Langkau ke kandungan utama

ABUYA SUNTIK ROH KEPIMPINAN ISLAM SEJAK DARI KECIL


Mengimbas kembali tentang bagaimana Abuya menyuntik atau menanamkan roh kepimpinan, saya pasti teringat Baling, kira-kira 421 km ke utara Kuala Lumpur.  Baling merupakan daerah yang kedua terbesar di Negeri Kedah. Daerah Baling terdiri daripada enam mukim iaitu Mukim Tawar, Mukim Pulai , Mukim Kupang, Mukim Teloi Kanan, Mukim Bongor dan Mukim Siong. Kebanyakan penduduk daerah ini bersawah padi dan menoreh getah. Di daerah tersebut terdapat sekolah agama (Arab) Yayasan Khairiah kampung Pisang, mukim Kupang.  Abuya menghantar anak-anaknya bersama anak-anak ahli jemaah seramai 12 orang terdiri dari 6 orang pelajar lelaki dan 6 orang pelajar perempuan.  Pelajar lelaki tersebut ialah, Fakhrur Razi bin Ashaari, Mohd Nizamuddin bin Ashaari, Muhammad Khomsin, Azman bin Atan, Ahmad Yasin dan Wan Mohammad Sufi. Pelajar perempuan pula ialah Nasibah binti Ashaari, Hafsamiati, Kamaliah binti Saad, Normala,  Norsiah dan Latifah (anak saudara Hasan Mokhtar). 

    Ada beberapa sebab dan hikmah  Abuya hantar kami ke Baling.

1.  Sekolah itu beraliran Ahli Sunnah Wal Jamaah.  Abuya memang sangat teliti dalam memilih institusi pendidikan untuk anak-anak dan murid-muridnya samada di dalam atau di luar negara.  Pastikan ia betul-betul Ahli Sunnah Wal Jamaah, bukan wahabi, syiah atau ajaran-ajaran lain.  Lebih-lebih lagi Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah memang sudah termaktub sebagai agama rasmi dalam perlembagaan kerajaan Malaysia.   

2. Sekolah itu adalah milik Haji Yahya, kawan baik Abuya sejak mereka sama-sama berjuang dalam PAS. Beliau mempelawa Abuya untuk membantu memajukan sekolah tersebut. Jawatan mudir diserahkan kepada Abuya.  Namun kerana kesibukan Abuya berdakwah, maka Abuya melantik wakilnya sebagai mudir, iaitu Ustaz Rusdy Yusof, BA lepasan Al-Azhar University Mesir.  Beliau adalah antara ahli jemaah Al-Arqam peringkat awal. Melalui wakilnya ini Abuya melaksanakan beberapa perubahan di sekolah tersebut, antara lain ialah seperti berikut ini.

a.  Melaksanakan disiplin solat berjemaah di awal waktu.
Waktu kami sampai di sekolah itu, solat jemaah belum diwajibkan.  Keadaan surau sekolah seperti surau di luar sahaja.  Solat jemaah mengikut inisiatif masing-masing sahaja.  Disiplin sekolah hanya dalam kelas.  Di luar kelas hidup nafsi-nafsi, ada yang solat jemaah di surau ada yang sendiri di pondok masing-masing.
Abuya mengubah suasana itu, walaupun agak sukar pada awalnya. Setiap pagi satu jam sebelum Subuh, mudir dan 6 pelajar lelaki yang Abuya hantar itu pergi ke pondok-pondok asrama untuk mengejutkan para pelajar lelaki.  Pondok kecil-kecil yang boleh muat seorang atau dua orang itu ratusan jumlahnya. Pelajar perempuan lebih mudah karena jumlahnya tidak ramai, sudah besar-besar dan mereka tinggal setempat di kawasan perempuan yang berpagar.

