Langkau ke kandungan utama

UMAT YANG BERDISIPLIN .


TAKUTKAN TUHAN MELAHIRKAN UMAT BERDISIPLIN .


Abuya mendidik keluarga dan pengikutnya mengerjakan sembahyang, tanpa mengharapkan apa-apa selain untuk berbakti kepada ALLAH. Begitu juga dalam berjuang kita dididik tidak mengharap kepentingan apa-apa melainkan untuk berkhidmat kepada Allah Ta’ala. Abuya mendidik kita berjuang sepanjang masa tanpa cuti, bukan secara sambilan. Kita dididik mencari keredhaan Allah Ta’ala dengan memperjuangkan agama Allah Ta’ala dalam bentuk dakwah dan langsung ke medan kehidupan. Sasaran perjuangan ialah agar manusia taat perintah Allah.Agar seluruh manusia di dunia menyembah Allah Ta’ala dan mengikut syari’at Islam. Kerana itu mereka tidak sayang untuk korbankan diri, masa, harta benda dan kaum keluarga serta kampung halaman. 


Kira-kira ramai daripada pengikut-pengikut Abuya bersamanya berdakwah di dalam dan di luar Negara. Ertinya mereka meninggalkan rumahtangga dan kaum kerabat untuk memperjuangkan agama Allah di tempat-tempat lain, hingga akhirnya Abuya berjaya membuka markaz-markaz jemaahnya di merata tempat diseluruh dunia ini. Demikian jadual dan perancangan Abuya At Tamimi dan jemaahnya dalam mengisi hidup yang sementara di dunia. Pekerjaan utama ialah menjadi hamba kepada ALLAH, yakni berkhidmat untuk agama ALLAH manakala kerja-kerja untuk duit, untuk perut dan untuk dunia hanyalah sampingan atau part-time.


Dengan sikap dan pandangan begitu, masyarakat yang Abuya bangunkan menjadi masyarakat yang terkawal, bukan oleh polis, tetapi oleh rasa keimanan kepada ALLAH dan sesama mereka yang bertanggungjawab memperkatakan dan menegakkan kebaikan walau di mana dan ketika apa pun. Masyarakat yang berjuang ialah masyarakat yang memelihara bangsa dan agama daripada tercemar oleh pengaruh luar dan maksiat. Itulah sebagian daripada sifat-sifat atau kebaikan-kebaikan masyarakat yang Abuya didik dalam konteks hubungan dengan ALLAH. Banyak lagi sifat baik pada diri mereka sebenarnya seperti zuhud, warak, taat, patuh, tawadhuk, berbaik sangka, membesarkan Akhirat dan lain-lain akhlak lahir dan batin yang tinggi lagi mulia. 


Dengan sifat-sifat itulah mereka dapat menjadi model ketika umat sudah rosak. Abuya mendidik merujuk masyarakat salafussoleh. Masyarakat para sahabat (salafussoleh) ialah masyarakat yang baik disiplinnya. Samaada disiplin dengan Tuhan atau disiplin dengan manusia. berjaya menerapkan konsep kehambaan (ubuddiyah) terhadap ALLAH dalam hati dan dalam kehidupan lahir mereka. Bila manusia benar-benar sedar bahawa mereka hamba ALLAH, maka manusia akan hanya bertuhankan ALLAH dan menolak apa saja selain-Nya. Ketaatan, pengabdian dan penghormatan hanya pada perintah dan undang-undang ALLAH, dan tidak pada nafsu, syaitan, manusia, dunia dan apa-apa kuasa pun selain ALLAH.


Dan usaha-usaha mereka itu tidak didorong oleh apa-apa kepentingan pun selain untuk mencari keredhaan ALLAH. Masyarakat para sahabat (salafussoleh) hidup untuk berbakti. Berbakti kepada ALLAH dan kepada manusia. Tujuannya semata-mata untuk mencari keredhaan ALLAH dan kebahagiaan Akhirat yang kekal abadi. Inilah sukatan kebaikan mereka, yang kalau dikelaskan secara umum terbahagi kepada dua iaitu:

1. Khidmat (bakti) kepada ALLAH.

2. Khidmat (bakti) kepada sesama manusia.

KHIDMAT DENGAN ALLAH
 
Dengan hati yang begitu dekat dengan ALLAH mereka sangat ingin melakukan khidmat bakti kepada-Nya dengan cara:
 
