Langkau ke kandungan utama

DUA MUSUH BATIN MANUSIA.




     Semasa manusia berada di alam roh, semua setuju dan menerima apa yang Tuhan tentukan. Contoh, manusia kena menyembah Tuhan, semua mengatakan setuju, tiada pertelingkahan, tiada pergaduhan. Apa yang datang dari Tuhan diterima oleh akal dan hati. Manusia adalah hamba Tuhan dan diminta menyembah Tuhan, akal bersetuju dan hati pun bersetuju. Buktinya, kalau ada orang yang memanggil kita, saudara adalah hamba Allah. Secara automatik hati dan akal kita dapat terima. Bahkan kita rasa seronok, puas hati dan bangga menjadi hamba Allah. Sedangkan bila orang panggil kita, saudara ni hamba isteri, hamba dunia, hamba duit.  Mendengar panggilan itu tentu  kita menolak dan marah.


Firman Allah:

                                             أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ ۖ قَالُوا۟ بَلَىٰ ۛ شَهِدْنَآ ۛ 

 "Bukankah Aku tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi". 
(Al-A'raaf,7:172).



Ayat Quran ini menunjukkan bahawa di alam roh, semua manusia selaras, setuju, sama fikiran dan perasaan.  Semua roh manusia itu patuh dan taat kepada arahan yang satu iaitu dari Allah sahaja. Semua roh itu beriman,  berdisiplin, aktif dan sentiasa berhubung antara satu sama lain sehingga digambarkan oleh Rasulullah SAW, bahawa roh orang mukmin itu seperti tentera.  Tentera mukmin yang bertugas sifatnya ialah berdisiplin, aktif, sentiasa berhubung dan siap sedia menerima apa sahaja arahan dari pemimpinnya. Mereka berkasih sayang dan tolong menolong satu sama lain. Bahkan sanggup berkorban demi membela orang lain. Begitulah sifat roh suci atau fitrah semulajadi manusia. Apa yang diperjuangkan oleh roh suci ini adalah kebenaran dari Allah sahaja. Dan kebenaran itu indah, semua roh manusia suka dan berbahagia dengan kebenaran itu.

Realitinya, bila lahir sahaja manusia ke muka bumi, keadaannya sungguh berbeza.  Manusia mementingkan diri sendiri, bergaduh hingga berlakulah pertumpahan darah. Direkodkan dalam Quran, kisah Habil dan Qabil peristiwa berlakunya pembunuhan pertama di dunia. Kali pertama berlakunya pertumpahan darah. Kemudian diikuti oleh pergaduhan, pembunuhan bahkan peperangan besar oleh manusia  anak cucu Adam ini hingga sekarang. 

Selain itu, manusia juga ada bahkan ramai yang menafikan bahawa dia hamba Tuhan.  Betapa ramai juga yang tidak mahu mengakui adanya Tuhan (atheis).  Malah ada yang mengaku dirinya Tuhan, seperti Firaun.  Mengapa terjadi demikian? Kerana dalam diri manusia ada dua musuh batin yang Tuhan bekalkan pada manusia di muka bumi ini, iaitu syaitan dan hawa nafsu
Firman Allah:

                                        إِنَّ ٱلشَّيْطَٰنَ لَكُمْ عَدُوٌّ فَٱتَّخِذُوهُ عَدُوًّا ۚ

Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh. (Faatir,35:6).

Firman Allah:
                                       إِنَّ ٱلشَّيْطَٰنَ لِلْإِنسَٰنِ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia. (Yusuf,12:5).

Firman Allah lagi tentang musuh batin yang ada dalam diri manusia i
                                                ۚ إِنَّ ٱلنَّفْسَ لَأَمَّارَةٌۢ بِٱلسُّوٓءِ 

"... sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan" (Yusuf,12:53).



Dua musuh batin inilah yang telah mempengaruhi, menguasai dan merosak fitrah semulajadi atau roh suci manusia.   Dua musuh inilah yang telah melaga-lagakan roh manusia hingga saling berentap, berlanggar, bergaduh bahkan berperang satu sama lain.  Jika roh itu telah porak poranda maka akal dan fizikal manusia pun porak poranda.  Kerana hakikatnya roh itulah raja dalam kerajaan diri. Bila raja dah rosak maka rosaklah seluruh diri manusia itu. 

