Langkau ke kandungan utama

KURSUS SAINS SOSIAL DI SUNGAI KOROK, ALOR SETAR KEDAH



Setelah Abuya memulakan  perjuangan dakwahnya pada awal tujuh puluhan, penerimaan masyarakat semakin meluas. Dakwah Abuya terus mantap dan berkembang begitu laju. Hampir semua ceruk pekan dan bandar Abuya berceramah.  Kursus-kursus kefahaman Islam yang dianjurkan semakin mendapat sambutan.  Lalu Abuya mengorak langkah setapak lagi ke hadapan, iaitu memulakan khidmat kepada masyarakat dalam bidang pendidikan.  Selain menyediakan institusi pendidikan untuk anak-anak sendiri dan anak-anak ahli jemaahnya, Abuya juga mengambil tanggungjawab untuk memberi alternatif kepada masyarakat yang sudah sedar untuk memilih kehidupan Islam.  

Umumnya orang-orang yang mendengar ceramah Abuya dan mendapat kesedaran Islam bertanya kemanakah mereka nak hantar anak supaya mendapat didikan Islam.  Waktu itu sekolah agama tidak banyak pilihan seperti sekarang.  Kalau adapun sekolah agama, biasanya berupa pondok-pondok di kampung yang kelihatan mundur dan jumud.  Sedangkan waktu itu angin kesedaran Islam sedang bertiup kencang di bandar-bandar besar, universiti dan kalangan orang-orang terpelajar.  Mereka mahukan sekolah agama yang baik dari segi didikan agamanya tapi maju dan tidak ketinggalan zaman.

Abuya menanam satu azam untuk mencetuskan sebuah institusi pendidikan yang mampu menghasilkan generasi yang bersifat sufi tapi berteknologi.  Generasi yang tangannya mentadbir dunia tapi hatinya merindui Akhirat.  Manusia yang mampu menjadi khalifah di muka bumi ini namun sangat merasa hamba kepada Allah.  Konsep inilah yang Abuya kongsikan dalam dakwahnya di merata tempat.

Seperti yang telah kita kongsikan sebelum ini Abuya memulakannya dengan menghantar 12 pelajar ke sekolah agama di daerah Baling, Kedah.  Selain sebagai pendedahan kepada para pelajar tersebut, Abuya juga ikut memajukan sekolah yang dimiliki oleh kawan baiknya.  Wakil Abuya yang di amanahkan mengendalikan sekolah tersebut ialah Ustaz Mohd Rushdi Yusuf.  Kami tinggal bersama beliau yang ketika itu masih bujang. Masa cuti sekolah kami berpeluang pergi ziarah keluarganya yang tinggal di Alor Setar. Ibu dan ayahnya ketika itu masih hidup. Abuya berjaya mendidik sehingga kami rasakan keluarga guru bagaikan keluarga sendiri. Tidak rasa asing walau pun itu adalah pengalaman pertama berjauhan dan berpisah dengan keluarga masing-masing.

     Jiwa saya sangat terkesan bagaimana Abuya membangunkan roh team pelaksananya  semasa mengendalikan sekolah tersebut. Kami yang tinggal bersama dengan wakil Abuya iaitu Ustaz Mohd Rushdi Yusuf  diikutsertakan secara aktif  melaksanakan hasrat Abuya menghidupkan roh pendidikan di sekolah tersebut.  Kami diajak mengejutkan dan menggerakkan para pelajar untuk bersiap lebih awal menunggu waktu solat terutamanya waktu Subuh. Kami dibawa sama pergi ke tempat penginapan pelajar-pelajar yang tinggal di pondok-pondok yang bilangannya menjangkau ratusan. 

     Ketika cuti panjang kami dari Kupang, Baling bermusafir ke Sungai Korok, Alor Setar. Suasana seolah-olah balik ke kampung sendiri kerana hubungan yang telah berjaya Abuya tanamkan antara guru dengan murid seperti sebuah keluarga. Abuya bukan saja memberi ilmu tentang akhlak dan kasih sayang, tetapi terus mendidik kami melaksanakan ilmu itu.  Ketika kami ikut guru balik kampung, ilmu tentang akhlak, kasih sayang dan kekeluargaan itu benar-benar diamalkan.  Bayangkanlah, seorang guru yang tidak ada hubungan keluarga bersusah payah membawa anak-anak muridnya balik kampung.  Yang murid-muridnya pula taat sahaja bahkan seronok pula ikut pulang ke kampung gurunya.  Ada jugalah seorang dua murid dari 12 orang itu yang tidak ikut kerana mereka dijemput ibubapa pulang ke kampung masing-masing.

