Langkau ke kandungan utama

PERHIMPUNAN DI MAHSYAR.

PEMBAHAGIAN MANUSIA DI PADANG MAHSYAR.


Setelah seluruh makhluk akan dihalau ke suatu padang yang dinamakan “Padang Mahsyar”. Iaitu suatu padang tempat berhimpunnya seluruh makhluk Allah SWT terutamanya manusia, yang dimulai dari Nabi Adam a.s hingga akhir manusia yang belum kita ketahui siapa adanya. Di Padang Mahsyar inilah berkumpulnya seluruh makhluk dan ini merupakan suatu perhimpunan raksasa yang belum pernah wujud sebelumnya. Terlalu banyaknya makhluk yang berkumpul, menyebabkan keadaan saat itu terlalu bersesakan bahkan untuk duduk pun tidak boleh. Umpama susunan rokok yang berada di dalam kotak rokok. Ini disebabkan oleh kerana terlalu ketat dan padatnya manusia saat itu. 


Sementara matahari berada hanya sejengkal di atas kepala manusia. Padatnya himpunan manusia bagaikan rokok dalam kotak yang padat. Maka sudah tentu suasana ini menimbulkan kesusahan dan kesengsaraan kepada manusia dan seluruh makhluk Allah SWT.Walaupun manusia seluruhnya di waktu itu dalam keadaan tanpa berpakaian, namun masing-masing tidak mempedulikan diri orang lain. Ini disebabkan oleh huru-hara dan kesulitan yang menimpa manusia. Manusia di kala itu hanya memikirkan diri mereka masing-masing kerana terlalu bimbang dan takut menghadapi hari akhirat.Kemudian manusia yang begitu bannyak itu dibariskan oleh Allah SWT sebanyak 120 barisan. 


Mungkin timbul di dalam fikiran kita, di antara 120 barisan itu berapa banyaklah yang matinya membawa iman? 
Sebab di dalam Al Quran Allah SWT menjelaskan:
Golongan jin itu membuat untuk Nabi Sulaiman apa yang ia kehendaki dari bangunan-bangunan yang tinggi, dan patung-patung, dan pinggan-pinggan hidangan yang besar seperti kolam, serta periuk-periuk besar yang tetap di atas tukunya (Setelah itu Kami perintahkan) "Beramalah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur!

وَقَلِيلٌ مِّنْ عِبَادِيَ الشَّكُورُ
“Dan sedikit sekali di kalangan hamba-hambaKu yang bersyukur”.
(Saba’ 34:13).


Sebenarnya, hanya tiga barisan saja di antara sekian banyaknya manusia yang matinya membawa iman. Inilah diantara mereka yang dianggap sebagai orang yang beriman. Sementara 117 barisan yang lain itu adalah terdiri dari orang-orang kafir dan mereka kekal di dalam neraka.Jelaslah bahawa hanya tiga barisan saja yang membawa iman, sementara yang lainnya itu matinya dalam keadaan kafir dan menyekutukan Allah SWT.Oleh kerana iman manusia di antara satu sama lain tidak sama, maka Allah SWT membahagikan tiga barisan ini kepada empat barisan pula atau kita katakan bahawa mereka yang mati membawa iman itu terbahagi kepada empat golongan:


1) Golongan Bi-ghairi Hisab (golongan yang tidak dikenakan hisab)
2) Golongan Ashabul Yamin (golongan yang menerima suratan di tangan kanan)
3) Golongan Ashabus Syimal (golongan yang menerima suratan di tangan kiri)
4) Golongan Ashabul A’raf (golongan yang berada di antara syurga dan neraka)


Adapun golongan Bi ghairi hisab ( بغير الحساب ) adalah terdiri dari para nabi dan rasul dan pada aulia Allah (kekasih Allah). Para aulia Allah adalah mereka yang memang bersungguh-sungguh menjaga setiap perintah dan larangan dari Allah. Mereka begitu menjaga hal yang wajib dan sunat dan sungguh meninggalkan hal yang haram bahkan hal yang makruh pun mereka tinggalkan.Para aulia Allah adalah mereka yang paling sabar dan sentiasa redha terhadap apa saja yang menimpa mereka. Hati mereka sentiasa baik sangka kepada Allah atas apa saja musibah yang menimpa mereka.


