Langkau ke kandungan utama

WAJAH ROH

MEMBERSIHKAN  WAJAH ROHANI KITA.


Untuk mendekatkan diri kita dengan Tuhan, kita perlu membaiki diri. Membaiki diri di sini bukan setakat membaiki yang lahir tetapi yang batin. Memperbaiki diri batin ialah dengan menyuci dan membersihkan roh dari najis-najis dan kekotoran-kekotoran yang bersifat maknawi, yang melekat pada setiap wajah rohani kita. 


Wajah rohani kita, sama ada pada akal, pada hati dan pada nafsu. 
Najis akal ialah kesyirikan, menyekutukan dan men`syarikat`kan Tuhan dengan sesuatu yang lain . Ataupun kufur terhadap-Nya. Najis akal termasuk juga segala pegangan kepada fahaman dan ideologi ciptaan manusia. 


Najis hati ialah segala sifat-sifat keji dan mazmumah yang bersarang di hati seperti riyak,sombong, angkuh, tinggi diri, hasad dengki, pemarah, pendendam dan sebagainya. Najis nafsu pula ialah segala dorongan yang jahat dan negatif yang kalau dituruti akan menimbulkan dosa dan kemurkaan Tuhan. 


Apabila roh sudah diperbaiki dan disucikan maka akan terbukalah jalan untuk mengenal diri dan seterusnya untuk mengenal Tuhan. Untuk merasa bertuhan dan merasa kehambaan. Untuk merasakan bahawa Allah sentiasa wujud di dalam hidup kita, sentiasa melihat,sentiasa mendengar dan sentiasa mengetahui akan hal kita. 


Tuhan mengetahui akan hal diri kita yang lahir dan batin. Jalan untuk memperbaiki diri ialah dengan berzikir. Bermula dari zikir qauli (lidah), zikir fi`ll (perbuatan) dan zikir qalbi (hati). "` Zikir yang paling agung ialah solat.` ". Di dalamnya terkandung segala bentuk zikir, segala  amalan malaikat dan segala bentuk amalan para nabi dan rasul. 


Di dalamnya kita meminta petunjuk, kita meminta ampun, kita mengadu dan kita bermanja dengan Tuhan. Di dalamnya juga kita memuji, membesarkan dan mensucikan Tuhan. Di dalam solat, Allah mendidik kita. Namun demikian, Allah tidak mendidik semua orang yang mendirikan solat. 


Allah hanya mendidik orang-orang yang tertentu sahaja iaitu orang-orang yang khusyuk, tawadhuk dan khuduk di dalam solat. Allah SWT hanya mendidik orang-orang yang membawa fikiran dan hati mereka di dalam solat. laitu orang-orang yang faham apa yang mereka buat dan faham apa yang mereka lafazkan. 


Orang-orang yang dapat menghayati dan merasakan di hati tentang apa yang mereka buat dan lafazkan di dalam solat. Bermula dari takbiratul ihram, (Allahu Akbar), jika difahami dan dihayati sungguh-sungguh akan menimbulkan rasa-rasa tertentu di hati. `Allahu Akbar` dalam takbir itu bererti `Allah Maha Besar`. 


Ia kalimah yang merangkumkan segala sifat-sifat Allah yang hebat- hebat seperti sifat jabbar, Qahhar, Oagah, Perkasa, Berkuasa, Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan dan yang apabila Dia berkata, "Jadi" maka jadilah. Maka dengan takbir itu hati akan merasa takut, hebat dan gerun dengan Allah. Begitulah Allah mendidik kita.


Apabila kita merasa takut dengan Allah,maka mudahlah kita menghindarkan diri daripada membuat dosa dan kemungkaran dan segala apa yang Allah larang. Kita sentiasa takut akan tersisih dari rahmat keampunan dan kasih sayang Tuhan. Namun begitu, jika perasaan takut sahaja yang Allah campakkan ketika sedang solat.


Allah masukkan perasaan takut ke dalam hati orang-prang yang mendirikan solat, maka akan lahirlah hamba-hamba Allah yang sentiasa takut dan hanya akan berusaha untuk mengelak dari membuat kemungkaran dan dosa. Tidak ada dorongan untuk mencetuskan kebaikan-kebaikan yang lain. 


Oleh itu Allah syariatkan juga dalam solat supaya dibaca Bismillahirrahma nirrahim terutama pada awal Surah Al Fatihah. Di dalam mazhab Syafie, Basmalah ini merupakan sebahagian daripada ayat Al Fatihahyang tujuh dan wajib dibaca dalam sembahyang. Kalau hati kita menghayati "Basmalah" kita akan rasakan kasih sayang-Nya.


Kalau Basmalah ini dihayati dengan sungguh-sungguh, kita akan dapat merasakan betapa pemurah dan penyayangnya Tuhan yang sentiasa mencurahkan rahmat dan nikmatnya kepada manusia sama ada yang berbentuk lahiriah atau material, mahupun yang berbentuk maknawi atau spiritual. 


Dengan ini akan timbul rasa cinta dan kasih kepada Tuhan. Rasa cinta ini akan mendorong kita berbakti dan membuat kebaikan untuk Tuhan serta berusaha dan berjuang untuk mendapat cinta dan kasih sayang-Nya. Itulah hikmah "BASMALAH " yang perlu dihazamkan dalam hati.
Kita akan tenggelam dengan nikmat kasih sayang Tuhan.


