Langkau ke kandungan utama

PERIBADI ABUYA DI SENANGI.

ABUYA peribadinya sangat disenangi. Ketika di Thailand berdepan dengan masyarakat Budha dia diterima. Ketika berdepan dengan masyarakat Kristian Filipina yang beragama Kristian Abuya juga diterima.
Ke mana jua dibawanya perjuangan… ke gubuk buruk petani, ke banglo hartawan, ke istana-istana raja. Peribadi Abuya sangat menyenangkan. Akhlak baiknya ketara. Lemah lembutnya memikat. Sering dia meminta maaf, sering pula memberi maaf.

Sebarang keputusannya lebih-lebih yang ada kaitan dengan jemaah pimpinannya dibuat berhati-hati. Setelah menimbang begitu teliti. Sikapnya menjelmakan kata. Katanya membayangkan rasa. Pemurahnya luar biasa. Raut wajahnya tenang dan berseri.

Matanya sedikit merah, di situ selalu tergenang air mata. Kerana cinta dan takutnya kepada Allah. Seri dan cahayanya ketara sekali. Sebelum didekati, dia digeruni. Kerana wibawanya. Bila bertemu terasa sayang. Kerana kemesraannya. Bila berjauhan berkocak rindu. Kerana kasih sayangnya. Payah membaca susah di wajah, kerana Abuya sering tersenyum lalu tersembunyilah derita, sedih dan bimbangnya.

Ibadahnya sederhana tetapi sangat luar biasa. Dibuatnya penuh rasa kehambaan, hingga berbekas pula pada tindakan. Istiqamah sunat-sunatnya. Tetapi bila berdepan dengan maslahat masyarakat, didahulukan keperluan rakyat. Sangat dijaga roh dan khusuknya.

Sudah tradisinya menanti-nanti waktu sholat. Mengintai-ngintai detik pertemuan dengan Tuhan. Wudhuk waktu Subuhnya bertahan hingga Asar. Pakaiannya kemas dan segak. Serban dan ridaknya berseri-seri. Matanya bercelak sentiasa. Janggut dan misainya rapi. Melangkah gagah, tidak ragu-ragu, tidak teragak-agak.

Sesungguhnya dia adalah pemuda. Pemuda yang segar cita-cita. Pemuda yang kuat kemahuan. Pemuda yang berani menempuh gelombang. Pemuda yang tidak letih-letih kerana berjuang. Dialah Abuya kita, Abuya mereka. Abuya bersama. Kini Abuya bukan milik Global Ikhwan saja tetapi kepunyaan semua orang di dunia yang mencintai kebenaran. Dia lepas bebas mengembara.

Melayarkan bahtera perjuangannya ke merata benua untuk mengaut penumpang dan barangan. Gelanggangnya bukan hanya dari Malaysia, tetapi sudah ke seluruh dunia. Ditelusurinya Jadual Allah, terbinalah empayar Minda dan kepemimpinannya dari Timur ke Khurasan. Di Timur dialah pemimpin bagi ramai ahli dan berjuta simpati. Di Yunnan, China dia disambut dengan ucapan “Imam…Imam…Imam,” Di Uzbekistan, kepemimpinannya diterima dengan kata-kata, “Imam dari Timur sudah datang, Imam dari Timur sudah datang.” Di Timur Tengah dia dikejutkan oleh seorang cendekiawan, “Islam akan bangkit di Timur bermula dari kamu. Kamulah Syeikh umat ini,” Di Barat, super power yang sudah kehilangan taring itu dikejutkannya dengan buku Barat di Ambang Maut. Di robek-robeknya cara hidup sekularisme. Dihenyak-henyaknya ideologi materialisme.

Hayatilah mindanya. Resapilah rasanya. Fahamilah gelombang cinta dan rindunya pada Tuhan dan pemimpin yang disimpan. Pasti akan terasa bahawa dia sedang menanggung rasa cinta dan ghairah yang amat hebat. Amat dahsyat. Rindunya kepada pemimpin yang disimpan. Baqiyatullah.

