Langkau ke kandungan utama

NEGARA AMAN DAMAI DAN MENDAPAT KEAMPUNAN TUHAN.



Negara Malaysia yang macam mana yang kita mahu atau dengan kata lain bagaimana corak masyarakat Malaysia itu seperti yang dikehendaki oleh Islam, yang pernah berlaku dalam sejarah, 
yang sedang kita perjuangkan sekarang ini. Masyarakat itu sudah tentu semua orang sama ada orang 
Islam atau bukan Islam berpuas hati, rasa senang dan tenang, rasa aman dan damai, selamat dan menyelamatkan, merasa gembira dan bahagia, merasa kasih sayang dan harmoni.Masyarakat yang kita kehendaki seperti yang Islam mahu ialah para pemimpin berlaku adil, melindungi dan menyayangi, berlemah-lembut dan berakhlak tinggi, cerdik pandainya tawadhuk dan merendah diri. 


Setiap yang menggaulinya senang hati dan berpuas hati. Si kaya dan yang berada sombongnya tiada, tidak menunjuk-nunjuk dan tidak berbangga. Mereka menjadi bank kepada masyarakat dan negaranya. Apatah lagi fakir miskin, dapat pembelaan dari mereka. Mereka disayangi dan menyayangi. Tidak ada orang yang sakit hati kecuali orang yang hasad dengki. Masyarakat yang ditunggu kelahirannya ialah orang alim atau para ulama sentiasa menjadi obor penyuluh hidup setiap manusia ke jalan yang diredhai oleh Tuhan. Belas kasihan kepada si jahil, sering menunjuk ajar kepada mereka. Berlemah-lembut kepada manusia. Kasih sayangnya amat ketara. Melihat muka mereka teringat kepada Tuhan. 


Mereka sangat disayangi oleh manusia. Mereka adalah tempat rujuk dan sandaran manusia. Masyarakat yang kita nanti-nanti kedatangannya ialah kalau mereka orang miskin sabarnya ketara, tidak meminta-minta, jauh sekalilah menipu daya, keluh-kesahnya tiada, hidup mereka tetap tenang dan menenangkan. Orang ramai tidak perasan yang mereka fakir miskin, padahal mereka papa kedana kerana mereka tidak pernah meminta-minta dan menyusahkan orang. Masyarakat yang kita tunggu-tunggu ketibaannya ialah orang-orang tua dihormati kerana wibawanya tinggi dan dijaga. Semakin
tua semakin dekat dengan Tuhannya. Kata-katanya bak mutiara, sangat memberi pengajaran kepada manusia. 


Makin mereka tua, makin disayangi oleh manusia. Mereka tidak disia-siakan apatah lagi oleh anak-anak cucunya. Selain itu, masyarakat yang kita mahu ialah muda-mudinya berakhlak mulia, malunya amat ketara. Lebih-lebih lagi pemudi-pemudi dan wanita-wanitanya. Pergaulan bebas tiada, rajin bekerja, gigih berjuang menegakkan kalimah Tuhannya. Mereka tidak berfoya-foya. Masa mereka diisi dengan perkara-perkara yang sebaik-baiknya. Mereka sangat mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara. Mereka laksana pagar dan bentengnya. Lebih jauh daripada itu, masyarakat yang kita idam-idamkan ialah tidak ada kemungkaran dan maksiat terang-terangan.


Jenayah tiada, kalau ada pun sekali-sekala kerana manusia telah takut dengan Tuhannya dan sangat mencintai Akhiratnya. Barang-barang yang tercicir atau hilang akan dijumpa kembali atau dipulangkan kembali.Perempuan-perempuan yang berjalan sekali ipun keseorangan tiada siapa yang mengganggu dan menodainya, bahkan keselamatan dan maruah mereka dijaga bersama, macam keluarga sendiri sekalipun mereka tidak dikenali. Masyarakat itu juga adalah masyarakat yang mana jiran dengan jiran sangat hormat-menghormati, jaga-menjaga, tengok-menengok, beri-memberi, tolong-menolong, bantu-membantu, ziarah-menziarahi apatah lagi di waktu sakit. 