Bagaimana hendak kembalikan semula fitrah seperti di alam roh. Maka kita kena elakkan dari berlakunya perlanggaran roh. Kita kena mujahadah terhadap diri sendiri dan orang lain. Hasutan-hasutan syaitan untuk berbuat jahat mesti ditolak.  Nafsu jahat atau sifat-sifat mazmumah yang ketara boleh merosakkan diri sendiri dan orang lain mesti ditekan habis-habisan. Contoh sifat pemarah. Orang yang sifat pemarah akan merosakkan diri dan orang lain. Apa  bila berlaku satu-satu kejadian tanpa soal selidik dengan mudah dan cepat buat andaian. Dengan sikap tersebut mudah tercetus panik yang menimbulkan kekecohan dan huru hara. 

Syaitan dan nafsu akan terus berusaha merosakkan dan melemahkan roh suci supaya tidak mampu lagi berperanan sebagai raja dalam diri manusia.  Peranan raja itu lama-lama akan diambil alih oleh nafsu dan syaitan.  Bila syaitan dan nafsu dah berkuasa maka manusia tidak lagi memperjuangkan kebenaran dari Tuhan.  Oleh itu tiada jalan lain untuk kita kembalikan roh suci yang memperjuangkan kebenaran itu selain melawan nafsu dan syaitan habis-habisan. Elakkan semua jenis accident atau pelanggaran roh, samada yang disebabkan oleh akal, hati, mulut, tangan, kaki dan segala fizikal kita. Penindasan, kezaliman, hasad dengki, mementingkan diri dan lain-lain perkara jahat itu merosakkan fitrah.  Samada fitrah kita sendiri mahupun fitrah orang lain. Bila hari-hari accident roh itu berlaku, lama-lama roh akan punah. Bila roh punah, kebenaran pun musnah.  Bila roh rosak, apa sahaja yang kita buat bukan lagi kebenaran.

Sebenarnya kita boleh mengesan apakah kita masih memperjuangkan kebenaran atau tidak.  Ertinya kita dapat mengesan apakah roh kita masih suci atau sudah rosak.  Pertama, dengan merenung, bertafakkur, bertanya kepada hati nurani sendiri.  Menghisab diri, menghitung dosa-dosa sendiri, tanpa perlu menunggu teguran dari orang lain. Sayidina Umar Al Khattab setiap malam sebelum tidur menghisab diri sendiri, kemudian dia merotan dirinya sendiri.  Bila beliau wafat, pada jenazahnya ditemukan birat-birat kesan rotan.

Kedua, kita dapat melihatnya dari penerimaan roh orang lain.  Kalau kita berbuat tapi orang semakin menjauhkan diri dari kita, menunjukkan kita tidak membawa kebenaran. Sepatutnya bila kita berjaya membawa kebenaran dari Tuhan, maka tentulah manusia akan mendekati kita untuk mendapat kebenaran itu. 

Ketiga, kita lihat bagaiman kita menerima roh orang lain.  Bila orang mengajak kita kenal dan cinta dengan Allah, sepatutnya kita rasa seronok.  Kerana fitrah manusia semenjak di alam roh lagi telah mengenal Allah.  Roh yang suci seronok untuk mencintai, menyembah dan membesarkan Allah bersama dengan roh-roh suci yang lain. Jika kita rasa tak seronok bila diajak untuk menyembah dan membesarkan Allah, ertinya ada yang rosak pada roh kita.

Sabda Nabi SAW: 
 
          "الأَرْوَاحُ جُنُودٌ مُجَنَّدَةٌ، فَمَا تَعَارَفَ مِنْهَا ائْتَلَفَ، وَمَا تَنَاكَرَ مِنْهَا اخْتَلَفَ ".

