Langkau ke kandungan utama

MENGAPA PERJUANGAN HAK IBARAT AIR YANG MENGALIR.

MENGAPA PERJUANGAN HAK IBARAT AIR YANG MENGALIR.



Mengapa perjuangan Islam diibaratkan air mengalir yang tenang?  Kerana air itu mempunyai sifat-sifat yang sangat diperlukan oleh manusia sama seperti agama Islam, agama fitrah yang sangat diperlukan oleh setiap insan.  Air adalah simbol kehidupan, melegakan dahaga, menyejukkan dan menyucikan.  Air mampu menjadi pelarut yang boleh membersihkan berbagai kekotoran.  Di sebalik ketenangan dan kelembutan air itu pula kuasa besar yang boleh menjana kekuatan.  Air terjun boleh menggerakkan kincir, menghasilkan kuasa elektrik atau kuasa hidraulik yang menjana keselesaan hidup manusia.


Begitulah bila Islam diperjuangkan dengan cara yang betul dan tepat sesuai kehendak Allah dan Rasul yakni dengan dakwah dan kasih sayang maka Islam mampu menjana keselesaan lahir dan batin kepada seluruh manusia bahkan seluruh makhluk Tuhan. Ulfah bermaksud kasih sayang ia adalah nikmat rohani. Bila tercetus kasih sayang rahmat Tuhan pun turun. Maka mudahlah berlakunya perpaduan. Abuya mendidik dan berkongsi minda dengan kita bahawa kasih sayang adalah anak kunci perpaduan. Kasih sayang yang disebut dalam bahasa Arab ukhwah adalah diantara sunnah rasul. Ia adalah nikmat maknawi atau rohani. Kasih sayang ia diperlukan oleh semua insan.

Maksud firman Tuhan:

103 Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk. (Ali-Imran, 3:103).


Perpaduan itu satu rahmat dan nikmat dari Allah. Ia merupakan satu nikmat bagi manusia. Berbagai-bagai kebaikan boleh tumbuh hasil dari perpaduan. Masyarakat bersatu-padu, bertolong bantu, bela membela, berkasih sayang, bertolak ansur dan bertimbang rasa. Masyarakat menjadi kukuh dan kuat. Apa sahaja yang hendak dibuat atau dilaksanakan menjadi mudah kerana semua pihak bersetuju dan memberi kerjasama. Keselamatan masyarakat terjamin kerana tidak ramai yang berani menggugat masyarakat yang bersatu-padu. Kalaupun ada, ianya mudah diselesaikan.


Mukmin pilihan sudah tentu telah menjadi Orang Roh. Di akhir zaman mereka dikenali dengan ikhwan Rasulullah. Mukmin pilihan ini suka melakukan muhasabah diri. Iaitu mengubati dan merawat secara rohani terhadap diri sendiri dulu. Rawatan rohani terhadap penyakit hati dan krisis jiwa pada dirinya, anggota keluarganya dan masyarakatnya. Orang roh iaitu mukmin pilihan di akhir zaman ketengahkan pada masyarakat pengertian hidup yang hakiki yang dapat mengembalikan manusia pada fitrahnya. Abuya At-Tamimi selaku tokoh orang roh kongsikan satu formula yang menjamin kebahagiaan dan keselamatan hati. Abuya At-Tamimi perjuangkan kehidupan 'sunnah' yang akan membawa manusia kepada syurga dunia dan akhirat.


Abuya mendidik kita dengan ajaran Quran dan Sunnah. Melalui pimpinan dan didikannya menjadikan diri kita terhibur dengan kemiskinan, kesunyian, kesakitan, kesepian, kematian orang yang dikasihi, kegagalan dan dengan segala bentuk ujian. Mana ada selain Islam cara hidup yang mengikat hati antara suami dengan isteri, anak dengan ibu-bapa, pengikut dengan pemimpin, pekerja dengan majikan? Mana ada selain ajaran Islam cara hidup yang mengajar kita berkasih-sayang, bertimbang rasa, pemurah, berbaik sangka dan tolong menolong?