Rindunya kepada pemimpin yang ditunggu-tunggu, Al Muntazar. Rindunya kepada penghulu segala pembaharu, Sayidul Mujaddidin. Rindunya kepada Imamul Ummah Muhammad Ibni Abdullah – Imamul Mahdi. Lantas, di kejauhan ini, resapilah doa yang sering dipanjatkannya: “Ya Allah….aku bermohon kepadaMu agar dizahirkan segera kedatangannya dengan pengharapan yang tinggi, lebih tinggi dari Sidratul Muntaha, dengan hati yang rendah lebih rendah dari dasar lautan yang paling dalam.” Pesannya, amanatnya, ingatannya penyelamat itu pasti datang.

Pembela itu pasti muncul. Membawa keamanan, keharmonian, kebahagiaan sejagat. Yang sudah sekian lama dirindukan oleh seluruh semesta, semua manusia. Abuya sering merintih, “Bila..bila…bila lagi?” Thoifah ini sudah semakin syumul.

Buahnya sudah banyak yang masak. Harum, ranum. Lalu dia terus bekerja siang dan malam. Taqwa perlu terus meningkat. Tabur sebanyak-banyaknya makrufat. Semakin ke hujung dia semakin laju. Sedikit rehat. Seakan tak pernah dijenguk penat. Dia terus mengembara. Bermusafir, XPDC demi XPDC. Buku demi buku. Perancangan demi perancangan. Doa makin panjang. Munajat makin sarat.

Langkahnya kian nekad. Padanya kali ini giliran Timur. Timur yang akan bangkit mengetuai kebangkitan semula Islam di akhir zaman seperti mana yang diisyaratkan. Timurlah yang akan bergabung dengan Khurasan untuk membangunkan semula keagungan Zaman Ummah kali kedua. Pada Abuya, itu sudah muktamad. Pasti akan berlaku kerana sudah dijanjikan. Dia menagih janji itu. Janji yang diisyaratkan oleh Rasulullah SAW tentang sebuah tapak ummah.

Sebuah Daulah Islamiah. Demi menuju ummah. Abuya yakin sungguh janji itu akan terjadi sedikit masa lagi. Sebuah Daulah di sebelah Timur. Sebuah tapak Ummah di sebelah Timur. Dan Malaysia tercinta adalah calonnya. Itulah kerinduan Abuya. Puluhan expedisi sambil belajar seperti itu telah diadakan. Selain itu abuya juga menyampaikan puluhan tajuk ceramah (ceramah umum dan fardhu ain ) yang telah dirakam dalam bentuk keset dan video dan disebarkan ke seluruh dunia. Lebih 70 tajuk ceramah umum beliau telah dijadikan hafalan wajib bagi pendakwah-pendakwah dan kader-kader perjuangannya.

Manakala pengajian secara formal, Abuya mulakan dengan membuka kelas pengajian yang dihadiri oleh beberapa orang pelajar sehingga lah kini terbinalah sistem pendidikan Abuya di seluruh dunia. Selaku pemimpin Abuya sentiasa menulis dan menganalisa kemelut masyarakat kini dan seterusnya memberi buah fikiran yang bernas sebagai alternatif kepada masyarakat yang rindukan keamanan, kesejahteraan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sehingga kini beliau telah menghasilkan lebih 70 buah buku merangkumi berbagai-bagai bidang seperti falsafah, tasawuf, tarbiyah, tauhid dan isu-isu semasa.

Buku-buku itu menterjemahkan apa yang telah beliau buat dan apa yang direncanakan untuk dibuat. Fikrah beliau mengandungi gagasan-gagasan besar yang disampaikan dalam bentuk yang mudah difahami dan mudah dijadikan amalan dalam menyelesaikan masalah hidup, samada di peringkat diri, keluarga, masyarakat, negara dan seterusnya alam sejagat.

Sehingga kini Abuya telah menghasilkan 5 buah antologi sajak yang membawa mesej dakwah dan didikan. Ribuan lagi sajak, madah dan puisinya belum diterbitkan. Tidak keterlaluan kalau dikatakan bahwa beliau merupakan penyair di dunia yang paling produktif menghasilkan puisi-puisi berunsur Islam. Banyak sajak beliau yang telah dinasyidkan termasuklah beberapa buah daripadanya digubah sendiri melodinya oleh beliau.

