Langkau ke kandungan utama

PEJUANG SELAMANYA TERTIPU OLEH YAHUDI DAN NASRANI.


(Petikan dari buku “Politik Islam Membawa Kasih Sayang” oleh Abuya Imam Ashaari Muhammad At-Tamimi.


Perkataan ‘Politik’ asalnya dari bahasa Latin atau Greek tua. Namun ia diterima sebagai bahasa antarabangsa. Semua bangsa di dunia menyebut perkataan politik. Dan kebanyakan negara di dunia menyebut perkataan politik. Dan kebanyakan negara di dunia memahami dan melaksanakan politik dengan maksud yang begitu sempit dan silap sekali. Politik pada umum manusia diertikan sebagai perbuatan merebut jawatan untuk memerintah negara. Bentuk dan sistem pemerintahan negara yang akan dilaksanakan selepas mendapat jawatan itu tidak diberi perhatian serius. Bahkan tidak diheboh-hebohkan sebagaimana diheboh-hebohkan kerja-kerja untuk mendapatkan jawatan.


Berpolitik telah dipesongkan maknanya sebagai menyertai mana-mana badan politik untuk ikut serta dalam pilihan raya. Orang politik difahamkan sebagai orang yang ada parti politik atau menjadi ahli mana-mana parti dan ikut serta dalam pilihan raya yang berlangsung beberapa tahun sekali. Kemudian sama ada dia menang atau tidak dalam undian untuk jadi wakil rakyat atau sekadar menjadi ahli biasa saja, itulah orang yang kononnya dikatakan orang politik. Sebaliknya orang yang tidak berpolitik itu difahamkan sebagai orang yang tidak menjadi ahli mana-mana badan politik, tidak mengundi dan tentunya tidak jadi calon dalam pilihanraya. Oleh kerana erti politik mengikut pandangan umum ialah sistem pilihan raya kerana hendak berkuasa. Oleh kerana terlalu hendakkan kuasa dalam pilihan raya, mereka menghalalkan cara. Cara halal atau haram, cara kotor atau bersih, menghuru-harakan suasana atau melakukan tipu daya, semua boleh mereka lakukan. Yang penting menang dalam pilihan raya. Setengah-setengah tempat, bunuh orang pun tidak mengapa. Rasuah pun tidak mengapa. Membeli undi pun dilakukan juga.


Sebenarnya erti politik itu dalam bahasa Islam (Arab) ialah ‘siasah’. Dalam kamus, ’siasah’ diertikan sebagai ilmu pentadbiran. Dengan kata lain, politik itu ialah mentadbir. Atau boleh juga dikatakan politik ialah – memikirkan bagaimana hendak mewujudkan segala aspek pembangunan yang berkaitan dengan manusia, sama ada pembangunan insaniah mahupun pembangunan material. Juga untuk membina ukhwah dan kasih sayang antara sesama manusia kerana ukhwah dan kasih sayang itu adalah asas kemakmuran. Dan juga pembangunan yang sudah dapat diwujudkan itu dijaga dan diurus agar dapat dipertahankan dan kekal serta kalau boleh, diusahakan supaya terus berkembang maju. Supaya dengan itu berlakulah peningkatan tamadun rohaniah dan material dalam hidup manusia yang hasilnya memberi manfaat yang luas serta membawa berbagai-bagai kebaikan dan kemudahan kepada manusia. Terutamanya mewujudkan kasih sayang, supaya masyarakat aman damai dan harmoni.


Demikianlah mulia dan hebatnya apa yang diistilahkan sebagai politik atau siasah dalam Islam. Sesuai dengan fitrah semula jadi manusia, tidak kira apa bangsa dan agama. Dan alangkah besarnya pahala ibadah yang didapati oleh orang yang berpolitik bentuk ini, yang mengikut lunas-lunas Islam terutama kalau mereka itu orang nombor satu. Kalau bukan orang nombor satu, setidak-tidaknya mereka hidup aman damai dan berkasih sayang di antara etnik dan bangsa dan di antara berlainan fahaman agama. Kerana dalam sistem ini manusia bukan lagi berebut dan bergaduh kerana jawatan tetapi berlumba-Iumba untuk membuat kebaikan.