1.     Sembahyang
Sembahyang para sahabat bukan saja sembahyang yang baik (khusyuk) tapi juga banyak. Paling kurang sembahyang mereka sehari semalam 100 rakaat. Bermacam-macam sembahyang sunat yang mereka lakukan siang dan malam. Al Quran menceritakan hal mereka. Maksudnya:  Perut mereka jauh dari tempat tidur (mereka tidak tidur pada waktu biasa orang tidur, untuk mengerjakan sembahyang malam) sedang mereka berdoa kepada Tuhan dengan rasa takut dan harap, serta mereka menafkahkan apa apa rezki yang Kami berikan.
(As Sajadah: 16)

Dengan hati yang cinta ALLAH mereka tidak jemu dan letih bersembahyang. Malah mereka merasa memperoleh kekuatan dengan sembahyang itu. (Bukan untuk dapat pahala atau fadhilatnya saja).

2.     Baca Al Quran
Masyarakat para sahabat (salaffussoleh) dapat menjadikan Al Quran sebagai bahan bacaan harian mereka. (Macam kita baca surat khabar). Bukan saja mereka dapat faham dam menghayati serta mendapat petunjuk daripada Al Quran, tapi yang aneh mereka juga dapat mengulang-ulang bacaan itu sebanyak mungkin tanpa jemu dan letih. (Kita baca surat khabar pun setakat satu pusingan saja, lepas tu tolak ke tepi). Tidak keterlaluan rasanya kita umpamakan sukanya para sahabat membaca Al Quran sebagaimana sukanya kita membaca warkah utusan daripada kekasih hati. Mereka menganggap Al Quran daripada ALLAH itu sebagai bingkisan daripada kekasih mereka, sebab itu mana mungkin mereka jemu untuk mengulangnya berkali-kali. Sesetengah mereka dapat khatam Al Quran dalam masa dua hari. Ada yang satu minggu sekali khatam. Dan rata-rata satu bulan sekali.


Mereka baca Al Quran sambil menangis malah sewaktu-waktu pingsan dan ada yang mati kerana takut dan terkejut dengan berita Al Quran. Para sahabat (salafussoleh) menganggap tidak ada bahan bacaan yang lebih penting daripada Al Quran. Tidak ada yang lebih besar, lebih luas skop ilmunya dan lebih hebat daripada Al Quran. Sesuailah dengan firman ALLAH yang menceritakan kehebatan Al Quran:

Maksudnya: Dan sekiranya ada suatu bacaan (kitab suci) yang dengan bacaan itu gunung-gunung dapat digoncangkan atau bumi jadi terbelah atau kerananya orang-orang yang sudah mati dapat berbicara, (maka itulah Al Quran). Sebenarnya segala urusan itu adalah kepunyaan Allah. Maka tidakkah orang-orang yang beriman itu mengetahui bahwa seandainya Allah menghendaki (semua manusia beriman), tentu Allah memberi petunjuk kepada manusia semuanya. Dan orang-orang yang kafir senantiasa ditimpa bencana disebabkan perbuatan mereka sendiri atau bencana itu terjadi dekat tempat kediaman mereka, sehingga datanglah janji Allah. Sesungguhnya Allah tidak menyalahi janji.
(Ar Ra’d. 31)


Mereka cukup dengan Al Quran. Membaca Al Quran bermakna membaca segala-galanya dan mengetahui segala-galanya pula. (Sebab mereka faham erti dan tafsiran ayat-ayat itu). Dengan Al Quran mereka dapat mengetahui rahsia bumi, langit, dan dan Akhirat. Mereka baca bukan untuk fadhilat, berkat dan pahalanya saja, tapi lebih daripada itu. Al Quran menjadi sumber hukum, petunjuk hidup, penguat keyakinan, pendorong kesungguhan berjuang dan berjihad, penghidup fikiran dan hati, serta segala-galanya. Para sahabat benar-benar berpendidikan Al Quran dalam hidup dan tindakan mereka. Sebab itu mereka menjadi umat yang terpimpin dan senantiasa mendapat dorongan dan daya juang untuk melaksanakan kebaikan dan semua undang-undang ALLAH.

