Langkau ke kandungan utama

KEMAJUAN TEKNNOLOGI HANYA ALAT DALAM ISLAM.





Abuya Imam Ashaari Muhammad at Tamimi pandu kita bahawa dalam Islam ada alat dan matlamat. Kita membangunkan kemajuan material adalah alat untuk mendokong Islam.Teknologi di kuasai untuk mendokong syiar Islam. Umat Islam membangun sebagai alat untuk tegakkan syiar Islam. Berbeza dengan orang bukan Islam mereka menjadikan dunia sebagai matlamat. Sedangkan matlamat kita umat Islam adalah Akhirat. Kalau kita juga menjadikan pembangunan material sebagai matlamat, caranya amat mudah sekali. Buatlah seperti yang mereka buat iaitu asah sungguh-sungguh akal fikiran kita dan lupakan terus ALLAH SWT. Tapi ingat, Neraka ALLAH akan menanti kita. Sebab itulah, ALLAH juga mengingatkan kita dalam Al Quran, supaya kita jangan berkecil hati dengan Allah atau terpengaruh dengan orang-orang bukan Islam itu. 

Firman ALLAH:
Terjemahannya: Dan janganlah harta benda dan anak-anak mereka menarik hatimu. (At Taubah: 85)

Dalam ayat ini, kita dapat fahamkan bahawa ALLAH memang sengaja melebihkan orang-orang kafir itu dari segi kemajuan fizikal, dengan tujuan untuk menguji umat Islam – sejauh mana mereka boleh mengingati ALLAH serta mengikut perintah-Nya. Tetapi kalau umat Islam tidak tahan diuji, dia akan terpesona melihat serba majunya perniagaan, ekonomi, perdagangan dan lain-lainnya pada orang-orang kafir. Dia akan berlumba-lumba dengan orang kafir untuk mencapai segala kemajuan yang mereka capai. Andainya mereka maju dalam bidang sains dan teknologi, umat Islam pun mengejar kemajuan itu; konon mahu setanding dengan orang kafir. Akhirnya, umat Islam pun melupakan ALLAH sebagaimana orang-orang kafir melupakan ALLAH .


Umat Islam Boleh Buru Kemajuan?
Oleh itu, umat Islam boleh mencari kemajuan walau dalam bidang apa sekalipun, tetapi jangan sampai lupa kepada ALLAH SWT. Carilah ilmu pengetahuan, kekayaan dunia, kemajuan ekonomi dan sebagainya; tapi jangan sampai meninggalkan sembahyang, mengabaikan ilmu fardhu ain, tidak menutup aurat dan sebagainya. Tidak salah berfikir fasal dunia, asalkan tidak melupakan ALLAH. Ertinya, di samping memikirkan dunia, umat Islam tidak melupakan ALLAH. Oleh itu, tentulah tidak sama pencapaiannya dengan orang-orang kafir yang menumpukan sepenuh usaha dan ikhtiar kepada dunia. Dan kerana itu juga, janganlah umat Islam berkecil hati dengan ALLAH kerana sudah demikian janji ALLAH.


Jadi, umat Islam tidak boleh meniru kemajuan orang-orang kafir. Cukuplah kita mencapai sekadar yang boleh kita capai mengikut kemampuan dan keupayaan kita, asal kita boleh hidup, boleh beribadah kepada ALLAH, boleh selamatkan iman, dan boleh mengelakkan kemungkaran dan maksiat. Kalau umat Islam hendak berusaha juga sehingga mencapai kemajuan sepertimana yang dicapai oleh orang-orang kafir itu, ertinya umat Islam hendak lari daripada mengingati ALLAH; itu yang sebenarnya. Dan akibat daripada itu, ALLAH sediakan azab di Neraka, kerana orang-orang kafir itu tidak pernah memikirkan kehidupan Akhirat. Cuba kita lihat apa firman ALLAH mengenai mereka. 

Firman ALLAH:
Terjemahannya: Kami telah masukkan kebanyakan jin dan manusia ke dalam Neraka Jahanam itu, yang mana mereka itu ada hati tetapi tidak muhu memahami, ada mata tetapi tidak mahu melihat dan ada telinga tetapi tidak muhu mendengar. Maka mereka itu sama seperti binatang-binatang ternakan, bahkan lebih sesat daripada itu.
 (Al A’raf: 179).

