Langkau ke kandungan utama

KONSEP BERKAT.




Bagi mendapatkan berkat dalam kehidupan, Allah dan Rasul sentiasa dalam hati.
Sebelum kita meneruskan
penjelasan terlebih dahulu
kita fahami takrif berkat.
Perkataan ``berkat'' berasal daripada bahasa Arab ``barakah'' yang bermaksud tumbuh dan bertambah.
Menurut kamus besar Arab Melayu Dewan, Kuala Lumpur: "البركة" ertinya
keberkatan, kelebihan atau kebahagiaan.



Umumnya ``berkat'' menurut ulama ada kaitan dengan anugerah Allah, yang mendatangkan kebaikan bagi diri seseorang. Berkat doa ibu bapa kepada anaknya. Berkat doa ulama amilin terhadap anak-anak murid.
Kita mendapat doa orang Soleh. Berkat usaha gigih.



Sekiranya ia dikaitkan dengan makanan, makanan yang dimakan itu mencukupi bagi mereka yang memakan, berasa puas dan kenyang. Harta yang mempunyai keberkatan memberi manfaat, bertambah dan memberi kebahagiaan kepada si empunya diri dan orang lain. Kalau harta yang dimiliki itu dibelanjakan untuk menyekolahkan anak-anak, maka anak-anak itu menjadi manusia yang berakhlak.



Dalam istilah syarak, berkat bererti adanya sesuatu kebajikan Allah yang diletakkan pada suatu, yang melibatkan nabi-nabi, wali-wali, orang soleh, orang yang mati syahid dan sebagainya.
Ada juga keberkatan itu diletakkan ayat-ayat suci al-Quran, pada surah Kahfi misalnya, pada surah Yasin, pada surah al-Ikhlas dan sebagainya.



Pada amnya, keberkatan itu bermaksud atau merujuk kepada kebajikan Allah, rahmat Allah yang diletakkan pada sesuatu yang dikasihi oleh-Nya.Keberkatan pada harta ialah, mereka yang mempunyai harta itu berasa senang dan bahagia dengan hartanya, hidup harmoni dengan keluarga rukun damai, baik dengan jiran tetangga dan sebagainya.



Harta yang tidak mempunyai keberkatan memberi implikasi buruk kepada si empunya.Hati berasa susah dan runsing biarpun mempunyai harta yang banyak. Masalah yang datang tidak henti-henti ataupun mempunyai harta tetapi tidak dapat dinikmatinya dengan cara yang baik.



Makanan yang mempunyai berkat ialah makanan yang menyebabkan orang yang memakan sihat dan tidak menimbulkan masalah. Makanan yang disediakan untuk dua orang boleh dimakan oleh tiga orang tanpa mengurangi kepuasan makan.



Mengenai keberkatan ini Allah berfirman (al-Raf: 96) yang bermaksud: Dan kalau penduduk negeri beriman dan bertakwa kepada Tuhan, nescaya akan Kami bukakan untuk mereka keberkatan dari langit dan bumi. Keberkatan dari langit diturunkan ke bumi melalui hujan dan keberkatan dari bumi dianugerahkan melalui tumbuh-tumbuhan dan hasil yang keluar daripadanya.



Sebuah hadis daripada Salim bin Abi Ja'd, daripada Jabir r.a. beliau berkata: Kalaulah engkau melihat bagaimana saya bersama-sama dengan nabi, ketika itu waktu asar sudah tiba sedangkan air tidak ada untuk berwuduk, kecuali lebihan air sedikit.



Maka air yang sedikit itu dimasukkan dalam satu bekas lalu dibawa kepada Nabi Muhammad. Baginda telah masukkan tangan ke dalam bekas itu lalu merenggangkan anak jarinya, kemudian baginda berkata: Hai orang yang akan berwuduk, ke marilah, barakah daripada Allah. Saya lihat, kata Jabir, air mencucur keluar dari anak jari baginda, maka berwuduklah semua orang dan minumlah.



Saya tidak peduli lalu memenuhkan perut saya dengan air itu. Saya tahu betul bahawa air itu memberi barakah. Saya bertanya Jabir, kata Salim bin Abi Ja'd: Berapa orang kamu semua ketika itu? Jawabnya seribu empat ratus orang.