Sebab itulah sekumpulan ahli fikir Yahudi yang berazam untuk melemahkan umat Islam telah sepakat mengatakan bahawa cara yang paling berkesan untuk melumpuhkan umat Islam ialah dengan memisahkan mereka daripada Al Quran. Musuh-musuh ALLAH itu tahu bahawa selagi Kitab ALLAH dijadikan panduan dan pegangan, selama itu umat Islam tidak akan lemah dan tidak boleh dipermainkan.


3.     Zikrullah
Demi cinta kepada ALLAH , para sahabat (salafussoleh) sangat asyik dengan ALLAH. Rindu dan kasih cinta mereka kepada ALLAH melebihi cinta kasih kepada selainNya. Sebab itu mereka sentiasa berada dalam zikrullah (mengingati ALLAH). Mereka inilah yang ALLAH maksudkan dengan firman-Nya:
Maksudnya:  Mereka yang sentiasa mengingati ALLAH pada waktu berdiri, duduk dan baring, dan mereka omemikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka. 
(Ali Imran: 191)


Dalam apa saja keadaan mereka terkenangkan ALLAH. Tetapi mereka berzikir bukan untuk dapat fadhilat seperti hendak menjadi kebal, dapat terbang seperti burung atau berenang seperti ikan. Ibarat kita terkenang-kenang dan terbayang-bayang orang yang kita cintai. Bukankah itu tanpa satu kepentingan pun selain kerana cinta yang mendalam? Begitulah para sahabat (salafussoleh) terhadap Allah Ta’ala. Kerana mereka sangat kenal ALLAH, nampak kehebatan-Nya dan terasa benar kebaikan dan jasa bakti-Nya, maka lahirlah cinta suci kepada-Nya. Allah Ta’ala sebagai membalas ingatan hamba-Nya, telah menjanjikan sesuatu yang sangat mahal.


Firman-Nya:

Maksudnya: (Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, dengan mengingati ALLAH itu hati menjadi tenang.
(Ar Ra’d: 28)
Dan para sahabat (salafussoleh) telah memperoleh apa yang ALLAH janjikan itu. Dengan banyak mengingati ALLAH, ALLAH mempermudahkan urusan hidup lahir batin mereka yang kerana itu mereka memperolehi ketenangan hidup (ketenangan hati) dan dapat membentuk masyarakat yang tenang serta aman. Firman ALLAH:

Maksudnya:  Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” 
(Ibrahim: 7)


Selain itu zikrullah juga boleh menggilap hati (melembutkan hati). Dengan zikrullah, kita mengikis segala mazmumah yang berkarat di jiwa. Bila berzikir, kita memasukkan mahmudah dan membuang segala mazmumah (penyakit hati) seperti hasad dengki, sombong, bakhil, tamak, gila dunia, dendam, penakut, riak, ujub, pemarah dan lain-lain. Dengan ‘pil’ zikir, nafsu jadi lemah dan syaitan akan lari. Sebab itu masyarakat yang kuat berzikir ialah masyarakat yang aman daripada gangguan mazmumah, nafsu dan syaitan. Mereka hidup bersama hati yang bersih (sufi) dalam keadaan saling berbaik-baik dan timbang rasa. Sebab itu para sahabat selamat daripada maksiat dan mungkar.


4.     Puasa
Para sahabat (salafussoleh) adalah orang-orang yang tidak takut dan bimbang dengan puasa-puasa sunat apalagi wajib. Mereka tidak merasa rugi atau letih dengan berpuasa malah mereka rasa bersyukur kerana dapat menundukkan nafsu semata-mata mencari keredhaan ALLAH. Dengan itu mereka rasa lebih khusyuk dan bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadah dan kerja-kerja harian.
Sebagian para sahabat (salafussoleh) ada yang berpuasa seperti puasa Nabi Daud a.s, satu hari berpuasa satu hari berbuka. Ada yang berpuasa dua hari dalam seminggu, Senin dan Khamis. Ada yang membanyakkan puasa pada bulan-bulan baik seperti Rejab, Syaaban dan Syawal. Paling kurang dari mereka berpuasa tiga hari sebulan, Pada awal, pertengahan dan hujung bulan. Masyarakat yang ahlinya rajin berpuasa ialah masyarakat yang kuat mujahadah dengan kerakusan nafsu dan kegilaan terhadap dunia. Bila kerakusan nafsu dan kegilaan terhadap dunia dapat dilemahkan, manusia tidak akan bercakaran dan berkrisis lagi. Mereka akan tenang dan aman daripada perebutan dan perlumbaan untuk saling menjatuhkan. Inilah caranya masyarakat para sahabat (salafussoleh) dapat menegakkan kebaikan (makrufat) di kalangan mereka.


