Langkau ke kandungan utama

WATAK MELAYU LUNAK.

Empayar yang diterajui oleh Malaysia bahagian ( 11 ).

Watak Melayu yang lunak,

Logiknya manusia mudah berpadu dan bersatu. Setelah kita mengkaji kehidupan manusia serta dapatkan dibuktikan dan dirasakan oleh pengalaman hidup kita bahawa manusia itu terpaksa hidup perlu-memerlu satu sama lain, mengikut logiknya manusia mesti bersatu padu.


Apabila bersatu padu tidak akan bergaduh, tidak akan berkrisis, tidak akan bersenget hati, tidak akan bermusuh-musuh, tidak akan jatuh-menjatuhkan, tidak akan berperang sesama sendiri, bahkan sepatutnya berkasih sayang.

Dengan  itu manusia mudah mengendalikan urusan kehidupan satu sama lain. Tetapi realitinya tidak begitu. Manusia itu sentiasa saja berpecah-belah dan bermusuhan sekalipun di dalam satu etnik dan satu bangsa.

Mengapa manusia tidak boleh berpadu dan bersatu?

Walaupun manusia itu satu sama lain perlu-memerlukan, sandar-menyandar, lengkap-melengkapi, namun demikian payah manusia itu hendak disatukan.

Mengapa? Kerana di dalam diri manusia itu ada nafsu. Sifat nafsu itu sangat jahat di samping adanya syaitan yang sentiasa mendorong manusia bermusuhan satu sama lain. Di antara kejahatan nafsu, tamak, mementingkan diri dan kehendaknya tidak terbatas.

Nafsu itu berkehendak yang halal mahupun yang haram, yang baik mahupun yang buruk, yang boleh mahupun yang tidak boleh. Apabila diperturutkan kehendaknya demi untuk mencapai kehendak dan kemahuan, dia tidak mengira apa cara sekalipun haram,

Tidak mengira apakah cara memerah tenaga orang, fitnah orang, burukkan orang, mengambil hak orang, menindas, memerah tenaga orang, menghina orang dan lain-lain. Begitulah setiap orang atau puak atau kaum di dalam satu bangsa kalau tidak dibendung oleh iman.

Oleh yang demikian, di dalam perlu-memerlu itu mereka pecah, di dalam bertolong bantu itu bersenget hati, di dalam sandar-menyandar itu ada kepentingan diri. Di dalam gotong-royong itu ada pengkhianatan, di dalam perkongsian ada penipuan, di dalam satu keluarga satu jemaah, satu parti, satu kaum, di dalam satu bangsa, ada jatuh-menjatuhkan dan khianat-mengkhianati.

Rahsia perpaduan


Bersatu dan berpadu bukan satu perkara yang mudah. Bukan sahaja setakat hendak memperpadukan satu bangsa di dalam sebuah negara amat payah hendak diwujudkan. Setakat satu keluarga atau di dalam sebuah rumahtangga pun sudah terasa sulitnya. Betapalah hendak mempersatukan rakyat di dalam sebuah negara lebih-lebih lagi alam sejagat.

Mempersatukan manusia jangan anggap mudah, boleh berlaku di dalam satu rumpun keturunan atau satu etnik atau berdasarkan sedarah sedaging atau berlaku satu tempat lahir atau satu ideologi atau berasa di dalam sebuah parti atau jemaah.

Untuk dapat kita faham bersatu yang macam mana yang sebenarnya yang dikatakan bersatu dan berpadu itu sebelum saya memaparkan rahsia perpaduan dan bersatu itu saya ingin nyatakan lebih dahulu peringkat-peringkat perpaduan dan bersatu. Perpaduan dan persatuan itu boleh dibahagi kepada tiga kategori seperti yang kita senaraikan di bawah ini:


Perpaduan dan persatuan setakat fizikal atau jasad atau dengan kata-kata lain perpaduan dan persatuan secara luaran semata-mata, ertinya ia tidak diikat oleh akal, fikiran dan jiwa, hanya setakat diikat oleh keperluan semasa atau desakan-desakan hidup yang tidak dapat atau payah hendak dielakkan. Demi hendak menjaga nama baik atau jangan dipulaukan orang atau nanti apa kata masyarakat sekampung atau masyarakat setempat atau masyarakat separti atau satu negara atau jangan sampai dimusuhi oleh orang ramai, maka dilakukanlah pertemuan fizikal seperti hadir sama di dalam kerja gotong-royong, hadir di majlis membuat ikrar, ikut sama mengadakan majlis kenduri di surau dan di sebuah rumah, di tempat tinggal atau hadir di majlis kematian atau hadir mesyuarat kampung atau sekolah tempat anak-anak belajar atau pertemuan memperbincangkan masalah jenayah yang sangat menyusahkan dan menggugat keselamatan umum. Oleh kerana ketakutan bersama maka hadirlah sama di dalam pertemuan itu dan perbincangan itu.


Pertemuan-pertemuan seumpama yang telah kita sebutkan di atas, perpaduan fizikal namanya. Ia diikat oleh faktor-faktor luaran atau oleh desakan-desakan atau keperluan semasa semata, ia tidak diikat oleh persoalan dalaman seperti diikat oleh satu fikiran atau ikatan jiwa. Perpaduan dan persatuan seumpama ini adalah ikatan yang longgar. Ia tidak kuat dan teguh. Ikatan-ikatan seumpama ini tidak dapat menghindarkan daripada sifat-sifat mazmumah seperti hasad dengki, jahat sangka, khianat, mengadu domba, sombong, riyak, cari nama, glamour, pemarah, tamak dan lain-lain lagi. Ertinya sentiasa terdedah dengan keretakan dan perpecahan, kerana sifat-sifat mazmumah tadi itulah pemecah-belah perpaduan dan persatuan.


Perpaduan dan persatuan fizikal atau jasad semata-mata ia tidak boleh diharap kan. Perpaduan dan persatuan seperti ini adalah reput dan rapuh. Perpaduan seperti ini adalah perpaduan buih di laut. Buih di laut walaupun menggunung sekalipun, namun tidak kuat dan padu. Bila-bila saja boleh pecah. Datang angin saja boleh pecah, datang ombak boleh memecahkannya, datang sampah sarap melanda pun boleh pecah, belum lagi dilanda oleh kapal-kapal besar dan ribut taufan yang kuat, lebih-lebih lagi akan berkecai dan terbarai serta terburai.


Oleh yang demikian bahawa perpaduan fizikal yang tiada ikatan teguh dari dalaman diri manusia itu mengikut Islam belum boleh lagi dikatakan perpaduan atau belum boleh lagi dikatakan bersatu, kerana ia berlaku adalah kerana disebabkan desakan dan keadaan-keadaan yang memaksakan bukan diikat oleh satu fikiran dan jiwa.


Perpaduan dan kesatuan fikiran ialah perpaduan yang diikat oleh satu pendapat dan satu pandangan. Biasanya ia berlaku di dalam satu masyarakat setempat atau sepuak atau jemaah atau satu bangsa dalam sebuah negara pada sesuatu perkara atau sesuatu projek atau sesuatu isu sahaja. Ia tidak berlaku kepada semua hal pada masyarakat sama ada semua orang menerima atau suara majoriti yang menerimanya. Walaupun pandangan dan pendapat yang sama itu diikat oleh faktor-faktor dalaman iaitu akal fikiran, namun perkara yang disepakati itu adalah tanda atau hal-hal luaran yang bersifat keduniaan. Kemudian pula, itu adalah keperluan-keperluan semasa, mungkin satu masa atau satu ketika, apabila perkara itu tidak diperlukan lagi maka di waktu itu ikatan itu sudah terungkai dengan sendirinya. Lebih-lebih lagi pula ikatan akal fikiran atau ideologi semata-mata, tidak akan membuang sifat-sifat mazmumah manusia seperti hasad, khianat, tamak, pemarah, bakhil, dendam, jahat sangka, mengumpat, memfitnah, mengata, menghina dan lain-lain lagi. Sedangkan sifat-sifat mazmumah tadilah yang menjadi pemecah belah manusia walaupun manusia itu di dalam sesuatu perkara sudah satu pandnagan dan satu pendapat atau satu ideologi.