Dalam surah al-Qasas: 30 Allah berfirman yang bermaksud: Maka setelah Musa datang ke sana, terdengar ia dipanggil dari sebelah kanan lembah tempat yang sudah diberi berkat dari pohon kayu: Hai Musa, sesungguhnya Aku ini Allah, Tuhan semesta alam.



Dalam surah Ali-Imran: 96, Allah berfirman yang bermaksud: Bahawasanya rumah pertama yang didirikan untuk beribadah bagi manusia ialah yang berada di Mekah, yang diberi barakah dan menjadi petunjuk bagi alam semesta.



Keterangan di atas, yang dipetik daripada ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis menunjukkan bahawa keberkatan itu adalah kebajikan daripada Allah yang dianugerahkan oleh-Nya pada sesuatu yang dikasihi oleh-Nya termasuk rezeki yang halal.



Jelas membuktikan bahawa barakah itu adalah sesuatu yang wujud dan perlu diyakini yang datangnya hanya daripada Allah.



Persoalan timbul adakah harus seseorang itu pergi ke satu tempat, membaca sesuatu, memakai sesuatu dengan mengharapkan limpahan berkat. Adakah perbuatan ini boleh merosakkan tauhid atau mengurangkan iman seseorang kepada Allah?



Dalam sebuah hadis daripada Ibnu Umar menyatakan bahawa Nabi datang ke Masjid Quba setiap hari Sabtu menaiki kenderaan atau berjalan kaki. Begitulah juga yang dilakukan oleh Ibnu Umar yang melakukan hal yang sama.



Hadis ini menyatakan bahawa Nabi datang ke Masjid Quba untuk mengambil keberkatan daripada masjid itu kerana Masjid Quba adalah sebuah masjid yang diberkati Allah.



Mengenai Masjid Quba Allah berfirman (at-Taubah: 108) yang bermaksud: Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa dari hari pertama didirikan adalah lebih patut engkau sembahyang di dalamnya.



Masjid Quba terletak lebih kurang enam kilometer dari Kota Madinah. Setiap hari Sabtu baginda datang ke situ dan sembahyang sunat dua rakaat di masjid berkenaan.



Rasulullah datang ke Masjid Quba bukan mencari keberkatan daripada masjid berkenaan, tetapi hakikatnya beliau meminta kepada Allah agar berkat yang telah diberikan kepada masjid berkenaan dilimpahkan kepadanya.



Dalam sebuah hadis lain, hadis daripada Siti Aisyah menyatakan bahawa Nabi apabila sakit, baginda membaca untuk dirinya surah-surah al-Muawwidhat dan meniupkan ludah beliau. Tetapi apabila sakitnya bersangatan, maka sayalah yang membacakan untuknya dan saya usapkan pada tangan beliau dengan mengharapkan berkatnya muawwidhat itu.



Hadis daripada Abdullah bin Maghfal pula, menyatakan yang dia telah melihat Rasulullah pada hari peperangan menakluki Mekah membaca surah al-Fath. Surah ini dibaca dengan mengharapkan kelimpahan berkat yang ada pada surah berkenaan.



Mengenai keberkatan pada makanan pula dinyatakan dalam beberapa buah hadis, di antaranya hadis daripada Abu Hurairah bahawa Nabi apabila diberi orang tamar buah sulung baginda membaca doa yang bermaksud: Ya Allah berkatilah kami dalam kota kami, berilah keberkatan buah-buahan kami, gantang kami, sukatan kami, berkat di atas berkat. Kemudian baginda memanggil anak-anak dan memberi tamar itu kepada mereka.



Dalam sebuah hadis lain pula, iaitu daripada Aun bin Juhaifah, daripada bapanya beliau berkata, yang dia telah datang menemui Rasulullah yang sedang berdoa dalam khemah kulit berwarna merah. Beliau melihat bilal juga beberapa orang lain berebut-rebut mengambil air bekas wuduk Nabi.



Ada di antara mereka menggosokkan air itu ke badan dan mereka yang tidak mendapatnya mengambil air tersebut daripada bekas-bekas basuh tangan temannya.



Dalam keterangan hadis ini kita diperlihat betapa sahabat-sahabat yang terlibat berebut mengambil bekas air wuduk Nabi dan mengusapkan air itu ke badannya untuk mengambil berkat daripada air yang telah menyentuh kulit Nabi yang mulia.



Kelakuan ini tidak dilarang oleh Rasulullah. Ia tidak merosakkan tauhid mereka yang terlibat. Kalau merosakkan tentu baginda melarang sahabat daripada berbuat demikian.