Selain dari itu, mereka yang termasuk dalam golongan Bi ghairi hisab ini adalah para syuhada (orang yang mati syahid). Mereka adalah golongan orang Muqarrabin yang ertinya orang yang terlalu dekat dengan Allah SWT disebabkan pengorbanan mereka dalam menegakkan agama Allah SWT. Bahkan nyawa pun sanggup mereka korbankan semata-mata untuk mempertahankan agama Allah SWT. Sebab itu tidak hairan mengapa mereka mendapat kedudukan yang begitu tinggi di sisi Allah SWT. Orang yang terlalu sabar juga termasuk dalam golongan Bi ghairi hisab. 


Sabar itu terbahagi kepada tiga bahagian:
1. Sabar melaksanakan perintah dari Allah SWT
2. Sabar menjauhi larangan dari Allah SWT
3. Sabar menghadapi segala ujian dari Allah SWT
Sabar melaksanakan perintah Allah SWT bukanlah suatu perkara yang mudah untuk dilaksanakan. Termasuk sabar melaksanakan perintah Allah SWT ialah seperti sabar mengerjakan solat, berpuasa, berjuang, dan sebagainya. Semuanya itu bukan hal yang mudah untuk dilaksanakan. Sekiranya kita berhasil sabar melaksanakan perintah dari Allah SWT, maka lebih sukar lagi bagi kita untuk sabar menjauhi larangan dari Allah SWT.


Terutama untuk boleh sabar menjauhi larangan Allah SWT pada maksiat pandangan mata. Setelah kita bersabar terhadap segala larangan Allah SWT, maka lebih sukar lagi bagi kita untuk sabar menerima ujian dari Allah SWT. Kita dituntut untuk sabar terhadap ujian-ujian dari Allah SWT kepada manusia seperti sakit, miskin, difitnah, kematian isteri, kematian ibu ayah dan sebagainya. Itu semuanya adalah ujian yang Allah SWT datangkan kepada manusia untuk menguji manusia, siapa di antara mereka yang paling baik amalannya di sisi Allah.


Manusia hendaknya bersabar dan redha terhadap ujian-ujian tersebut. Kerana ujian yang Allah SWT datangkan kepada manusia itu hakikatnya adalah didikan secara langsung dari Allah SWT kepada hamba-Nya. Kebanyakan manusia dididik melalui manusia yang lain melalui zahirnya. Tetapi pada hakikatnya yang mendidik manusia adalah Allah SWT sendiri. Dan ujian-ujian yang menimpa manusia sebenarnya adalah didikan secara langsung dari Allah SWT.Oleh kerana itu kita sebagai hamba-Nya hendaklah bersabar dan redha. Sebab sebagaimana yang kita tahu ujian-ujian yang datang dari Allah SWT sekiranya kita bersabar, sebenarnya ini merupakan kasih sayang dari Allah SWT kepada hamba-Nya. 


Hal itu juga merupakan penghapusan dosa dari Allah SWT sekiranya kita bersabar. Demikian juga ia merupakan darjat dan pangkat yang akan Allah SWT kurniakan bagi manusia yang mahu menerima didikan secara langsung dari Allah SWT seperti ini. Seringkali, apa yang manusia mahu ialah didikan melalui manusia yang lain seperti dari para tuan guru, ustaz, alim ulama dan sebagainya. Kebanyakan manusia memang tidak menginginkan sama sekali untuk mendapatkan didikan langsung dari Allah SWT seperti ini kerana tidak dapat bersabar dan redha menghadapinya.


Ingatlah, seandainya manusia tidak berhasil dididik secara langsung dari Allah SWT, maka janganlah diharapkan ia berjaya untuk menerima didikan dari manusia yang lain. Sebab itu kita melihat betapa kuatnya ujian yang menimpa para nabi dan rasul, kerana sebenarnya itulah didikan secara langsung dari Allah SWT kepada mereka.Oleh kerana itulah tidak hairan bagaimana kuatnya iman para nabi dan rasul semuanya. Sebab mereka menerima didikan atau pimpinan secara langsung dari Allah SWT.Jauh berbeza dengan keadaan kita yang tidak senang apabila menerima ujian dari Allah SWT sedangkan itu merupakan didikan secara langsung dari Allah SWT. 


