BERJUANG BERSAMA ILMU DAN AMAL.
Sejarah perjuangan Abuya mencatatkan, beliau adalah seorang ulama yang hebat. Abuya menguasai pelbagai jenis ilmu dalam Islam. Malah, Abuya menguasai lebih daripada 10 jenis ilmu yang menjadi syarat untuk seseorang menjadi ulama. Abuya bukan sahaja menguasai ilmu-ilmu tersebut malah beliau sangat mengamalkannya.
Daripada pengamalan ilmu-ilmu itu lahirlah model kehidupan Islam. Kerana ilmu-ilmu itu dipelajari untuk diamalkan, bukan hanya bahan fikiran atau senaman akal sahaja. Ilmu itu bukan untuk berseronok memperkatakannya. Kerana itulah hasil pengamalan Islam melahirkan buah dan natijah yang sangat indah.
Sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud, nak dunia mesti dengan ilmu, mahukan akhirat pun perlukan ilmu. Mahukan kedua-keduanya pun perlukan ilmu. Ilmu yang diperlukan disini ialah ilmu yang boleh membimbing untuk menuju Allah dan akhirat. Ilmu yang akan diamalkan dalam kehidupan.
"Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan." Al Mujadalah :11
Ilmu juga membezakan seseorang manusia yang beriman. Orang yang beriman, ilmu mereka tidak seperti ilmu awwamul muslimin. Ilmu mereka dilaksanakan dalam kehidupan seharian. Disinilah membezakan darjat manusia yang beriman dengan yang lainnya, kerana ilmunya. Sepertilah firman Allah itu tadi. Kerana ilmu bukan hanya bahan kajian atau bahan fikiran semata. Malah ilmu itu turut akan dihisab di akhirat kelak.
"Sesungguhnya yang takut kepada Allah di kalangan hamba-hambanya ialah ahli-ahli ilmu (ulama)." Al-Fathir : 28
Menurut Abuya, ahli-ahli ilmu yang takutkan Allah ini ialah mereka yang beramal dengan ilmunya. Seorang pemimpin perlukan ilmu, yang membantunya memimpin dan menyelesaikan masalah bawahannya. Ilmu-ilmu tersebut bukan ilmu rekaan akal yang seronok berfikir, namun ia berasal dari Quran dan Sunnah, Ijma Ulama dan Kias.
Dari situ jugalah Abuya menamakan anak-anaknya atau keluarganya dengan nama-nama tokoh Islam. Supaya lahir dan batin mereka menyalin peribadi tokoh-tokoh ulama mujaddid, para sahabat, atau tokoh-tokoh dalam Islam.
Sejarah juga mencatat, wali-wali Allah yang diberikan ilmu laduni atau ilham atau ilmu rasa ini, pada asasnya mereka menguasai ilmu-ilmu lahir ini. Hasil pengamalan ilmu-ilmu yang berteraskan Quran, Sunnah, Ijma Ulama, dan Kias, maka Allah turunkan kepada mereka ilmu ilham atau ilmu rasa ini. Mana mungkin ilmu ilham atau ilmu rasa didapati tanpa melalui proses-proses mendapatkan ilmu-ilmu lahir yang bersandarkan Quran dan Sunnah, Ijma Ulama dan Kias. Ilmu-ilmu dalam pegangan Ahli Sunnah Waljamaah tidak lari dari sumber-sumber ini.
Lihatlah sejarah Abuya dan Sayyidi, bagaimana mereka sangat menguasai ilmu-ilmu dalam Islam. Sebab itulah mereka tidak dapat dipermainkan musuh-musuh mereka walaupun difitnah dan dikata. Kerana pada asasnya, mereka sangat menguasai ilmu-ilmu yang diiktiraf dunia Islam am-nya.
Sedikit panduan dari sejarah Sayyidi yang boleh dijadikan panduan buat kita dalam menilai diri kita.
"Adapun Syeikh Suhaimi (hafizah-Ullah) ketika bermukim dan menahun di Mekah Al-Mukarramah itu setiap hari tidak ketinggalan mengaji dan belajar berbagai-bagai ilmu pengetahuan untuk meneruskan atau menyambungkan pengajiannya yang telah lalu, seperti ilmu-ilmu Nahu, Saraf, Fikih, Tafsir Al-Quran, Hadits, Tauhid, Usul Fikih, Falak, Sejarah IsIam, dan lain-lain ilmu lagi.
Adapun setengah daripada guru-gurunya dan masyaikh-masyaikhnya waktu ia berada di Mekah Al-Mukarramah itu ialah: Maulana Saiyid Ahmad Dahlan (Mufti Mekah), Maulana Saiyid Bakri Syatta, Maulana Syeikh Nawawi Bantan, Maulana Saiyid Abdullah Zawawi, dan lain-lain masyaikh lagi dari bangsa Mekah, Mesir dan Jawa.
Sanya, setelah Allah Ta'ala mengurniakan fahaman kepada Syeikh Suhaimi terhadap ilmu-ilmu Syari'at dan ilmu-ilmu lain sebagaimana yang telah tersebut itu maka Syeikh Suhaimi telah berasa pula ingin hendak menuntut ilmu Tasauwuf dan ilmu Hakikat serta ilmu-ilmu yang mensucikan hati (atau roh) dan ilmu-ilmu yang menyatakan berkenaan adab dan kelakuan para Wali-wali Allah dan orang-orang yang salih.