Nasyid-nasyid itu didendangkan tanpa iringan musik (kecuali kompang) oleh putera-puteri dana murid-muridnya dan dikeluarkan dalam bentuk keset dan video serta diedarkan ke tengah masyarakat sebagai alternatif kepada lagu-lagu yang mengkhayalkan. Beliau juga telah menerbitkan satu album sulung “Oh Pejuangku” yang mengandungi nasyid-nasyid ciptaan dendangan beliau sendiri. Tutur katanya manis, tidak suka menyakiti. Cakapnya benar.

Bila beliau bercakap, tutur katanya menyenangkan setiap orang yang mendengar dan disertai dengan senyum. Abuya tidak pernah bercakap sesuatu yang menyebabkan orang terasa diajar atau diperbodohkan bahkan beliau sangat memuliakan pandangan orang lain. Sebab itu Abuya selalu berkata, “Silakan…silakanlah.” Abuya mengelak dari menyebut, “Jangan!” Sebab jangan itu tanda atau bererti menegur atau mengajar. Tutur katanya membuat orang tidak terasa atau rasa terhina atau dianggap tidak tahu, Bahasa pertuturannya mudah, tidak bombastik dan tidak banyak menggunakan istilah-istilah yang sulit difahami. Abuya memaafkan orang yang bersalah. Jika kesalahan seseorang itu akan membahayakan jemaah, barulah dia dihukum. Abuya akan terus menegur, tidak menunggu jarak waktu yang panjang. Jika kesalahan itu agak ringan, mungkin beliau akan buat teguran pada masa yang sesuai. Apabila Abuya menegur seseorang hingga didapati seseorang itu tersentuh hati, Abuya ada kaedahnya sendiri untuk memulihkan semula hati orang tersebut. Pernah di dalam satu ekspedisi, Abuya telah menjawab soalan seorang peserta ekspedisi yang mana jawapan itu memberi pembelaan kepada pemimpin yang Abuya lantik, bukan kepada peserta ekspedisi itu. Yang mana peserta itu mengharapkan Abuya berpihak kepadanya. Jadi dia rasa termalu dan Abuya tahu keadaan ini, kemudiannya beliau menghubungi peserta itu melalui telefon, bertanyakan khabar sehingga menyebabkan peserta itu terhibur. Bila melihat orang-orang nakal di tepi-tepi jalan, Abuya biasanya akan jatuh simpati ataupun kasihan dan berkata mendoakannya, “Ya Allah ! Berilah hidayah kepada kaumku kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui…” Kalau Abuya membenci, bukannya membenci mereka, tetapi membenci perbuatan maksiat yang mereka buat. Sebab itu Abuya tidak marah pada orang tersebut tetapi kasihan dan terus mengajak dan mendidik mereka. Abuya sentiasa memberikan nasihat walaupun dia sendiri dalam keadaan susah dan payah ketika diuji.
Beliau sentiasa mengingatkan manusia akan syurga dan neraka dan hari pembalasan. Abuya begitu sedih apabila melihat terutama ulama yang tidak memberitahu apa yang diketahuinya dan pemimpin-pemimpin zalim yang menindas. Tarbiah dan didikan Abuya sentiasa mendidik atau memberikan guideline kepada manusia baik dalam menegakkan perkara-perkara yang berhubungan dengan fardhu ain atau fardhu kifayah (hablumminallah dan hablumminannas) sampai perkara-perkara yang kecil pun Abuya tetap mentarbiahnya.
Cara tarbiah Abuya umumnya ada dua : 1. Melalui perbuatan (lisanul hal). Abuya buat sesuatu dan mengharapkan orang ikut. Contohnya bila makan, beliau makan hingga piringnya licin, tidak tinggal walaupun sebiji nasi atau setitik kuah dalam pinggannya. 