Langkau ke kandungan utama

PENDIDKAN SEBENAR.

MATLAMAT PENDIDIKAN SEBENAR .



Kebanyakan ibu bapa menganggap bahawa sekolah ialah tempat menimba sebanyak-banyak ilmu hingga ke peringkat yang setinggi mungkin supaya masa depan anak-anak mereka terjamin. Apabila mendapat sijil dan ijazah sama ada ijazah pertama, masters atau PhD, akan mudahlah bagi anak-anak mereka itu mendapat jawatan yang tinggi dan gaji yang lumayan. Mungkin di celah-celah itu terselit juga maksud supaya ibu, ayah, anak dan keluarga seluruhnya dipandang mulia di sisi masyarakat sebagai keluarga pintar dan berpelajaran. 


Itulah juga asas yang digunakan dalam masyarakat kita bagi mengurniakan anugerah, pujian dan sebagainya. Mithali atau tidak adalah berdasarkan kepada berapa ramaikah anak-anak yang berjaya dididik hingga menjadi doktor, jurutera, arkitek, akauntan, pensyarah universiti, peguam, ahli perniagaan dan sebagainya.
Dalam erti kata yang lain, anak-anak dihantar ke sekolah khusus untuk tujuan ekonomi (untuk mendapat kerja) dan bagi tujuan mendapat kemuliaan dan kehormatan di sisi masyarakat. 


Tidak dapat kita lihat adanya matlamat selain dari dua matlamat yang disebutkan itu. Oleh yang demikian, samalah ibu ayah kita dengan masyarakat yang bukan Islam seperti di Amerika, United Kingdom, negara-negara Eropah, Jepun, China dan sebagainya. Ibu ayah di negara-negara tersebut juga menghantar anak-anak mereka ke sekolah kerana tujuan ekonomi dan untuk mendapat kehormatan dan kemuliaan di sisi masyarakat mereka, tidak lebih dari itu. Sedangkan menuntut ilmu itu diwajibkan oleh Islam. 


Masakan Islam mewajibkan kita menuntut ilmu hanya supaya kita boleh dapat kerja, dapat gaji yang banyak dan dimuliakan di sisi masyarakat kerana ilmu kita itu. Masakan matlamat hukum Islam supaya kita mencari ilmu itu terhenti setakat hal-hal dunia yang remeh-temeh seperti itu. Kalau setakat itulah sahaja matlamatnya, apa perlunya Allah datangkan Islam kepada kita dan apa perlunya diwajibkan pula kita menuntut ilmu. Orang-orang bukan Islam pun boleh faham malah mereka lebih gigih mencari ilmu tanpa payah mereka menganut dan mengamalkan Islam. 


Di peringkat negara pula, berdasarkan kepada dasar pendidikan yang diamalkan, warga pelajar dianggap tidak lebih sebagai bahan ekonomi atau buruh ekonomi (economic labour force) yang perlu diajar dan diberi kemahiran supaya mereka boleh digunakan untuk menjana ekonomi negara dalam segala bidangnya sama ada pertanian, perikanan, industri pembuatan, perdagangan, industri perkhidmatan dan lain-lain lagi. Inilah perkara pokok yang terkandung dalam dasar pendidikan negara.


Kalaupun ada dasar yang berbau atau bersifat kemanusiaan seperti agama, moral atau bina insan, itu adalah untuk menentukan pelajar tidak jadi liar atau jadi jahat supaya mereka tidak mencetuskan huru-hara dan merosakkan sistem yang ada. Ia adalah untuk mempertahan dan menyelamatkan sistem yang ada dan bukan untuk menyelamatkan pelajar itu sendiri dari kemurkaan Tuhan dan dari seksa api neraka. 


Istilah ‘dasar pendidikan’ yang digunakan juga tidak tepat kerana dasar tersebut kurang menekankan hal-hal pendidikan yang sepatutnya membuahkan akhlak tetapi banyak menekankan hal-hal yang bermatlamatkan ilmu semata-mata terutama ilmu dunia atau ilmu akademik. Inilah keadaan sistem dan matlamat persekolahan yang wujud sekarang di negara kita. Tidak salahlah kalau ada pihak yang menuduh sistem ini sebagai sekular kerana ia tepat dengan takrif sekular itu sendiri. 


