Langkau ke kandungan utama

SELAMATKAN DIRI DAN KELUARGA DARIPADA NERAKA.


 PENDIDKAN ISLAM ADALAH FARDHU AIN.


Pendidikan Islam adalah satu perintah Tuhan kepada ketua keluarga. Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api Neraka. Itulah tujuan utama pendidikan keluarga Islam. Kebanyakan ibu bapa menganggap bahawa sekolah ialah tempat untuk menimba sebanyak-banyak ilmu hingga ke peringkat yang setinggi mungkin. Supaya masa depan anak-anak mereka terjamin dengan mendapat sijil dan ijazah sama ada ijazah pertama, masters atau Phd. Agar mudah bagi anak-anak mereka itu mendapat jawatan yang tinggi dan gaji yang lumayan. Mungkin di celah-celah itu terselit juga maksud supaya ibu, ayah, anak dan keluarga seluruhnya dipandang mulia di sisi masyarakat sebagai keluarga pintar dan berpelajaran. 


Itulah juga asas yang digunakan dalam masyarakat kita bagi mengurniakan anugerah, pujian dan sebagainya. Mithali atau tidak, cemerlang atau tidak atau sama ada ibu, ayah, anak atau keluarga itu boleh dijadikan contoh atau tidak adalah berdasarkan kepada berapa ramaikah anakanak yang berjaya dididik hingga menjadi doktor, jurutera, arkitek, akauntan, pensyarah universiti, peguam dan sebagainya.


Dalam erti kata yang lain, anak-anak dihantar ke sekolah khusus untuk tujuan ekonomi (untuk mendapat kerja) dan bagi tujuan mendapat kemuliaan dan kehormatan di sisi masyarakat. Tidak dapat kita lihat adanya matlamat yang lain selain dari dua matlamat yang disebutkan itu.Oleh yang demikian, samalah ibu ayah kita dengan ibu ayah dalam masyarakat yang bukan Islam seperti di Amerika, United Kingdom, negara-negara Eropah, Jepun, Cina dan sebagainya. 


Ibu ayah di negara-negara tersebut juga menghantar anak-anak mereka ke sekolah kerana tujuan ekonomi dan untuk mendapat kehormatan dan kemuliaan di sisi masyarakat mereka dan tidak lebih dari itu.Sedangkan menuntut ilmu itu diwajibkan oleh Islam. Masakan Islam mewajibkan kita menuntut ilmu hanya supaya kita boleh dapat kerja, dapat gaji yang banyak dan dimuliakan di sisi masyarakat kerana ilmu kita itu. 


Masakan matlamat hukum Islam supaya kita mencari ilmu itu terhenti setakat hal-hal dunia yang remeh-temeh seperti itu. Kalau setakat itulah sahaja matlamatnya, apa perlunya Allah datangkan Islam kepada kita dan apa perlunya diwajibkan pula kita menuntut ilmu. Orang-orang bukan Islam pun boleh faham malah mereka lebih gigih mencari ilmu tanpa payah mereka menganut dan mengamalkan Islam.
Di peringkat negara pula, berdasarkan kepada dasar pendidikan yang diamalkan, warga pelajar dianggap tidak lebih sebagai bahan ekonomi atau buruh ekonomi (economic labour force) yang perlu diajar dan diberi kemahiran supaya mereka boleh digunakan untuk menjana ekonomi negara dalam segala bidangnya sama ada pertanian, perikanan, industri pembuatan, perdagangan, industri perkhidmatan dan lain-lain lagi. 


Inilah perkara pokok yang terkandung dalam dasar pendidikan negara.Kalaupun ada dasar yang berbau atau bersifat kemanusiaan seperti agama, moral atau bina insan, itu adalah untuk menentukan pelajar tidak jadi liar atau jadi jahat supaya mereka tidak mencetuskan huru-hara dan merosakkan sistem yang ada. Ia adalah untuk mempertahan dan menyelamatkan sistem yang ada dan bukan untuk menyelamatkan para pelajar itu sendiri dari kemurkaan Tuhan dan dari seksa api Neraka. Istilah ‘dasar pendidikan’ yang digunakan juga tidak tepat kerana dasar tersebut kurang menekankan hal-hal pendidikan yang sepatutnya membuahkan akhlak tetapi banyak menekankan hal-hal pembelajaran yang bermatlamatkan ilmu semata-mata terutama ilmu dunia atau ilmu akademik.