Mana ada selain Islam cara hidup yang membangkitkan cinta agung manusia pada Penciptanya sehingga manusia akan mengorbankan hidup untuk Tuhannya dan menanti kematian bagaikan penantian seorang kekasih untuk bertemu dengan kekasihnya?


Abuya mendidik dan mengajak kita untuk meniliti dan mengenal hati kita serta mengubati penyakitnya. Apabila hati sudah diubati, maka hati kita akan penuh dengan 'cahaya' kebahagiaan, ketenangan dan ketenteraman. Itulah syurga sementara sebelum kita bertemu Allah untuk menerima syurga yang kekal abadi. Abuya didik kita sambil menunggu masuk waktu solat dengan berselawat "selawat Badwi". Bacaan selawat tersebut kini telah didindangkan oleh media perdana. Ertinya ia menjadi amalan umum umat Islam kususnya di Malaysia.


Dalam diri manusia ada tiga unsur. Iaitu akal fizikal dan roh atau hati. Setiap unsur keperluannya tidak sama. Dalam Islam kita diminta untuk menjaga akal dengan diberi makanannya iaitu ilmu, menjaga fizikal dengan diberi makanannya iaitu nasi, roti dan lain2 dan makanan roh atau hati ialah zikrullah sebagaimana disebutkan dalam al-quran :
Ertinya : ketahui olehmu dengan mengingati Allah hati menjadi tenang. (Ar-Ra'd,13:28).


Hati juga boleh dikiaskan sebagai bateri kereta. Ianya perlu di-jaga dan jangan disalahguna. Bagaimana mahu menjaga supaya tidak disalahguna? Umum kita tahu sebuah kereta, canggih mana pun kalau tidak ada bateri tidak akan boleh berjalan. Tanpa bateri enjin tidak boleh dihidupkan atau kalau bateri ada tapi lemah pun tetap tidak bergerak. Cara menjaganya ialah; kalau bateri itu jenis sel basah, kita cek airnya. Kalau kurang kena tambah. Perhatikan tarikh luputnya. Jangan biarkan lampu menyala atau apa2 alatan lain dihidupkan jika enjin tidak bergerak. Kalau lampu menyala sentiasa, tidak ikut keperluannya samada siang atau malam boleh melemahkan bateri. Perumpamaan dan perbandingan didatangkan supaya kita mudah faham.


Melalui pegangan dan keyakinan yang jitu, menjadikan kita berjiwa kental dan besar. Seorang yang yakin dan optimistik berjiwa besar dan memiliki cita-cita sangat membantunya menjadi pejuang Islam. Melakukan perjuangan yang akan mengulangi perjuangan kebangkitan Islam pertama. Mungkin sudah tiba masanya untuk kita berubah minda ke arah yang lebih positif tentang masa depan perjuangan Islam. Ada janji melalui lidah Rasulullah SAW bahawa Islam akan gemilang sekali lagi. Kegemilangan Islam pertama telah berlaku dan kebangkitan Islam kali kedua ini akan mengulangi kegemilangan Islam pertama. Kini kita akan bersama dengan pimpinan Islam yang bertaraf sejagat.


Mukmin pilihan atau orang itu sangat menyerahkan dirinya kepada Tuhan. Sebab pada lahirnya dapat dilihat sangat suka meminta dengan Tuhannya melalui disiplin doa yang benar. Doa perlu diikuti dengan penyerahan diri kepada Allah. Seseorang yang berdoa meletakkan segala keputusan, sama ada senang atau susah kepada Pencipta dan Pentadbir alam. Memahami bahawa segala penyelesaian kepada sesuatu masalah atau mencegah daripada sesuatu perkara yang tidak diingini terletak pada Allah Yang Maha Berkuasa. Dia ialah sumber ketenangan dan keyakinan kepada orang-orang mukmin. Dengan berdoa kepada Allah dan menjadikanNya sebagai Pelindung kita, Ia menanam perasaan aman dalam diri seseorang mukmin.

Maksud firman Tuhan:

Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas. Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi, sesudah (Allah) memperbaikinya dan berdoalah kepdaNya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik. (Surah al-A’raf: 55-56).


