Langkau ke kandungan utama

LAHIR SEBUAH CINTA.

DI SINI LAHIRNYA SEBUAH CINTA.

Masjid Nabawi Madinah.

Masjid Paris.

 Masjid Putrajaya Malaysia 




Tahun 2017 dunia di landa masaalah ekonomi. Alhamdulillah Malaysia Tuhan izinkan dapat melaluinya dengan tenang. Dunia membuka mata kepada Malaysia bagaimana dapat melaluinya dengan baik. Tanah air kita diuji dengan ujian yang tak pernah dilalui oleh mana-mana negara dalam dunia ini. Sudah tentu yang paling berat menanggung ujian ini pastinya PM negara kita, Dato Seri Najib Tun Abdul Razak. Tidak dinafikan tahun ini membuatkan hati rakyat Malaysia tak kira apa bangsa kembali kepada fitrah. Rasa lemah, rasa harap, dan macam-macam perasaan hamba yang lain. Hampir 50 tahun telah berlalu, Abuya pernah berkata di Malaysia akan lahir sebuah cinta yang luar biasa. Cinta yang merubah kehidupan manusia. Cinta yang menyelamatkan kehidupan manusia di dunia dan akhirat. Maka Abuya pun mulakan perjuangan 'cinta'nya itu. 


Cinta yang diperjuangkan Abuya itu ialah cintakan Allah Rabbul Jalil. Cintakan Tuhan sekalian alam. Cinta yang tiada bertepi. Dari cinta kepada Allah ini akan lahirlah cinta dan kasih kepada makhluk. Antaranya cinta kepada agama, cinta kepada ilmu, cintakan ibubapa, cintakan kepada perjuangan, cintakan negara dan lain-lain cinta yang suci lagi tidak melanggar syariat. Tidak dinafikan Abuya sangat cintakan negaranya, tanah air tercinta. Malah cintakan tanah air sebahagian daripada iman. Nabi Muhammad SAW juga cintakan tanah tempat kelahirannya, iaitu Kota Makkah tercinta. Malah ia menjadi kecintaan semua manusia, berkat kecintaan baginda rasul kepadanya.


Tidak pernah diadakan majlis mendoakan negara secara besar-besaran melainkan ianya berlaku pada tahun 2017. Ya! Ianya bermula pada 2014 dan kita doakan agar kebaikan ini dapat diteruskan demi mencari keberkatan dan pandangan Allah. Semoga Allah memberikan kekuatan kepada Dato Seri dan semua rakyat Malaysia dalam menghadapi ujian daripada-Nya ini. Di sini lahirnya sebuah cinta', tema merdeka ini bersifat umum. Tidak pula dinyatakan khusus cinta itu kepada negara, tetapi ibu bagi cinta ialah kecintaan kepada Allah dan seterusnya melahirkan rasa kasih dan sayang sesama makhluk. Abuya telah mengajarkan kepada kita bahawa Allah adalah cinta agung kita. Bahkan junjungan mulia kita juga sebelum wafatnya, ayat terakhir yang diucapkan baginda SAW ialah ingin bertemu Rafiqul A'la, Allah SWT. Inilah cinta teragung kita.


Barulah kita faham, perjuangan Abuya selama puluhan tahun ini bukan sekadar membawa janji Tuhan buat umat akhir zaman, tetapi lebih besar dari itu Abuya membawa minda tajdid untuk mendapatkan cinta teragung, Allah SWT. Sebab itulah Abuya selalu ingatkan kita tentang sembahyang dan sering kita diingatkan tentang solat. Kerana disitulah bermulanya cinta yang agung itu. Ujian demi ujian Allah datangkan, semuanya untuk kembalikan manusia kepada cinta sebenar, cinta yang hakiki, cinta yang abadi, cinta yang agung. Itulah cinta kepada Allah SWT. Tidak didatangkan ujian melainkan untuk menghapuskan dosa atau tingkatkan darjat hamba-Nya atau keduanya. 