Supaya lebih difahami tentang erti politik yang sebenarnya, mari kita lanjutkan huraian tentangnya. Untuk melaksanakan politik atau untuk menjadi orang politik, kita mestilah melakukan kerja-kerja mentadbir sama ada mentadbir manusia itu sendiri atau hal-hal yang berkaitan dengan manusia. Yakni mengendalikan persoalan-persoalan kehidupan dari yang kecil hinggalah kepada persoalan alam sejagat. 


Di antara peringkat-peringkat kehidupan yang mesti ditadbir itu ialah:
1. Politik rumah tangga
2. Politik jemaah
3. Politik negeri
4. Politik negara
5. Politik ummah (sejagat)
Manakala di dalam tiap-tiap peringkat tadi terdapat lagi berbagai-bagai pecahan bidang yang ditadbir secara khusus. Di antaranya:
1. Politik pendidikan
2. Politik kebudayaan
3. Politik penternakan
4. Politik kesihatan
5. Politik ekonomi
6. Politik pertanian
7. Politik kepolisian
8. Politik kenegaraan


Dengan itu fahamlah kita bahawa golongan politik bukan mereka yang ada kuasa memerintah atau yang masuk parti politik sahaja, tetapi mencakupi semua golongan pentadbir. Cuma biasanya golongan pemerintah ialah pembuat polisi atau dasar pentadbiran. Manakala golongan pelaksana itu ialah mereka yang menjalankan polisi dan dasar yang di arahkan. Seorang yang memiliki 20 ekor kambing, kemudian mentadbir kambing-kambing itu hingga dapat makan dan minum dengan cukup, dapat tempat tinggal, keselesaan dan perlindungan, kesihatan, tidak mengganggu jiran dan sebagainya, hingga kambing-kambing itu hidup subur, membiak dan memberi hasil yang banyak, dan tidak memudaratkan orang lain maka itulah dia orang politik penternakan yang sangat baik dan berjaya. Dia hakikatnya orang politik di bidangnya. Walaupun dia tidak ada apa-apa jawatan, tidak masuk pilihan raya, tidak jadi calon, namun hakikatnya dia berpolitik dan berilmu politik yang baik dan yang sebenarnya.


Demikianlah juga dengan orang lain di bidang lain. Sekiranya dia melakukan kerja mentadbir dengan baik dan tidak mengorbankan kasih sayang, dia ialah orang politik yang sebenarnya. Dia selamat dan menyelamatkan. Sebaliknya seorang wakil rakyat yang telah menang dalam pilihan raya, kalau dia tidak ada sebarang projek untuk ditadbir, tidak mengusahakan untuk mendidik manusia dan tidak ada pembangunan untuk dimajukan bagi kepentingan rakyat, maka hakikatnya dia bukan orang politik. Kalau setakat memberi wang pada rakyat supaya rakyat bangunkan projek, itu belum layak untuk dikatakan berpolitik. Sekurang-kurangnya dia mesti mendidik rohaniah rakyat, memberi idea, menunjuk cara, mengatasi masalah dan ikut serta dalam jatuh bangun mengendalikan sesebuah projek. Kalau timbul masalah, dia tahu bagaimana menghadapinya dengan sebaiknya dengan tidak mengorbankan kasih sayang. Barulah mungkin wakil rakyat tersebut boleh dinamakan orang politik yang sebenarnya.


Demikianlah dengan contoh-contoh lain di bidangnya. Sekalipun seorang menteri, kalau dia tidak mentadbir, yakni tidak mengusahakan pembangunan insan dan material untuk rakyat, tetapi hanya setakat mentadbir pejabat, atau dia mentadbir dengan mengorbankan kasih sayang, hakikatnya dia bukan orang politik. Atau dia boleh dikatakan orang politik yang tidak berpolitik.