b.  Melaksanakan disiplin masak dan makan berjemaah.
Pada mulanya mereka masak dan makan nafsi-nafsi di pondok masing-masing.  Yang kaya masak sedap-sedap, sedangkan yang miskin kadang-kadang berlapar.  Pelajar-pelajar miskin terpaksa mengambil cuti panjang untuk bekerja mengumpul wang untuk menampung perbelanjaan disekolah.  
Abuya mengubah sistem ini dengan memperkenalkan sistem masak dan makan berjemaah.  Bahan makanan dikumpulkan dari sumbangan pelajar yang mampu dan juga dari tajaan yang diusahakan oleh pihak pengurusan sekolah.  Tukang masaknya adalah para pelajar itu sendiri yang digilirkan bertugas di dapur.  Orang namakan dapur kawah, mungkin kerana ketika memasak periuk dan kuali besar yang makanan di dalamnya menggelegak dan berasap itu kelihatan seperti kawah gunung berapi. 
Kesan dari sistem ini para pelajar menjadi lebih fokus pada proses tarbiah dan taalim.  Mereka tak perlu lagi disibukkan dengan urusan  makan minum yang asas.  Makanan tambahan ikutlah bekalan dan kemampuan masing-masing.  Pelajar yang kaya dapat berkongsi nikmat dengan yang miskin.  Yang miskin pula berterima kasih dan pandai pula membalas jasa dengan khidmat mereka. 

c.  Membataskan pergaulan antara lelaki dan perempuan.
Pada mulanya, seperti halnya aktifiti luar waktu kelas seperti solat dan makan yang dilakukan secara nafsi-nafsi, begitu jugalah urusan pergaulan lelaki dan perempuan.  Disiplin syariat membataskan pergaulan lelaki dan perempuan dilakukan ikut inisiatif para pelajar itu sendiri.  Ada yang berhati-hati, ada juga yang masih suka bergaul bebas.  Budaya makan berasingan kadang-kadang mereka ambil peluang untuk berdating.  Kononnya jemput kawan makan bersama, rupanya mereka sedang bertemu kekasih masing-masing.  Pernah berlaku, beberapa couple ditangkap sedang makan bersama di dalam sebuah pondok perempuan.  Dalam kawasan berpagar pun pelajar lelaki dapat masuk, betapalah di kawasan yang tidak berpagar. Keadaan ini sungguh menyedihkan.  Betapa tidak, sekolah agama yang diharapkan dapat melahirkan manusia yang kuat beragama, tapi keadaannya sama sahaja dengan sekolah awam.
Untuk menangani masalah ini, Abuya menerapkan disiplin pergaulan lelaki dan perempuan.  Pelajar lelaki dan perempuan diasingkan dalam kelas yang berbeza.  Sekiranya ada kelas-kelas yang mereka terpaksa disatukan, maka pelajar lelaki duduk di depan dan perempuan di belakang. Jika ada keperluan antara pelajar lelaki dan perempuan, mereka mesti melalui perantara guru atau warden asrama.

Itulah perkara-perkara asas yang Abuya perkemaskan bagi memajukan sekolah itu.  Selain itu, banyak lagi perubahan-perubahan penting yang Abuya lakukan terutama berkaitan  bina insan guru-guru, memberi kefahaman kepada ibubapa dan masyarakat sekitar.  Ini kerana pelajar, guru, ibubapa dan masyarakat sekitar adalah mata rantai yang utama dalam sebuah institusi pendidikan. Pendekata, Abuya telah memajukan sekolah itu dengan disiplin jemaah.  Dengan itu, para pelajar menjadi lebih fokus kepada proses tarbiah wa taalim.  Pencapaian pelajar juga semakin meningkat.  Ketika sistem hidup nafsi-nafsi telah dibanteras maka wujud satu mekanisme yang saling memerlukan antara semua jentera sekolah itu.  Jalinan kasih sayang antara mereka sebagai sebuah keluarga besar yang memperjuangkan Islam semakin subur.