Mengapa boleh berlaku begitu, ialah kerana Abuya telah berjaya menyatukan hati-hati kami macam adik beradik.  Walaupun Ustaz Mohd Rushdi Yusuf itu guru kami yang tak ada kaitan keluarga namun kami merasakan dia adalah abang sulung kami.  Itu kerana Abuya selain memberi tanggungjawab, beliau juga memberi kepercayaan penuh kepadanya untuk menjaga kami.  Bukan itu sahaja, Abuya juga memberi contoh dan dorongan dengan menziarahi kami di kampung tersebut.  Begitulah bentuk didikan Abuya yang sangat berkesan.  Ilmu diberi, dorongan digalakkan, contoh tauladan dilaksanakan, panduan dan pimpinan sentiasa diberi disertakan. Guru mursyid itu memberi ilmu dan mendidik. 

Madah Hati Abuya: "Guru tidak mesti mendidik, yang ramai guru yang memberi ilmu tidak mendidik. Jarang mendapatkan guru dia memberi ilmu dan mendidik. Itulah dia guru ikutan."

Iaitu guru yang dirinya itu menjadi model dan contoh. Untuk mendapatkan guru mursyid memanglah susah terutamanya di akhir zaman ini.

     Sepanjang perjalanan sangat terasa bagaimana roh disuburkan. Bukan saja kita rasa terbuka fikiran kerana melihat macam-macam pemandangan, terutamanya sawah padi yang luas mata memandang. Maklumlah, Kedah yang dikenali dengan negeri jelapang padi dipenuhi bendang. Bagi kami yang datang dari Kuala Lumpur sudah tentu teruja melihat pemandangan tersebut. Berkat didikan Abuya juga, melihat indahnya pemandangan itu kami dapat rasakan kebesaran Tuhan. Jiwa dapat hidup bila boleh dikaitkan dengan Tuhan yang Maha pencipta.

     Kalau dunia pada hari ini berlumba-lumba menyediakan dan mendorong manusia gila ilmu. Maka kita lihat sekolah-sekolah, kolej-kolej, institusi-institusi dan universiti-universiti yang menyampaikan ilmu semata-mata. Guru yang sekadar berikan kuliah ilmu, lepas itu terpulanglah kepada murid untuk faham atau tidak. Esoknya ditambah lagi dengan kuliah ilmu yang baru pula. Guru seperti ini mudah dicari. Begitu juga siswa siswi buka kitab, tutup kitab dan struggle lah sendiri kalau ingin faham atau lulus dalam pelajaran mereka. Hubungan murid dan guru terlalu rasmi. Lebih-lebih lagi guru-guru tidak boleh jadi contoh kepada pelajar-pelajarnya. 

     Abuya sebagai guru mursyid bukan saja berjaya berikan ilmu tetapi berjaya menghidupkan jiwa. Dalam perjalanan kami terasa seolah-olah masih di dalam kelas kerana perkongsian maklumat dan ilmu tidak putus-putus. Apa saja yang kami lihat dipandu supaya ada maklumat dan menjadi ilmu kepada kami. Tidak dibiarkan hanya perkongsian maklumat tetapi juga terus di bimbing supaya diri terpimpin untuk selamat didunia dan di Akhirat.

     Didikan yang Abuya berikan sangat berhikmah. Supaya kita mudah memahami kepimpinan dan perjuangannya dia beri peluang mendekati kawan-kawan yang mendokong perjuangan Islam. Di beri peluang bersama-sama dengan masyarakat yang inginkan panduan dan pimpinan Islam. Dimana kita dapat rasakan mahalnya nilai seorang pemimpin yang dapat membawa kita kepada Tuhan.

     Ketika sampai di Alor Setar, kami disambut begitu meriah dengan penuh kasih sayang bagaikan kami pulang ke kampung halaman sendiri. Hampir setiap malam kami bersama masyarakat dengan pelbagai aktiviti. Mula-mula kami ikut serta bacaan berzanji di surau. Selepas itu ramai pula yang menjemput kami ke rumah-rumah untuk bacaan berzanji. Seringkali kami di jemput untuk kenduri kendara. Lebih-lebih lagi waktu cuti sekolah masa yang paling sesuai untuk mengadakan macam-macam kenduri. Ada yang menjemput atas kesyukuran dapat anak, kenduri dapat menantu dan tidak kurang juga masyarakat hantar makanan ke surau untuk menjamu ahli jemaah.

     Ada dikalangan kami yang memiliki suara merdu diminta untuk hiburkan masyarakat dengan nasyid Islami.  Pembacaan Berzanji pada umumnya dilakukan di majlis-majlis dengan niat untuk mendapat keberkatan. Misalnya pada waktu kelahiran bayi, mencukur rambut bayi, berkhatan, perkahwinan dan sebagainya.  Waktu itu satu pengalaman baru kami yang datang dari bandar, Barzanji dilakukan secara bersama-sama dengan bayi yang baru lahir dicukur rambutnya dalam bulatan oleh imam dan ahli keluarga terdekat. Sementara baju atau kain orang-orang yang sudah memegang bayi tersebut, kemudian diberi titisan minyak wangi. Sebenarnya ini adalah budaya yang baik dalam Islam, tetapi waktu itu sudah terpinggir, hanya ada di kampung-kampung.  Kemudian Abuya menghidupkan semula, hingga sekarang ini sudah menjadi trend hingga ke bandar.  

