Hasil manusia melupakan Tuhan, maka hilanglah cinta terhadap sesama manusia. Kalau terhadap Tuhan yang terlalu berjasa kepada manusia, sehingga patut dicintai, manusia sudah melupakan dan tidak mencintai-Nya, maka atas alasan apa manusia dapat mencintai sesamanya. Manusia lain itu mungkin tidak ada apa-apa jasa kepadanya. Kita mengambil contoh kes yang sedang berlaku kepada etnik Rohingya.
Sedikit latar belakang Rohingya dan asal usul mereka. Rohingya merupakan kacukan daripada pelbagai bangsa seperti Arab, Parsi, Afghanistan mahupun dari Bengal dan Chittagong. Jumlah mereka mewakili separuh daripada jumlah penduduk Rakhine. Selama ini kita biasa dengar isu penindasan di Palestin, Syria, Iraq dan sebagainya. Namun isu Rohingya tenggelam timbul dan jarang mendapat perhatian media, mungkin kerana keterbatasan maklumat mengenai mereka. Kajian mengenai Rohingya agak terbatas khususnya dalam konteks diaspora di Malaysia. Jika pun ada, ia cenderung kepada mengaitkan Rohingya dan pencabulan hak asasi dan laporan kertas kerja yang bersifat negatif.
Antara naskhah yang membicarakan secara mendalam mengenai sejarah Rohingya dan masyarakatnya di Malaysia ialah tulisan Azlinariah Abdullah, “Air Mata Kesengsaraan Rohingya: Identiti, Penindasan dan Pelarian”, di mana ia asalnya hasil tesis penulis di peringkat Sarjana Sejarah Asia Tenggara (Myanmar) dan kemudiannya dibukukan. Secara umumnya, Rohingya merupakan kelompok minoriti Islam di Myanmar. Sebahagian besar orang Rohingya menetap di Arakan (kini dikenali Rakhine), terutamanya di sekitar Maungdaw, Buthidaung, Rathedaung, Sittwe dan Kyauktaw. Rakhine hari ini merupakan tumpuan utama orang Islam semenjak abad ke-8 masihi lagi. Nama lama bagi Rakhine iaitu Arakan dikatakan berasal daripada perkataan Arab “Arkan” yang bermaksud rukun-rukun.
Kedudukannya yang terletak berhampiran dengan laut menjadi tempat persinggahan pedagang Islam. Pedagang Arab yang singgah di Arakan sebahagiannya berkahwin dengan masyarakat tempatan dan kemudiannya menetap di Arakan. Orang pertama yang dikatakan mengembangkan Islam di Arakan adalah Muhammad Ibn Hanifiya. Ini menyumbang kepada kepadatan penduduk Islam yang tinggi di Arakan. Berdasarkan perkembangan sejarah, Rohingya merupakan kacukan daripada pelbagai bangsa termasuklah Arab, Parsi, Afghanistan mahupun dari Bengal dan Chittagong. Jumlah penduduk Rohingya di Rakhine pula dikatakan 1.4 juta orang, mewakili separuh daripada jumlah penduduk Rakhine.
Antara isu utama bagi umat Islam Rohingya adalah status mereka sebagai warganegara Myanmar. Ketika zaman British, mereka diklasifikasikan Indo-Burman. Ketika Myanmar mencapai kemerdekaan pula, mereka dianggap sebagai bukan warganegara, padahal orang Rohingya mendiami Rakhine sejak ratusan tahun yang lalu.Pendek kata, status orang Rohingya sebagai minoriti yang terasing adalah merupakan sumbangan penjajahan British di Myanmar.Di Myanmar, terdapat 134 etnik antaranya Karen, Chin dan Mon. Namun, Rohingya tidak diiktiraf sebagai kumpulan dan etnik tersebut. Kehilangan identiti masyarakat Rohingya berlaku apabila mereka melarikan diri ke Bangladesh pada tahun 1942 ketika berlaku perang etnik.
Apabila mereka kembali semula ke Myanmar, dasar negara berubah. Kesannya, mereka tidak lagi diakui sebagai rakyat negara itu. Mereka menjadi pengemis di negara sendiri.Malah ketika kerajaan Ne Win berkuasa, pihak tentera yang sedang berhadapan dengan pemberontakan komunis dan etnik menjadikan isu Rohingya sebagai isu yang tidak begitu penting.Nasib malang terus menimpa mereka apabila Undang-Undang Kewarganegaraan Burma (Citizenship Act of Burma) diperkenalkan pada tahun 1982. Akta ini diluluskan oleh Ne Win yang bertujuan mahu menghapuskan terus etnik Rohingya dari peta Myanmar. Ini menyebabkan Kementerian Luar Myanmar tidak mengiktiraf Rohingya sebagai sebahagian daripada kumpulan etnik di Myanmar. Penindasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyenaraikan Rohingya sebagai golongan masyarakat yang menerima penindasan paling buruk di dunia.
Penduduk Muslim Arakan dibunuh dan dihapuskan secara besar-besaran sejak Burma menceroboh Arakan pada tahun 1784. Mereka mahu menukar Arakan menjadi wilayah Buddha yang berpengaruh di Myanmar. Bahkan lebih kurang seramai 1.5 juta Muslim Rohingya dipaksa keluar dari tanah air mereka apabila junta tentera berkuasa sejak tahun 1962. Junta tentera menetapkan peraturan yang ketat kepada perjalanan agama selain Buddha di Myanmar.Antara operasi yang dianggap paling kejam ke atas masyarakat Rohingya adalah Operasi Naga Min (King Dragon Operation) yang merupakan sebahagian daripada Pelan 20 Tahun Pembasmian Rohingya (The 20-year Rohingya Extermination Plan).