Hadis ini dari Siti Aisyah r.a. Isteri Nabi Muhammad SAW. Bersabda maksudnya:

“Roh-roh manusia adalah kelompok yang selalu bersama, maka yang saling bersesuaian di antara mereka akan saling dekat, dan yang tidak bersesuaian akan saling berselisih”.
(Riwayat Bukhari).
     
Roh yang suci selesa berkawan, berkumpul, berjemaah dan berhubung dengan roh yang suci juga.  Sebaliknya roh yang rosak berselisih dengan roh yang suci dan bergaduh pula dengan roh rosak yang lain.  Sebab itulah orang yang rohnya dah rosak dimanapun mereka berada selalu menimbulkan masalah dan huru-hara, samada di kalangan orang baik mahupun orang orang jahat. Sedangkan orang yang rohnya suci, di kalangan orang baik dia disayangi dan di kalangan orang jahat, walaupun tidak sehalauan tapi dia disegani. Begitulah kelebihan orang yang dapat menjaga kesucian rohnya atau mengekalkan kemurnian fitrahnya. Dia disayangi kawan dan disegani lawan.  Di Akhirat pula, mereka dilayan dengan penuh istimewa oleh Allah SWT.

Firman Allah:

قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّىٰهَا

Sesungguhnya berjayalah orang yang mensucikan dirinya, (Ash-Shams, 91:9).
Firman Allah:

يَٰٓأَيَّتُهَا ٱلنَّفْسُ ٱلْمُطْمَئِنَّةُ

ًً"Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang - (Al-Fajr,89:27).

ٱرْجِعِىٓ إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّة

"Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati lagi diredhai ! (Al-Fajr,:89:28).

فَٱدْخُلِى فِى عِبَٰدِى

"Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia - (Al-Fajr, 89:29).

وَٱدْخُلِى جَنَّتِى

"Dan masuklah ke dalam SyurgaKu! "
(Al-Fajr,89:30).


     Kerana itu kalau nak selamat dan bahagia di dunia dan di Akhirat, mahu tidak mahu, kita mesti sucikan roh, kembalikan fitrah ke sifat semula jadinya.  Fitrah kita bahagia menyembah Allah kerana Allah bersetuju, akal  bersetuju dan hati bersetuju. Jadi kalau manusia tidak mahu menyembah Allah, tidak mahu mengabdikan diri pada Allah, tidak mahu tunduk dan patuh pada Allah, dia bukan saja menentang Allah, bahkan menentang akal dan hatinya, hakikatnya orang itu menentang dirinya sendiri. Kalau orang itu menentang dirinya sendiri, dia tidak akan dapat kebahagiaan, walaupun pangkatnya tinggi, rumahnya besar, jabatannya tinggi dan hartanya banyak.

Melawan hawa nafsu dan syaitan adalah assignment untuk manusia.  Jangan cuba nak menafikan atau tidak serius dengan assignment ini.  Assignment inilah sebenar-benar perjuangan kebenaran.  Siapa yang berjaya tewaskan syaitan dan nafsu, merekalah yang menang didalam perjuangan kebenaran.  Hendak menilai perjuangan kita itu menang atau tidak, semak semula apakah orang lain gembira dan terhibur dengan kita.

Memang payah perjuangan ini, kerana musuhnya tidak nampak oleh mata namun sentiasa ada dalam diri sendiri. Dia mengalir bersama darah kita, bahkan sebahagian dari nyawa kita.  Hanya Allah sahaja yang dapat membantu kita dalam perjuangan yang berat ini.   Oleh itu Allah ajarkan doa agar hati kita di tetapkan dan dikuatkan untuk agama dan mentaati Tuhan.

Firman Allah:

وَمَا كَانَ قَوْلَهُمْ إِلَّآ أَن قَالُوا۟ رَبَّنَا ٱغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَإِسْرَافَنَا فِىٓ أَمْرِنَا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَٱنصُرْنَا عَلَى ٱلْقَوْمِ ٱلْكَٰفِرِينَ

Dan tidaklah ada yang mereka ucapkan (semasa berjuang), selain daripada berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan kami yang melampau dalam urusan kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami (dalam perjuangan).
(Ali-Imran,3:147).