Abuya Imam Ashaari At Tamimi perhatikan di negara-negara seluruh dunia hari ini, ramai sekali orang politik yang tidak berpolitik. Mereka ini mendapat untung dari jawatannya tetapi sedikit sekali memberi keuntungan kepada negara dan rakyat. Setengah-setengah mereka pula bukan saja tidak menguntungkan negara tetapi merugikan dan buat masalah yang besar-besar pada negara. Mereka menggugat perpaduan dan kasih sayang antara rakyat. Golongan ini bukan sahaja orang politik yang tidak berpolitik tetapi suka Abuya istilahkan sebagai orang politik yang jadi perosak dan pengacau negara. Tetapi malang sekali rakyat seperti tidak sedar atas penipuan dan kesalahan ini. Rakyat terus digula-gulakan untuk terus mengangkat atau mengundi orang-orang yang berpura-pura itu sebagai ketua atau pemimpin mereka. 


Hingga begitu sekali dunia politik ini dikotori dan disalahgunakan dengan menjual nama Islam. Islam tidak menyuruh kita berpolitik kotor seperti itu. Islam sangat menjaga kasih sayang. Kasih sayang itu kepunyaan sejagat atau kepunyaan bersama. Semua bangsa, semua etnik, semua fahaman agama memerlukannya.


Sebaliknya terdapat pula golongan manusia yang sibuk membangun dan merancang bermacam-macam projek dan aktiviti seperti membangunkan kompleks pendidikan, ekonomi, hospital dan klinik, kilang-kilang dan kedai perniagaan, media massa, perkampungan, pejabat, aktiviti ternakan, pertanian, dakwah, kepimpinan, kebajikan dan lain-lain lagi hingga tercetusnya satu sistem masyarakat. 


Bahkan mereka bagaikan sebuah kerajaan. Namun mereka diselar sebagai golongan tidak berpolitik. Mereka dikatakan tidak berjuang dan bersalah kerana menafikan satu aspek penting dalam Islam iaitu politik. Padahal mereka itulah orang politik yang sebenarnya. Walaupun sudah begitu gah dan masyhur perihal pembangunan masyarakat dan khidmat-khidmat yang mereka sumbangkan, namun mereka tetap dikatakan bukan golongan politik. 


Walau sudah jelas kemampuan kepimpinan mereka, pun tetap masih dituduh tidak berpolitik hanya kerana mereka tidak masuk parti politik. Seolah-olah seorang yang dilihat mencangkul, menanam, menjaga dan memetik hasil tanaman, kemudian dia dituduh bukan petani kerana dia tidak masuk institusi pertanian dan tidak ada sijil pertanian. Munasabah kah?
Begitu sekali tertutupnya fikiran dan mata hati manusia dalam melihat erti politik yang sebenar. Ini adalah kerana kesilapan cara menilai yang sudah dipaksakan atas mereka sekian lama. 


Mereka hanya difahamkan tentang politik sekular Barat. Rakyat patut sedar termasuk orang Islam sendiri yang bersikap sedemikian itu bahawa sebenarnya mereka yakni golongan yang disebut di atas itulah orang-orang politik. Walaupun pasti golongan mereka tidak didaftarkan sebagai parti politik tetapi hakikatnya merekalah orang politik yang sebenar yang tidak ada parti. Mereka menempuh satu kaedah politik atau satu sistem politik yang berbeza dengan politik Barat. Inilah definisi dan pendekatan politik yang lebih tepat dan bijak. Dan masyarakat perlu diputar fikiran mereka untuk melihat kebenaran ini. 


Supaya kita tidak selamanya tertipu oleh Barat dan Yahudi. Moga-moga Tuhan izinkan minda Abuya ini membawa mesej kebenaran tentang kekeliruan umat dan kesalahan menilai erti politik. Moga-moga dengan itu kita dapat kenal siapakah sebenarnya orang politik dan siapa yang bukan. Dan seterusnya dapat kita tahu bagaimana cara-cara berpolitik yang sebenarnya…Petikan dari buku “Politik Islam Membawa Kasih Sayang” oleh Abuya Imam Ashaari Muhammad At-Tamimi.