Masing-masing mengambil berat satu sama lain terutama di waktu jiran mendapat kesusahan, ada sahaja orang yang membantu dan membelanya. Begitu juga masyarakat yang kita cari ialah orang yang bersalah mudah meminta maaf, yang tidak bersalah mudah memberi maaf walaupun tidak diminta. Dendam-mendendam tidak wujud, hasad dengki tidak berlaku, pembunuhan jauh sekali, hidup bertolak ansur menjadi budaya. Dunia tidak menjadi rebutan hingga saluran yang menjadikan perselisihan dan perbalahan tidak wujud. Dunia penuh dengan kasih sayang yang harmoni.Masyarakat yang sedang diidam-idamkan oleh manusia ialah setiap orang yang susah, miskin dan mendapat kemalangan tidak ada yang terbiar, berebut-rebut orang yang memberi pertolongan dan bantuan. 


Mereka yang susah dan miskin itu rasa sangat mendapat pembelaan. Walaupun mereka susah pada lahirnya hakikatnya tidak susah kerana semua orang mengambil berat tentangnya. Bahkan, orang yang miskin itu lebih senang daripada orang yang hidup sederhana . Masyarakat yang dikehendaki itu ke mana sahaja kita pergi atau bermusafir mudah sahaja kita menjadi tetamu. Berebut-rebut orang menerima kita, ada-ada sahaja bantuan dan pertolongan. Tersesat, ada sahaja yang menunjuk jalan. Di dalam berdagang, tidak merasa keseorangan, ada sahaja kawan-kawan dan kenalan dan sahabat-sahabat yang baru yang diperolehi. Begitu juga masyarakat yang kita inginkan itu ada dimana-mana. Bahawa kebesaran Tuhan serta syiar-Nya nampak di mana-mana. Ke mana sahaja kita pergi nampak orang beribadah, menutup aurat, memberi salam dan menjawab salam, membaca Al Quran, belajar agama, berbudi bahasa, berbudaya mulia, bertolong-menolong, bertolak ansur, mengutamakan orang lain, menjamu dan mudah menerima tetamu, memberi dan membantu.


Begitulah seterusnya masyarakat yang dicita-citakan itu kelihatan para ulama, pemimpin, guru-guru, ibu bapa atau orang-orang tua dihormati dan dimuliakan, kanak-kanak dikasihi, suami isteri kasih-mengasihi, orang yang susah diberi atau mendapat simpati, berkawan setia, khianat-mengkhianati tiada, amanah dijaga, tanggungjawab ditunaikan, janji ditepati, keuzuran dimaafkan dan diterima.
Seterusnya masyarakat Islam itu, ke mana sahaja kita pergi tidak ada kelihatan ada manusia yang berlepak-lepak membuang masa, tidak ada manusia yang menganggur tidak ada kerja, tidak terlihat manusia berfoya-foya, yang hidup tidak tahu matlamatnya. Masing-masing kelihatan sibuk membuat kerja-kerja yang baik dan memberi manfaat sama ada untuk Tuhannya mahupun untuk manusia.


Masyarakat yang kita mahu, manusia sibuk membangun, aktif membuat kemajuan, tapi tidak berlaku kemungkaran bersamanya. Tidak ada rasuah, tiada ada tipu daya, tidak ada penindasan, tidak ada kelalaian. Tidak ada pelanggaran syariat. Semakin maju damembangun manusianya, semakin tawadhuk, pemurah, bersyukur dan makin takut kepada Allah. Maka berjalanlah serentak kemajuan fizikal dengan kemajuan rohani. Berganding bahu kemajuan lahir dengan kemajuan batin. Berjalan seiring kemajuan jasmani dengan kemajuan spiritual. Dunia Akhirat sama-sama terbangun. Tingginya tamadun, hebatnya kemajuan bukan melambangkan lagi keangkuhan manusia tapi menggambarkan keagungan Tuhan, kebesaran pencipta, lambang kekuasaan Tuhan dan limpahan nikmat dan rahmat-Nya.


Kesan-kesan daripada itu, orang yang bukan Islam atau kalau masih ada lagi golongan minoriti 
Islam yang hatinya masih jahat maka mereka malu hendak membuat jahat. Mereka juga rasa bersalah kalau hendak membuat sesuatu yang jahat. Walaupun mereka bukan malu kepada Tuhannya tapi 
malu dengan manusia, mereka rasa tidak patut melakukannya. Ia juga secara tidak langsung boleh membantu ketenangan dan keamanan masyarakat. Berkat daripada ramai orang yang telah baik, lebih-lebih lagi kerana mereka sayang dan kasih dengan pemimpin, para ulama dan orang-orang kaya mereka yang adil, pemurah, kasih dengan orang ramai, berakhlak mulia dan ada wibawa maka mereka tidak tergamak hendak melakukan kerja-kerja yang jahat dan tidak senonoh.