3. Baling tahun 1974 adalah sebuah daerah miskin, jauh berbeza dengan suasana Kuala Lumpur. Masyarakat di sekitar sekolah itu juga miskin, umumnya mereka penoreh getah dan bersawah padi. Bangunan di sekolah tersebut hanya beberapa sahaja yang terbuat dari papan dan beratap zink. Pondok-pondok asrama pelajar dibuat dari kayu-kayu kecil (bukan papan) dan beratap nipah, sekadar boleh dihuni oleh seorang atau dua orang pelajar.  Lebih kurang seperti reban ayam atau pondok durian. Lauk harian ialah ikan paling murah di pasar.  Kalau dapat makan lauk ikan kembung itu dikira sudah mewah.  Kami makan sedap jika Abuya datang membawa ole-ole rendang dari nenek dan bahan makanan yang Abuya beli di perjalanan.  Waktu itu barulah dapur kawah masak sedap untuk semua pelajar.
Rupanya Abuya sengaja meletakkan kami dalam suasana kemiskinan, hidup di tengah-tengah masyarakat miskin.  Suasana ini perlu supaya kami dapat menghayati dan prihatin dengan masalah kemiskinan.  Pemimpin yang baik adalah orang prihatin dan pandai menyelesaikan kemiskinan dan masalah masyarakat.

4.  Walaupun tempatnya terpencil dan miskin, namun pada tahun 1974 itu Baling menjadi sebutan ramai.  Justeru isu kemiskinan  itu mengangkat Baling menjadi isu negara bahkan antarabangsa.  Ada pihak  yang mengeksploitasi isu kemiskinan itu.  Isu kemiskinan itu telah berubah menjadi isu mati kebuluran.  Entah bagaimana kebenarannya tidak dapat dipastikan.  Selama kami di Baling memang selalu tengok orang miskin, tapi tak pernah pula dengar atau tengok orang mati kebuluran. Cerita mati kebuluran itu telah menggemparkan negara berikutan dengan tunjuk perasaan pelajar-pelajar institusi pelajaran tinggi di Kuala Lumpur yang diketuai oleh Anwar Ibrahim dari ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) diikuti dengan tunjuk perasaan penoreh-penoreh getah di Baling sendiri dihadapan Menteri Perusahaan Utama Datuk Musa Hitam.  Penoreh getah di Baling berdemonstrasi kerana tidak berpuas hati dengan kejatuhan harga komoditi itu pada tahap sangat rendah. Atas kejadian itu Anwar Ibrahim yang ketika itu adalah Presiden ABIM mendapat populariti luar biasa.  Kami melihat suasana masyarakat di sekeliling sekolah tersebut ketika itu masih lagi terkesan dengan kejadian rasa tidak puas hati terhadap kejatuhan harga komoditi ketika itu.  Mahu tidak mahu, jiwa dan pemikiran kami diheret untuk mengambil tahu isu negara tersebut.  Walaupun kami masih kecil-kecil tapi suasana memaksa kami untuk memikirkan hal-hal besar, isu kemiskinan, demontrasi rakyat, pergolakan kuasa negara, kepimpinan negara,  ekonomi global dan lain-lain. Kerana turun naiknya harga getah rupanya berkait dengan pelbagai faktor dan berbagai pihak boleh mengeksploitasinya mengikut kepentingan masing-masing. Kami bersyukur kerana suasana ini sedikit sebanyak membantu kami untuk memiliki jiwa dan fikiran besar.  Abuya terus memandu kami untuk tidak terikut-ikut mana-mana pihak, tetapi menyuluh kejadian tersebut dengan tepat dan mengambil hikmahnya.