Sedangkan seandainya kita berhasil menghadapi itu semua, maka kita akan termasuk dalam golongan Bi ghairi hisab di akhirat kelak.Dan termasuk juga dalam golongan ini di akhirat kelak ialah orang fakir yang mana dia bersabar dengan kefakirannya. Mereka ialah orang yang tidak mempunyai apa-apa pun harta benda di dunia. Apa yang ada pada mereka hanyalah pakaian yang sehelai sepinggang. Sebab itu mereka tidak dihisab di akhirat kelak. Bagaimana mungkin mereka akan dihisab sementara apa yang ada pada diri mereka hanyalah pakaian yang melekat di badan.


Disamping itu, termasuk dalam golongan Bi ghairi hisab ini ialah orang ahli makrifat. Yaitu orang yang begitu kenal dengan Allah SWT. Oleh kerana mereka terdiri dari orang yang kenal akan Allah, maka hati mereka setiap masa sentiasa ingat akan Allah SWT. Hatinya juga setiap masa terasa hebat tentang kebesaran dan keagungan Allah SWT. Begitu juga hatinya itu setiap masa sentiasa terasa rindu kepada Allah SWT.Apabila kita ukur diri kita dengan mereka, terasa sekali jauh perbezaannya. Mereka adalah orang yang sentiasa mengingati Allah SWT, sedangkan kita sentiasa lalai dan derhaka kepada Allah SWT. Bukan suatu hal yang mudah untuk sentiasa ingatkan Allah SWT. 


Sedangkan solat yang disebutkan oleh Allah SWT sebagai mengingati-Nya pun tidak dapat kita mengingat Allah SWT, lagilah di luar solat kita akan semakin tidak dapat mengingati Allah SWT.Jelaslah bahawa untuk menjadi ahli makrifat yaitu orang yang benar-benar kenal Allah SWT bukanlah suatu hal yang mudah. Ianya merupakan suatu hal yang amat susah untuk dicapai oleh kita yang memang sentiasa lalai terhadap Allah SWT.Itulah di antara orang-orang yang termasuk di dalam golongan Bi ghairi hisab di akhirat kelak. Cubalah ukur diri kita, apakah kita termasuk dalam golongan ini?


Adapun golongan Ashabul Yamin ( أصحاب اليمين ) atau golongan orang yang menerima kitab dari tangan kanan ialah golongan orang-orang soleh, abrar ataupun golongan muflihun. Adapun golongan Ashabul Yamin Iaitu orang-orang yang memiliki sekurang-kurangnya Iman Ayyan dan mereka juga adalah orang yang amal kebajikannya melebihi kejahatannya. Sungguh pun golongan ini terlepas dari azab neraka, namun mereka tidak terlepas menerima hisab dari Allah SWT. 
Mereka agak lambat untuk menempuh Siratul Mustaqim disebabkan oleh pemeriksaan terhadap mereka.


Diterangkan bahawa di atas titian Siratul Mustaqim terdapat lima tempat pemeriksaan. Dan lima tempat pemeriksaan itu dijaga oleh para malaikat yang tugasnya memeriksa setiap hamba Allah. Bayangkanlah bagaimana sekiranya kita terhenti di kelima-lima tempat pemeriksaan itu? Sedangkan sehari di akhirat dinisbahkan dengan hari dunia adalah selama seribu tahun.Sebab itu tidak hairan mengapa orang-orang Muqarrabin itu tidak mahu menjadi orang soleh. Sebab orang soleh, walaupun masuk ke syurga, terpaksa dihisab terlebih dahulu. Ini sudah tentu menyusahkan mereka. 


