1. UJIAN ITU ADALAH KHABAR GEMBIRA DARI TUHAN.
Orang roh orang yang menerima hakikat bahawa dia adalah hamba Allah sebab itu dia senang dan tenang. Tidak cerewet dan tidak ada karenah. Bukan bererti tiada masalah tetapi apa situasi dan kondisi tidak mengocakkan hatinya. Sekaligus dapat mempertautkan hati sesama umat Islam tanpa mengira batas sempadan golongan, puak, kedudukan, bangsa, asal usul, keturunan dan negara, umat Islam perlu memiliki jiwa sufi atau menjadi orang roh yang sangat sedar hakikat dirinya adalah hamba.
Redhalah wahai hamba-Ku kerana percayalah di situ mesti ada kebaikan. Tidak pernah Aku lakukan sesuatu perkara itu sia sia atau Aku main-main dengan ciptaan-Ku melainkan setiap apa yang Aku lakukan ada hikmah, ada pendidikan dan ada pengajaran. Manusia itu seistimewa mana pun,tidak dapat lepas daripada ujian yang menyusahkan. Raja diuji, orang yang berkuasa diuji, orang kaya diuji, yang pandai diuji, apatah lagi rakyat jelata dan orang biasa. Ujian mereka bertimpa-timpa,ujian-ujian itu pula banyak caranya, bukan satu perkara.
Maksud firman Tuhan:
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar (Surah Al-Baqarah: ayat 155).
2. UJIAN ADALAH GURU.
Ujian adalah guru yang tidak bercakap, tetapi ia sangat mengajar dan mendidik. Ujian terkecil apalagi terbesar adalah takdir Allah. Yang mempunyai maksud tertentu. Kerana jahilnya kita, apabila ditimpa ujian sama ada secara langsung dari Allah atau melalui orang lain, kita mula melatah. Terasa Allah tidak adil, sengaja hendak menyusahkan kita. Atau kita menyalahkan orang yang mendatangkan ujian tersebut. Hati berdendam hati buruk sangka pada Allah yang mendatangkan ujian itu.
3. UJIAN ADALAH AKADEMI UNTUK DAPATKAN SIFAT MAHMUDAH.
Allah Maha Pengasih; jauh sekali Allah takdirkan ujian hanya untuk menyusahkan hamba-Nya. Marilah kita sama-sama cungkil hikmah di sebalik ujian yang ditimpakan. Ujian sebenarnya melatih kita untuk mendapatkan sifat-sifat yang terpuji. Sabar, redha, tawakal, baik sangka, mengakui diri sebagai hamba yang lemah, mendekatkan diri dengan Allah, harapkan pertolongan Allah, merasai dunia hanya nikmat sementara dan sebagainya.
Berasa diri berdosa adalah juga sifat terpuji. Sebab itu bagi orang yang sudah banyak melakukan dosa atau lalai daripada mengingati Allah, maka Allah datangkan ujian kesusahan kepadanya. Supaya hamba-Nya tadi tidak tenggelam dalam dosa dan noda. Kadangkala Allah dedahkan dosa yang dilakukan hingga ramai orang tahu. Bukan untuk menghinakan kita tetapi untuk memberi ingatan supaya kita bertaubat. Dan tidak meneruskan perbuatan dosa itu sehingga bila-bila Ujian juga bermaksud qisas (pembalasan) ke atas dosa-dosa kita. Setiap perbuatan dosa mesti dihukum, sama ada di dunia atau di akhirat (kecuali kita telah bertaubat sungguh-sungguh sehingga Allah mengampunkan dosa itu).
4. UJIAN ADALAH PELUANG UNTUK DAPATKAN KASIH SAYANG TUHAN.
Bagi orang yang Allah kasih, di dunia lagi Allah hukum, tidak di akhirat. Yakni dengan didatangkan kesusahan, penderitaan, kesakitan, kemiskinan, kehilangan pengaruh dan sebagainya. Sekiranya kita boleh bersabar dan redha, maka itulah ganjaran pahala untuk kita. Sebaliknya kalau kita tidak boleh bersabar dan tidak redha, malah merungut-rungut, mengeluh dan memberontak, hanya akan menambahkan lagi dosa kita.