Inilah keadaan sistem dan matlamat persekolahan yang wujud sekarang di negara kita. Tidak salahlah kalau ada pihak yang menuduh sistem ini sebagai sekular kerana ia tepat dengan takrif sekular itu sendiri. Sekular bermaksud sesuatu yang bermatlamatkan dunia semata-mata tanpa ada apa-apa kaitan langsung dengan Akhirat. Oleh itu, sesuatu mesti dilakukan supaya sistem sekolah kita dapat disusun semula untuk menjadikannya satu sistem yang menjurus kepada Akhirat dan kepada keredhaan Tuhan dan tidak hanya untuk tujuan duniawi dan untuk mencetuskan kemajuan dan pembangunan sahaja. 


Dalam erti kata yang lain, sistem persekolahan kita mesti mampu membina suatu tamadun rohani yang akan membawa kepada kebahagiaan di dunia dan di Akhirat.Tujuan utama pelajaran dan pendidikan dalam Islam bukan semata-mata hendak menguasai berbagai-bagai bidang ilmu tetapi ialah untuk melahirkan insan yang bertaqwa. Iaitu insan yang menjadikan Allah cinta agungnya, akhirat matlamat hidupnya, yang melihat dunia ini semata-mata sebagai tempat untuk bercucuk tanam yang hasilnya diperolehi di akhirat dan agar terselamat mereka dari neraka dan berjaya memasuki syurga. Iaitu insan yang sanggup dan rela berjuang dan berkorban untuk menyampaikan pelajaran serta membangunkan syakhsiah manusia di tengah masyarakat agar ahli-ahli masyarakat juga menjadi insan-insan yang bertaqwa. 


Dalam erti kata yang lain, pendidikan itu adalah untuk melahirkan insan yang mampu mengajak dan menyeru manusia kepada kebajikan dan kebaikan serta untuk menegah dan menghindar mereka dari kejahatan dan kemungkaran (amru bil makruf wanahyun anil mungkar).Dalam Islam, sekolah bukan semata-mata untuk melahirkan ahli ilmu yang bertauliah dengan tujuan untuk makan gaji, untuk sara hidup atau untuk kemegahan dan nama di dunia, tetapi adalah untuk melahirkan orang-orang yang bekerja untuk Tuhan. Orang-orang yang bertanggungjawab menyampaikan ajaran Allah Taala dan memperkenalkan manusia kepada Allah. 


Agar agama Allah diterima oleh manusia dan dapat mengatasi seluruh agama lain di atas muka bumi ini. Agar manusia seluruhnya menyembah Allah yang mencipta mereka dan bukan tuhan-tuhan palsu yang lain atau terus menolak, menafi dan menentang Tuhan.
Ini semua adalah untuk menentukan agar seluruh kehidupan berjalan dengan penuh disiplin, bertolong bantu, bekerjasama dan mengikut syariat Allah supaya akan wujud harmoni dan kasih sayang antara manusia. Begitulah besarnya matlamat dan erti pelajaran dan pendidikan kepada manusia. Ia merupakan roh dan nadi kepada seluruh kehidupan.


Kalau sesuatu sistem pelajaran dan pendidikan itu hanya dapat melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang dalam pelajaran, dapat melahirkan ahli-ahli ilmu di berbagai bidang dan dapat melahirkan cendikiawan-cendikiawan yang terbilang dan tidak lebih dari itu, maka sistem seperti itu dianggap telah gagal oleh Islam. Kerana ia telah melahirkan manusia yang tidak kenal penciptanya dan yang membelakangkan syariat- Nya, yang mengutamakan hidup di dunia melebihi hidup di Akhirat, yang sombong, yang mementingkan diri dan yang gilakan nama dan glamour. Dengan adanya manusia-manusia seperti ini maka akan lahirlah budaya jatuh-menjatuh, fitnahmemfitnah, singgung-menyinggung, umpat-mengumpat dan kata-mengata. Akan timbul huru-hara dalam kehidupan dan manusia akan hilang keamanan dan keselamatan.


Matlamat pelajaran dan pendidikan ialah untuk membolehkan manusia melaksanakan tanggungjawab dan fungsi ianya dicipta oleh Tuhan. Dan tidaklah manusia itu dicipta oleh Tuhan melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Sekiranya sesuatu sistem pelajaran dan pendidikan itu tidak menghasilkan manusia yang pandai mengabdi dan memperhambakan dirinya pada Allah dan sebaliknya pula hanya bertujuan untuk membina hidup di dunia, mengumpul kekayaan dan harta, ingin dipuji dan dimuliakan oleh manusia maka ini telah tersimpang jauh dari tujuan manusia itu diciptakan. 