5.  Kesan dari cerita mati kebuluran di Baling, bukan sahaja ramai orang mempercayai cerita ini tetapi pengganas komunis dalam hutan juga turut percaya sehingga mereka berani keluar dengan beruniform dan bersenjata untuk memberikan bantuan perubatan kepada orang kampung kerana mereka percaya orang kampung yang sedang menderita pasti akan menyambut mereka dengan baik.  Komunis keluar dari hutan tahun 1974 ketika negara berada dalam aman damai dan ketika orang ramai menyangka gerakan pengganas komunis telah tamat di Malaysia.  Kalau orang-orang tua pun terkejut dengan perkembangan itu, betapalah kami yang kecil-kecil.  Sementelahan pula kami berada di kawasan itu.  Takutnya bila membayangkan umat Islam dijajah komunis seperti di China dan Soviet Union.  Keadaan itu membuat kami merasa betapa mahalnya iman dan Islam.  Di saat-saat cemas begitu jiwa tauhid terasa hidup dan subur.  Takutnya kalau hidup dipaksa menjadi kafir atau mati dalam keadaan kafir.

6. Sewaktu Abuya datang, kami adukan kebimbangan akan ancaman komunis  itu.  Ngerinya kalau gerakan komunis bangkit semula dan menguasai Malaysia.  Apalah nasib kami yang masih kecil-kecil ini.  Abuya bersyukur kerana walaupun masih kecil-kecil tapi Allah dah masukkan rasa takut tercabut iman dan Islam.  Abuya ajar kami sentiasa berdoa agar perasaan takut kehilangan iman itu kekal dan semakin subur hingga ke akhir hayat. 
Dalam masa yang sama, Abuya mengajak kami untuk memandang positif dan jauh ke hadapan.  Abuya kata, kalaulah zaman ini tidak ada janji Allah untuk Islam bangkit semula bermula dari Timur, sudah tentu bangsa Melayu akan senasib dengan umat Islam di China, Soviet Union, Palestin dan lain-lain.  Tapi kita bertuah kerana berada di zaman dan tempat dimana giliran Islam akan naik.  Zaman ini bukan giliran komunis, yahudi, kristian atau agama dan ideologi lain.  Komunis akan tumbang, dunia akan beralih kepada Islam.
MasyaAllah, Abuya ucapkan itu pada tahun 1974, iaitu 27 tahun sebelum empayar besar komunis Soviet Union benar-benar tumbang pada tahun 1991. 
Begitulah penangan jadual Allah yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW.  Apapun yang berlaku di dunia ini, semua mengarah dan mendukung ke arah kejayaan kebangkitan Islam di akhir zaman yang bermula dari Timur.  

Abuya membetulkan pemikiran kami, bahwa yang patut kita takutkan bukan musuh, tapi dosa-dosa kita.  Kerana dosa-dosa itu boleh menjadi hijab atau penghalang untuk kita kekal dalam kebenaran, dalam iman dan Islam.  Janji Allah pasti berlaku, Islam pasti menang, tapi kita belum tentu menjadi pejuangnya.

Melalui pendedahan tersebut sangat membantu untuk saya memahami ke arah mana hala tuju perjuangan yang Abuya hendak cetuskan.  Semuanya dirancang dan dilaksanakan dengan panduan Al-Quran dan Sunnah Nabi SAW.  Abuya berjuang bukan ikut isu, bukan pula mengeksploitasi isu semasa seperti kebanyakan pejuang politik.

Selepas pendedahan dengan pendidikan formal dan tidak formal selama setahun di Baling itu, kami dipanggil pulang untuk diberi assingment memulakan pendidikan rasmi di sekolah yang Abuya buka sendiri di Sungai Pencala, Damansara Kuala Lumpur.

Kami menjadi pelajar senior membantu Abuya menggerakkan jentera pendidikan.  Roh kepimpinan yang Abuya suntikkan di Baling, kini Abuya tambah suburkan dengan latihan yang lebih mencabar, iaitu diberikan amanah menjaga kumpulan usrah pelajar.  Penekanan awal Abuya kepada kami ialah mempelajari, memahami dan meyakini ilmu fardu ain yang meliputi bidang tauhid, feqah, dan tasauf. Pada Abuya ilmu bukan untuk menjadi pengetahuan yang dibanggakan, diperdebatkan dan dijadikan alat untuk mencari keuntungan duniawi, tetapi ilmu mestilah diamal dan diperjuangkan demi keselamatan dunia dan akhirat.