Begitulah Allah Yang Maha Pengasih kepada hamba-hambanya, tidak mahu hukum kita di akhirat, kerana penderitaan di Neraka berpuluh-puluh kali ganda lebih dahsyat daripada penderitaan di dunia. Sekiranya kita telah dihukum di dunia lagi, kita patut bersyukur kerana apabila kembali ke akhirat, kita telah bersih daripada dosa. Ada kalanya, kita ditimpakan kesempitan hidup. Sengaja Allah takdirkan demikian kerana Allah sayang pada kita. Allah hendak melatih kita menjadi orang yang bersabar dan redha dengan takdir-Nya. Mungkin kita akan sombong dan bakhil kalau dikurniakan harta melimpah ruah, maka Allah didik kita dengan kemiskinan.
5. UJIAN BANTU MENYUBURKAN RASA KEHAMBAAN
Apabila kita diuji dengan kesakitan, Allah mahu memberitahu kita bahawa begitulah susah dan menderitanya orang yang sedang sakit. Semoga kita menjadi orang yang bertimbang rasa; menziarahi dan membantu mereka yang menderita sakit. Orang yang sedang sakit, hatinya mudah terusik. Sesiapa saja yang datang dan memberi nasihat, Ensha Allah mudah diterimanya. Bagaimana pula kalau kita diuji dengan kematian orang yang paling kita sayangi.
Ujian ini sengaja didatangkan agar terasalah kita ini lemah; tiada kuasa untuk menolak ketentuan Allah. Akan tertanamlah rasa kehambaan di dalam hati, sekali gus membuang rasa bangga diri. Begitulah, sebenarnya Allah mahu kita sentiasa beringat-ingat. Agar dengan ujian itu, kita sebagai hamba akan datang untuk mengadu, mengharap, merintih belas ihsan, dan sentiasa merasakan hanya Allah tempat meminta segala-galanya. Ujian juga adalah untuk menilai sejauh mana keyakinan kita kepada Allah. Semakin diuji sepatutnya semakin bertambah iman kita, dan semakin hampir kita dengan Allah. Firman Allah dalam surah Al Imran; 142 yang bermaksud:
“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, pada hal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antara kamu dan belum nyata orang-orang yang bersabar.”
Firman Allah dalam Surah Az Zumar;10 yang maksudnya:
“Sesungguhnya diberi ganjaran orang sabar dengan pahala tanpa hisab.”
6. UJIAN PELUANG MENINGGIKAN DARJAT DISISI TUHAN.
Allah takdirkan ujian demi ujian untuk memberi peluang kepada kita mendapatkan pahala sabar. Barang siapa yang sabar dan redha tanpa mengeluh, merungut atau syurga. Oleh itu, apa salahnya Allah uji kita kerana hendak menyelamatkan kita di akhirat kelak! Berbeza pula halnya dengan ujian yang ditimpakan ke atas para Rasul, para nabi, wali-wali dan kekasih-kekasih Allah. Ujian ke atas mereka bermaksud untuk meninggikan darjat dan kedudukan mereka di sisi Allah. Sebab itu ujian yang mereka hadapi berat-berat belaka. Tatkala Rasulullah berdakwah ke Taif, masyarakat Taif bukan sahaja tidak menerima dakwah baginda, malah mencaci, menghina dan melempari baginda dengan batu dan najis. Para malaikat menawarkan diri untuk menghapuskan orang-orang yang berlaku durjana kepada baginda. Tetapi dengan tenang, baginda menjawab: “Biarkan mereka, jangan diapa-apakan mereka kerana mereka tidak tahu, mereka masih jahil.”
Demikianlah, orang-orang yang tinggi taqwa dan keimanannya; tidak mengeluh apabila diuji. Berbeza dengan golongan orang awam seperti kita ni, apabila diuji kita mudah jahat sangka dengan Allah dan berdendam dengan orang yang mendatangkan ujian kepada kita. Walhal bukan orang itu yang hendak menyusahkan kita, tetapi hakikatnya Allah. Allah yang hendak uji kita, menggunakan orang itu sebagai perantaraan. Jadi, tanyalah Allah kenapa kita diuji.
Ulasan
Catat Ulasan