Kalau kita tidak menepati tujuan kita diciptakan oleh Tuhan, maka sudah barang tentu Nerakalah tempat kembali yang selayaknya. Wal‘iya zubillah.Dalam Islam, sekolah bukan semata-mata untuk melahirkan ahli ilmu yang bertauliah dengan tujuan keduniaan, tetapi adalah untuk melahirkan orang-orang yang bekerja untuk Tuhan.Anak-anak dihantar ke sekolah khusus untuk tujuan ekonomi dan bagi tujuan mendapat kemuliaan dan kehormatan di sisi masyarakat. Tidak dapat kita lihat adanya matlamat utama yang lain selain dari itu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MENGENAL ABUYA.

Siapakah Abuya? Mengapa kita perlu kenal dia? Kita perlu mengenalinya dengan tepat supaya kita faham dia, faham pemikiran, perasaan, perbuatan dan perjuangannya. Tak kenal maka tak cinta. Jika tak cinta maka tak bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan Islam yang Abuya perjuangkan. Kenapa banyak orang yang mengaku cinta Abuya, tapi bila berlaku ujian jadi keliru lalu meninggalkan perjuangan Abuya, bahkan ada yang membenci dan memusuhi Abuya?  Sebenarnya mungkin pengenalan mereka tentang Abuya tak tepat, tak jitu. Mungkin kenal pada sudut-sudut tertentu sahaja.  Maklumlah minat setiap orang tak sama. Ada yang minat perniagaan, maka dia sangat terinspirasi dengan sistem ekonomi yang Abuya lagangkan. Ada yang minat pendidikan, maka dia sangat respek Abuya dari sudut pendidikan. Ada yang minat poligami, maka dia sangat nak belajar pada Abuya bagaimana nak buat poligami yang harmoni. Ada yang minat cara susun kasut ala Abuya, maka dia pun ikut disiplin susun kasut itu. Ada ...

NEGARA SYAM.

NEGARA SYAM (JORDAN, PALESTIN,HEBRON, SYRIA) Negara Jordan menjadi tempat transit bagi Abuya sebelum meneruskan perjalanan ke negara negara lain. Jordan juga dikenali dengan bumi Anbiya. Jordan juga banyak meninggalkan kesan  peninggalan purba yang berusia  ribuan tahun. Ia banyak di Jordan atau dulu dikenali dengan negeri Syam. Wilayah Syam zaman kebangkitan pertama mengandungi Jordan, Palestin, Lubnan dan Syria. Di era kebangkitan kali kedua Syam telah terpecah kepada empat negara. Ia dilakukan oleh penjajah. Kini terdapat negara Jordan, Palestin, Lubnan dan Syria secara berasingan satu sama lain. Jordan era terkini dikenali dengan Kerajaan Hasyimiyah Jordan, (Hashemite Kingdom of Jordan) atau lebih dikenali dengan nama Jordan sahaja  merupakan sebuah negara Arab yang terletak di Asia Barat (dulu dianggap Timur Tengah) bersempadan dengan negara-negara Arab yang lain. Ia terletak pada koordinat 34-29 Utara 35-39 Timur iaitu di se...

KEBANGKITAN ISLAM AKHIR ZAMAN.

KEBANGKITAN ISLAM AKHIR ZAMAN. Allah telah mengkhabarkan kepada kita melalui lidah Rasul-Nya bahawa Allah telah ‘set’kan satu Jadual Allah SWT untuk umat yang datang sesudah wafatnya Nabi akhir zaman. Itulah kasih sayang Allah dan Rasul-Nya kepada umat Islam, yang untuk mereka tidak ada lagi nabi dan rasul.Maka diceritakan lah perkara-perkara yang bakal terjadi sama ada yang positif atau negatif. Dengan mengetahui dan memahami jadual itu, umat Islam terpandu atau terpimpin untuk menghadapi dan menerima takdir yang bakal berlaku. Antara jadual yang dimaksudkan itu ialah, Rasulullah SAW bersabda: Yang artinya : "Telah berlaku Zaman Kenabian ke atas kamu, maka berlakulah zaman kenabian sebagaima­na yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkat zaman itu. Kemudian berlakulah Zaman Kekhalifahan (Khulafaur Rasyidin) yang berjalan seperti zaman kenabian. Maka berlakulah zaman itu sebagaimana yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkat nya. Lalu berlakulah zaman...