Oleh yang demikian bahawa perpaduan akal fikiran atau ikatan ideologi juga tidak kukuh dan teguh. Ia juga boleh dikatakan perpaduan buih di lautan, nampak menggunung tapi rapuh, nampak hebat tapi tidak kuat, sampah sarap saja pun sudah boleh memecahkannya. Betapalah gelombang besar atau dilanda oleh kapal besar.


Justeru itu Islam belum boleh menerima perpaduan dan persatuan akal fikiran atau ideologi sebagai satu perpaduan dan kesatuan umat Islam.


Perpaduan dan kesatuan yang diikat oleh satu keyakinan yang benar yang mutlak yang bersifat kekal abadi. Yang tidak berkesudahan hingga sampai mati dan kekal abadi iaitu diikat oleh iman yang dihayati jiwa atau hati bukan setakat iman secara akal fikiran iaitu beriman kepada Allah Taala dan yang lain-lain lagi yang wajib diimani secara penghayatan. Tidak perlu saya sebut di sini bagi orang Islam sudah tentu sudah faham secara ilmunya dan juga diikat oleh syariat, iaitu peraturan-peraturan dan disiplin-disiplin kehidupan yang telah disampaikan oleh Allah Taala kepada Rasul-Nya yang ada di dalam Al Quran dan yang ada di dalam Sunnahnya, seperti disebut di dalam firman-Nya:

Ertinya:
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua berpegang teguh dengan tali Allah (syariat-Nya/agama Islam/Al Quran dan Sunnah) dan janganlah kamu semua berpecah-belah. Iaitu berpecah-belah dari beriman dan syariat-Nya.”


Di dalam ayat ini, ada beberapa perkara yang dapat kita faham isi kandungan di antaranya:

1. Beriman dengan Allah Taala (diikat oleh iman/aqidah)


2. Beriman juga dengan syariat-Nya (diikat oleh syariat Allah Taala di dalam semua hal di dalam kehidupan seperti kehidupan berkeluarga, bermasyarakat, berpendidikan, berpolitik, berekonomi, berpentadbiran, berjuang, bernegara iaitu syariat Allah Taala adalah menjadi pengatur dan pendisiplin dalam semua hal).


3. Jangan berpecah-belah dengan iman dan syariat-Nya dengan erti yang lain jangan dengan setengah hukum-hukum yang Allah Taala turunkan atau datangkan kita beriman dan dengan setengahnya lagi kita ragu. Begitu juga dengan setengah syariat-Nya kita amalkan seperti ibadah, zakat, puasa, haji tapi di dalam berkeluarga, bermasyarakat, berekonomi, berpendidikan, berpolitik, berpentadbiran, bernegara dan lain-lain lagi kita bersyariatkan akal atau bersyariatkan ideologi atau bersyariatkan pragmatism. Ia masih bersifat ikatan akal fikiran ciptaan manusia bukan bersyariatkan daripada Al Quran dan Sunnah dari Allah Taala yang Maha Bijaksana lagi Mengetahui.


Di sini barulah kita faham bahawa umat Islam kalau ingin bersatu dan berpadu yang utuh dan teguh, hendaklah diikat satu sama lain oleh iman/aqidah dan diikat oleh syariat Allah Taala atau peraturan-Nya secara global/keseluruhannya. Kalau berlaku sebaliknya, terjadilah berpecah-belah.


Apabila umat Islam diikat semuanya oleh satu aqidah/iman dan juga diikat oleh undang-undang dan perlembagaan Allah Taala di dalam seluruh kehidupan maka umat Islam telah bersatu dan berpadu. Inilah dia perpaduan yang kuat dan teguh untuk umat Islam. Perpaduan dan persatuan beginilah kita mesti usaha dan perjuangkan. Kalau kita perjuangkan selain itu ertinya kita perjuangkan perpaduan buih di laut.


Perpaduan yang tidak diikat oleh iman dan syariat


Umat Islam di seluruh dunia kalau satu sama lain tidak diikat oleh satu aqidah dan satu syariat ia tidak mungkin berlaku perpaduan dan kesatuan, kerana ajaran Islam mengata begitu. Janganlah bertegang leher mengatakan umat Islam boleh bersatu tanpa kesatuan iman/aqidah atau syariat.