Operasi ini yang dimulakan pada 6 Fen 1978, secara umumnya bertujuan menangkap pendatang haram di Myanmar terutamanya dari China, Bangladesh, India dan Nepal. Namun tujuan yang terselindung di sebalik operasi ini adalah ke atas orang Rohingya yang sememangnya tiada pengenalan diri.Orang Rohingya yang menyedari mereka menjadi sasaran bertindak menentang balas. Penentangan balas ini kemudiannya dijadikan alasan oleh pihak kerajaan untuk bertindak lebih kejam ke atas mereka. Ketika operasi ini berkembang ke Buthidaung dan Maungdaw, beratus-ratus Muslim lelaki dan wanita dihumban ke dalam penjara. Ada yang diseksa dan dibunuh. Kaum wanita pula dirogol.
Kekejaman ini menyebabkan sebahagian besar Rohingya lari meninggalkan kediaman masing-masing dan menjadi pelarian.
Pada 1991, dilancarkan kempen pembasmian etnik termasuk orang Rohingya dengan kod nama “Pyi Thaya”. Dalam operasi ini, penyeksaan dan kezaliman ke atas orang Rohingya terus berlanjutan. Mereka ditangkap, dibunuh malah kaum wanitanya dirogol. Tempat tinggal mereka dan masjid turut dimusnahkan. Malah pada 2001, ratusan masjid dimusnahkan. Konflik membabitkan Rohingya dan Rakhine kembali meletus pada 2012. Khabar yang menyatakan kononnya seorang gadis Rakhine menjadi mangsa rogol oleh pemuda Rohingya menyebabkan penganut Buddha segera membalas dengan membunuh 10 orang penduduk Islam. Lebih 1,000 orang terkorban dibunuh oleh puak Rakhine, 3,000-4,000 cedera, 10,000 hilang dan 115,000 hidup melarat di khemah penempatan sementara.
Malahan ratusan sami Buddha berkumpul pada awal September 2012 dalam perarakan menyokong tindakan presiden agar orang Rohingya dihantar ke negara lain. Ini menunjukkan betapa dalamnya kebencian masyarakat tempatan terhadap golongan Rohingya termasuk golongan sami. Padahal sepatutnya merekalah yang seharusnya menunjukkan “compassion” yang tinggi terhadap penganut agama lain. Umat Islam Rohingya juga berhadapan dengan penindasan dari sudut keagamaan. Masjid dan madrasah ditutup secara paksa. Malah ada masjid, madrasah dan sekolah agama yang diarahkan supaya dimusnahkan. Mereka juga dihalang dari membina masjid baru mahupun membaik pulih masjid sedia ada. Ini menyebabkan banyak masjid seperti “hidup segan mati tidak mahu”.
Kanak-kanak Rohingya turut terjejas. Mereka berdepan dengan diskriminasi berhubung pendidikan, penjagaan kesihatan dan perkerjaan. Kanak-kanak yang lahir mesti didaftarkan dengan bayaran yang bertambah mahal sejak 2002. Ini memberi kesan yang besar kepada orang Rohingya lebih-lebih lagi yang tidak mempunyai wang.
Mereka juga menghadapi masalah kebuluran. Sebanyak 60% kanak-kanak Rohingya menderita kurang zat makanan sekaligus mendedahkan mereka kepada wabak penyakit dan menjejaskan pertumbuhan fizikal dan mental mereka. Diskriminasi ke atas pendidikan kanak-kanak Rohingya menyebabkan ramai kanak-kanak buta huruf terutamanya di kawasan Rakhine Utara. Bahkan mereka juga dipaksa menjadi buruh untuk melakukan kerja-kerja keras dan berat.
Antara tragedi terbaru yang melanda umat Islam Rohingya adalah pembunuhan 400 orang awam sejak 9 Oktober lalu. Lebih 430 buah kediaman di 3 buah kampung dibakar oleh tentera. Sekumpulan wanita dan kanak-kanak juga dilaporkan dikurung dan dibakar hidup-hidup di Yay Khae Chaung Kwa Sone. 30,000 orang menjadi pelarian di Rakhine. Tentera Myanmar juga dilaporkan menggunakan pelancar roket serta melepaskan tembakan daripada helikopter untuk membunuh penduduk Rohingya. Beberapa orang penduduk ditembak ketika cuba melarikan diri. Bahkan ada antara penduduk yang dibakar hidup-hidup atas timbunan rumput kering.Ini jelas menunjukkan pihak tentera memang mahu melakukan genosid iaitu pembunuhan beramai-ramai ke atas etnik Rohingya.
Jadi kesan negatif dari melupakan Tuhan ini terlalu banyak. Manusia sudah tidak berkasih sayang, tidak pemurah, tidak amanah, tidak ada timbang rasa, tidak ada perikemanusiaan, tidak berlaku adil dan tidak bekerjasama. Kalaupun ada kerjasama bukan atas dasar cinta, ia tidak ikhlas dan ada kepentingan, mungkin kerana ingin keuntungan ataupun untuk menjaga harga diri. Kerana itu ikatannya terlalu lemah dan ia boleh terungkai bila-bila masa sahaja.
Ulasan
Catat Ulasan