5.     Berjuang dan berjihad
Masyarakat para sahabat (salafussoleh) adalah masyarakat yang bekerja siang dan malam untuk ALLAH. Malam beribadah (sembahyang, zikir dan baca Al Quran) dan siangnya bergelanggang di tengah manusia untuk mengembangkan Islam, mentadbir masyarakat serta mengendalikan kehidupan secara islam.
“Beribadah waktu malam, berjuang pada waktu siang.”
Orang yang dikatakan asyik dengan ALLAH itu bukanlah orang yang sepanjang masa duduk di masjid, surau dan pondok. Para sahabat (salafussoleh) membagikan masa mereka untuk khidmat kepada ALLAH dalam berbagai-bagai bentuk. Seperti sembahyang, berjuang juga adalah satu bentuk pengabdian dan pengorbanan untuk ALLAH. Sebab kedua-duanya adalah perintah ALLAH. Oleh itu para sahabat tidak melebihkan yang satu daripada yang lain, tidak sembahyang saja dan tidak berjuang saja. Dalam mengerjakan sembahyang, mereka tidak mengharap apa-apa selain untuk berbakti kepada ALLAH. Begitu juga dalam berjuang mereka tidak mengharap kepentingan apa-apa melainkan untuk berkhidmat kepada Allah Ta’ala.


Mereka berjuang sepanjang masa tanpa cuti, bukan secara sambilan. Mereka mencari keredhaan Allah Ta’ala dengan memperjuangkan agama Allah Ta’ala dalam bentuk dakwah dan langsung ke medan perang. Sasaran perjuangan ialah manusia, agar seluruh manusia di dunia menyembah Allah Ta’ala dan mengikut syari’at islam. Kerana itu mereka tidak sayang untuk korbankan diri, masa, harta benda dan kaum keluarga serta kampung halaman. Kira-kira 2/3 daripada sahabat Rasulullah dimaqamkan di luar Semenanjung Tanah Arab. Ertinya mereka meninggalkan rumahtangga dan kaum kerabat untuk memperjuangkan agama Allah di tempat-tempat lain, hingga akhirnya mereka berkubur di merata tempat. Islamnya orang-orang Cina di Negeri China adalah kerana perjuangan Saad Abi Waqas, Qutaibah bin Muslim, dan Abdullah Al Bahili.


Demikian jadwal dan perancangan para sahabat (salafussoleh) dalam mengisi hidup yang sementara di dunia. Pekerjaan utama ialah menjadi hamba kepada ALLAH, yakni berkhidmat untuk agama ALLAH manakala kerja-kerja untuk duit, untuk perut dan untuk dunia hanyalah sampingan atau part-time. Dengan sikap dan pandangan begitu, masyarakat para sahabat (salafussoleh) menjadi masyarakat yang terkawal, bukan oleh polis, tetapi oleh rasa keimanan kepada ALLAH dan sesama mereka yang bertanggungjawab memperkatakan dan menegakkan kebaikan walau di mana dan kapanpun. Masyarakat yang berjuang ialah masyarakat yang memelihara bangsa dan agama daripada tercemar oleh pengaruh luar dan maksiat. Sebab itu para sahabat (salafussoleh) berjaya mempertahankan kebaikan umat dan kurang berkrisis.


Itulah sebagian daripada sifat-sifat atau kebaikan-kebaikan masyarakat para sahabat (salafussoleh) dalam konteks hubungan dengan ALLAH. Banyak lagi sifat baik pada diri mereka sebenarnya seperti zuhud, warak, taat, patuh, tawadhuk, berbaik sangka, membesarkan Akhirat dan lain-lain akhlak lahir dan batin yang tinggi lagi mulia. Dengan sifat-sifat itulah mereka dapat menjadi umat contoh sepanjang zaman.

