ADA PENYAKIT LEBIH BAHAYA DARIPADA DADAH.
Orang memandang penyakit sosial itu berat. Orang memandang penyakit dadah khususnya lebih berat lagi dari penyakit sosial yang lain. Namun ada penyakit yang lebih berat dari itu yang manusia tidak sedar dan tidak tahu. Apa yang manusia tidak sedar ialah penyakit dadah dan penyakit sosial adalah disebabkan oleh suatu penyakit yang lain. Penyakit inilah yang melahirkan penyakit sosial dan penyakit dadah. Ia penyakit yang melahirkan penyakit.
Ini banyak orang tidak faham. Bahkan masyarakat, pakar-pakar dan negara sendiri pun tidak faham. Kalau ada orang terlibat dengan dadah, asalnya dia bukan hendak cari dadah tetapi hendak cari ubat. Dia hendak cari penawar bagi penyakit yang dihidapinya. Dadah disangkanya ubat. Dadah disangkanya penawar. Rupa-rupanya dia tersilap ubat. Dia termakan racun. Hakikat inilah yang orang tidak nampak.Ertinya, dadah itu penyakit kedua. Ia penyakit mendatang.
Ia dilahirkan oleh penyakit yang pertama. Ramai penagih terlibat dengan dadah kerana hendak mencari ubat untuk penyakit pertama yang dialaminya. Cari sana, cari sini, terjumpa dadah. Rupanya bukan terjumpa ubat tetapi terjumpa racun. Begitu jugalah orang yang terlibat dengan maksiat yang lain. Asalnya kerana hendak mencari ketenangan. Hendak mencari sesuatu untuk mengisi jiwa yang kosong. Oleh kerana tidak ada panduan dan didorong pula oleh nafsu.
Maka mereka melibatkan diri dengan maksiat. Mereka sangka maksiat itu boleh menenangkan hati mereka. Penyakit pertama ini ialah penyakit jiwa. Ia penyakit rohani yang ramai orang tidak faham. Orang cerdik pandai pun tidak faham. Mereka tidak faham apa bentuk penyakitnya, tidak faham puncanya dan tidak faham bagaimana cara hendak mengubatnya. Ia adalah penyakit batin atau penyakit rohani atau penyakit yang tersirat. Kalau dilihat secara lahir, penyakitnya tidak nampak. Ia penyakit yang terpendam di lubuk hati.
GEJALA PENYAKIT JIWA
Di antara gejala atau tanda penyakit jiwa ini ialah rasa risau semacam, rasa kosong, rimas dan runsing tidak menentu. Kadang-kadang yang mengidap penyakit ini ada duit, kaya, ada pangkat, ada nama dan glamour, ada ilmu dan sebagainya. Namun semua itu tidak dapat menghindar mereka dari dihinggapi penyakit ini. Fikiran menerawang tidak tentu hala. Hilang pedoman dan tidak ada tujuan dan matlamat hidup. Keseorangan dalam ramai . Menyendiri di khalayak ramai.
Dia rasa keseorangan, tiada pembela dan tiada pelindung. Tidak ada tempat bergantung dan berpaut. Dia tidak ada tempat untuk mengadu dan bersandar. Tidak ada tempat untuk meluahkan perasaannya yang gundahgulana. Segala masalah terpaksa ditanggung sendiri.
Dia terapung-apung dan hanyut dalam kehidupan. Sentiasa takut dan curiga, tiada harapan dan putus asa. Seolaholah dia sedang menuju suatu kemusnahan dan kehancuran. Tuan punya diri yang dia sendiri tidak tahu apa bentuk dan hakikatnya. Jiwanya tidak tenang. Dia tidak bahagia. Dia ditekan oleh berbagai perasaan yang tidak menentu yang mencemaskan dan menakutkan. Tidak ada kehidupan umpama bangkai hidup.
PENYEBAB PENYAKIT JIWA
Di antara yang menyebabkan penyakit ini ialah tekanan hidup. Hidup adalah pertarungan antara susah dan senang. Kehidupan bererti berhadapan dengan berbagai-bagai masalah dan cabaran. Masalah datang silih berganti dan bertukar ganti. Ia datang dalam berbagai-bagai tempat dan situasi yang tidak dapat kita jangka atau fikirkan. Ia berlaku setiap hari, cuma bezanya, ada masalah yang kecil dan ada masalah yang besar dan sungguh menekan perasaan.
Masalah juga datang dalam berbagai keadaan dan bentuk. Ia melibatkan berbagai rasa. Suka dan duka, senang dan susah, gembira dan dukacita, jijik, benci, rasa lega, malu, jemu, sakit hati, kecewa, sakit dan sihat, miskin dan kaya, rasa lapang dan sempit, risau, tertekan dan seribu satu macam lagi. Masalah datang tanpa kita mahu dan tanpa kita tahu.mMasalah berlaku tidak kira tempat dan masa. Ia datang ke rumah, ke tempat kerja, dalam bermusafir, di tengah ramai dan di waktu keseorangan.Ada kalanya masalah yang menekan perasaan itu berlaku tidak tahu puncanya.
Tiba-tiba sahaja hati rasa risau, rasa kosong dan rasa runsing tidak menentu. Ini ditambah lagi dengan kekusutan keluarga, masyarakat yang porak-peranda, hidup nafsi-nafsi, negara dan pemerintahan yang tidak stabil, ekonomi yang tidak menentu, tidak peduli mempeduli dan tidak ada kasih sayang. Benarlah seperti sabda Rasulullah SAW:Maksudnya: “Sesungguhnya dunia itu negara bala dan ujian.”
Ulasan
Catat Ulasan