Kita disyariatkan pula membaca Hamdalah iaitu(Alhamdulillah) pada awal surah Al Fatihah. Di sini kita memuji Tuhan sebagai tanda syukur dan terima kasih kita atas segala rahmat, nikmat dan kebaikan yang telah dikurniakan-Nya kepada kita. Lafaznya berbunyi "
( الحمد الله رب العالمين ). Segala pujian Tuhan sekelian alam.


Jadi kita lihat, di dalam solat itu terkandung berbagai didikan dari Tuhan yang di antara satu sama lainnya saling kait-mengait dan kuat-menguatkan. Solat itu ibarat satu siri atau satu set didikan rohaniah yang lengkap dan seimbang. Supaya hamba yang mendirikan solat itu terdidik dan terbina insaniahnya.


Menjadi sebagai seorang insan yang seimbang dan kukuh lahir batinnya. Di samping untuk memupuk sifat takut dan cinta kepada Tuhan, berbagai-bagai lagi didikan terdapat di dalam solat. Lahirnya dapat jelas tertegak syariat, batinnya tersimpan hal yang positif dan terserlah aura positif pada tindakannya.


Doa yang disyariatkan contohnya, akan meningkatkan dan menajamkan lagi sifat-sifat hamba yang ada pada kita. Ia akan menambah pergantungan, menaruh harap dan penyerahan kita kepada Allah. Mengadu-ngadu kepada Tuhan di dalam solat pula akan melapangkan dada seseorang hamba.


Kepasrahannya kepada Tuhan, kerana itu dia telah menyerahkan segala beban masalahnya kepada Tuhan untuk diselesaikan. Begitulah caranya Allah mendidik hamba-hamba-Nya yang ikhlas, khusyuk, tawadhuk dan khuduk di dalam mendirikan solat dengan berbagai didikan bermula dari takbiratul ihram hinggalah kepada salam. 

Sekian. 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MENGENAL ABUYA.

Siapakah Abuya? Mengapa kita perlu kenal dia? Kita perlu mengenalinya dengan tepat supaya kita faham dia, faham pemikiran, perasaan, perbuatan dan perjuangannya. Tak kenal maka tak cinta. Jika tak cinta maka tak bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan Islam yang Abuya perjuangkan. Kenapa banyak orang yang mengaku cinta Abuya, tapi bila berlaku ujian jadi keliru lalu meninggalkan perjuangan Abuya, bahkan ada yang membenci dan memusuhi Abuya?  Sebenarnya mungkin pengenalan mereka tentang Abuya tak tepat, tak jitu. Mungkin kenal pada sudut-sudut tertentu sahaja.  Maklumlah minat setiap orang tak sama. Ada yang minat perniagaan, maka dia sangat terinspirasi dengan sistem ekonomi yang Abuya lagangkan. Ada yang minat pendidikan, maka dia sangat respek Abuya dari sudut pendidikan. Ada yang minat poligami, maka dia sangat nak belajar pada Abuya bagaimana nak buat poligami yang harmoni. Ada yang minat cara susun kasut ala Abuya, maka dia pun ikut disiplin susun kasut itu. Ada ...

NEGARA SYAM.

NEGARA SYAM (JORDAN, PALESTIN,HEBRON, SYRIA) Negara Jordan menjadi tempat transit bagi Abuya sebelum meneruskan perjalanan ke negara negara lain. Jordan juga dikenali dengan bumi Anbiya. Jordan juga banyak meninggalkan kesan  peninggalan purba yang berusia  ribuan tahun. Ia banyak di Jordan atau dulu dikenali dengan negeri Syam. Wilayah Syam zaman kebangkitan pertama mengandungi Jordan, Palestin, Lubnan dan Syria. Di era kebangkitan kali kedua Syam telah terpecah kepada empat negara. Ia dilakukan oleh penjajah. Kini terdapat negara Jordan, Palestin, Lubnan dan Syria secara berasingan satu sama lain. Jordan era terkini dikenali dengan Kerajaan Hasyimiyah Jordan, (Hashemite Kingdom of Jordan) atau lebih dikenali dengan nama Jordan sahaja  merupakan sebuah negara Arab yang terletak di Asia Barat (dulu dianggap Timur Tengah) bersempadan dengan negara-negara Arab yang lain. Ia terletak pada koordinat 34-29 Utara 35-39 Timur iaitu di se...

KEBANGKITAN ISLAM AKHIR ZAMAN.

KEBANGKITAN ISLAM AKHIR ZAMAN. Allah telah mengkhabarkan kepada kita melalui lidah Rasul-Nya bahawa Allah telah ‘set’kan satu Jadual Allah SWT untuk umat yang datang sesudah wafatnya Nabi akhir zaman. Itulah kasih sayang Allah dan Rasul-Nya kepada umat Islam, yang untuk mereka tidak ada lagi nabi dan rasul.Maka diceritakan lah perkara-perkara yang bakal terjadi sama ada yang positif atau negatif. Dengan mengetahui dan memahami jadual itu, umat Islam terpandu atau terpimpin untuk menghadapi dan menerima takdir yang bakal berlaku. Antara jadual yang dimaksudkan itu ialah, Rasulullah SAW bersabda: Yang artinya : "Telah berlaku Zaman Kenabian ke atas kamu, maka berlakulah zaman kenabian sebagaima­na yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkat zaman itu. Kemudian berlakulah Zaman Kekhalifahan (Khulafaur Rasyidin) yang berjalan seperti zaman kenabian. Maka berlakulah zaman itu sebagaimana yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkat nya. Lalu berlakulah zaman...