 
KHIDMAT DENGAN MASYARAKAT (MANUSIA)
ALLAH berfirman:

Maksudnya: Akan ditimpa kehinaan di mana saja mereka berada kecuali yang mengadakan hubungan dengan ALLAH (hablumminallah) dan hubungan dengan manusia (hablumminannas), dan mereka kembali mendapat kemurkaan dari Allah dan mereka diliputi kerendahan. Yang demikian itu kerana mereka kafir kepada ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi tanpa alasan yang benar. Yang demikian itudisebabkan mereka durhaka dan melampaui batas.
(Ali Imran: 112)

Demikianlah sebenarnya ALLAH mengatur satu sistem kehidupan yang menjamin keselamatan di dunia dan Akhirat. Menyimpang daripada kaedah ini bererti memilih kehinaan di dunia dan Akhirat. Ertinya Islam meminta umatnya setiap masa hidup menghubungkan diri dengan ALLAH dan juga dengan sesama manusia. Mencuaikan salah satu atau kedua-duanya sekaligus bererti menempah kehinaan di mana-mana.


Demikianlah masyarakat para sahabat (salafussoleh) yang kerana faham ajaran Islam dan kerana ketaatan pada Al Quran, tidak mencuaikan urusan-urusan kemasyarakatan, sekalipun mereka sibuk beribadah kepada ALLAH. Sembahyang, zikir, baca Al Quran dan puasa tidak menghalang mereka daripada berjuang membangunkan urusan masyarakat. Malah sebenarnya kekuatan dan kesungguhan untuk memperjuangkan nasib masyarakat diperolehi daripada iman, sembahyang, zikir dan puasa mereka. Sesuailah dengan perintah Rasulullah SAW:
Maksudnya:  Beramallah untuk dunia seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya. Dan beramallah untuk Akhiratmu seolah-olah kamu akan mati esok hari.
(Riwayat: Ibnu ‘Asakir)
Di antara khidmat-khidmat masyarakat yang mereka perjuangkan ialah:

1.     Pendidikan.
Umat Islam pada zaman para sahabat (salafussoleh) merupakan pencinta-pencinta ilmu dan pengkaji-pengkaji yang menguasai bidang ilmu pengetahuan dan pendidikan seluruh manusia pada zaman itu. Pada zaman merekalah ilmu itu berkembang kepada berbagai-bagai bidang seperti ilmu hisab, ilmu falak, ilmu kimia, ilmu pengobatan, ilmu binaan dan lain-lain yang perlu untuk pembangunan lahiriah masyarakat (ilmu fardhu kifayah). Di samping itu lahimya ahli-ahli fiqih, hadits, usuluddin, tafsir, sejarah dan ahli-ahli falsafah yang terkenal ke seluruh dunia hari ini. Masyarakat para sahabat (salafussoleh), karana mencintai ilmu pengetahuan, telah membenarkan ulama’-ulama’ mereka sepenuh masa dengan tugas-tugas pelajaran dan pendidikan, tanpa perlu mencari nafkah hidup. Sebab masyarakat menyumbangkan harta yang banyak kepada baitul mal yang kemudian menjadi sumber ekonomi bagi pejuang-pejuang ilmu seluruhnya. Dengan itu, ulama dan ahli ilmu sibuk mengajar, mengumpul dan mengembangkan ilmu pengetahuan.
Yang tinggal dan kita banggakan hanyalah serangkap kata oleh musuh untuk mengenang jasa besar para sahabat (salafussoleh):
“Kita berterima kasih kepada Islam kerana memulai penerokaan di bidang ilmu pengetahuan yang mana kami tinggal meneruskan saja.”

 
2.     Ekonomi
Pembangunan duniawi tentulah tidak berkembamg tanpa kekuatan ekonomi. Masyarakat manapun juga kalau mau menegakkan dan mengukuhkan masyarakat mesti memikirkan dan merangkakan satu sistem ekonomi yang kemas dan berkesan. Begitulah halnya dengan masyarakat para sahabat (salaffussoleh). Sistem ekonomi mereka adalah sistem yang lahir dari hati yang luhur, yang beriman, yang cinta Akhirat dan yang rela miskin di dunia kerana merebut kekayaan di Akhirat. Mereka berjaya menegakkan satu sistem ekonomi yang cukup bersih, yang tidak mampu lagt ditegakkan oleh ahli-ahli ekonomi seluruh dunia hari ini.