2. Melalui percakapan (lisanul maqal). Misalnya sewaktu tiba di hotel, Abuya buat soalan, “Apakah perlu di tempat kita saja kasut disusun, di sini tidak perlu? Sepatutnya displin itu berada di mana-mana saja.” 3. Abuya bukan sekadar memberi ilmu tetapi terus mendidik supaya orang tahu bagaimana hendak membuatnya. Abuya mendidik manusia agar belajar dari alam, karena setiap yang ada dan berlaku di sekeliling kita ada manfaatnya untuk diambil pengajaran. Misalnya ketika Abuya berhenti atau melalui tepi pantai, Abuya berkata, “Bayangkan kalau laut itu api neraka. Kalau neraka sebenar bagaimana agaknya?” Suatu ketika Abuya dan rombongan lalu di sebatang jalan di Indonesia dan melihat seorang lelaki yang mencuba menyelamatkan seekor kucing dari dilanggar kereta dengan menahan kucing itu melintas. Kucing itu mencakar-cakat lelaki itu seolah-olah marah. Beberapa kali lelaki itu cuba menyelamatkannya, tetapi ia terus mencakar-cakar. Lalu Abuya membuka petanyaan kepada ahli rombongan ekspedisi, “Kenapa kucing itu marah?” Abuya sendiri menjawab, “Kerana kucing itu tidak faham orang itu mencuba untuk menyelamatkannya. Begitu jugalah dengan kita sebagai pendakwah. Orang yang tidak faham dengan kerja kita akan marah kerana menyangka kita akan menyusahkan mereka.” Pada waktu yang lain, Abuya telah menggambarkan kepada anak buahnya akan kehidupan satu keluarga nelayan yang miskin tetapi hidup penuh harmoni dan bahagia. Lalu Abuya bertanya, “Sekadar itu sajakah yang kita nampak?” Kemudian Abuya menyambung lagi, “Kalau di samping miskin, redha pula dengan kemiskinan itu maka berbahagialah mereka di dunia. Manakala di akhirat akan dikurniakan pahala tanpa hisab (bighairi hisab). Tetapi kalau derhaka kepada Allah dan mereka tidak redha dengan kemiskinan itu, maka mereka akan miskin di dunia dan miskin pula di akhirat.” Pergaulan Abuya luas, meliputi bermacam-macam golongan masyarakat daripada peringkat yang setinggi-tingginya hinggalah serendah-rendah taraf kehidupan manusia seperti petani, buruh, nelayan, guru, siswa-siswi, golongan pentadbir, golongan pemerintah, pegawai negeri, para pedagang dan pengusaha, wakil rakyat, menteri, duta, ulama, syeikh tareqat, kadhi, mufti hinggalah kepada pemimpin negara. Pergaulannya tidak memilih batas atau taraf hidup masyarakat bahkan beliau sendiri senang bergaul dengan golongan kelas bawahan seperti pedagang kecil, petani dan pemandu teksi, malah pernah membuat kenduri untuk mereka. Pernah dibuatnya di Filipina, Thailand, Indonesia dan Malaysia sendiri. Pergaulannya bukan sekadar berbicara di tepi jalan tapi juga dapat berkenal dengan mereka dengan lebih rapat lagi di majlis-majlis kenduri yang diadakan. Hasil dari itu, timbul kasih sayang mereka terhadap Abuya dan jemaah sehingga merekalah yang menjadi tenaga pembantu untuk menceritakan perjuangan Abuya kepada masyarakat lain. Dan sebahagiannya sanggup menjadi pembela di waktu Abuya dan para pengikutnya difitnah. Pergaulan Abuya biasanya bermula di warung-warung makan, restoran, kedai kopi dan di lobi-lobi hotel yang akhirnya berpanjangan membawa kepada hubungan yang lebih rapat lagi. Jika Abuya dan rombongannya makan di restoran, biasanya Abuya akan membayar makanan yang dimakan oleh semua orang yang makan di restoran tersebut atau yang membelinya untuk dibawa pulang. Baik orang itu Abuya kenal ataupun yang Abuya tidak kenal. Sebagai tebusan dosa ana, kata Abuya. Pemurah dan tawadhu’-nya Abuya. Kalau yang ditemui itu terdiri daripada golongan pemimpin, mereka akan menyebarkan berita kepada pengikut-pengikutnya (orang bawahannya). Setelah kenal rapat, sebagiannya mengirim anak-anak mereka ke sekolah-sekolah Abuya. Bila golongan yang ditemui itu adalah kalangan bisnis, maka selepas itu berlangsung hubungan bisnis antara mereka dengan perusahaan Abuya. Berhadapan dengan golongan profesional, selalunya Abuya menyelesaikan beberapa masalah mereka dan menukar cara berfikir sekular mereka sehingga profesi mereka dapat dimanfaatkan untuk Islam. Biasanya pertemuan pertama dengan Abuya akan diikuti dengan pertemuan kedua dan