TIGA AMALAN YANG BERKAT.
(Jamuan bulanan anjuran keluarga Abuya di Sendayan Seremban).
Dari Ibnu Mas’ud r.a bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w, :”Manakah amal yang lebih utama?” Beliau menjawab,:”Sembahyang dalam waktunya, berbakti kepada ibu bapa dan berjuang di jalan Allah.” (Riwayat Bukhari)
Di dalam al-Quran dinyatakan bahawa setiap amal perbuatan atau amal ibadah walau sekecil zarah sekalipun pasti dibalas dengan pahala oleh Allah S.W.T. Bayangkan, jika kita melakukan amal perbuatan atau amal ibadah yang paling utama tentulah jumlah pahalanya luar biasa banyaknya.
Maka beruntunglah orang yang dapat melakukan amalan-amalan seperti yang disebutkan di dalam hadith di atas yang sememangnya sungguh besar ganjarannya. Hal ini disebabkan setiap sesuatu kebaikan itu sesungguhnya amat susah untuk dilakukan lantaran terlalu banyak godaan dan halangan khususnya daripada syaitan laknatullah.
Berbeza pula halnya dengan kejahatan yang senang sahaja berlaku kerana ini tidak dihalang bahkan dibantu khusus oleh syaitan. Oleh yang demikian, sebagai benteng yang kukuh, manusia mestilah mempunyai keimanan yang teguh bagi melawan hasutan syaitan tersebut kerana kebiasaannya orang yang selalu tewas dan malas dalam melakukan kebajikan adalah orang yang meremehkan pembalasan daripada Allah S.W.T sama ada ia merupakan pembalasan baik atau pembalasan buruk (neraka).
"Sembahyang dalam waktunya " Dalam sembahyang kita diminta oleh Tuhan untuk memfokaskan setiap apa yang kita lakukan dan memahami dan menghayati apa-apa yang dibaca dalam sembahyang. Syaitan berusaha mengganggu sembahyang yang kita lakukan. Kalau dia gagal menghasut supaya tinggalkan sembahyang.
Maka syaitan terus berusaha melalaikan sembahyang kita dia tetap meneruskan langkahnya untuk menyesatkan manusia. Diganggunya hati kita supaya teringat perkara-perkara di luar sembahyang yang tidak ada kena mengena dengan sembahyang. Malahan, bukan sahaja tidak hadir hati dalam sembahyang, maksud perbuatan dan lafaz dalam sembahyang pun tidak diketahui atau difahami. Jauh sekalilah untuk dihayati atau dijiwai.
Sebab syaitan tahu kesan daripada orang yang dapat melakukan sembahyang dengan betul dan penuh penghayatan. Disini Rasulullah tunjukkan satu pakej, bermula sembahyang di dalam waktunya bahkan Abuya mendidik kita beberapa minit berada disejadah sebelum masuk waktu sembahyang dengan menyiapkan hati berzikir dan berselawat.
Penjelasan hadis seterusnya pula tentang "berbakti kepada ibu bapa."
Setakat rasa kesihan saja tidak cukup untuk membuktikan orang-orang yang beriman itu adalah orang yang baik-baik. Kita mesti membantu, membela dan melepaskan orang-orang susah itu dari cengkaman kesusahan yang dihadapinya. Betapalah yang kita bantu itu ibu bapa sendiri, kalau mereka jutawan sekalipun tetap anak lelaki terutamanya ada kewajipan menjaganya.
Apakah maksud "berjuang di jalan Allah.” Perkataan jihad itu adalah berasal dari bahasa Arab iaitu dari perkataan, (جهد يجهد جهدا جهادا ) jahada, yajhadu, juhdan, atau jahdan atau jihaadan. Maksud jahada ialah bersungguh-sungguh menggunakan tenaga. Erti jihad dari segi bahasa pula ialah bersungguh-sungguh yang termampu mungkin mengumpulkan semua kekuatan tenaga sama ada dalam diri (akal, roh, jiwa, fizikal) mahupun di luar diri (duit ringgit, kekayaan, aset dan sebagainya). Itulah erti jihad.
Ahli bahasa mengambil intipati dan kesimpulan makna lalu dibuat istilah baru, iaitu berjuang. Hingga akhirnya seolah-olah itulah istilah yang tepat bagi jihad. Istilah asalnya sudah tidak diketahui lagi. Maka kita pun terbawa sama, terpaksa mengikut trend mereka. Jika tidak, bila kita hendak mengajak berjihad, kita terpaksa berkata, “Mari kita bersungguh-sungguh kumpulkan tenaga.” Pelik pula bunyinya. Sebaliknya kalau kita kata, “Mari kita berjuang”, maka orang terus faham.
Takrif jihad.
Seterusnya apa pula hubungkait erti jihad di atas dengan maksud jihad dalam erti yang kedua. Di sini kita bawa satu cerita sejarah. Pernah dalam satu pertemuan antara Rasulullah dan Sahabat berlakulah dialog yang lebih kurangnya begini:
Sahabat berkata kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, apakah seorang yang berjuang kerana marahkan sesuatu puak itu dikatakan jihad fisabilillah?”
“Tidak. Itu tidak termasuk jihad fisabilillah.”
“Apakah seorang yang berjuang kerana tunjuk berani itu jihad fisabilillah?” tanya Sahabat lagi.
“Tidak,” jawab Rasulullah.
“Apakah berjuang fisabilillah itu berjihad kerana bangsa?”
“Bukan.”
“Kalau begitu, ya Rasulullah, apa itu jihad fisabilillah?”
"لتكون كلمة الله هي العليا "
“Berjihad fisabilillah itu ialah berjuang di jalan Allah untuk menegakkan kalimah Allah hingga menjadi tinggi. Jihad itu ialah untuk meninggikan kalimah Allah.”
Ulasan
Catat Ulasan