Yang menjadi bank kepada masyarakat para sahabat (salafussoleh) bukanlah institusi-institusi keuangan kerajaan atau badan-badan swasta yang kaya raya (yang mau melebihkan kekayaan mereka melalui perputaran uang orang-orang kaya, manakala orang miskin tidak perhitungkan dalam kaidah percaturan ekonomi mereka). Juga, bank-bank para sahabat (salafussoleh) bukanlah bangunan gagah perkasa yang terletak di pekan-pekan besar dengan megahnya. Tapi masyarakat para sahabat (salafussoleh) berjaya menjadikan tiap-tiap individu mereka yang kaya, sebagai ‘bank’ kepada masyarakatnya. Dan rumah-rumah mereka itulah yang menjadi tempat proses perputaran dan penggunaan uang mereka. Ertinya kalau waktu itu ada seratus orang kaya maka seratus buah banklah yang ada. Kalau ada seribu orang kaya, seribu buah banklah yang ada, bertempat di berbagai kampung dan bandar yang ada manusia.


Tujuan bank mereka pun bukan untuk menyimpan duit orang berada, memberi pinjaman dengan cagaran dan mengenakan kadar bayaran kembali yang berganda-ganda. Bank-bank para sahabat (salafussoleh) ialah bank yang akan mengeluarkan uang untuk keperluan umat islam yang miskin, untuk membangunkan apa-apa kepentingan pada masyarakat serta untuk tabung jihad fisabilillah. Ertinya bank bukan untuk menyimpan duit tapi untuk mengeluarkan duit. Bank bukan menjaga kepentingan individu tetapi menjaga kepentingan masyarakat dan agama. Kapanpun orang miskin boleh pergi ke ‘bank’ untuk mendapatkan duit, tanpa pinjaman atau cagaran. Bila-bila juga masyarakat perlukan uang, bank-bank senantiasa terbuka untuk mengisi keperluan itu.


Masyarakat para sahabat (salafussoleh) tidak perlu membuat hubungan dan kerjasama ekonomi dengan orang kafir untuk menampung keuangan mereka. Apalagi untuk berhutang dan mengadu nasib kepada musuh-musuh ALLAH. Harga diri umat islam dan peraturan (undang-undang) ALLAH lebih mahal daripada duit yang diambil daripada orang kafir. Sebab itu masyarakat para sahabat (salafussoleh) berdiri sendiri malah bisa juga memayungi masyarakat lain melalui sistem ekonomi yang ditunjukkan oleh islam.
Sebenarnya dalam masyarakat manapun ada orang kaya dan ada orang miskin. Tidak ada rasanya di dunia ini satu masyarakat yang anggotanya semua miskin atau semua kaya-kaya. Sebagaimana tidak ada satu masyarakat yang semua anggotanya cantik, pandai dan sempurna belaka. Selalunya ada yang cantik, ada yang hodoh, ada yang pandai, ada yang bodoh ada yang sempurna dan ada yang cacat. Itulah sunnatullah, sebagaimana firman-Nya:

Maksudnya:  ALLAH-lah yang melapangkan rezeki bagi siapa yang la kehendaki dan menyempitkannya bagi siapa yang la kehendaki. Mereka bergembira dengan kehidupan di dunia, padahal kehidupan dunia itu (dibanding dengan) kehidupan akhirat, hanyalah kesenangan (yang sedikit).
 
(Ar Ra’d: 26) 

Maksudnya: Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa – bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. 
(Al Hujurat: 13)
Kalaulah manusia hanya terdiri dari satu bangsa, bagaimana lagi kita bisa menyaksikan berbagai ragamnya dunia ini? Atau kalau manusia setaraf semuanya, dengan cara apa untuk kita saling berhubungan?
Tujuan ALLAH jadikan kedudukan miskin kaya misalnya, ialah supaya manusia dapat membina hubungan persaudaraan melalui saling memberi dan menerima antara mereka. Yang kaya memberi kepada yang miskin. Perintah agar rezeki pemberian ALLAH (kepada orang kaya) itu dibelanjakan terdapat banyak sekali dalam Al Quran malah di awal-awalnya. Firman-Nya:

Maksudnya: Kitab ini (Al Quran) tidak syak lagi ianya sebagai petunjuk pada orang yang bertaqwa. Iaitu mereka yang beriman dengan yang ghaib, yang mendirikan sembahyang dan yang membelanjakan apa yang Kami kurniakan kepada mereka.
(Al Baqarah: 2-3)