ketiga, disertai dengan majlis-majlis dialog. Dengan lain-lain bangsa dan agama juga Abuya bergaul mesra. Bahkan duduk semeja dan makan sedulang dengan mereka. Adakalanya beliau berhibur-hibur dengan mereka. Kadang-kadang ditepuk-tepuknya bahu mereka. Seringkali pada simpati yang bukan Islam, Abuya akan beri mereka hadiah, mungkin berbentuk barang atau duit, dengan harapan dan doa agar mereka memeluk Islam suatu masa nanti. Pernah sewaktu ayah kepada seorang zimmi jemaah, tuan punya hotel terbesar di Phrae, Utara Thailand, sakit kerana pembedahan di perut, Abuya bersama semua peserta ekspedisi bis eksekutif dua tingkat pergi menziarahinya. Bekas Datuk Bandar ini kemudian berkata, “Saya terhibur dengan kedatangan Abuya sehingga setengah dari sakit saya hilang.” Abuya pernah berkata, “Dalam ajaran Islam, zimmi-zimmi ini dilindungi dan dibantu keperluan mereka. Kalau mereka dizalimi atau diganggu, orang-orang yang mengganggu mereka itu walaupun orang Islam sendiri, akan dihukum. Hingga mereka selamat berada dalam naungan kasih sayang pemerintahan Islam.” Abuya sangat mengambil berat kebajikan zimmi jemaah. Bila mereka masuk rumah sakit, maka Abuya akan tanggung pembayarannya. Pernah sewaktu menyambut hari raya di Thailand, Abuya diserang demam yang hebat dan selepas agak pulih, mendadak saja Abuya teringatkan beberapa orang zimmi jemaah, lalu meminta supaya dibungkuskan kuih-kuih raya untuk mereka yang bukan Islam, diniatkan supaya mereka masuk Islam. Sewaktu Abuya mengadakan misi dakwah Love & Care di Filipina, beliau membawa bersama beberapa zimmi jemaah dari Thailand dan Malaysia. Salah seorang daripadanya, pengurus hotel di Chiang Mai, rasa seronok ikut Abuya hingga mahu sambung satu minggu lagi bersama Abuya. Katanya, isterinya yang ikut serta dalam ekspedisi itu sudah berubah, cium tangannya tanda hormat pada suami. Dia sendiri sudah mula mau tahu tentang Islam dan mula ikut sembahyang Zuhur walaupun belum tukar aqidah. Abuya membiarkan dengan berkata, “Kita biarkanlah kerana dia nak sembah Tuhannya.” Sehari sebelum Abuya ditangkap, Abuya menghadiahkan sebuah hamper sempena hari jadi bekas Datuk Bandar Phrae tersebut. Di waktu yang sama Abuya turut menyumbang bagi pihak dirinya dan jemaah sebanyak 5,000 Baht untuk korban banjir di Phrae yang majoriti penduduknya beragama Buddha. Pernah satu ketika seorang peserta yang mengikuti ekspedisi bersama Abuya di Thailand, sedang menghadapi masalah yang agak berat. Setiap malam selama beberapa hari ekspedisi itu, beliau merintih dan mengadu kepada Allah, memohon agar Allah ringankan masalahnya. Semasa rombongan ekspedisi berjalan di sebuah kampung, mereka melalui sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain-main. Tiba-tiba Abuya memberi wang kepada peserta tadi dan diminta ia sedekahkannya kepada kanak-kanak yang sedang bermain itu. Di waktu yang lain pula ketika mereka singgah makan di sebuah restoran, Abuya menyebut tentang hikmah bersedekah yang mana melalui sedekah itu Allah permudahkan sampainya hajat kita. Ibadah Abuya Abuya sentiasa sembahyang di awal waktu dan beliau berada di tikar sembahyang setengah jam sebelum masuk waktu. Biasanya waktu menjelang solat itu, Abuya peruntukkan bersama anak buah atau tetamu. Memberi ilmu dan mentarbiah. Hampir-hampir tidak pernah Abuya sembahyang seorang diri. Sentiasa berjemaah walaupun di waktu sakit berat. Abuya istiqamah bersembahyang Tahajjud dan Witir di sepertiga hujung malam. Kemudian istiqamah sembahyang sunat Rawatib dan Dhuha serta sunat Awwabin di antara Magrib dengan waktu Isyak.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