Mengambil berkat di sini bermaksud agar berkat yang telah dianugerahkan oleh Allah kepada nabi melimpah kepada umatnya, iaitu mereka yang berbuat demikian.



Berdasarkan keterangan di atas ternyata bahawa keberkatan itu wujud pada diri mereka, yang juga merujuk kepada hasil perlakuan, wujud pada objek-objek tertentu, seperti Kaabah, masjid dan air. Dalam keadaan tertentu barakah dirujuk kepada rezeki, anugerah Allah.



Dalam masyarakat Melayu kita juga sering mempelajari dari contoh-contoh perilaku manusia, di mana hasil haram yang diperoleh oleh seseorang itu dikatakan tidak adanya keberkatan. Orang yang memakan rasuah, menyalah guna kuasa biarpun memperoleh jumlah kekayaan atau harta yang banyak, hasil daripada perilaku tersebut, sifat tamaknya semakin menjadi-jadi, harta yang dimiliki digunakan untuk merosakkan orang lain.



Dari sikap seperti inilah lahirnya rasa tidak tenang kerana dalam dirinya terus timbul rasa tamak, dengki kepada orang lain yang memperoleh nikmat. Tidak mustahil seseorang itu memperoleh harta yang banyak, tetapi ketenangan tidak wujud dalam keluarga, timbul pergaduhan di antara suami, isteri, kaum keluarga dan sebagainya.



Di antara tanda-tanda kebahagiaan di dunia dan akhirat ialah mereka yang berupaya mengingati Allah ketika dalam keadaan kaya-raya dan senang-lenang, reda dengan qadak dan qadar Allah, juga sabar terhadap musibah yang menimpa.




Sebaliknya kalau makanan yang kita makan itu kotor (haram dan syubhat) baik benda itu haram atau wang yang digunakan untuk membelinya haram, maka sel dan zat-zat besi, atau zat-zat yang membina hati kita itu kotor, busuk dan gelap.



Hati seperti wadah yang terbuka. Hati yang kotor tidak akan menerima taufik dari Allah sebab Allah tidak akan memberi taufik dan hidayah kepada hati yang kotor. Sama halnya kita tidak akan memasukkan makanan ke dalam piring yang kotor. Apalagi taufik dan hidayah dari Allah itu sangat tinggi harganya.



Bila hati tidak boleh melihat kebenaran maka tidak akan terasa kebesaran, kehebatan, kasih sayang dan didikan dari Allah, tidak terasa anugerah, penjagaan, pengawasan dan pembelaan Allah. Kalau hati tidak mendapat hidayah dan taufik lagi maka kita akan menjadi orang yang sesat dan selalu terlibat melakukan maksiat dan mungkar.


Bersabda Rasulullah SAW :

Terjemahannya : Dalam diri anak Adam itu ada segumpal daging. Bila baik daging itu baiklah seluruh anggota dan seluruh jasad. Bila jahat dan busuk daging itu jahatlah seluruh jasad. Ketahuilah, itulah hati.(Riwayat Al Bukhari & Muslim)



Firman Allah : Terjemahannya : Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah telah rezekikan kepadamu dan bertakwalah kepada Allah yang kamu beriman dengan-Nya. (Al Maidah : 88)



Perintah memakan makanan yang halal adalah wajib. Kalau kita makan makanan yang haram dalam keadaan sadar bahwa benda yang kita makan itu haram maka kita akan berdosa dan hati kita akan gelap. Tetapi kalau makanan yang haram dan syubhat itu kita makan, tanpa diketahui bahwa benda itu haram dan syubhat maka kita tidak berdosa tetapi hati kita yang dibina dari makanan itu tetap akan gelap.



Atas dasar itulah Sayidina Abu Bakar As Siddiq mengorek kembali makanan yang telah ditelannya hingga muntah-muntah, setelah dia mengetahui bahwa makanan itu sumbernya adalah syubhat.