Sesudah beriman, dan mengerjakan sembahyang, orang yang bertaqwa itu membelanjakan rezeki yang ALLAH kurniakan kepada mereka di jalan yang ALLAH perintahkan. Ertinya, orang yang bersembahyang dan yang beriman itu orang yang pemurah, yang lebih suka memberi daripada menerima. Kerana cinta kepada ALLAH, membesarkan Akhirat dan saling berkasih sayang antara sesama manusa, mereka tidak menyimpan harta tapi membelanjakannya kerana ALLAH, untuk simpanan Akhirat. Demikianlah para sahabat (salafussoleh). Kerana dorongan iman yang kuat, mereka menjadi orang yang suka memberi, sanggup susah kerana orang lain dan menjaga kepentingan masyarakat dan agama lebih daripada kepentingan sendiri. Pada waktu-waktu ujian kelaparan melanda mereka, semua mau menjadi orang yang mula-mula kelaparan, kerana menjaga kepentingan saudara yang lain. 


Manakala bila rezeki datang pada mereka, mereka semua rela menjadi orang yang terakhir merasa kenyang, juga kerana memikirkan keselamatan saudara yang lain. Bila dikatakan orang kaya memberi, tidak bermakna orang miskinnya gelojoh pula menerima dan meminta-minta. Kerana iman juga, orang miskin pada zaman para sahabat (salafussoleh) bersikap redha, sabar dan tenang dalam kemiskinan. Kerana iman, mereka yakin dan berharap untuk kaya di Akhirat. Sebab itu sebagian mereka sengaja menempah miskin sekalipun peluang untuk kaya itu terbuka. Dengan manusia-manusia yang berhati begitu, kerajaan para sahabat (salafussoleh) tidak menghadapi kesulitan untuk mentadbir negara dan masyaraka mereka. Malah keutuhan ekonomi mereka memaksa orang kafir di zamannya menyandar nasib kepada orang Islam. Para sahabat (salafussoleh) menjadi tuan kepada manusia-manusia lain di seluruh dunia waktu itu. Dan martabat setinggi itu datang daripada kekuatan yang bersumberkan iman dan ibadah yang sungguh-sungguh kepada Allah Ta’ala.




3.     Kemudahan pemusafir
Masyarakat para sahabat (salafussoleh) sangat memikirkan kepentingan bersama umat Islam. Pada zaman mereka, di mana-mana saja disediakan rumah musafir dan perigi musafir yang diwakafkan oleh orang-orang yang mampu. Jadi, waktu itu tidak ada musafir yang terbiar. Mereka senantiasa menjadi tetamu di mana saja mereka sampai.Demikianlah Islam dan umatnya memberi keselamatan kepada manusia, khusus kepada sesama Islam. Tidak berlaku dalam masyarakat Islam penganiayaan terhadap manusia lain. Sebaliknya di mana-mana juga masyarakat Islam membela dan memberi kemudahan kepada saudara se-Islam.
Itulah sebagian gambaran kehidupan masyarakat para sahabat (salafussoleh). Masyarakat didikan Rasulullah dan para sahabat. Masyarakat yang cinta ALLAH dan membesarkan Akhirat lebih daripada dunia. Dengan hati yang sufi (bersih daripada segala mazmumah), terbinalah satu sistem masyarakat dan negara yang benar-benar aman dan makmur. Firman ALLAH:

Maksudnya: Sesungguhnya bagi kaum Saba’ ada tanda (kekuasaan Tuhan) di tempat kediaman mereka yaitu dua buah kebun di sebelah kanan dan di sebelah kiri. (kepada mereka dikatakan): “Makanlah olehmu dari rezki yang (dianugerahkan) Tuhanmu dan bersyukurlah kamu kepada-Nya.Negara yang aman makmur dan mendapat keampunan ALLAH.
(Saba’: 15)
 
Sistem politik, ekonomi, sosial, pendidikan, pengobatan, perhubungan dan segala yang mereka tegakkan, bersih daripada segala bentuk mungkar dan maksiat. Asas atau dasar bagi semua sistem ini ialah iman yang kuat. Para sahabat (salafussoleh) tidak memulai pembangunan masyarakat berdasarkan ekonomi yang teguh atau politik atau ibadah atau pendidikan atau lain-lainnya, tetapi memulainya dengan menanam iman ke dalam hati setiap anggota masyarakat. Dengan iman, akan lahirlah segala bentuk akhlak dan kehidupan yang telah dipaparkan di atas.
 