Mengapakah XPDC mencari Tuhan itu penting?.
Dalam era kebangkitan Islam yang ke dua di akhir zaman ini, kita wajib meniru apa yang Rasulullah SAW lakukan hingga baginda berjaya dalam kebangkitan Islam kali pertama. Hal yang Rasulullah SAW perjuangkan pertama-tama adalah persoalan tauhid, yaitu memperkenalkan Allah SWT sebagai satu-satunya Tuhan yang layak disembah. Kerana di situlah permulaan dan titik tolak agama. Tanpa Tuhan, ajaran Islam akan hanya menjadi satu ajaran ideologi. Yang membezakan antara agama dan ideologi ialah Tuhan. Dalam ajaran ideologi, Tuhan tidak ada.

       
 Dalam agama perkara terpokok adalah Tuhan. Awal-Awal Agama Mengenal Allah. Tidak ada Tuhan tidak ada agama. Rasulullah SAW berjuang selama tiga belas tahun di Makkah. Itulah masa Rasulullah berdakwah dan mengumpul pengikut-pengikutnya. Mula-mula secara sembunyi-sembunyi dan kemudian secara terang-terangan. Dalam masa tiga belas tahun itu, Rasulullah hanya `membawa Tuhan` kepada para Sahabat dan memperkenalkan para Sahabat kepada Tuhan. Dalam majlis yang resmi atau tidak resmi, dalam majlis keramaian, apabila berjalan-jalan dengan para Sahabat, bahkan pada setiap waktu Rasulullah menceritakan tentang Allah dan hari Akhirat. Tentang kebesaran, kesucian dan kekuasaan-Nya. Tentang kasih sayang, keampunan dan belas ihsan-Nya. Tentang kuasa dan iradah-Nya dan tentang segala sifat yang ada pada Tuhan. Tuhan adalah yang maha benar.


Dalam sejarah Islam, pengembaraan atau xpdc merupakan suatu tradisi yang biasa dilakukan oleh para ulama dan pencari ilmu. Hampir seluruh ulama Islam pernah mengembara, dari satu kota ke kota lain untuk menuntut ilmu. Ajaran Islam sangat luas. Dari tiga asas utama ajaran Islam di zaman Rasulullah SAW iaitu iman, Islam dan Ihsan atau istilah barunya akidah, syariat dan tasawuf, ilmu Islam telah berkembang dengan begitu luas sekali. Memang begitulah sifat ilmu. Segala sifat-sifat Allah itu sangat-sangat dihayati oleh para Sahabat hingga mereka menjadi cukup kenal dengan Tuhan. Bukan setakat tahu, tetapi cukup kenal. Mereka menjadi orang-orang yang arifbillah. Hati-hati mereka cukup hampir dengan Tuhan, cukup sensitif dan peka dengan Tuhan. Mereka cukup terangsang dengan kebesaran dan keagungan Tuhan.


Akhirnya jadilah para Sahabat, orang-orang yang sangat cinta dan takut kepada Tuhan. Dalam hidup mereka, Allahlah yang menjadi perkara utama. Allahlah yang bertakhta di hati-hati mereka. Ramai di kalangan Sahabat yang menjadi mabuk dengan Tuhan kerana terlalu sangat takut dan rindunya. Perasaan mabuk, takut dan cinta ini sangat kuat dan mendalam hingga adakalanya hati-hati para Sahabat tidak dapat menanggung bebannya. Ada Sahabat yang terus mati kerana mengingatkan kebesaran Allah. Ada yang mati apabila ada orang menyebut nama Allah. Manakala yang jatuh pengsan dan tidak sedarkan diri lebih ramai lagi.


