dapat menerima, sebab kerana Allah jadikan kita memang untuk menjadi hambaNya. Jadi apa yang disetujui oleh Allah, juga disetujui oleh akal dan hati. Sebaliknya apa yang disetujui oleh akal dan hati, disetujui oleh Allah.
Ulasan
Catat Ulasan