Di sini jelas ALLAH. menggambarkan kepada kita betapa kebanyakan manusia dan jin, ALLAH masukkan ke dalam Neraka Jahanam kerana mereka ada mata tetapi tidak melihat kebenaran, ada akal tetapi tidak digunakan untuk memikirkan kebenaran dan ada telinga tetapi tidak digunakan untuk mendengar kebenaran. Taraf mereka sama seperti binatang-binatang ternakan. Mengapa ALLAH menyamakan mereka dengan binatang ternakan seperti ayam, itik, kambing, kerbau, lembu dan sebagainya. Mengapa ALLAH tidak menyebut binatang sahaja?
Semua binatang, sama ada liar ataupun diternak, sama-sama tidak ada akal. Tetapi binatang liar lebih merdeka atau lebih bebas berbuat sekehendak hati mereka. Misalnya, binatang liar bebas mencari makanan sendiri, tidak seperti binatang ternak yang terpaksa bergantung kepada tuannya. Kalau tuannya tidak memberi dia makan, tidak makanlah dia. Jadi, di antara kedua-dua jenis binatang ini, kehidupan binatang liar lebih baik kerana mereka ada kebebasan. 


Kalau ALLAH ibaratkan orang-orang yang ingkar atau orang-orang kafir itu seperti binatang ternakan, maknanya mereka langsung tidak ada kebebasan. Tidak bebasnya mereka itu kerana, mata mereka tidak boleh melihat, akal mereka tidak boleh berfikir, dan telinga mereka tidak boleh mendengar. Ertinya, keadaan mereka terkongkong sama sekali. Mereka langsung tidak mendapat kebenaran; tidak boleh melihat yang mana salah, yang mana benar, tidak boleh memikirkan yang mana salah, yang mana benar, dan tidak boleh mendengar yang mana salah dan yang mana benar. Mereka dikongkong oleh hawa nafsu. Dengan kata lain, mereka menjadikan diri mereka hamba kepada hawa nafsu hingga menyebabkan mereka berpaut semata-mata kepada hawa nafsu itu, tidak kepada ALLAH SWT.
Jadi, padan benarlah kalau ALLAH samakan mereka itu dengan binatang ternak kerana binatang ternak terpaksa bergantung kepada tuannya, tidak bebas mengikut sekehendak hati.


Mengapa lebih sesat daripada binatang? Sudahlah disamakan dengan binatang ternak, mereka disebut pula oleh ALLAH sebagai lebih sesat daripada binatang. Mengapa? Sebabnya, binatang itu oleh kerana tidak ada akal, tidak dapat dipimpin kepada kebaikan.
Yang ada pada binatang hanya nafsu. Oleh itu, apa yang dilakukan oleh mereka kejahatan sahaja. Ertinya, unsur-unsur kebaikan langsung tidak ada pada binatang-binatang. Tetapi unsur kejahatan ada pada mereka kerana mereka ada nafsu. Sebab itulah binatang hanya terdorong untuk buat jahat. Tidak ada sesuatu yang boleh mengawal binatang, disebabkan ia tidak ada akal. Kalau ia ada akal, syariatlah yang boleh mengawalnya. Cuma, walaupun binatang hanya tahu berbuat jahat, perbuatan mereka masih terbatas. Umpamanya, kalau seekor tikus itu mencuri padi, ia tidak membawanya balik. Ia makan di tempat itu sampai kenyang. Lepas itu, baru dia balik. Begitu juga kalau kambing masuk ke kebun orang, ia makan sampai kenyang di situ juga. Bila sudah kenyang, baru ia balik. Tidak ada satu benda pun yang dibawa lari dari kebun orang itu.


Begitu juga kalau binatang-binatang bergaduh, mereka tidak bermesyuarat, berbincang dan mengatur strategi bagaimana hendak bergaduh. Selain itu, bila binatang bergaduh, dia tidak ‘tahu hendak membela diri dengan meminta bantuan binatang-binatang lain.
Binatang yang bergaduh itu saja yang terlibat. Yang lain, buat tak tahu saja. Tidak seperti manusia, kalau bergaduh, dia mengatur strategi. Kemudian dia mengajak orang lain berpakat bagaimana hendak mengalahkan musuhnya. Ertinya, di kalangan manusia, daripada seorang saja yang bergaduh, berpuluh-puluh malah ribuan orang lain terlibat sama. Satu negara boleh turut berperang kalau dua pemimpin negara bergaduh dan berselisih faham. Jadi, banyaklah kerosakan yang dibuat oleh manusia. Sebab itulah, manusia yang tidak menggunakan akal dan telinga, lebih sesat dan lebih berbahaya lagi daripada binatang-binatang ternak.


Akal Dorong Nafsu Buat Maksiat?
Oleh kerana manusia ini ada akal di samping ada nafsu yang mendorong dia berbuat maksiat, kemudian akal tidak pula digunakan untuk menerima kebenaran, maka akal membantu lagi nafsu itu mendorong dia berbuat maksiat. Ertinya, manusia lebih cepat lagi berbuat maksiat daripada binatang yang hanya mempunyai nafsu tetapi tidak mempunyai akal itu.

