BAGAIMANA CARA BERHADAPAN DENGAN ORANG MUKMIN YANG HASAD DENGKI?.
Cara untuk berhadapan dengan kejahatan yang dilahirkan oleh manusia muslim yang hasad dengki ialah dengan berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepada kita. Dalam kitab dibahaskan empat cara iaitu :
Membalas kejahatan dengan kejahatan. Cara ini lebih baik ditinggalkan kerana ia akan menyebabkan perpecahan. Seorang mukmin yang hasad, sikap hasad itu menyemai benih perpecahan, dan perpecahan melemahkan kekuatan lantas menghancurkan dasar keimanan kerana Rasulullah SAW ada memberi peringatan : “Hasad akan memakan kebaikan seperti api memakan sekam” . Andainya cara pertama ini yang kita pilih untuk memerangi mukmin yang hasad, hakikatnya kita sendiri saling tidak tumpah, sama sahaja dengan mukmin yang hasad tersebut.
Berlaku diam, iaitu tidak membalas kejahatannya. Ini susah dilaksanakan kerana ia memerlukan mujahadatunnafsi dan sifat sabar. Dan ingatlah, sabar adalah sifat yang dimiliki oleh golongan bighairi hisab di yaumil mahsyar nanti.
Kejahatannya dibalas dengan kebaikan. Pelaksanaannya amat sukar sekali di ibarat kan seperti mencabut nyawa dari badan. Tahap kesabaran yang lebih tinggi dari kaedah kedua di atas. Cuba bayangkan, orang mendatangkan kepayahan kepada kita, tetapi kita balas dengan senyuman kepadanya. Mampukah kita lakukan ? Dan dalam pendekatan perjuangan Islam, dalam memberi kebaikan dalam membalas kejahatan yang dilakukan, seorang Muslim hendaklah menyampaikan seruan dakwah secara berhikmah dan berakhlak kepada mereka yang berbuat jahat. Seru mereka, didik mereka, dakwah mereka, ke arah iman dan akhlak Islamiah. Dan inilah sebaik-baik cara kerana tingkatannya lebih tinggi dari kaedah kedua.
Mendoakan mereka agar dipimpin Allah ke arah keinsafan dan iman.
Antara keempat-empat cara memerangi orang mukmin yang hasad, hindarilah kaedah yang pertama. Dan sebaik-baik cara berhadapan dengan mereka ialah kaedah ketiga dan keempat. Kita balas kejahatan yang mereka lakukan dengan kebaikan. Antara kebaikan yang boleh ita lakukan ialah dengan memberi nasihat kepada mereka. Dengan memberi ilmu kepada mereka. Dengan membantu mereka beramal dengan ilmu mereka.Dan lainlain kebajikan yang mampu kita berikan sebagai khidmat kita kepada mereka atas jalan iman dan taqwa. Lantas, kita berdoa kepada Allah agar mereka dan diri kita serta seluruh umat Islam diberikan ampunan dan kekuatan dalam beribadah kepada NYA.
Ulasan
Catat Ulasan