Erti mengenal Tuhan
Mengenal Tuhan ertinya mengenal tujuan mati dan hidup
Kerana Tuhanlah kita hidup dan mati
Mengenal Tuhan ertinya mengenal tempat rujuk,
Mengenal tempat berlindung, mengenal tempat menyerah diri,
mengenal tempat mengadu, mengenal tempat bermanja.
Mengenal Tuhan ertinya mengenal perbuatan Tuhan ke atas diri kita
Semuanya yang berlaku pada diri kita adalah mengandungi hikmah
dan pengajaran yang berguna
Apabila mengenal Tuhan barulah kita rasa seronok melaksanakan syariat-Nya
Dengan syariat-Nya kita akan selamat dan menyelamatkan
Kerana syariat itu adalah disiplin kehidupan
Disiplin adalah sangat diperlukan oleh setiap insan
Dengan disiplin manusia hidup teratur
Setiap masa ada program yang tertentu untuk faedah manusia
Masa tidak terbuang, setiap ruang masa ada jadual hidup yang berguna
Dengan syariat manusia hormat-menghormati satu sama lain
Dapat bekerjasama sama ada secara langsung mahupun tidak secara langsung
Kemajuan pun terbangun, hidup berkasih sayang dan harmoni juga wujud
Berlakulah maaf-bermaafan, bertolak ansur, berlapang dada sesama manusia
Syariat mendisiplinkan manusia hidup secara bersih, rajin dan cergas
Bersih daripada pengkhianatan, penzaliman,
daripada jatuh-menjatuhkan, daripada rasuah
Setiap orang ingin hidup bersih,
maka terjauhlah segala maksiat dan jenayah
Apabila bersyariat bertunjangkan iman kerana Tuhan telah dikenal
Dari syariat lahirlah akhlak yang mulia dan peribadi yang tinggi moralnya
Akhlak yang mulia itulah pendorong perpaduan,
kedamaian, kasih sayang dan keharmonian
Maka berlakulah manusia di dunia seolah-olah satu keluarga
Ini telah pernah berlaku di dalam sejarah
Terutama di zaman Rasulullah SAW yang begitu indah.
2.7.2000
Menjelang tidur
Tulisan ini adalah sajak yang ditulis oleh Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi
Ulasan
Catat Ulasan