Oleh itu, masyarakat menjadi aman, damai, bersatu, berkasih sayang, tenang, senang, bahagia dan harmoni, hilang rasa ketakutan dan yang membimbangkan. Orang ramai tidak takut lagi dengan kejahatan manusia. Mereka merasa tidak akan ada lagi orang yang hendak menipu, mencuri hartanya, membuat khianat, mengambil kesempatan, yang akan mengambil peluang untuk kepentingan diri, yang melakukan kidnap, rogol, sabotaj, rompak dan sebagainya. 
Terjadilah satu kehidupan seperti yang Allah Taala gambarkan melalui Al Quran yang bermaksud: "Negara yang aman, makmur dan mendapat keampunan Tuhan." (Saba`:15). Masyarakat yang kita gambarkan inilah yang menjadi idaman kita yang kita sedang berusaha dan perjuangkan, yang kita mimpikan wujudnya di dalam realiti kehidupan kita.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

NEGARA SYAM.

NEGARA SYAM (JORDAN, PALESTIN,HEBRON, SYRIA) Negara Jordan menjadi tempat transit bagi Abuya sebelum meneruskan perjalanan ke negara negara lain. Jordan juga dikenali dengan bumi Anbiya. Jordan juga banyak meninggalkan kesan  peninggalan purba yang berusia  ribuan tahun. Ia banyak di Jordan atau dulu dikenali dengan negeri Syam. Wilayah Syam zaman kebangkitan pertama mengandungi Jordan, Palestin, Lubnan dan Syria. Di era kebangkitan kali kedua Syam telah terpecah kepada empat negara. Ia dilakukan oleh penjajah. Kini terdapat negara Jordan, Palestin, Lubnan dan Syria secara berasingan satu sama lain. Jordan era terkini dikenali dengan Kerajaan Hasyimiyah Jordan, (Hashemite Kingdom of Jordan) atau lebih dikenali dengan nama Jordan sahaja  merupakan sebuah negara Arab yang terletak di Asia Barat (dulu dianggap Timur Tengah) bersempadan dengan negara-negara Arab yang lain. Ia terletak pada koordinat 34-29 Utara 35-39 Timur iaitu di sebelah Barat La

KEBANGKITAN ISLAM AKHIR ZAMAN.

KEBANGKITAN ISLAM AKHIR ZAMAN. Allah telah mengkhabarkan kepada kita melalui lidah Rasul-Nya bahawa Allah telah ‘set’kan satu Jadual Allah SWT untuk umat yang datang sesudah wafatnya Nabi akhir zaman. Itulah kasih sayang Allah dan Rasul-Nya kepada umat Islam, yang untuk mereka tidak ada lagi nabi dan rasul.Maka diceritakan lah perkara-perkara yang bakal terjadi sama ada yang positif atau negatif. Dengan mengetahui dan memahami jadual itu, umat Islam terpandu atau terpimpin untuk menghadapi dan menerima takdir yang bakal berlaku. Antara jadual yang dimaksudkan itu ialah, Rasulullah SAW bersabda: Yang artinya : "Telah berlaku Zaman Kenabian ke atas kamu, maka berlakulah zaman kenabian sebagaima­na yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkat zaman itu. Kemudian berlakulah Zaman Kekhalifahan (Khulafaur Rasyidin) yang berjalan seperti zaman kenabian. Maka berlakulah zaman itu sebagaimana yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkat nya. Lalu berlakulah zaman

AGAMA NABI IBRAHIM.

AGAMA NABI IBRAHIM. Inti pati ayat: Al Qur’an ayat 123 surat 16 An Nahl, Kemudian Kami wahyukan kepadamu (Muhammad): "Ikutilah agama Ibrahim seorang yang hanif." dan bukanlah dia termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan. Al Qur’an ayat 39 surat 14 Ibrahim, Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadaku di hari tua (ku) Ismail dan Ishaq. Sesungguhnya Tuhanku, benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) do`a. Al Qur’an ayat 124 surat 2 Al Baqarah, Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia". Ibrahim berkata: "(Dan saya mohon juga) dari keturunanku". Allah berfirman: "Janji-Ku (ini) tidak mengenai orang-orang yang zalim". Al Qur’an ayat 71 surat 21 Al Anbiyaa’, Dan Kami selamatkan Ibrahim dan Luth ke sebuah negeri yang Kami telah memberkahinya untuk sekalian manusia. N