     Kita mohon pada Allah agar diteguhkan hati untuk terus perjuangkan kebenaran. Iaitu membawa manusia kembali kepada Allah. Memulih dan mensucikan semula fitrah manusia. Melayakkan manusia menjadi hamba dan sekaligus sebagai khalifah Allah di muka bumi. Menegakkan yang hak, keadilan, kasih sayang dan akhlak demi untuk kebahagian dan kesejahteraan manusia di dunia dan di Akhirat.


Anggun 7 Januari 2016.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

NEGARA SYAM.

NEGARA SYAM (JORDAN, PALESTIN,HEBRON, SYRIA) Negara Jordan menjadi tempat transit bagi Abuya sebelum meneruskan perjalanan ke negara negara lain. Jordan juga dikenali dengan bumi Anbiya. Jordan juga banyak meninggalkan kesan  peninggalan purba yang berusia  ribuan tahun. Ia banyak di Jordan atau dulu dikenali dengan negeri Syam. Wilayah Syam zaman kebangkitan pertama mengandungi Jordan, Palestin, Lubnan dan Syria. Di era kebangkitan kali kedua Syam telah terpecah kepada empat negara. Ia dilakukan oleh penjajah. Kini terdapat negara Jordan, Palestin, Lubnan dan Syria secara berasingan satu sama lain. Jordan era terkini dikenali dengan Kerajaan Hasyimiyah Jordan, (Hashemite Kingdom of Jordan) atau lebih dikenali dengan nama Jordan sahaja  merupakan sebuah negara Arab yang terletak di Asia Barat (dulu dianggap Timur Tengah) bersempadan dengan negara-negara Arab yang lain. Ia terletak pada koordinat 34-29 Utara 35-39 Timur iaitu di sebelah Barat La

KEBANGKITAN ISLAM AKHIR ZAMAN.

KEBANGKITAN ISLAM AKHIR ZAMAN. Allah telah mengkhabarkan kepada kita melalui lidah Rasul-Nya bahawa Allah telah ‘set’kan satu Jadual Allah SWT untuk umat yang datang sesudah wafatnya Nabi akhir zaman. Itulah kasih sayang Allah dan Rasul-Nya kepada umat Islam, yang untuk mereka tidak ada lagi nabi dan rasul.Maka diceritakan lah perkara-perkara yang bakal terjadi sama ada yang positif atau negatif. Dengan mengetahui dan memahami jadual itu, umat Islam terpandu atau terpimpin untuk menghadapi dan menerima takdir yang bakal berlaku. Antara jadual yang dimaksudkan itu ialah, Rasulullah SAW bersabda: Yang artinya : "Telah berlaku Zaman Kenabian ke atas kamu, maka berlakulah zaman kenabian sebagaima­na yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkat zaman itu. Kemudian berlakulah Zaman Kekhalifahan (Khulafaur Rasyidin) yang berjalan seperti zaman kenabian. Maka berlakulah zaman itu sebagaimana yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkat nya. Lalu berlakulah zaman

AGAMA NABI IBRAHIM.

AGAMA NABI IBRAHIM. Inti pati ayat: Al Qur’an ayat 123 surat 16 An Nahl, Kemudian Kami wahyukan kepadamu (Muhammad): "Ikutilah agama Ibrahim seorang yang hanif." dan bukanlah dia termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan. Al Qur’an ayat 39 surat 14 Ibrahim, Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadaku di hari tua (ku) Ismail dan Ishaq. Sesungguhnya Tuhanku, benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) do`a. Al Qur’an ayat 124 surat 2 Al Baqarah, Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia". Ibrahim berkata: "(Dan saya mohon juga) dari keturunanku". Allah berfirman: "Janji-Ku (ini) tidak mengenai orang-orang yang zalim". Al Qur’an ayat 71 surat 21 Al Anbiyaa’, Dan Kami selamatkan Ibrahim dan Luth ke sebuah negeri yang Kami telah memberkahinya untuk sekalian manusia. N