Umat Islam tidak akan bersatu atas dasar ekonomi, ideologi, ism. Justeru ekonomi, ideologi, ism tidak ada pembendung perpecahan, iaitu tidak boleh membendung sifat-sifat mazmumah yang memecahbelahkan manusia kerana di dalam ajaran ideologi atau ism atau ajaran mengikut teori akal fikiran, mana ada ajaran takutkan Allah atau takutkan Neraka atau cintakan Allah. Kalau manusia sudah tidak takut dengan Tuhan dan Neraka-Nya, apalagi yang boleh membendung manusia daripada melakukan kejahatan lahir dan batin yang memecah-belahkan kehidupan manusia, yang merenggangkan persaudaraan, yang menghancurkan perpaduan dan persatuan umat?


Oleh yang demikian jelaslah ajaran ideologi atau teori akal fikiran tidak akan boleh mempersatukan umat Islam kerana ikatannya tidak ada atau kalaupun dikatakan ada tapi sangat reput dan rapuh. Justeru itu kalau di dalam sebuah parti atau jemaah atau sebuah negara pun kalau ikatan itu ajaran ideologi atau ajaran teori akal fikiran, umat Islam tidak akan boleh bersatu. Bahkan kalau sebuah parti Islam sekalipun, kalau iman itu tidak dihayati benar-benar dan syariat Islam berjalan secara longgar di kalangan ahli-ahlinya, ia juga tidak akan melahirkan perpaduan dan kesatuan umat Islam yang kuat dan utuh di dalam parti.


Tidak mesti boleh bersatu di dalam satu parti.


Parti atau sebuah organisasi, ia adalah satu mekanisma atau satu alat. Moga-moga dari situ ada usaha menyatupadukan umat Islam. Tapi perlu diingat bahawa, apabila kita berada di dalam sebuah parti atau organisasi, kita telah menganggap sudah bersatu dan berpadu. Cuma tenaga telah dapat dikumpulkan terpulang bagaimana pemimpin di dalam parti itu dapat mempersatukan dan padukan jiwa mereka dengan ikatan aqidah atau iman dan syariat. Kemudian bagaimana pula hendak digunakan tenaga mereka yang sudah dapat dikumpulkan itu untuk menegakkan Islam di dalam semua aspeknya setidak-tidaknya di dalam parti Islam lebih dahulu.


Sekalipun sebuah parti itu atau organisasi itu dasar perjuangannya adalah Islam yang bersumberkan Al Quran dan Al Hadis, namun demikian bukan mudah hendak disatukan fikiran, lebih-lebih lagi jiwa mereka dengan ikatan aqidah atau iman yang kental dan ikatan syariat Islam yang syumul di dalam individu ahli-ahlinya, keluarganya, di dalam jemaahnya. Sebelum berlaku ikatan yang lebih luas lagi di luar parti kerana ada beberapa kalangan lagi, di antaranya:


Hendak memberi faham bukan senang kepada seluruh ahli terhadap Islam yang syumul atau global itu di semua aspek kehidupan berdasarkan Al Quran dan Sunnah.


Setelah diberi faham secara menyeluruh kepada anggota parti yang lebih sulit lagi untuk diamalkan di kalangan anggota parti sama ada secara individu, keluarga dan di dalam jemaah itu agar Islam itu benar-benar wujud terserlah di dalam jemaah agar mudah kita mengajak orang lain.


Ia memerlukan seorang pemimpin parti atau jemaah yang benar-benar berkarisma dan berwibawa seperti mempunyai ilmu Islam yang cukup, faham isu semasa, pandai mendidik ahli-ahli parti atau jemaah, mempunyai sifat-sifat taqwa dan akhlak yang tinggi agar mudah dicontohi oleh pengikut serta mempunyai berkat agar layak mendapat bantuan daripada Allah Taala.


Tidak cukup kuat seorang pemimpin yang berwibawa saja, tapi memerlukan satu team kepimpinan di dalam parti itu yang membayangi peribadi pemimpin nombor satu agar dapat membantu pemimpin dan ditaati oleh pengikut.


