Telah berlaku satu zaman di mana umat Islam asyik dengan Allah dan merindui Akhirat. Berlaku juga satu zaman yang telah Allah curahkan segala-galanya kerana kebanyakan umatnya bertaqwa.
Kini, umat Islam sudah tidak bertaqwa lagi. Bila tidak bertaqwa, hati jadi lemah dan mudah menyerah kepada keadaan lantas kita melupai Allah SWT. Hati tidak bergantung kepada Allah lantas Allah melupai kita.
Sepertimana tidak ada kuasa yang dapat menahan apabila Allah kehendaki umat Islam berjaya, begitu jugalah tidak ada sebarang kuasa yang berdaya untuk menebus kekalahan dan kehinaan umat Islam apabila Allah kehendaki ia berlaku begitu. Taqwa memang penting bagi umat Islam. Sebab itu ia menjadi rukun khutbah. Ertinya kalau tertinggal maka khutbah tidak sah. Bila khutbah tidak sah, tidak sahlah sembahyang Jumaat dan tidak sahlah sembahyang sunat hari raya. Ini menunjukkan besarnya sifat taqwa hingga ia menjadi rukun khutbah.
Namun taqwa itu bukan sahaja tidak dihayati malah kurang difahami oleh umat Islam. Taqwa ini telah disalah ertikan. Ia telah diremehkan, diambil ringan dan tidak dititik beratkan. Fahaman tentang taqwa ini telah dipermudahkan. Taqwa hanya ditakrifkan sebagai buat apa yang disuruh dan tinggal apa yang dilarang. Pengertian seperti ini tidak mempunyai roh atau tidak membabitkan pengertian yang mendalam. Maka jadilah ia sesuatu yang hambar dan tidak memberi manfaat.
Akibatnya, umat Islam seolah-olah terasing dan terpisah dari persoalan taqwa. Taqwa tidak lagi menjadi teras dalam kehidupan umat Islam. Ia hanya tinggal sebutan yang ramai umat Islam tidak faham apa sebenar maksud, hakikat dan tuntutannya. Oleh kerana taqwa ini adalah syarat dan landasan untuk umat Islam mendapatkan dunia dan Akhirat, maka tanpa taqwa, umat Islam terumbang-ambing dalam kehidupan. Akhirat terlepas, dunia berciciran.
Umat Islam terpaksa meniti di atas landasan orang kafir. Sebab itu umat Islam terhina di mana- mana, ditindas dan diperkotak-katikkan, miskin, mundur dan berpecah belah. Umat Islam tidak ada wibawa, tidak ada maruah dan tidak ada kekuatan. Ramai ulama dan ustaz-ustaz yang memahami bahawa sifat taqwa itu adalah bekalan untuk negeri Akhirat semata-mata.
Tidak dapat dinafikan itulah yang paling penting. Itulah yang paling asas. Namun, kalau orang mukmin hendak senang juga di dunia, mestilah berbekalkan sifat taqwa. Kerana sifat taqwa itu merupakan jalan atau landasan untuk mendapatkan dunianya. Hendak mendapatkan keuntungan dalam ekonomi mesti dengan sifat taqwa. Hendak mendapat kemenangan dalam perjuangan mesti ada taqwa. Hendak mendapat bantuan dan pertolongan Tuhan juga adalah kerana taqwa. Hendak terlepas dari bala bencana atau azab penderitaan di dunia juga mesti berdasarkan sifat taqwa. Kalau orang Islam itu tidak ada sifat taqwa, Tuhan bantu juga. Tuhan bagi makan juga. Tuhan bagi ilmu juga selama mana mereka hidup. Tapi cara ini bahaya. Tuhan bagi secara kutukan. Tuhan bagi secara murka. Tuhan bagi secara tidak redha.
Ini samalah caranya Tuhan bantu orang kafir iaitu atas dasar istidraj yakni dengan kemurkaan. Itu sebenarnya adalah tipuan dari Tuhan. Akhirnya dengan bantuan seperti itu, dia terjun ke Neraka. Dengan bantuan seperti itulah dia akan membuat ke- zaliman dan kejahatan di atas muka bumi. Kerana mendapat sesuatu dari Tuhan secara tidak sihat, maka hasilnya tidak sihat dan natijahnya juga tidak sihat. Ia rosak dan merosakkan.
Ulasan
Catat Ulasan