NEGARA SYAM.

NEGARA SYAM (JORDAN, PALESTIN,HEBRON, SYRIA) Negara Jordan menjadi tempat transit bagi Abuya sebelum meneruskan perjalanan ke negara negara lain. Jordan juga dikenali dengan bumi Anbiya. Jordan juga banyak meninggalkan kesan  peninggalan purba yang berusia  ribuan tahun. Ia banyak di Jordan atau dulu dikenali dengan negeri Syam. Wilayah Syam zaman kebangkitan pertama mengandungi Jordan, Palestin, Lubnan dan Syria. Di era kebangkitan kali kedua Syam telah terpecah kepada empat negara. Ia dilakukan oleh penjajah. Kini terdapat negara Jordan, Palestin, Lubnan dan Syria secara berasingan satu sama lain. Jordan era terkini dikenali dengan Kerajaan Hasyimiyah Jordan, (Hashemite Kingdom of Jordan) atau lebih dikenali dengan nama Jordan sahaja  merupakan sebuah negara Arab yang terletak di Asia Barat (dulu dianggap Timur Tengah) bersempadan dengan negara-negara Arab yang lain. Ia terletak pada koordinat 34-29 Utara 35-39 Timur iaitu di sebelah Barat La

KEBANGKITAN ISLAM AKHIR ZAMAN.

KEBANGKITAN ISLAM AKHIR ZAMAN. Allah telah mengkhabarkan kepada kita melalui lidah Rasul-Nya bahawa Allah telah ‘set’kan satu Jadual Allah SWT untuk umat yang datang sesudah wafatnya Nabi akhir zaman. Itulah kasih sayang Allah dan Rasul-Nya kepada umat Islam, yang untuk mereka tidak ada lagi nabi dan rasul.Maka diceritakan lah perkara-perkara yang bakal terjadi sama ada yang positif atau negatif. Dengan mengetahui dan memahami jadual itu, umat Islam terpandu atau terpimpin untuk menghadapi dan menerima takdir yang bakal berlaku. Antara jadual yang dimaksudkan itu ialah, Rasulullah SAW bersabda: Yang artinya : "Telah berlaku Zaman Kenabian ke atas kamu, maka berlakulah zaman kenabian sebagaima­na yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkat zaman itu. Kemudian berlakulah Zaman Kekhalifahan (Khulafaur Rasyidin) yang berjalan seperti zaman kenabian. Maka berlakulah zaman itu sebagaimana yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkat nya. Lalu berlakulah zaman

AGAMA NABI IBRAHIM.

AGAMA NABI IBRAHIM. Inti pati ayat: Al Qur’an ayat 123 surat 16 An Nahl, Kemudian Kami wahyukan kepadamu (Muhammad): "Ikutilah agama Ibrahim seorang yang hanif." dan bukanlah dia termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan. Al Qur’an ayat 39 surat 14 Ibrahim, Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadaku di hari tua (ku) Ismail dan Ishaq. Sesungguhnya Tuhanku, benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) do`a. Al Qur’an ayat 124 surat 2 Al Baqarah, Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia". Ibrahim berkata: "(Dan saya mohon juga) dari keturunanku". Allah berfirman: "Janji-Ku (ini) tidak mengenai orang-orang yang zalim". Al Qur’an ayat 71 surat 21 Al Anbiyaa’, Dan Kami selamatkan Ibrahim dan Luth ke sebuah negeri yang Kami telah memberkahinya untuk sekalian manusia. N