AKHLAK ADALAH BUNGA DIRI.
Sejarah telah mencatatkan bahawa kebangkitan Islam kali pertama yang berlaku di zaman Nabi Muhammad S.A.W. bersamanya ilmu dan akhlak. Para sahabat Nabi Muhammad S.A.W, mereka masuk Islam kerana tertarik dengan akhlak Baginda SAW. Peribadi baginda ibarat bunga semua orang datang ingin memetiknya. Peribadi Nabi Muhammad S.A.W adalah Quran bergerak. Kebangkitan Islam pertama tidak boleh dipisahkan dengan ilmu yang disampaikan dari Allah kepada Rasulullah, itulah wahyu namanya.
Wahyu itu yang kini tercatit sebagai Al-Quran, panduan dan rujukan buat umat Nabi Muhammad S.A.W. Mereka yang menjadikan Quran dan Sunnah sebagai rujukan dan panduan akan dipandu oleh Allah.
Mereka juga akan mendapat pertolongan Allah secara lahiriah mahupun ghaibiah, kebangkitan Islam sekali lagi juga tidak boleh pisahkan dengan dengan ilmu yang disampaikan dari Allah kepada Rasulullah, itulah wahyu namanya.
Buah kepada ilmu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad, lahirlah akhlak yang mulia. Akhlak yang agung ini menjadikan peribadi seseorang itu mulia bersamanya. Kerana akhlak inilah ramai para sahabat yang masuk Islam. Islam itu indah, kerana penganutnya mempunyai akhlak yang mulia. Kebangkitan Islam kedua juga pasti mengulangi yang pertama. Bezanya dulu Nabi Muhammad membantu dengan fizikalnya, kali ini fizikalnya tiada tetapi bantuan diberikan melalui roh baginda S.A.W.
Para pejuang yang menyalin peribadi baginda Rasul S.A.W. Akhlak yang mulia itu lahir dan menjadikan peribadi seseorang itu begitu mulia apabila syariat Tuhan berjaya ditegakkan didalam dirinya. Hasil syariat yang dipandu dengan ilmu bersumberkan wahyu dari Nabi itulah membuatkan kejayaan dalam peribadi seseorang.Kebangkitan Islam kali kedua sedang terjadi. Setiap hari, peristiwa yang berlaku semakin membenarkan kedatangan pemimpin yang dijanjikan.
Sebagai post mortem buat para pejuang kebenaran, selain diminta untuk mendapatkan rasa-rasa hamba, kita dituntut untuk menegakkan syariat Islam dalam diri kita. Mana mungkin rasa-rasa hamba dapat diperolehi jika asasnya tidak dibangunkan. Untuk menegakkan syariat didalam diri, kita perlukan ilmu. Sumber ilmu yang boleh membina peribadi yang agung sudah tentu daripada warisan Nabi kita S.A.W. Itulah Quran, Hadis, ijmak ulama dan kias.
Kita yang berpegang dengan pegangan Ahli Sunnah Waljamaah,
Juga selaku murid kepada Abuya Imam Ashaari At Tamimi, beliau telah tinggalkan bekalan ilmu yang yang sepatutnya boleh membimbing peribadi dan sekurang-kurangnya keluarga kita dalam menyelamatkan iman. Itulah minda Abuya yang ditinggalkan dalam bentuk sajak-sajak, kuliah dan ceramahnya, samada telah dijadikan nasyid mahupun silibus pendidikan. Telah terbukti hasil didikan Abuya melahirkan manusia yang maju lahiriahnya dan maju tamadun rohaniahnya.
Model kehidupan Islam yang telah Abuya cetuskan berdasarkan ilmu.
Ilmu sememangnya tidak dapat dipisahkan daripada kebangkitan Islam. Wahyu yang diturunkan kepada baginda S.A.W. itulah ilmu dan panduan kepada para sahabat ridwanullah 'alaihim. Khalifah Umar ibnu Aziz ketika pemerintahannya, beliau membetulkan soal ilmu dan berperasaan kepada Ahlul Bait. Ketika itu Ahlul Bait dihina di mimbar-mimbar masjid, di majlis-majlis besar samada rasmi atau tidak, begitulah yang terjadi di zaman itu.
Maka dengan ilmu ilham dan taqwa yang luarbiasa, keluarga Rasulullah dimuliakan semula. Malah diwajibkan berselawat keatas Nabi dan keluarganya didalam khutbah bermula di era Khalifah Umar Al-Aziz. Begitu juga di zaman-zaman mujaddid berikutnya. Ilmu Ilham yang berteraskan Quran, Hadis, Ijmak Ulama dan kias ini membuahkan natijah dan hasil mulia. Sejarah kebangkitan Islam berulang dari zaman ke zaman. Maka tidak rugi kita mengkaji sejarah dan menyalinnya dalam membuat sejarah yang baru.
Pejuang Islam mesti mempunyai minda yang sentiasa ke depan. Dalam era kebangkitan Islam ini, siapa pun membela Allah dan Rasul dia pasti diberi subsidi oleh Tuhan. Ini terbukti perjuangan Abuya tidak pernah surut ke belakang. Slogan dakwah sekarang menjadi slogan negara Malaysia dan ini di viralkan dalam media sosial dan media arus perdana milik kerajaan. Dengan slogan "Duniaku dakwahku". Melalui Malaysia sebagai tapak Timur bagi kebangkitan Islam sekali lagi.
Melalui lisanul hal atau melalui sikap, dan keseluruhan tindak tanduk kita. Program hidup yang diatur dan disusun sebegitu rupa untuk meningkatkan rohani manusia, untuk membersihkan hati manusia, untuk membangunkan insan manusia dan untuk membina akhlak manusia, sama ada akhlak mereka dengan Tuhan mahupun akhlak mereka dengan manusia yang lain. Pendekatan dakwah yang kita lakukan mendidik manusia. Ia membentuk peribadi manusia.
Buah ibadah ialah akhlak dan akhlak ialah bunga diri. Seperti mana semua manusia suka kepada akhlak yang mulia dan luhur. Ibadah yang kita lakukan dengan bertujuan untuk mengabdikan diri kita kepada Allah. Semua ibadah dibuat kerana Allah. Namun tidak ada sebesar zarah sekalipun ibadah manusia itu memberi manfaat kepada Allah. Tidak bertambah kemulian dan keagungan Tuhan dengan ibadah manusia. Tidak pula berkurang kemulian dan keagungan Tuhan kalau manusia enggan beribadah kepada-Nya.
Ulasan
Catat Ulasan