Kita pula diajar samada dalam ujian atau nikmat semuanya kembali kepada Allah. Kini 'Cinta Agung' telah berkumandang semula, menandakan hati manusia perlu kembali kepada cinta yang hakiki dan abadi. Cinta itu bermula di Malaysia dan akan berkembang ke seluruh dunia. Janji Allah itu pasti dan di sini lahirnya sebuah cinta!
Perjuangan yang bertunjangkan dan berteraskan rasa takut dan cinta kepada Tuhan ini tahan diuji dan tahan dicabar. Ia kuat membentuk peribadi dan jiwa seseorang itu kerana rasa takut dan cinta  Kepada Tuhan. Adapun pembentukkan peribadi yang terhasil dari tabiat semula jadi atau dari suasana dan persekitaran adalah lemah dan tidak tahan dicabar. Kalau dicabar, ia akan terbarai dan musnah. 


Ia mudah berubah mengikut suasana dan pengaruh luaran. Kalau dijemur dia kering, kalau direndam dia basah. Kalau terdedah kepada budaya lepak, dia akan turut melepak. Kalau terdedah kepada pengaruh “black metal”, maka jadi ‘logam hitam’lah dia. Sering kita lihat orang yang sewaktu remajanya di kampung, lemah lembut, pandai menghormati orang-orang tua dan selalu melaungkan azan di surau dan masjid. Tetapi sesudah dewasa dan bekerja di kota, dia tidak kisah pula pada orang dan suka pula menyanyi di disko. Ke masjid sudah tidak ada lagi. Ada pula orang yang semasa remajanya liar dan tidak boleh dikawal tetapi berubah menjadi baik walaupun persekitarannya penuh dengan godaan dan pancaroba. Inilah bezanya pembentukan peribadi yang diperolehi tanpa usaha dan yang diperolehi melalui mujahadah, keinsafan dan keimanan.



Oleh itu, tidak cukup kalau kita lihat umat Islam itu baik semula jadi. Kita kena tentukan umat Islam itu atas dasar kuat iman serta takut dan cinta kepada Tuhan. Barulah keperibadian yang ada pada mereka itu mencengkam dan termeteri di dalam jiwa dan diri mereka. Barulah berlaku pembinaan insan yang sejati yang menjadi darah daging dan tidak mudah luntur dan berubah dalam suasana apa sekali pun. Dalam senang mereka baik. Dalam susah pun mereka baik. Tidak ada kuasa mereka baik. Bila ada kuasa pun mereka tetap baik. Bila miskin mereka baik. Sudah kaya-raya pun mereka tetap baik. Di khalayak ramai mereka baik, bila bersendiri pun mereka tetap baik.


Di Malaysia mereka baik, bila berada di London atau di Moscow pun mereka baik. Kerana baik itu bukan mengikut keadaan, tempat atau musim. Di mana pun dan dalam keadaan apa sekali pun kita wajib memilki peribadi yang baik. Dengan kekuatan peribadi yang baik yang berteraskan iman ini, barulah akan terpancar akhlak Islamiah yang boleh dilihat oleh semua orang. Akhlak itu ibarat bunga. Semua manusia dan bangsa sukakannya. Ia bersifat sejagat. Tidak payah banyak cakap, akhlak yang murni dan luhur itu adalah satu bentuk dakwah yang sangat berkesan.


Tidak pernah berlaku di dalam sejarah manusia di mana bangsa yang menjajah, menganuti agama bangsa yang dijajahinya sendiri melainkan di dalam sejarah Islam. Orang-orang Monggol yang dahulunya merupakan suku bangsa dari Asia Barat yang liar dan ganas, akhirnya menjadi penganut Islam yang setia berubah akhlak dan peribadinya kepada bangsa yang bertamadun. Melalui ‘aqidah Islam yang dianuti, mereka bergerak membawa dan menyampaikan Islam ke seluruh pelusuk dunia.