Bila disebut nama Allah, gementar hati-hati mereka. Namun dengan hati yang begitu mabuk dan rindu pada Tuhan, mereka tidak mempunyai jalan atau cara untuk melepaskan perasaan mereka. Mereka tidak ada cara untuk berhubung atau berinteraksi dengan Tuhan. Maka terpaksalah mereka menanggung dan memendam rasa mabuk dan rindu itu. Mereka seolah-olah orang yang begitu dahaga tetapi tidak mendapat air untuk diminum.  Mereka seperti orang yang tersangat lapar tetapi tidak ada apa untuk dimakan. Mereka seperti orang yang sangat rindukan Kekasih Agungnya tetapi tidak dapat bersua dan bertemu untuk memuji-muji dan meluahkan segala perasaan yang terpendam dan terbuku di hati. Allah biarkan sahaja mereka jadi begitu.


 Hanya pada tahun yang kesebelas, baru berlaku peristiwa Israk Mikraj. Jadi, hanya pada tahun kesebelas baru datang perintah solat. Itulah satu hadiah yang tersangat besar yang Allah kurniakan kepada para Sahabat supaya mereka dapat berinteraksi dan berhubung dengan-Nya. Supaya mereka dapat melepaskan segala perasaan rindu dan dendam yang selama ini mereka tanggung. Supaya mereka dapat mengadu, berbicara, berbisik-bisik dan meminta-minta kepada Tuhan. Supaya mereka dapat meluahkan segala isi hati mereka dan bermanja-manja dengan Tuhan.


Sungguh solat itu satu kurniaan yang amat besar bagi para Sahabat. Ia ibarat air di kala dahaga. Ia ibarat makanan di kala lapar. Ia ibarat pertemuan dengan kekasih yang sangat dirindukan. Solat menjadi buah hati Rasulullah dan para Sahabat. Solat adalah kerehatan mereka. Rasulullah SAW pernah bersabda: "Sembahyang adalah penyejuk mataku." Baginda juga pernah menyuruh Sayidina Bilal r.a. untuk azan dengan berkata: "Wahai Bilal, berilah kerehatan kepada kita semua!"


Demikianlah kedudukan solat di hati Rasul dan para Sahabat. Tidak hairanlah mereka tenggelam di dalam solat. Mereka `mikraj` di dalam solat. Tidak hairan juga, ketika solat, mereka lupa tentang dunia ini dan segala isinya sama ada yang berupa nikmat mahupun kesusahan dunia. Mereka asyik dan masyuk dengan Tuhan dalam solat.


Sayidina Ali k.w. lantaran khusyuknya di dalam solat, tidak terasa apa-apa ketika dicabut anak panah dari betisnya. Solat mereka yang sebeginilah yang telah menjadikan mereka peribadi-peribadi agung. Agung keimanan mereka. Agung keyakinan mereka dan agung akhlak mereka. Mereka bertebaran keseluruh pelusuk dunia. Allah kurniakan kepada mereka 3/4 dunia dan semua bangsa bernaung di bawah kekuasaan mereka.


Maksud Firman Tuhan: Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul). (Ali-Imran,3:137).


Mereka membawa kedamaian dan keselamatan. Mereka penuhi dunia ini dengan keadilan dan kebahagiaan. Di sini kita sungguh-sungguh dapat melihat pendidikan Rasulullah, awaludin makrifatullah. Awal-awal agama mengenal Allah. Para Sahabat dikenalkan kepada Allah hingga mereka menjadi orang-orang yang arifbillah, iaitu orang-orang yang sangat takut, cinta dan rindu kepada Allah dan orang-orang yang mabuk dengan Allah. Dalam keadaan begitulah baru mereka diperintah bersolat dan menegakkan syariat Allah yang mana keseluruhan perintah syariat itu diturunkan di Madinah itu hanya memakan masa 10 tahun, berbanding memperkenalkan Tuhan selama 13 tahun di Makkah.

"MEREKA IBARAT AIR BERI MANFAAT KEPADA MANUSIA"

Mukin pilihan atau orang roh (ikhwanku) adalah pejuangk ebenaran, di waktu malam dia ibarat rahib yang tersungkur, sujud menyembah Tuhannya. Pada waktu siang, dia ibarat singa lapar yang gigih dan berani:

"رهبان بالليل و فرسان بالنهار ".