Sekular bermaksud sesuatu yang bermatlamatkan dunia semata-mata tanpa ada apa-apa kaitan langsung dengan Akhirat. Oleh itu, sesuatu mesti dilakukan supaya sistem sekolah kita dapat disusun semula untuk menjadikannya satu sistem yang menjurus kepada Akhirat dan kepada keredhaan Tuhan dan tidak hanya untuk tujuan duniawi dan untuk mencetuskan kemajuan dan pembangunan sahaja. Dalam erti kata lain, sistem persekolahan kita mesti mampu membina suatu tamadun rohani yang akan membawa kepada kebahagiaan di dunia dan di Akhirat.


Tujuan utama pelajaran dan pendidikan dalam Islam bukan semata-mata hendak menguasai berbagai-bagai bidang ilmu tetapi ialah untuk melahirkan insan yang bertaqwa. Iaitu insan yang menjadikan Allah cinta agungnya, Akhirat matlamat hidupnya, yang melihat dunia ini semata-mata sebagai tempat untuk bercucuk tanam yang hasilnya diperolehi di Akhirat dan agar terselamat mereka dari neraka dan berjaya memasuki syurga. 


Iaitu insan yang sanggup dan rela berjuang dan berkorban untuk menyampaikan pelajaran serta membangunkan sahsiah manusia di tengah masyarakat agar ahli-ahli masyarakat juga menjadi insan-insan yang bertaqwa. Dalam erti kata yang lain, pendidikan itu adalah untuk melahirkan insan yang mampu mengajak dan menyeru manusia kepada kebajikan dan kebaikan serta untuk menegah dan menghindar mereka dari kejahatan dan kemungkaran (amru bil makruf wanahyun anil mungkar).


Dalam Islam, sekolah bukan semata-mata untuk melahirkan ahli ilmu yang bertauliah dengan tujuan untuk makan gaji, untuk sara hidup atau untuk kemegahan dan nama di dunia, tetapi adalah untuk melahirkan orang-orang yang bekerja untuk Tuhan. Orang-orang yang bertanggungjawab menyampaikan ajaran Allah Taala dan memperkenalkan manusia kepada Allah. Agar agama Allah diterima oleh manusia dan dapat mengatasi seluruh agama lain di atas muka bumi ini. Agar manusia seluruhnya menyembah Allah yang menciptakan mereka dan bukan tuhan-tuhan palsu yang lain atau terus menolak, menafi dan menentang Tuhan. 


Ini semua adalah untuk menentukan agar seluruh kehidupan berjalan dengan penuh disiplin, bertolong bantu, bekerjasama dan mengikut syariat Allah supaya akan wujud harmoni dan kasih sayang antara manusia. Begitulah besarnya matlamat dan erti pelajaran dan pendidikan kepada manusia. Ia merupakan roh dan nadi kepada seluruh kehidupan. Kalau sesebuah sistem pelajaran dan pendidikan itu hanya dapat melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang dalam pelajaran, dapat melahirkan ahli-ahli ilmu dalam pelbagai bidang dan dapat melahirkan cendekiawan-cendekiawan yang terbilang dan tidak lebih dari itu, maka sistem seperti itu telah gagal oleh Islam. 


Kerana ia telah melahirkan manusia yang tidak kenal Penciptanya dan yang membelakangkan syariat-Nya, yang mengutamakan hidup di dunia melebihi hidup di Akhirat, yang sombong, yang mementingkan diri dan yang gilakan nama dan glamor. Dengan adanya manusia-manusia seperti ini maka akan lahirlah budaya jatuh-menjatuhkan, fitnah-memfitnah, singgung-menyinggung, umpat-mengumpat dan kata mengata. Akan timbul pula berbagai-bagai lagi kerosakan yang lain mengikut ragam masing-masing. Akhirnya, timbullah huru-hara di dalam kehidupan dan manusia tidak rasa aman dan selamat.


Selain itu, matlamat pendidikan dan pelajaran ialah untuk membolehkan manusia melaksanakan tanggungjawab dan fungsi mengikut kehendak Tuhan. Dan tidaklah manusia itu diciptakan oleh Tuhan melainkan untuk mengabdikan diri kepadaNya. Sekiranya sesebuah sistem pelajaran dan pendidikan itu tidak menghasilkan manusia yang pandai mengabdi dan memperhambakan diri kepada Allah dan sebaliknya pula hanya bertujuan untuk membina hidup di dunia, mengumpul kekayaan dan harta, ingin dipuji dan dimuliakan oleh manusia, maka ini telah tersimpang jauh dari tujuan manusia itu diciptakan. Kalau kita tidak menepati tujuan kita diciptakan oleh Tuhan, maka sudah tentu nerakalah tempat kembali yang selayaknya. Wal’iyazubillah.