Tidak ramai orang kafir memeluk agama Islam kerana ilmu Islam itu sendiri atau kerana sebab-sebab yang lain. Yang ramai memeluk Islam ialah kerana melihat akhlak dan cara hidup umat Islam yang cantik, indah dan murni. Akhlak dan cara hidup umat Islam ialah dakwah yang paling berkesan. Pada zaman awal Islam ramai kaum musyrik dan Yahudi memeluk Islam hanya kerana melihat akhlak Rasulullah SAW yang sangat mulia lagi terpuji. Kebangkitan Islam kali kedua akan berlaku dan mengulangi kebangkitan Islam pertama yang ditunjangi oleh Rasa cinta dan takut Tuhan.

         

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

NEGARA SYAM.

NEGARA SYAM (JORDAN, PALESTIN,HEBRON, SYRIA) Negara Jordan menjadi tempat transit bagi Abuya sebelum meneruskan perjalanan ke negara negara lain. Jordan juga dikenali dengan bumi Anbiya. Jordan juga banyak meninggalkan kesan  peninggalan purba yang berusia  ribuan tahun. Ia banyak di Jordan atau dulu dikenali dengan negeri Syam. Wilayah Syam zaman kebangkitan pertama mengandungi Jordan, Palestin, Lubnan dan Syria. Di era kebangkitan kali kedua Syam telah terpecah kepada empat negara. Ia dilakukan oleh penjajah. Kini terdapat negara Jordan, Palestin, Lubnan dan Syria secara berasingan satu sama lain. Jordan era terkini dikenali dengan Kerajaan Hasyimiyah Jordan, (Hashemite Kingdom of Jordan) atau lebih dikenali dengan nama Jordan sahaja  merupakan sebuah negara Arab yang terletak di Asia Barat (dulu dianggap Timur Tengah) bersempadan dengan negara-negara Arab yang lain. Ia terletak pada koordinat 34-29 Utara 35-39 Timur iaitu di sebelah Barat La

KEBANGKITAN ISLAM AKHIR ZAMAN.

KEBANGKITAN ISLAM AKHIR ZAMAN. Allah telah mengkhabarkan kepada kita melalui lidah Rasul-Nya bahawa Allah telah ‘set’kan satu Jadual Allah SWT untuk umat yang datang sesudah wafatnya Nabi akhir zaman. Itulah kasih sayang Allah dan Rasul-Nya kepada umat Islam, yang untuk mereka tidak ada lagi nabi dan rasul.Maka diceritakan lah perkara-perkara yang bakal terjadi sama ada yang positif atau negatif. Dengan mengetahui dan memahami jadual itu, umat Islam terpandu atau terpimpin untuk menghadapi dan menerima takdir yang bakal berlaku. Antara jadual yang dimaksudkan itu ialah, Rasulullah SAW bersabda: Yang artinya : "Telah berlaku Zaman Kenabian ke atas kamu, maka berlakulah zaman kenabian sebagaima­na yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkat zaman itu. Kemudian berlakulah Zaman Kekhalifahan (Khulafaur Rasyidin) yang berjalan seperti zaman kenabian. Maka berlakulah zaman itu sebagaimana yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkat nya. Lalu berlakulah zaman

AGAMA NABI IBRAHIM.

AGAMA NABI IBRAHIM. Inti pati ayat: Al Qur’an ayat 123 surat 16 An Nahl, Kemudian Kami wahyukan kepadamu (Muhammad): "Ikutilah agama Ibrahim seorang yang hanif." dan bukanlah dia termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan. Al Qur’an ayat 39 surat 14 Ibrahim, Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadaku di hari tua (ku) Ismail dan Ishaq. Sesungguhnya Tuhanku, benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) do`a. Al Qur’an ayat 124 surat 2 Al Baqarah, Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia". Ibrahim berkata: "(Dan saya mohon juga) dari keturunanku". Allah berfirman: "Janji-Ku (ini) tidak mengenai orang-orang yang zalim". Al Qur’an ayat 71 surat 21 Al Anbiyaa’, Dan Kami selamatkan Ibrahim dan Luth ke sebuah negeri yang Kami telah memberkahinya untuk sekalian manusia. N