Islam itu untuk dilaksakan bukan untuk dijadikan bahan teori semata-mata. Ilmu yang ada roh ialah ilmu yang ada hasilnya, seperti pokok yang berbuah ditanam kerana hendakan buahnya. Begitulah ilmu yang tiada roh seperti pokok yang tiada berbuah.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

NEGARA SYAM.

NEGARA SYAM (JORDAN, PALESTIN,HEBRON, SYRIA) Negara Jordan menjadi tempat transit bagi Abuya sebelum meneruskan perjalanan ke negara negara lain. Jordan juga dikenali dengan bumi Anbiya. Jordan juga banyak meninggalkan kesan  peninggalan purba yang berusia  ribuan tahun. Ia banyak di Jordan atau dulu dikenali dengan negeri Syam. Wilayah Syam zaman kebangkitan pertama mengandungi Jordan, Palestin, Lubnan dan Syria. Di era kebangkitan kali kedua Syam telah terpecah kepada empat negara. Ia dilakukan oleh penjajah. Kini terdapat negara Jordan, Palestin, Lubnan dan Syria secara berasingan satu sama lain. Jordan era terkini dikenali dengan Kerajaan Hasyimiyah Jordan, (Hashemite Kingdom of Jordan) atau lebih dikenali dengan nama Jordan sahaja  merupakan sebuah negara Arab yang terletak di Asia Barat (dulu dianggap Timur Tengah) bersempadan dengan negara-negara Arab yang lain. Ia terletak pada koordinat 34-29 Utara 35-39 Timur iaitu di sebelah Barat La

KEBANGKITAN ISLAM AKHIR ZAMAN.

KEBANGKITAN ISLAM AKHIR ZAMAN. Allah telah mengkhabarkan kepada kita melalui lidah Rasul-Nya bahawa Allah telah ‘set’kan satu Jadual Allah SWT untuk umat yang datang sesudah wafatnya Nabi akhir zaman. Itulah kasih sayang Allah dan Rasul-Nya kepada umat Islam, yang untuk mereka tidak ada lagi nabi dan rasul.Maka diceritakan lah perkara-perkara yang bakal terjadi sama ada yang positif atau negatif. Dengan mengetahui dan memahami jadual itu, umat Islam terpandu atau terpimpin untuk menghadapi dan menerima takdir yang bakal berlaku. Antara jadual yang dimaksudkan itu ialah, Rasulullah SAW bersabda: Yang artinya : "Telah berlaku Zaman Kenabian ke atas kamu, maka berlakulah zaman kenabian sebagaima­na yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkat zaman itu. Kemudian berlakulah Zaman Kekhalifahan (Khulafaur Rasyidin) yang berjalan seperti zaman kenabian. Maka berlakulah zaman itu sebagaimana yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkat nya. Lalu berlakulah zaman

AGAMA NABI IBRAHIM.

AGAMA NABI IBRAHIM. Inti pati ayat: Al Qur’an ayat 123 surat 16 An Nahl, Kemudian Kami wahyukan kepadamu (Muhammad): "Ikutilah agama Ibrahim seorang yang hanif." dan bukanlah dia termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan. Al Qur’an ayat 39 surat 14 Ibrahim, Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadaku di hari tua (ku) Ismail dan Ishaq. Sesungguhnya Tuhanku, benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) do`a. Al Qur’an ayat 124 surat 2 Al Baqarah, Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia". Ibrahim berkata: "(Dan saya mohon juga) dari keturunanku". Allah berfirman: "Janji-Ku (ini) tidak mengenai orang-orang yang zalim". Al Qur’an ayat 71 surat 21 Al Anbiyaa’, Dan Kami selamatkan Ibrahim dan Luth ke sebuah negeri yang Kami telah memberkahinya untuk sekalian manusia. N