Sebab itu mereka lebih suka untuk mati syahid dalam mempertahankan agama Allah SWT. Sebab orang yang mati syahid, langsung dimasukkan oleh Allah SWT ke dalam syurga.Terpaksa terhenti untuk dihisab di Siratul Mustaqim adalah merupakan penderitaan dan azab bagi golongan Muqarrabin. Sebab itu di dalam kitab terutama kitab-kitab Tasawuf ada diterangkan bahawa kebaikan yang dibuat oleh orang abrar/orang soleh adalah merupakan ‘kejahatan’ bagi golongan Muqarrabin.


Bagi golongan Muqarrabin, sesuatu hal yang dianggap halal tetapi menyebabkan akan dihisab, itu adalah suatu kejahatan. Untuk mengukur mudah atau tidaknya menjadi orang yang soleh, marilah kita lihat kenyataan Al Imam Ghazali. Al Imam Ghazali mengatakan bahawa orang yang hendak menjadi orang yang soleh itu mestilah 24 jam yang Allah SWT untukkan kepadanya, mestilah 18 jam diisi dengan alam baik. Cuma 6 jam saja masanya itu digunakan untuk melakukan hal yang mubah.


Adapun golongan yang ketiga yaitu Ashabul Syimal ( أصحاب الشمال ) yaitu golongan yang akan menerima kitab dari tangan kiri. Mereka ini ialah orang Mukmin yang ‘Asi atau Mukmin yang derhaka. Kejahatan mereka lebih berat dari kebaikan yang mereka lakukan. Mereka ini akan dimasukkan ke dalam neraka dahulu, sebelum dimasukkan ke dalam syurga. Mereka dimasukkan ke dalam neraka sebagai berdasarkan kepada dosa dan maksiat yang mereka lakukan. Setelah tamat seksaan mereka di neraka, barulah mereka akan dimasukkan ke dalam syurga.


Adapun golongan yang akhir ialah golongan Ashabul A’raf ( أصحاب الأعراف ) iaitu golongan yang amal kebaikan dan kejahatannya itu sama banyak. Golongan ini walaupun mereka terselamat dari masuk ke neraka, tetapi mereka lebih lambat masuk ke syurga daripada golongan Ashabul Yamin yang setelah menempuh Siratul Mustaqim, tidak ada halangan lagi untuk masuk ke syurga. Tetapi bagi golongan Ashabul A’raf, setelah mereka menempuh Siratul Mustaqim mereka masih lagi dihalang untuk ke syurga.Mereka akan didera oleh Allah SWT di hujung Siratul Mustaqim. 


Bagaimana deraan Allah SWT terhadap mereka ? Deraan yang dikenakan Allah SWT kepada golongan Ashabul A’raf ialah diperintah supaya mereka meminta satu amal kebajikan kepada penghuni syurga. Sesiapa dari golongan mereka yang diberi oleh penghuni syurga satu amal kebajikan, maka dia diperbolehkan untuk masuk ke syurga. Maka mundar-mandirlah mereka untuk meminta belas kasihan penghuni-penghuni syurga. Setelah sekian lama, maka barulah Allah SWT masukkan ke dalam hati penghuni syurga untuk memberikan kepada mereka satu amalan kebajikan.


Tetapi anehnya, orang yang mempunyai banyak amal kebajikannya tidak mahu langsung memberikan satu amalan kebajikannya kepada golongan ini. Sebaliknya mereka yang memberikan amal kebajikannya ialah orang yang mempunyai lebih satu saja amalan kebajikannya.Maka Allah SWT pun berfirman kepada golongan ini yang antara lain,“Sekiranya kamu hamba-hamba-Ku yang mempunyai lebih satu amalan kebajikan, begitu pemurah kepada hamba-hamba-Ku dan terus ke syurga, maka sesungguhnya Aku lebih pemurah dari itu.”
Maka dengan ini hamba Allah yang pemurah itu pun dinaikkan darjatnya oleh Allah SWT di syurga.


 Inilah kelebihan yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada mereka di akhirat.Dari huraian-huraian yang dijelaskan di atas marilah kita membuat ukuran di golongan manakah kita berada? Apakah kita berada di dalam golongan Bi ghairi hisab? Ashabul Yamin? Ashabus syimal? atau Ashabul A’raf?
Siri Kuliah Kesedaran Islam oleh Abuya Ashaari Muhammad

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

TETAMU ALLAH

MENJADI TETAMU ALLAH.