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

TETAMU ALLAH

MENJADI TETAMU ALLAH.

Tetamu Allah adalah satu gelaran sangat istemewa dalam Islam.  Allah dan Para Rasul sendiri memberikan layanan istemewa kepada tetamu. Dalam Islam wajib melayani tetamu yang datang bertamu ke tempat kita. Bagi umat Islam yang tahu kelebihan gelaran tersebut mereka akan berusaha dan memasang cita-cita untuk mendapat menjadi "Tetamu Allah ". Manusia di dunia ini dapat menjadi tetamu negara sebagai VIP itu pun manusia sudah rasa sangat berharga dan istemewa. Kerana menjadi tetamu VIP akan menerima layanan lima bintang. 

Betapalah apabila manusia kalau dapat menjadi tetamu Allah ia akan merasakan sepanjang hidupnya bahkan ia akan diberikan nilai sampai ke  Akhirat. "Pergi ke Makkatul Mukarramah tempat yang bersejarah. Manunaikan ibadah kemuncak rukun Islam yang lima Di sana umat Islam menjadi tetamu-tetamu Allah Kenalah menjaga adab-adabnya dengan sempurnanya". ( sedutan madah Abuya Imam Ashaari Muhammad At Tamimi ).

Satu istilah yang disebut oleh Allah d…

KEAJAIBAN SUNGAI FURAT DAN DAJLAH TANDA KIAMAT.

KEAJAIBAN SUNGAI FURAT DAN DAJLAH TANDA KIAMAT.
(Sungai Dajlah).

Mengimbau kembali XPDC penulis ke Iraq melalui jalan darat dari Jordan pada 9 januari 1990. Menaiki kereta jenis GMC yang boleh memuatkan 9 penumpang. Kali ini penulis hendak kongsikan maklumat berkaitan dengan sejarah Sungai Furat dan Dajlah. Rujukan kebanyakkan dari risalah-risalah yang di terbitkan oleh kerajaan Iraq. Perjalanan darat dari Jordan ke Iraq mengambil masa 12 jam. Sepanjang perjalanan terlalu banyak sekatan tentera di dua buah negara tersebut. Terutamanya semasa berada di kawasan Iraq. Sejarah purba dan sejarah moden Iraq banyak berkaitan dengan sungai tersebut. Furat dan Dajlah merupakan antara sungai yang memiliki ikatan sejarah yang kuat dengan ajaran Islam. 

Sungai yang menjadi sumber mata air di Anatolia, Turki, dan bermuara di Teluk Persia itu berkali-kali disebutkan dalam berbagai hadis. Sungai Furat juga dikaitkan dengan Nabi dan rasul sebelum Nabi Muhammad SAW. Ia juga dikaitkan dengan tanda kiamat s…

ASAL USUL KAMPUNG DATUK KERAMAT.

PUSAT PENGAJIAN ABUYA PRAKTIKAL.
( Pasar Datuk Keramat dikaitkan dengan pasar Siti Khadijah Kelantan ).

BAGI warga kota, nama Kampung Datuk Keramat memang tidak asing lagi, bukan saja kerana ia antara kawasan perkampungan Melayu terbesar di ibu negara, tetapi ia juga adalah syurga makanan. Sebut saja makanan apa, pasti dapat dijumpai di situ.Begitu juga setiap kali kedatangan bulan Ramadan, Kampung Datuk Keramat bertukar wajah menjadi pesta makanan dengan ratusan gerai menjual pelbagai jenis makanan tempatan terutamanya di kawasan Pasar Datuk Keramat. Dalam kemeriahannya sebagai syurga makanan, ramai yang tidak tahu asal-usul nama penempatan ini. BH Plus menyingkap maksud di sebalik nama perkampungan ini. 

ABUYA memulakan jemaah pengajiannya di kampung Datuk Keramat. Ketika itu kumpulan pengajian Abuya dikenali dengan pengajian ".RUMAH PUTIH". Dipanggil rumah putih kerana rumah tersebut berwarna putih. Di markaz tersebut diadakan perjumpaan dikalangan ahli pengajian. Program tet…