Bagaimana akal membantu nafsu mendorong manusia membuat kejahatan?
Tentulah dengan cara merancang atau mengatur bagaimana hendak melakukan kejahatan itu dan sebagainya. Jadi, munasabah benarlah ALLAH menyebut bahawa manusia yang mempunyai nafsu demikian lebih sesat lagi daripada binatang ternak. Sebaliknya, kalau manusia boleh menggunakan akalnya sungguh-sungguh disebabkan akal manusia itu sifat semulajadinya memang baik, dan kalaulah kebaikan itu dipandu oleh syariat, kadang-kadang seseorang itu boleh mencapai taraf malaikat. Darjat dan kerohaniannya boleh sampai kepada tahap malaikat. Itulah yang berlaku kepada para rasul, para anbia dan para aulia besar.

Peranan Akal
Begitulah peranan akal yang jika digunakan sungguh-sungguh, membolehkan manusia mendapat manfaat daripadanya. Dia boleh menjadi lebih mulia daripada makhluk yang lain. Di samping itu, manusialah yang boleh menerima pengetahuan-pengetahuan yang memerlukan kepada berfikir, Ilmu-ilmu itu, kalau tidak difikirkan, tidak akan dapat diperolehi. Tetapi oleh kerana manusia ada akal, dia boleh memikirkan ilmu-ilmu pengetahuan itu. Kerana itu, hari ini bermacam-macam ilmu pengetahuan yang telah diperolehi manusia seperti ilmu alam, ilmu hisab, ilmu sains dan teknologi, ilmu kaji bumi, ilmu psikologi, dan bermacam-macam ilmu pengetahuan lain. Kalau tidak ada akal, manusia tidak mungkin memperolehi semua ilmu itu.
Kemudian, dengan akal itu pula manusia boleh memikirkan kerja-kerja yang sulit dan yang halus. Apa saja pekerjaan dapat ditadbir dan disusun oleh manusia dengan sebaik-baiknya.


Jadi, kita dapati, daripada akal itu terbitnya segala manfaat dan kebajikan yang semua itu akan memberikan kebahagiaan kepada manusia. Walau bagaimanapun, syaratnya manusia mestilah dapat menggunakan akalnya itu dengan sebaik-baiknya dengan dipandu oleh syariat. Kalau tidak, disebabkan oleh akal, manusia boleh rosak binasa. Samalah seperti peranan senjata api, ia boleh memberi manfaat kepada kita dengan syarat kita pandai menggunakannya. Misalnya, kalau datang musuh, perompak dan sebagainya, kita boleh mempertahankan diri dengan senjata api. Tetapi kalau kita tidak pandai menggunakannya, ia boleh merosakkan kita. Setengah-setengah orang membunuh diri dengan senjata apinya sendiri.
Begitulah dengan akal, kalau manusia menyalahgunakannya, rosaklah muka bumi ini, dan binasalah kehidupan manusia seluruhnya. Wujudlah huru-hara di atas bumi ALLAH ini, dan akan terjadilah sebagaimana yang ALLAH gambarkan:
Terjemahannya: Akan lahirlah kerosakan di daratan dan di lautan akibat daripada usaha manusia itu sendiri (Ar Rum: 41)


Sifat Semula jadi Akal
Kemudian, walaupun akal itu sifat semulajadinya ALLAH jadikan baik, tetapi ada juga kebaikan-kebaikan yang tidak mampu difikirkan oleh akal. Dalam hal ini, Allah bantu kekuatan akal itu dengan memberi syariat kepada manusia melalui para rasul. Kalau hanya dengan kekuatan akal saja, manusia tidak dapat membezakan mana yang baik dan mana yang buruk, mana yang halal dan mana yang haram, mana yang sah dan mana yang batal, dan sebagainya. Ia perlu kepada satu kekuatan lain iaitu kekuatan syariat. Akal mesti disuluh oleh syariat. Barulah ia dapat memandu manusia kepada kesejahteraan dan keselamatan di dunia dan juga di Akhirat.


Kalau akal dibiarkan bersendiri, tanpa dibimbing oleh syariat, ia akan sesat. Akal ini akan mengeluarkan peraturan bagi manusia. Dari situlah timbulnya ideologi atau isme yang ada pada hari ini seperti komunisme, kapitalisme, sosialisme, dan sebagainya. Ideologi atau isme-isme ini akhirnya bertindak sebagai ‘syariat’ kepada manusia di seluruh dunia, dan manusia mengenepikan syariat yang sebenar daripada ALLAH SWT. Maka rosaklah alam, rosaklah muka bumi Tuhan ini. Buktinya, hari ini saja, manusia tidak pernah hidup aman damai kerana kehidupan mereka dikawal oleh isme-isme yang lahir daripada otak manusia. Di mana-mana saja sudah tercetus pergaduhan dan peperangan. Tidak ada siapa pun boleh menyelesaikannya, hatta tempat rujuk semua negara sekalipun iaitu Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Kadang-kadang merujukkan kehidupan manusia kepada pertubuhan itu, umpama kita berhakim kepada beruk.