Kalau kepimpinannya lemah, maka lemah pula di dalam memimpin dan mentarbiah anggota jemaah. Di waktu itu akan jadilah anggota jemaah terbiar, sesetengah ahli serius mengamalkan Islam, sebahagian besarnya tidak, sebahagian cukup kuat menjaga syariatnya dan lebih banyak pula yang cuai, sebahagian ahli kuat menjaga halal dan haram, sebahagiannya lagi pula longgar menjaga halal dan haram. Ini bererti anggota-anggota parti belum boleh dikatakan bersatu lagi di dalam parti mengikut takrif Islam kerana tidak ada keselarian dan keselarasan di kalangan ahli-ahlinya di dalam mengamalkan syariat dan hukum-hakam Islam.

Bersama Ustaz Omar Darus, salah seorang murid Abuya yang aktif membangunkan fardhu kifayah pendidikan dan ekonomi di Denai Alam.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

NEGARA SYAM.

NEGARA SYAM (JORDAN, PALESTIN,HEBRON, SYRIA) Negara Jordan menjadi tempat transit bagi Abuya sebelum meneruskan perjalanan ke negara negara lain. Jordan juga dikenali dengan bumi Anbiya. Jordan juga banyak meninggalkan kesan  peninggalan purba yang berusia  ribuan tahun. Ia banyak di Jordan atau dulu dikenali dengan negeri Syam. Wilayah Syam zaman kebangkitan pertama mengandungi Jordan, Palestin, Lubnan dan Syria. Di era kebangkitan kali kedua Syam telah terpecah kepada empat negara. Ia dilakukan oleh penjajah. Kini terdapat negara Jordan, Palestin, Lubnan dan Syria secara berasingan satu sama lain. Jordan era terkini dikenali dengan Kerajaan Hasyimiyah Jordan, (Hashemite Kingdom of Jordan) atau lebih dikenali dengan nama Jordan sahaja  merupakan sebuah negara Arab yang terletak di Asia Barat (dulu dianggap Timur Tengah) bersempadan dengan negara-negara Arab yang lain. Ia terletak pada koordinat 34-29 Utara 35-39 Timur iaitu di sebelah Barat La

KEBANGKITAN ISLAM AKHIR ZAMAN.

KEBANGKITAN ISLAM AKHIR ZAMAN. Allah telah mengkhabarkan kepada kita melalui lidah Rasul-Nya bahawa Allah telah ‘set’kan satu Jadual Allah SWT untuk umat yang datang sesudah wafatnya Nabi akhir zaman. Itulah kasih sayang Allah dan Rasul-Nya kepada umat Islam, yang untuk mereka tidak ada lagi nabi dan rasul.Maka diceritakan lah perkara-perkara yang bakal terjadi sama ada yang positif atau negatif. Dengan mengetahui dan memahami jadual itu, umat Islam terpandu atau terpimpin untuk menghadapi dan menerima takdir yang bakal berlaku. Antara jadual yang dimaksudkan itu ialah, Rasulullah SAW bersabda: Yang artinya : "Telah berlaku Zaman Kenabian ke atas kamu, maka berlakulah zaman kenabian sebagaima­na yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkat zaman itu. Kemudian berlakulah Zaman Kekhalifahan (Khulafaur Rasyidin) yang berjalan seperti zaman kenabian. Maka berlakulah zaman itu sebagaimana yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkat nya. Lalu berlakulah zaman

AGAMA NABI IBRAHIM.

AGAMA NABI IBRAHIM. Inti pati ayat: Al Qur’an ayat 123 surat 16 An Nahl, Kemudian Kami wahyukan kepadamu (Muhammad): "Ikutilah agama Ibrahim seorang yang hanif." dan bukanlah dia termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan. Al Qur’an ayat 39 surat 14 Ibrahim, Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadaku di hari tua (ku) Ismail dan Ishaq. Sesungguhnya Tuhanku, benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) do`a. Al Qur’an ayat 124 surat 2 Al Baqarah, Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia". Ibrahim berkata: "(Dan saya mohon juga) dari keturunanku". Allah berfirman: "Janji-Ku (ini) tidak mengenai orang-orang yang zalim". Al Qur’an ayat 71 surat 21 Al Anbiyaa’, Dan Kami selamatkan Ibrahim dan Luth ke sebuah negeri yang Kami telah memberkahinya untuk sekalian manusia. N