Bagi pejuang kebenaran, dirinya tidak penting. Dia sanggup menjadi lilin yang membakar diri asalkan masyarakat dapat cahaya. Dia sanggup menderita, disisih, dibuang, dihalau, dikurung hatta dirinya terkorban asalkan matlamat perjuangannya tercapai. Pejuang kebenaran menghapuskan kegelapan dengan membawa cahaya. Dia membasmi kekufuran dengan membawa iman. Dia mengubah kejahatan dengan membawa akhlak. Digantikan rasa putus asa dengan rasa bergantung harap dengan Tuhan.


Pejuang kebenaran sering memohon dan merintih melalui doanya; "Ya Allah, bantulah kami untuk tetap layak berada dalam kebenaran, di atas jalan-Mu. Jangan sesekali Kau menapis kami daripada rahmat dan jalan-Mu kerana kelalaian kami sendiri untuk mengubat hati dan mengubah sahsiah diri. Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah     Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.(Ali-Imran,3:8).


Pejuang kebenaran itu, walaupun sifatnya lembut, dia tegas dalam perjuangan. Walaupun dia banyak menyerah pada Tuhan, dia tahan diuji. Kalau ditimpa berbagai ujian, bertambah keyakinannya, bertambah optimisnya dan bertambah sangka baiknya dengan Tuhan.
Jiwanya kukuh dan kental. Perjuangannya ibarat air. Mengalir dan terus mengalir. Kalau diempang, dia akan menyusup ke bawah, dia akan mengalir ke sisi. Seperti air juga, perjuangannya sangat diperlukan. Sangat memberi manfaat kepada manusia.

Maksud Firman Allah:

Tidakkah engkau melihat bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran).
(Ibrahim,14:24-25).


Pengertian ayat diatas di mana Allah buat perumpamaan Islam dan iman itu umpama sepohon pokok. Iman ibarat akar tunjang dan Islam adalah pokok yang menjulang tinggi kelangit. Islam Laksana Sebatang pokok. Agama Islam yang kita akui dan yang kita warisi itu sebenarnya cantik dan indah.


Kedatangan Rasulullah SAW adalah rahmatan lil alamin karena membawa peraturan hidup yang disebut agama Islam. Jika agama Islam ini benar-benar dipahami, diamalkan dan diperjuangkan di semua bidang dan aspek secara mantap, bukan hanya di aspek-aspek tertentu, maka sudah tentu agama Islam akan menjadikan manusia berkasih sayang, menghubungkan silaturahim, menumbuhkan ukhuwah, menjadikan anak-anak taat kepada orang tua, ayah ibu senantiasa memberi kasih sayang kepada anak-anak, isteri senantiasa patuh kepada suami setelah taat kepada Allah dan Rasul, suami senantiasa bersimpati kepada isterinya. Seorang pemimpin akan menjadi payung bagi seluruh masyarakat, menjalankan keadilan terhadap seluruh rakyat. Ulama akan menjadi obor, penasehat kepada seluruh peringkat masyarakat. Orang kaya akan terdorong menjadi bank, sehingga tidak perlu lagi mendirikan bank Islam.


Selain itu, Islam juga akan mendorong peniaga bertindak jujur dalam perniagaan, orang miskin redha dalam kemiskinan atau setidaknya sanggup bersabar. Masyarakat bersih dari maksiat, krisis, kejahatan, perkelahian dan peperangan. Akhirnya manusia akan hidup harmoni, bersatu padu, aman, damai, selamat dan bahagia. Itulah yang disebut sebagai Al Jannatul Ajilah atau Syurga yang disegerakan di dunia. Syurga sementara sebelum di akhirat nanti akan dihadiahkan Syurga Allah yang sebenarnya kepada mereka yang berhasil mewujudkan keselamatan dan kebahagiaan itu.