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

TETAMU ALLAH

MENJADI TETAMU ALLAH.

Tetamu Allah adalah satu gelaran sangat istemewa dalam Islam.  Allah dan Para Rasul sendiri memberikan layanan istemewa kepada tetamu. Dalam Islam wajib melayani tetamu yang datang bertamu ke tempat kita. Bagi umat Islam yang tahu kelebihan gelaran tersebut mereka akan berusaha dan memasang cita-cita untuk mendapat menjadi "Tetamu Allah ". Manusia di dunia ini dapat menjadi tetamu negara sebagai VIP itu pun manusia sudah rasa sangat berharga dan istemewa. Kerana menjadi tetamu VIP akan menerima layanan lima bintang. 

Betapalah apabila manusia kalau dapat menjadi tetamu Allah ia akan merasakan sepanjang hidupnya bahkan ia akan diberikan nilai sampai ke  Akhirat. "Pergi ke Makkatul Mukarramah tempat yang bersejarah. Manunaikan ibadah kemuncak rukun Islam yang lima Di sana umat Islam menjadi tetamu-tetamu Allah Kenalah menjaga adab-adabnya dengan sempurnanya". ( sedutan madah Abuya Imam Ashaari Muhammad At Tamimi ).

Satu istilah yang disebut oleh Allah d…

KEAJAIBAN SUNGAI FURAT DAN DAJLAH TANDA KIAMAT.

KEAJAIBAN SUNGAI FURAT DAN DAJLAH TANDA KIAMAT.
(Sungai Dajlah).

Mengimbau kembali XPDC penulis ke Iraq melalui jalan darat dari Jordan pada 9 januari 1990. Menaiki kereta jenis GMC yang boleh memuatkan 9 penumpang. Kali ini penulis hendak kongsikan maklumat berkaitan dengan sejarah Sungai Furat dan Dajlah. Rujukan kebanyakkan dari risalah-risalah yang di terbitkan oleh kerajaan Iraq. Perjalanan darat dari Jordan ke Iraq mengambil masa 12 jam. Sepanjang perjalanan terlalu banyak sekatan tentera di dua buah negara tersebut. Terutamanya semasa berada di kawasan Iraq. Sejarah purba dan sejarah moden Iraq banyak berkaitan dengan sungai tersebut. Furat dan Dajlah merupakan antara sungai yang memiliki ikatan sejarah yang kuat dengan ajaran Islam. 

Sungai yang menjadi sumber mata air di Anatolia, Turki, dan bermuara di Teluk Persia itu berkali-kali disebutkan dalam berbagai hadis. Sungai Furat juga dikaitkan dengan Nabi dan rasul sebelum Nabi Muhammad SAW. Ia juga dikaitkan dengan tanda kiamat s…

ASAL USUL KAMPUNG DATUK KERAMAT.

PUSAT PENGAJIAN ABUYA PRAKTIKAL.
( Pasar Datuk Keramat dikaitkan dengan pasar Siti Khadijah Kelantan ).

BAGI warga kota, nama Kampung Datuk Keramat memang tidak asing lagi, bukan saja kerana ia antara kawasan perkampungan Melayu terbesar di ibu negara, tetapi ia juga adalah syurga makanan. Sebut saja makanan apa, pasti dapat dijumpai di situ.Begitu juga setiap kali kedatangan bulan Ramadan, Kampung Datuk Keramat bertukar wajah menjadi pesta makanan dengan ratusan gerai menjual pelbagai jenis makanan tempatan terutamanya di kawasan Pasar Datuk Keramat. Dalam kemeriahannya sebagai syurga makanan, ramai yang tidak tahu asal-usul nama penempatan ini. BH Plus menyingkap maksud di sebalik nama perkampungan ini. 

ABUYA memulakan jemaah pengajiannya di kampung Datuk Keramat. Ketika itu kumpulan pengajian Abuya dikenali dengan pengajian ".RUMAH PUTIH". Dipanggil rumah putih kerana rumah tersebut berwarna putih. Di markaz tersebut diadakan perjumpaan dikalangan ahli pengajian. Program tet…