Setelah manusia kenal, cinta dan takutkan Tuhan. Setelah manusia mengutamakan hidup Akhirat. Setelah mereka yakin bahawa kejahatan yang dibuat di dunia akan dibalas di Akhirat, kekal abadi seksanya tidak terperi, maka manusia pun takut hendak membuat salah dan maksiat, kecuali sedikit sekali. Ini bukan satu yang dongengan, ia telah berlaku di dalam sejarah selama 300 tahun yang dikatakan zaman Salafussoleh. Zaman selepas Salafussoleh itulah yang kita hendak ulangi, berdasarkan kaedah yang sama (Cintakan Tuhan, takutkan Tuhan, cintakan hidup di Akhirat). Nanti hasilnya sama, kerana kaedahnya sama. InsyaAllah. 
 



 










Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MENGENAL ABUYA.

Siapakah Abuya? Mengapa kita perlu kenal dia? Kita perlu mengenalinya dengan tepat supaya kita faham dia, faham pemikiran, perasaan, perbuatan dan perjuangannya. Tak kenal maka tak cinta. Jika tak cinta maka tak bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan Islam yang Abuya perjuangkan. Kenapa banyak orang yang mengaku cinta Abuya, tapi bila berlaku ujian jadi keliru lalu meninggalkan perjuangan Abuya, bahkan ada yang membenci dan memusuhi Abuya?  Sebenarnya mungkin pengenalan mereka tentang Abuya tak tepat, tak jitu. Mungkin kenal pada sudut-sudut tertentu sahaja.  Maklumlah minat setiap orang tak sama. Ada yang minat perniagaan, maka dia sangat terinspirasi dengan sistem ekonomi yang Abuya lagangkan. Ada yang minat pendidikan, maka dia sangat respek Abuya dari sudut pendidikan. Ada yang minat poligami, maka dia sangat nak belajar pada Abuya bagaimana nak buat poligami yang harmoni. Ada yang minat cara susun kasut ala Abuya, maka dia pun ikut disiplin susun kasut itu. Ada ...

NEGARA SYAM.

NEGARA SYAM (JORDAN, PALESTIN,HEBRON, SYRIA) Negara Jordan menjadi tempat transit bagi Abuya sebelum meneruskan perjalanan ke negara negara lain. Jordan juga dikenali dengan bumi Anbiya. Jordan juga banyak meninggalkan kesan  peninggalan purba yang berusia  ribuan tahun. Ia banyak di Jordan atau dulu dikenali dengan negeri Syam. Wilayah Syam zaman kebangkitan pertama mengandungi Jordan, Palestin, Lubnan dan Syria. Di era kebangkitan kali kedua Syam telah terpecah kepada empat negara. Ia dilakukan oleh penjajah. Kini terdapat negara Jordan, Palestin, Lubnan dan Syria secara berasingan satu sama lain. Jordan era terkini dikenali dengan Kerajaan Hasyimiyah Jordan, (Hashemite Kingdom of Jordan) atau lebih dikenali dengan nama Jordan sahaja  merupakan sebuah negara Arab yang terletak di Asia Barat (dulu dianggap Timur Tengah) bersempadan dengan negara-negara Arab yang lain. Ia terletak pada koordinat 34-29 Utara 35-39 Timur iaitu di se...

KEBANGKITAN ISLAM AKHIR ZAMAN.

KEBANGKITAN ISLAM AKHIR ZAMAN. Allah telah mengkhabarkan kepada kita melalui lidah Rasul-Nya bahawa Allah telah ‘set’kan satu Jadual Allah SWT untuk umat yang datang sesudah wafatnya Nabi akhir zaman. Itulah kasih sayang Allah dan Rasul-Nya kepada umat Islam, yang untuk mereka tidak ada lagi nabi dan rasul.Maka diceritakan lah perkara-perkara yang bakal terjadi sama ada yang positif atau negatif. Dengan mengetahui dan memahami jadual itu, umat Islam terpandu atau terpimpin untuk menghadapi dan menerima takdir yang bakal berlaku. Antara jadual yang dimaksudkan itu ialah, Rasulullah SAW bersabda: Yang artinya : "Telah berlaku Zaman Kenabian ke atas kamu, maka berlakulah zaman kenabian sebagaima­na yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkat zaman itu. Kemudian berlakulah Zaman Kekhalifahan (Khulafaur Rasyidin) yang berjalan seperti zaman kenabian. Maka berlakulah zaman itu sebagaimana yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkat nya. Lalu berlakulah zaman...