     Satu kenangan dan pengalaman yang Abuya dedahkan kepada kami semasa berada di utara Malaysia. Pengalaman walaupun hanya satu tahun tetapi kami merasakan bagaikan pendedahan selama 10 tahun. Kerana terlalu sarat dengan pendedahan dan pengalaman bersama masyarakat. Sepanjang pendedahan tersebut kami terus dapat bimbingan Abuya melalui wakilnya. Sangat terasa akal diberi makan dengan ilmu. Fizikal diberi keperluannya seperti makan minum dan mengembara yang melibatkan persedian fizikal.  Bertemu masyarakat banyak memberi pengalaman hidup terutamanya perkongsian pengalaman kehidupan orang kampung. Suatu hal yang jarang di perolehi di waktu ini.

     Bilamana kami dipanggil balik ke Kuala Lumpur, seolah-olah kami diberikan sekeping sijil pengiktirafan. Kami pulang ke Kuala Lumpur membawa hati yang berjiwa besar. Membawa cita-cita Islam yang telah Abuya tanam semasa disana. Akal yang telah di isi dengan ilmu dan pengalaman. Fizikal yang sudah disiapkan untuk meneruskan perjuangan di Sungai Penchala, Damansara Kuala Lumpur. 

Begitulah Abuya sebagai guru mursyid dapat menghidupkan jiwa kita. Apa yang kita lihat, apa yang kita rasa, apa yang kita dengar, tersentuh menambahkan iman. Kita mudah hendak kaitkan apa saja dengan Tuhan. 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

NEGARA SYAM.

NEGARA SYAM (JORDAN, PALESTIN,HEBRON, SYRIA) Negara Jordan menjadi tempat transit bagi Abuya sebelum meneruskan perjalanan ke negara negara lain. Jordan juga dikenali dengan bumi Anbiya. Jordan juga banyak meninggalkan kesan  peninggalan purba yang berusia  ribuan tahun. Ia banyak di Jordan atau dulu dikenali dengan negeri Syam. Wilayah Syam zaman kebangkitan pertama mengandungi Jordan, Palestin, Lubnan dan Syria. Di era kebangkitan kali kedua Syam telah terpecah kepada empat negara. Ia dilakukan oleh penjajah. Kini terdapat negara Jordan, Palestin, Lubnan dan Syria secara berasingan satu sama lain. Jordan era terkini dikenali dengan Kerajaan Hasyimiyah Jordan, (Hashemite Kingdom of Jordan) atau lebih dikenali dengan nama Jordan sahaja  merupakan sebuah negara Arab yang terletak di Asia Barat (dulu dianggap Timur Tengah) bersempadan dengan negara-negara Arab yang lain. Ia terletak pada koordinat 34-29 Utara 35-39 Timur iaitu di sebelah Barat La

KEBANGKITAN ISLAM AKHIR ZAMAN.

KEBANGKITAN ISLAM AKHIR ZAMAN. Allah telah mengkhabarkan kepada kita melalui lidah Rasul-Nya bahawa Allah telah ‘set’kan satu Jadual Allah SWT untuk umat yang datang sesudah wafatnya Nabi akhir zaman. Itulah kasih sayang Allah dan Rasul-Nya kepada umat Islam, yang untuk mereka tidak ada lagi nabi dan rasul.Maka diceritakan lah perkara-perkara yang bakal terjadi sama ada yang positif atau negatif. Dengan mengetahui dan memahami jadual itu, umat Islam terpandu atau terpimpin untuk menghadapi dan menerima takdir yang bakal berlaku. Antara jadual yang dimaksudkan itu ialah, Rasulullah SAW bersabda: Yang artinya : "Telah berlaku Zaman Kenabian ke atas kamu, maka berlakulah zaman kenabian sebagaima­na yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkat zaman itu. Kemudian berlakulah Zaman Kekhalifahan (Khulafaur Rasyidin) yang berjalan seperti zaman kenabian. Maka berlakulah zaman itu sebagaimana yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkat nya. Lalu berlakulah zaman

AGAMA NABI IBRAHIM.

AGAMA NABI IBRAHIM. Inti pati ayat: Al Qur’an ayat 123 surat 16 An Nahl, Kemudian Kami wahyukan kepadamu (Muhammad): "Ikutilah agama Ibrahim seorang yang hanif." dan bukanlah dia termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan. Al Qur’an ayat 39 surat 14 Ibrahim, Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadaku di hari tua (ku) Ismail dan Ishaq. Sesungguhnya Tuhanku, benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) do`a. Al Qur’an ayat 124 surat 2 Al Baqarah, Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia". Ibrahim berkata: "(Dan saya mohon juga) dari keturunanku". Allah berfirman: "Janji-Ku (ini) tidak mengenai orang-orang yang zalim". Al Qur’an ayat 71 surat 21 Al Anbiyaa’, Dan Kami selamatkan Ibrahim dan Luth ke sebuah negeri yang Kami telah memberkahinya untuk sekalian manusia. N