Tetapi ilmu-ilmu yang seperti itu tidak mudah tercapai dan tidak lekas mendatangkan hasilnya melainkan hendaklah juga disertakan dengan menjauhkan diri daripada tarikan dunia, banyak berpuasa dan mengurangkan makan, banyak berjaga dan beribadat selepas tengah malam, dan juga banyak menziarah makam para Wali-wali Allah dan orang-orang salih, dan lebih lebih lagi makam Rasul-rasul dan Nabi-nabi ('alaihimus-salatu-wassalam) serta mendapatkan guru yang layak.
Syeikh Suhaimi telah mulalah meninggalkan pakaian-pakaian yang lawa atau ranggi kerana pakaian-pakaian yang seperti itu boleh mendatangkan perasaan 'ujub, ria' dari takabbur. Dan begitu juga tentang makanminumnya itu telah dikurangkan olehnya sedikit demi sedikit hingga beras sebanyak sepikul itu cukup dimakan oleh dirinya dan isterinya selama setahun sebagaimana telah dikatakan dahulu itu."
Jelaslah daripada kisah Sayyidi tadi, sebelum beliau dianugerahkan ilmu-ilmu hati atau ilmu rasa ini, beliau sangat mengusahakan ilmu-ilmu agama. Mana mungkin orang yang tidak sukakan ilmu agama atau tiada latarbelakang ilmu agama akan diberi ilmu ilham atau ilmu rasa ini. Kerana ilmu ini diberikan kepada mereka yang mengusahakan hati yang bertaqwa. Hasil dari usahanya kita boleh lihat pada natijahnya.
Bahkan kata Nabi Muhammad S.A.W., baginda menjatuhkan hukum dengan ilmu zahir (bukti lahir); walaupun baginda dianugerahkan pandangan tembus yang luar biasa, baginda tetap menggutamakan perkara yang lahir, kerana manusia biasa melihat pada lahirnya. Allah menilai hati manusia, yang hati itu menghasilkan sesuatu pada natijahnya. Samada baik atau buruk, bergantung pada hatinya. Baik atau buruk hati tadi, bergantung sejauh mana hati itu mendapatkan ilmu yang membentuk dirinya. Hati yang baik akan menerima ilmu yang baik. Manakala hati yang buruk akan mendapat sesuatu yang setimpal dengannya.
Diriwayatkan oleh At-Tabrani daripada Abu Hurairah,"Seseorang yang berilmu adalah lebih sukar bagi syaitan menipunya berbanding seribu orang abid (ahli ibadah)."
Pesan Rasulullah lagi, "Sesungguhnya amal yang sedikit tetapi disertai dengan ilmu tentang Allah adalah bermafaaat. Sedangkan amal yang banyak disertai dengan kejahilan tentang Allah tidak akan bermanfaat"
Abuya persiapkan keluarganya bukan semberono. Abuya mendidik keluarganya bukan sekadar ilmu rasa semata. Malah sejak dari awal perjuangannya, Abuya sendiri bertindak selaku pengetua madrasahnya. Abuya sendiri mengajar ilmu fekah, tauhid, tasauf, sejarah, bahasa arab, dan lain-lain lagi kepada muridnya.
Kalau ilmu-ilmu yang berlandaskan Quran dan Sunnah, Ijma Ulama dan Kias ini ditolak, sudah pasti tidak memberi manfaat, sepertilah sabda Nabi tadi. Sebab itulah yang berlaku hanya kerosakan sahaja. Hidup tidak bahagia kerana ilmu-ilmu yang diberikan oleh Nabi S.A.W. dengan semudahnya ditolak. Malah ilmu yang berlandaskan akal pula dipegang dan dijadikan pegangan walaupun menjual nama Allah dan Rasul.
Perjuangan ini telah melahirkan generasi demi generasi. Sekiranya generasi sekarang yang ada tidak mempunyai ilmu-ilmu berlandaskan Quran, Sunnah, Ijma dan Kias, bagaimana mahu meneruskan cita-cita besar Abuya? Calon-calon ikhwan itu sendiri bukan sembarangan. Mereka mesti menguasai ilmu-ilmu akhirat, yang sumbernya adalah Quran dan Sunnah, Ijma Ulama dan Kias.
Kalau Quran dikatakan tidak relevan lagi, ilmu mursyid dikatakan sudah luput, pada apakah calon-calon ikhwan ini mahu bersandar? Orang soleh pun iman mereka sekurang-kurangnya iman Ayyan, bukan iman taqlid. Apatah lagi calon ikhwan.
Apakah pilihan atas pilihan ini sama sahaja dengan level awwamul muslimin? Malulah kita kalau awwamul muslimin pun menguasai ilmu Quran dan Hadis, sedangkan pejuang kebenaran hanya bersandar pada akal semata. Apatah lagi pada ilmu yang datang hasil riadhah akalnya. Ingatlah, syaitan sangat mudah merosakkan manusia yang tidak berilmu. Orang yang jahil itu musuh Allah walaupun dia seorang abid.
Ulasan
Catat Ulasan