Jadi, walaupun tabiat semulajadi akal kita ini baik, ia masih perlu dipimpin oleh syariat supaya apa yang lahir daripada akal itu benar-benar dapat memimpin manusia kepada keselesaan hidup di dunia dan keselamatan hidup di Akhirat. Akal tidak boleh dibiarkan bersendirian kerana tidak semua kebaikan mampu difikirkannya. Sejarah ahli-ahli falsafah atau ahli-ahli fikir zaman dahulu membuktikan hal ini. Soctrates, Plato dan lain-lainnya, terbukti tidak mampu memikirkan perkara-perkara yang lebih halus dan rumit dalam hal-hal kebenaran. Ini kerana kebenaran itu hanya datang daripada ALLAH. ALLAH sendiri yang mendatangkannya kepada manusia melalui rasul-rasul-Nya.





Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

NEGARA SYAM.

NEGARA SYAM (JORDAN, PALESTIN,HEBRON, SYRIA) Negara Jordan menjadi tempat transit bagi Abuya sebelum meneruskan perjalanan ke negara negara lain. Jordan juga dikenali dengan bumi Anbiya. Jordan juga banyak meninggalkan kesan  peninggalan purba yang berusia  ribuan tahun. Ia banyak di Jordan atau dulu dikenali dengan negeri Syam. Wilayah Syam zaman kebangkitan pertama mengandungi Jordan, Palestin, Lubnan dan Syria. Di era kebangkitan kali kedua Syam telah terpecah kepada empat negara. Ia dilakukan oleh penjajah. Kini terdapat negara Jordan, Palestin, Lubnan dan Syria secara berasingan satu sama lain. Jordan era terkini dikenali dengan Kerajaan Hasyimiyah Jordan, (Hashemite Kingdom of Jordan) atau lebih dikenali dengan nama Jordan sahaja  merupakan sebuah negara Arab yang terletak di Asia Barat (dulu dianggap Timur Tengah) bersempadan dengan negara-negara Arab yang lain. Ia terletak pada koordinat 34-29 Utara 35-39 Timur iaitu di sebelah Barat La

KEBANGKITAN ISLAM AKHIR ZAMAN.

KEBANGKITAN ISLAM AKHIR ZAMAN. Allah telah mengkhabarkan kepada kita melalui lidah Rasul-Nya bahawa Allah telah ‘set’kan satu Jadual Allah SWT untuk umat yang datang sesudah wafatnya Nabi akhir zaman. Itulah kasih sayang Allah dan Rasul-Nya kepada umat Islam, yang untuk mereka tidak ada lagi nabi dan rasul.Maka diceritakan lah perkara-perkara yang bakal terjadi sama ada yang positif atau negatif. Dengan mengetahui dan memahami jadual itu, umat Islam terpandu atau terpimpin untuk menghadapi dan menerima takdir yang bakal berlaku. Antara jadual yang dimaksudkan itu ialah, Rasulullah SAW bersabda: Yang artinya : "Telah berlaku Zaman Kenabian ke atas kamu, maka berlakulah zaman kenabian sebagaima­na yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkat zaman itu. Kemudian berlakulah Zaman Kekhalifahan (Khulafaur Rasyidin) yang berjalan seperti zaman kenabian. Maka berlakulah zaman itu sebagaimana yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkat nya. Lalu berlakulah zaman

AGAMA NABI IBRAHIM.

AGAMA NABI IBRAHIM. Inti pati ayat: Al Qur’an ayat 123 surat 16 An Nahl, Kemudian Kami wahyukan kepadamu (Muhammad): "Ikutilah agama Ibrahim seorang yang hanif." dan bukanlah dia termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan. Al Qur’an ayat 39 surat 14 Ibrahim, Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadaku di hari tua (ku) Ismail dan Ishaq. Sesungguhnya Tuhanku, benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) do`a. Al Qur’an ayat 124 surat 2 Al Baqarah, Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia". Ibrahim berkata: "(Dan saya mohon juga) dari keturunanku". Allah berfirman: "Janji-Ku (ini) tidak mengenai orang-orang yang zalim". Al Qur’an ayat 71 surat 21 Al Anbiyaa’, Dan Kami selamatkan Ibrahim dan Luth ke sebuah negeri yang Kami telah memberkahinya untuk sekalian manusia. N