Namun sungguh malang, di dalam pengalaman hidup kita selama ini, kita belum dapat merasakan Islam itu cantik dan indah. Kita belum dapat merasakan ketenangan Islam, kebahagiaan Islam, kedamaian Islam. Kita belum dapat menyaksikan suatu masyarakat yang bersih dari kemungkaran, kejahatan dan bersih dari segala bentuk krisis. Kita belum dapat merasakan kecantikan dan keindahan agama Islam. Mengapa? Karena sudah ratusan tahun lamanya, setidaknya sejak 700 tahun yang lalu, sesudah jatuhnya kerajaan Islam di Timur Tengah, sejak itulah umat Islam seluruh dunia tidak lagi mempelajari, memahami dan seterusnya memperjuangkan Islam secara syumul, secara keseluruhan dan dalam sekup yang luas. Yang kita fahami hanya dalam aspek-aspek tertentu dan terbatas juzuk bagian-bagian tertentu.






   
   
   






         

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

NEGARA SYAM.

NEGARA SYAM (JORDAN, PALESTIN,HEBRON, SYRIA) Negara Jordan menjadi tempat transit bagi Abuya sebelum meneruskan perjalanan ke negara negara lain. Jordan juga dikenali dengan bumi Anbiya. Jordan juga banyak meninggalkan kesan  peninggalan purba yang berusia  ribuan tahun. Ia banyak di Jordan atau dulu dikenali dengan negeri Syam. Wilayah Syam zaman kebangkitan pertama mengandungi Jordan, Palestin, Lubnan dan Syria. Di era kebangkitan kali kedua Syam telah terpecah kepada empat negara. Ia dilakukan oleh penjajah. Kini terdapat negara Jordan, Palestin, Lubnan dan Syria secara berasingan satu sama lain. Jordan era terkini dikenali dengan Kerajaan Hasyimiyah Jordan, (Hashemite Kingdom of Jordan) atau lebih dikenali dengan nama Jordan sahaja  merupakan sebuah negara Arab yang terletak di Asia Barat (dulu dianggap Timur Tengah) bersempadan dengan negara-negara Arab yang lain. Ia terletak pada koordinat 34-29 Utara 35-39 Timur iaitu di sebelah Barat La

KEBANGKITAN ISLAM AKHIR ZAMAN.

KEBANGKITAN ISLAM AKHIR ZAMAN. Allah telah mengkhabarkan kepada kita melalui lidah Rasul-Nya bahawa Allah telah ‘set’kan satu Jadual Allah SWT untuk umat yang datang sesudah wafatnya Nabi akhir zaman. Itulah kasih sayang Allah dan Rasul-Nya kepada umat Islam, yang untuk mereka tidak ada lagi nabi dan rasul.Maka diceritakan lah perkara-perkara yang bakal terjadi sama ada yang positif atau negatif. Dengan mengetahui dan memahami jadual itu, umat Islam terpandu atau terpimpin untuk menghadapi dan menerima takdir yang bakal berlaku. Antara jadual yang dimaksudkan itu ialah, Rasulullah SAW bersabda: Yang artinya : "Telah berlaku Zaman Kenabian ke atas kamu, maka berlakulah zaman kenabian sebagaima­na yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkat zaman itu. Kemudian berlakulah Zaman Kekhalifahan (Khulafaur Rasyidin) yang berjalan seperti zaman kenabian. Maka berlakulah zaman itu sebagaimana yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkat nya. Lalu berlakulah zaman

AGAMA NABI IBRAHIM.

AGAMA NABI IBRAHIM. Inti pati ayat: Al Qur’an ayat 123 surat 16 An Nahl, Kemudian Kami wahyukan kepadamu (Muhammad): "Ikutilah agama Ibrahim seorang yang hanif." dan bukanlah dia termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan. Al Qur’an ayat 39 surat 14 Ibrahim, Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadaku di hari tua (ku) Ismail dan Ishaq. Sesungguhnya Tuhanku, benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) do`a. Al Qur’an ayat 124 surat 2 Al Baqarah, Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia". Ibrahim berkata: "(Dan saya mohon juga) dari keturunanku". Allah berfirman: "Janji-Ku (ini) tidak mengenai orang-orang yang zalim". Al Qur’an ayat 71 surat 21 Al Anbiyaa’, Dan Kami selamatkan Ibrahim dan Luth ke sebuah negeri yang Kami telah memberkahinya untuk sekalian manusia. N