Amirul Mukminin itu merasa cukup takut bila  makanan itu akan membutakan hatinya. Setelah mengorek makanan itu, dengan rasa bimbang bila saja ada sisa-sisa makanan tersebut yang masih ada dalam perutnya, maka beliau pun berdoa, “Ya Allah, jangan Engkau bertindak kepadaku akan apa yang telah jadi darah dagingku”



Begitulah Sayidina Abu Bakar menjaga hatinya. Sebab itu hatinya menjadi terang-benderang. Jadi, tidak mengherankan kalau keyakinan beliau cukup kuat dengan Allah.Rasulullah SAW pun memuji beliau dengan sabda baginda : Terjemahannya : Kalau dibandingkan iman Abu Bakar dengan iman seluruh manusia kecuali Nabi dan Rasul niscaya imannya masih lebih baik.



Hal yang serupa terjadi pada Imam Nawawi. Semasa hidupnya ia tidak makan buah-buahan di Damsyik karena merasa buah-buahan itu syubhat. Beliau sangat menjaga hatinya.Hati yang terang-benderang akan mempunyai basirah (pandangan batin) yang tajam yang dapat menembus alam gaib dan alam kerohanian. Bila alam gaib yang hebat itu boleh terlihat oleh kita maka alam yang lahir itu sudah tidak berarti apa-apa.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

NEGARA SYAM.

NEGARA SYAM (JORDAN, PALESTIN,HEBRON, SYRIA) Negara Jordan menjadi tempat transit bagi Abuya sebelum meneruskan perjalanan ke negara negara lain. Jordan juga dikenali dengan bumi Anbiya. Jordan juga banyak meninggalkan kesan  peninggalan purba yang berusia  ribuan tahun. Ia banyak di Jordan atau dulu dikenali dengan negeri Syam. Wilayah Syam zaman kebangkitan pertama mengandungi Jordan, Palestin, Lubnan dan Syria. Di era kebangkitan kali kedua Syam telah terpecah kepada empat negara. Ia dilakukan oleh penjajah. Kini terdapat negara Jordan, Palestin, Lubnan dan Syria secara berasingan satu sama lain. Jordan era terkini dikenali dengan Kerajaan Hasyimiyah Jordan, (Hashemite Kingdom of Jordan) atau lebih dikenali dengan nama Jordan sahaja  merupakan sebuah negara Arab yang terletak di Asia Barat (dulu dianggap Timur Tengah) bersempadan dengan negara-negara Arab yang lain. Ia terletak pada koordinat 34-29 Utara 35-39 Timur iaitu di sebelah Barat La

KEBANGKITAN ISLAM AKHIR ZAMAN.

KEBANGKITAN ISLAM AKHIR ZAMAN. Allah telah mengkhabarkan kepada kita melalui lidah Rasul-Nya bahawa Allah telah ‘set’kan satu Jadual Allah SWT untuk umat yang datang sesudah wafatnya Nabi akhir zaman. Itulah kasih sayang Allah dan Rasul-Nya kepada umat Islam, yang untuk mereka tidak ada lagi nabi dan rasul.Maka diceritakan lah perkara-perkara yang bakal terjadi sama ada yang positif atau negatif. Dengan mengetahui dan memahami jadual itu, umat Islam terpandu atau terpimpin untuk menghadapi dan menerima takdir yang bakal berlaku. Antara jadual yang dimaksudkan itu ialah, Rasulullah SAW bersabda: Yang artinya : "Telah berlaku Zaman Kenabian ke atas kamu, maka berlakulah zaman kenabian sebagaima­na yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkat zaman itu. Kemudian berlakulah Zaman Kekhalifahan (Khulafaur Rasyidin) yang berjalan seperti zaman kenabian. Maka berlakulah zaman itu sebagaimana yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkat nya. Lalu berlakulah zaman

AGAMA NABI IBRAHIM.

AGAMA NABI IBRAHIM. Inti pati ayat: Al Qur’an ayat 123 surat 16 An Nahl, Kemudian Kami wahyukan kepadamu (Muhammad): "Ikutilah agama Ibrahim seorang yang hanif." dan bukanlah dia termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan. Al Qur’an ayat 39 surat 14 Ibrahim, Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadaku di hari tua (ku) Ismail dan Ishaq. Sesungguhnya Tuhanku, benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) do`a. Al Qur’an ayat 124 surat 2 Al Baqarah, Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia". Ibrahim berkata: "(Dan saya mohon juga) dari keturunanku". Allah berfirman: "Janji-Ku (ini) tidak mengenai orang-orang yang zalim". Al Qur’an ayat 71 surat 21 Al Anbiyaa’, Dan Kami selamatkan Ibrahim dan Luth ke sebuah negeri yang Kami telah memberkahinya untuk sekalian manusia. N