Tetamu Allah adalah satu gelaran sangat istemewa dalam Islam.  Allah dan Para Rasul sendiri memberikan layanan istemewa kepada tetamu. Dalam Islam wajib melayani tetamu yang datang bertamu ke tempat kita. Bagi umat Islam yang tahu kelebihan gelaran tersebut mereka akan berusaha dan memasang cita-cita untuk mendapat menjadi "Tetamu Allah ". Manusia di dunia ini dapat menjadi tetamu negara sebagai VIP itu pun manusia sudah rasa sangat berharga dan istemewa. Kerana menjadi tetamu VIP akan menerima layanan lima bintang. 

Betapalah apabila manusia kalau dapat menjadi tetamu Allah ia akan merasakan sepanjang hidupnya bahkan ia akan diberikan nilai sampai ke  Akhirat. "Pergi ke Makkatul Mukarramah tempat yang bersejarah. Manunaikan ibadah kemuncak rukun Islam yang lima Di sana umat Islam menjadi tetamu-tetamu Allah Kenalah menjaga adab-adabnya dengan sempurnanya". ( sedutan madah Abuya Imam Ashaari Muhammad At Tamimi ).

Satu istilah yang disebut oleh Allah d…

KEAJAIBAN SUNGAI FURAT DAN DAJLAH TANDA KIAMAT.

KEAJAIBAN SUNGAI FURAT DAN DAJLAH TANDA KIAMAT.
(Sungai Dajlah).

Mengimbau kembali XPDC penulis ke Iraq melalui jalan darat dari Jordan pada 9 januari 1990. Menaiki kereta jenis GMC yang boleh memuatkan 9 penumpang. Kali ini penulis hendak kongsikan maklumat berkaitan dengan sejarah Sungai Furat dan Dajlah. Rujukan kebanyakkan dari risalah-risalah yang di terbitkan oleh kerajaan Iraq. Perjalanan darat dari Jordan ke Iraq mengambil masa 12 jam. Sepanjang perjalanan terlalu banyak sekatan tentera di dua buah negara tersebut. Terutamanya semasa berada di kawasan Iraq. Sejarah purba dan sejarah moden Iraq banyak berkaitan dengan sungai tersebut. Furat dan Dajlah merupakan antara sungai yang memiliki ikatan sejarah yang kuat dengan ajaran Islam. 

Sungai yang menjadi sumber mata air di Anatolia, Turki, dan bermuara di Teluk Persia itu berkali-kali disebutkan dalam berbagai hadis. Sungai Furat juga dikaitkan dengan Nabi dan rasul sebelum Nabi Muhammad SAW. Ia juga dikaitkan dengan tanda kiamat s…

ASAL USUL KAMPUNG DATUK KERAMAT.

PUSAT PENGAJIAN ABUYA PRAKTIKAL.
( Pasar Datuk Keramat dikaitkan dengan pasar Siti Khadijah Kelantan ).

BAGI warga kota, nama Kampung Datuk Keramat memang tidak asing lagi, bukan saja kerana ia antara kawasan perkampungan Melayu terbesar di ibu negara, tetapi ia juga adalah syurga makanan. Sebut saja makanan apa, pasti dapat dijumpai di situ.Begitu juga setiap kali kedatangan bulan Ramadan, Kampung Datuk Keramat bertukar wajah menjadi pesta makanan dengan ratusan gerai menjual pelbagai jenis makanan tempatan terutamanya di kawasan Pasar Datuk Keramat. Dalam kemeriahannya sebagai syurga makanan, ramai yang tidak tahu asal-usul nama penempatan ini. BH Plus menyingkap maksud di sebalik nama perkampungan ini. 

ABUYA memulakan jemaah pengajiannya di kampung Datuk Keramat. Ketika itu kumpulan pengajian Abuya dikenali dengan pengajian ".RUMAH PUTIH". Dipanggil rumah putih kerana rumah tersebut berwarna putih. Di markaz tersebut diadakan perjumpaan dikalangan ahli pengajian. Program tet…